ALOR SETAR - Kedah Medical Center (KMC) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pakar Utara telah berkembang pesat menjadi sebuah pusat perubatan swasta yang terunggul di negeri Kedah sehingga kini.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, KMC kini beroperasi dengan 132 katil dan mempunyai lebih kurang 450 pekerja serta 32 doktor pakar dan dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan serta peralatan yang canggih.
“Saya difahamkan sejak tahun 1987, KMC telah memberi lebih daripada satu juta episod rawatan kepada pesakit. Permintaan perkhidmatan perubatan di KMC juga semakin meningkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 KMC di Dewan Bandaraya Alor Setar, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, permintaan perkhidmatan itu mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti pertambahan pelanggan insuran kesihatan, kemudahan yang disediakan KMC bertambah baik, program-program latihan dan peningkatan kualiti yang sentiasa dijalankan secara berterusan dan juga imej serta jenama KMC yang makin dikenali.
“Hasil yang dikecapi sekarang juga adalah hasil usaha warga KMC. Saya juga difahamkan bahawa KMC mempunyai kumpulan doktor-doktor pakar yang saling bekerjasama dan mempunyai sinergi kerja berpasukan yang baik,” katanya.
Menteri Besar memberitahu, KMC akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kemudahan dan perkhidmatan sedia ada. Memandangkan permintaan yang sentiasa meningkat, Ahli Lembaga Pengarah KMC telah meluluskan lebih kurang RM3.7 juta untuk mengubah suai Tingkat Tujuh untuk menambah sebanyak 28 katil lagi.
Beliau berharap Wad di Tingkat Tujuh yang kini sedang diubah suai akan dapat beroperasi sepenuhnya pada separuh masa pertama tahun ini menjadikan 160 katil kesemuanya.
“KMC juga bercadang untuk mengubah suai Tingkat Dua di bangunan lama untuk Wad Pediatrik. Kita berharap KMC akan mempunyai ruang rawat yang lebih baik dan menyembuhkan agar dapat memberi kesan positif kepada pesakit dan anggota pekerja,” katanya.
Menteri Besar menjelaskan, pelbagai rancangan jangka pendek dan jangka panjang telah dirangka serta sedang dilaksanakan untuk memastikan KMC mencapai visi, misi dan objektif untuk terus berkembang maju.
“Oleh yang demikian, saya menyarankan agar semua anggota pekerja KMC dan doktor-doktor pakar supaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dan sentiasa saling membantu serta berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada tetamu-tetamu kita di KMC,” katanya.
Menurutnya, ini adalah kerana perkembangan dan pertubuhan KMC akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunan negeri Kedah. Selain daripada memberi peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan seperti KMC memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.
“Saya selaku Menteri Besar Kedah dan Pengerusi KMC akan terus memberi sokongan terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak pengurusan agar KMC akan terus berkembang maju demi kesihatan rakyat dan kemajuan negeri Kedah,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan, doktor-doktor pakar dan semua anggota keluarga KMC untuk terus berusaha agar KMC akan terus maju demi kepentingan bersama.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi KMC merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Tuan Haji Amiruddin Abdul Satar; Ketua Pegawai Eksekutif KMC, Encik Zabidi Haji Abdul Razak; Pengarah Perubatan KMC, Dato’ Dr. Ismail Yaacob; Pengerusi Bersama Majlis Makan Malam, Dr. Mohd Razif Abdul Razak dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Haji Abdul Rahman Ibrahim.
No comments:
Post a Comment