'Orang kenyang jangan di ajak berjuang'
Apabila musim pilihanraya datang, setiap parti dan pihak-pihak NGO bergiat memberikan dukungan kepada parti yang mendapat ‘preference’ dari mereka. Walaupun pertubuhan-pertubuhan itu adalah pertubuhan NGO, sampai pilihanraya mereka juga terlibat dalam proses mengamalkan demokrasi mengikut cita rasa masing-masing.
Pihak pembangkang juga mendapat perhatian dari NGO-NGO ini dan mereka tidak teragak-agak untuk menentukan sikap dan pegangan politik mereka secara terbuka. Pihak pembangkang sendiri kehadapan dan memberikan penerangan sambil merapati rakyat bagi mendapatkan sokongan dalam pilihanraya kali ini.
Sebaliknya UMNO dan BN menggunakan NGO-NGO sebagai ‘vehicle’ untuk parti itu apabila menghadapi rakyat untuk mendapatkan kehadiran yang ramai. Jika UMNO sendiri mengadakan program ia tidak mendapat kehadiran yang ramai dan keadaan ini adalah keadaan biasa di seluruh negara.
Seperti yang selalu saya sebut UMNO tidak bergerak di peringkat cawangan dan rakyat sudah merasa terasing dan jauh dari parti itu sedangkan pembangkang sentiasa di lihat berada di hadapan mata mereka dengan kegiatan pendekatan rakyat mereka. Cawangan-cawangan UMNO sudah hilang kemahiran mendekati rakyat dan parti itu terpaksa menggunakan tenaga Presiden atau Timbalannya untuk merempuh setiap kawasan di seluruh negara dengan persediaan yang begitu mahal.
Lima puluh peratus dari cawangan-cawangan UMNO tidak mendapat cukup ‘quorum’ dalam setiap mesyuarat agong cawangan-cawangan parti itu. Oleh kerana perlembagaan parti itu mencegah isu undang-undang dan perlembagaan parti di bawa ke mahkamah maka terselamatlah UMNO itu dari terbatal pendaftaran nya oleh ROS.
Peruntukkan perlembagaan yang mencegah isu dan masalah parti ke mahkamah maka disiplin dan etika kepimpinan di peringkat cawangan telah jatuh dan ini merupakan salah satu sebab kenapa parti itu menjadi lemah dan tidak bermaya di cawangan-cawangan di seluruh negara.
Di peringkat nasional dan kerajaan pula, hutang negara tidak terkawal kerana sejak Najib mengambil alih kerajaan Persekutuan telah menambah hutang negara kepada lebih dari RM 520 billion dari hanya RM230 billion semasa pentadbiran Abdullah Badawi dahulu. Najib berkata negara kita masih dalam kadar berhutang yang rendah kerana ia belum lagi mencapai ketahap 55% dari GDP kita.
Ini amat mengelirukan kerana jumlah hutang yang di siarkan kepada rakyat tidak termasuk RM120 billion hutang melalui ‘off budget agencies’ dan ini adalah satu kesalahan moral yang besar kerana tidak diberitahu keadaan dan status yang sebenarnya tentang hutang yang di tanggung oleh rakyat sekarang ini. Saya ingin menulisnya sedikit masa lagi tentang isu ini apabila saya telah melengkapkan data nya setidak-tidaknya secara kasar untuk pengetahuan ramai. Sesungguhnya negara kita sedang berdepan dengan hampir 68% hutang negara, dan keadaan ini amat membimbangkan kepada sesiapa yang serius dalam hal kenegaraan.
Kita bernasib baik kerana kita ada Petronas untuk menyelamatkan keadaan kita. Petronas juga pernah menjadi penyelamat kepada anak seorang pemimpin tertinggi negara yang telah kerugian dalam perniagaan perkapalan dahulu. Petronas pendeknya bukan sahaja dapat menyelamatkan kantung kerajaan tetapi juga menjadi penyelamat kepada individu-individu berpengaruh dalam UMNO itu. Kerajaan kita di jadikan modal perniagaan oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh ini. Negara kita ini sekarang kepunyaan kumpulan elitis dalam UMNO dan kerajaan sahaja.
Tetapi sampai bila kita hendak bergantung kepada nasib seperti ini? Rakyat berkehendakkan nasib kita bergantung kepada kewibawaan pimpinan tetapi jika begini cara Najib mentadbir negara dan bercakap perkara yang tidak benar, maka kita tidak akan mendapat jaminan atau setidak-tidaknya mendapatkan harapan yang cerah untuk masa depan negara dan generasi kita.
Tetapi isu-isu seperti ini memang sudah menjadi pengetahuan dan menjadi isu perbincangan rakyat di merata-rata tempat di negara ini. Tetapi masih lagi ramai yang tidak mahu menerima hakikat yang keadaan ini akan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang bankrap pada suatu hari nanti jika pimpinan kita tidak mahu mengambil berat tentang isu ini.
Kita memahami sebab kenapa pimpinan kita tidak mengambil berat tentang perkara ini. Ia di sebabkan negara kita belum pernah melalui keadaan bankrap ini dan pimpinan kita bercakap dengan takbur yang kita akan menjadi negara maju menjelangnya tahun 2020 nanti. Tetapi pimpinan kita terlupa yang banyak negara kaya yang telah bankrap kerana kelalaian pimpinan mereka mengambil tahu betapa seriusnya risiko negara jika perkara seperti ini terus berlaku.
Itulah sebabnya rakyat terpaksa bertanggungjawab dengan keadaan ini kerana rakyat lah yang selama ini memberikan mandat terlalu lama kepada BN dan UMNO ini sehinggakan mereka (UMNO) telah merasakan yang segala-galanya adalah kepunyaan mereka dan tidak lagi hak rakyat.
Saya pernah menulis tentang isu ini lama dahulu. Kerajaan yang bertanggungjawab dan mesra dengan rakyatnya tidak akan melakukan sesuatu tanpa membawa rakyat ramai terlibat dalam membuat keputusan. Dulu-dulu nya rakyat akan di beritahu melalui kursus-kursus sivik jabatan penerangan di setiap kampung melalui urusan JKKK di setiap daerah dan mukim jika apa yang kerajaan ingin lakukan itu melibatkan rakyat ramai.
Tetapi sekarang perkara ini tidak dilakukan lagi sejak pentadbiran Dr Mahathir dahulu. Itu sebabnya kerajaan sekarang terputus hubungan dengan rakyat dan pimpinan akan hanya timbul semasa waktu menghampiri pilihanraya sahaja. Setiap projek yang melibatkan rakyat di selia dan di pantau oleh ICU di Jabatan Perdana Menteri dan setiap Jabatan yang melaksanakan projek-projek rakyat itu dilakukan dengan serius dan dengan bermaruah.
Tetapi perkara ini tidak mungkin mampu dilakukan oleh pimpinan sekarang ini kerana setiap projek yang melibatkan rakyat telah dilibatkan elemen kronism yang besar dan ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan imbuhan ala kronisma. Rakyat tidak diberitahu dan dimaklumkan banyak perkara sebelum satu-satu keputusan kerajaan itu kerana unsur rasuah dan salahguna kuasa sentiasa wujud dalam setiap projek yang melibatkan rakyat ramai ini.
Perkara ini sudah berlaku hampir tiga dekad maka anak-anak yang masih muda tidak lagi tahu tentang cara mentadbir yang baik kerana lahir sahaja mereka di dunia ini mereka telah melihat budaya ini yang sudah berkembang terlalu jauh dan tidak dapat di lerai lagi. Itu sebabnya ramai terutamanya yang muda-muda tidak memahami apa yang orang seperti saya, yang masih sihat, melihat perlakuan ini dengan begitu sedih dan menyayat hati.
Itu jugalah sebabnya saya kembali bergiat setelah berehat begitu lama, setidak-tidaknya untuk memberi tahu apa yang salah nya dalam negara kita mengikut perspektif demokrasi dan pentadbiran yang sebenarnya. Berjaya atau tidak matlamat dan impian saya ini cerita lain. Yang pentingnya mesti ada pihak yang berusaha untuk melakukan pembaik-pulihan kepada negara yang sudah begitu uzur dalam setiap bidang kehidupan bernegara.
Mungkin kejayaannya akan sampai semasa kami tidak ada di dunia ini, tetapi saya pasti ia akan sampai. Jika kejayaan ini hanya tercapai setelah kami tidak lagi hidup di dunia ini hadiahkan lah saya dengan bacaan al-fatihah dan itu sudah mencukupi. Rakyat wajib melakukan perubahan secepat yang mungkin dan pilihanraya kali inilah kesempatan yang keemasan untuk melakukannya tanpa berlaku pertumpahan darah seperti yang berlaku di banyak negara di dunia ini.
Rakyat perlu melakukan introspeksi yang serius dan jangan pedulikan apa yang orang lain kata. Jangan mengajak orang yang kenyang untuk berjuang kerana mereka yang kenyang tidak akan berdaya bersusah payah untuk bersama kita.. Mereka yang hidup di dalam ‘comfort zone’ sekarang ini, mereka akan hanya menyokong apabila kita mendapat kejayaan kelak. Itu biasa.
“Orang kenyang memang susah untuk bergerak kerana kekenyangan mereka itu”.
Aspan Alias...
No comments:
Post a Comment