Perintah pembatalan muflis tidak dapat membatalkan keputusan speaker
ALOR SETAR – Bekas ADUN Kuala Nerang, Dato’Syed Sobri Syed Hashim tidak diizinkan mengambil bahagian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2013) ekoran status terkini beliau dalam kes kebangkrapan yang menyebabkan hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Dato’Dr Abdul Isa Ismail melalui surat rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media, walau pun bekas ADUN telah menyerahkan satu salinan Perintah Pembatalan kes-kes kebangkrapan yang telah disabitkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bertarikh 9 dan 16 November 2012 dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 9 November 2012, namun dokumen-dokumen tersebut tidak membatalkan keputusannya sebelum ini tentang kehilangan kelayakan berkenaan.
Jelasnya lagi, beliau masih dalam peringkat penelitian dan dalam usaha mendapatkan pengesahan daripada mahkamah dan Jabatan Insolvensi berkenaan dengan status terkini bekas ADUN berkenaan. Beliau tetap dengan keputusannya berkenaan pelucutan hak dan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang sehingga satu pengesahan muktamad diperolehi. Hal ini katanya, selaras dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada beliau sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.
Selaras dengan itu, beliau juga dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat Peguam Negara untuk mengumpul dan mengesahkan semua dokumen yang berkaitan untuk menentukan kedudukan beliau seterusnya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas ( Mesyuarat Bajet 2013), berlangsung selama tiga hari bermula 20 November sehingga 22 November 2012 di Wisma Darul Aman.
No comments:
Post a Comment