Projek ‘kontroversi’ berjalan lancar
WARTAWAN SINAR HARIAN 21 Januari 2013 ALOR SETAR - Projek-projek utama kerajaan negeri yang sebelum ini menimbulkan kontroversi antaranya pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah dan Aman Sentral, kini berjalan lancar.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pembinaan kampus Insaniah di Kuala Ketil berjaya disiapkan mengikut jadual dan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari ini.
“Berkat usaha semua pihak, segala masalah dapat diatasi. Ini merupakan suatu kejayaan berikutan kita hanya menggunakan peruntukan negeri,” katanya, ketika menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat, sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, semalam.
Menurutnya, ini membuktikan komitmen kerajaan memajukan sektor pendidikan sekaligus meletakkan Kedah di persada antarabangsa.
“Kerajaan negeri juga sudah melengkapkan kemudahan pendidikan peringkat menengah di 12 Maktab Mahmud yang dinaik taraf secara berperingkat, dan dijangka siap menjelang 2015. Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) di Kulim juga mendapat sambutan dan pembinaan kompleks MTSD di Pulau Tuba, Langkawi akan dimulakan awal tahun ini,” katanya.
Azizan berkata, projek pembinaan Aman Sentral yang sebelum ini cuba digagalkan pihak tertentu dengan menjadikan isu Madrasah Salihiah sebagai alasan, kini dapat diteruskan.
“Pembangunan semula Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun digantikan dengan Aman Sentral adalah untuk menggerakkan aktiviti perniagaan peringkat antarabangsa selain mahu memberi wajah baru kepada bandaraya ini,” katanya.
Menurutnya, ia meliputi kompleks perniagaan, ruang niaga, tempat letak kenderaan bertingkat, surau serta projek hotel lima bintang dan bangunan kondominium berdekatan.

No comments:
Post a Comment