Tuesday, November 20, 2012

Tahniah, usaha jadikan Kedah Jelapang Makanan tampakkan hasil

Tahniah, usaha jadikan Kedah Jelapang Makanan tampakkan hasil

ALOR SETAR – Tunku Bendahara Kedah yang juga selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah begitu yakin dengan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Kedah sebagai Jelapang Makanan yang utama bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bekerja keras merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi memajukan negeri Kedah khasnya dalam bidang pertanian, pendidikan dan kesejahteraan rakyat, usaha-usaha yang dijalankan telah pun menampakkan kejayaannya.

“Di dalam bidang pertanian, hasil pengeluaran nanas, ikan dan ayam daging telah meningkat dan menjadikan negeri Kedah sebagai pengeluar utama di Utara Malaysia.

“Sebagai contoh, penanaman nanas dan betik secara perladangan oleh anak syarikat milik kerajaan negeri telah menghasilkan pengeluaran yang tinggi, kedua tanaman ini telah mendapat sambutan di dalam pasaran tempatan, malah telah memasuki pasaran eksport ke Timur Tengah, China dan Thailand,” ujar beliau dalam Titah Ucapan Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Mesyuarat Bajet 2013.


Selain itu, beliau juga sukacita dengan usaha kerajaan negeri membuka kilang mengetin produk nanas yang beroperasi di Sungai Petani.

“Saya juga berasa sukacita kilang mengetin produk nanas telah pun beroperasi di Sungai Petani seperti yang dirancangkan.

“Saya yakin usaha kerajaan yang berterusan secara konsisten serta kerjasama erat semua pihak bakal melonjakkan negeri Kedah sebagai Jelapang Makanan yang utama bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru kepada rakyat di negeri ini yang memiliki tanah mengambil bahagian bagi menjayakan rancangan memajukan bidang pertanian yang disusun oleh kerajaan.

“Pada tahun hadapan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri buah-buahan melalui program pemulihan dusun dan pengeluaran buah rambutan dan secara besar-besaran.

“Kempen dan galakan program ini telah dijalankan oleh kerajaan mulai tahun ini, justeru saya berdoa agar rakyat negeri ini yang memiliki tanah yang sesuai mengmbil bahagian bagi menjayakan rancangan memajukan bidang pertanian yang disusun oleh kerajaan,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment