KODIANG - Persatuan Nur Hikmah (Hikmah) meraikan seramai 40 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) 2012 pada satu majlis Hari Wanita Sejahtera dan Anugerah Cemerlang UPSR Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, baru-baru ini.
Mereka adalah terdiri daripada pelajar-pelajar di sekitar DUN Kota Siputeh yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2012.
Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM50 kepada setiap pelajar.
Penolong Pengarah Program, Aisyah Don berkata, tujuan majlis itu diadakan adalah untuk mengiktiraf kejayaan pelajar-pelajar yang telah berjuang habis-habisan untuk mendapat keputusan cemerlang pada tahun ini.
Menurutnya, tanpa ilmu dan pengetahuan yang mendalam, kejayaan itu pasti tidak akan berhasil.
“Oleh itu, komitmen guru-guru yang sentiasa bersabar dan bersemangat mendidik pelajar sehingga menghasilkan kejayaan ini sewajarnya menerima pujian,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa sama, asuhan dan bimbingan yang betul daripada ibu bapa dan keluarga juga turut memberikan impak kepada sikap positif dan disiplin pembelajaran pada setiap pelajar.
“Tanpa disipilin, sesuatu itu tidak akan terjadi kerana apa pun yang kita lakukan mesti punyai disiplin diri,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Hikmah memberitahu, perkembangan positif ini adalah isyarat keprihatinan dan kepekaan pemerintah dan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan prestasi akademik, khususnya dalam kalangan anak-anak di DUN Kota Siputeh.
“Kita harap ia menjadi motivasi kepada mereka yang lain agar lebih gigih menimba ilmu pada masa akan datang,” jelasnya.
Majlis yang diadakan di Dewan Orang Ramai Pekan Kodiang itu turut menyaksikan pertandingan membuat kuih tradisional, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment