Showing posts with label A Kadir Jasin. Show all posts
Showing posts with label A Kadir Jasin. Show all posts

Monday, December 31, 2012

Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Tiga

Oleh A Kadir Jasin

KALAU kita dengar dan percaya kepada perangkaan, sama ada awam atau swasta, ekonomi kita tidaklah seteruk Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) kita tahun ini dianggarkan 5% berbanding AS sebanyak 1.5% dan Zon Euro dalam 0.3%. Tapi pertumbuhan ekonomi kita lebih rendah daripada China, India, Indonesia dan banyak lagi negara di rantau ini.

Bukan sahaja pertumbuhan ekonomi kita tidak lagi sepesat sebelum Krisis Kewangan Asia 1997/98, malah telah mengalami beberapa krisis kecil selepas itu. Sejak krisis 1997/98, KDNK kita berkembang di bawah paras 5% sedangkan kita memerlukan pertumbuhan purata 7% setahun dari awal 1990-an hingga tahun 2020 untuk mencapai taraf negara maju.
  
Jurang Ekonomi Melebar Semula
Seperti saya nyatakan dalam ruangan Kunta Kinte Original, Berita Harian 28 Disember bahawa perangkaan menunjukkan pada 2009, jurang pendapatan antara kaum sudah berbalik kepada yang asal yakni pada permulaan Dasar Ekonomi Baru atau lebih teruk. Jurang pendapatan bandar dan luar bandar sudah kembali kepada waktu kita mencapai kemerdekaan pada 1957.
Walaupun jurang pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera dan Cina misalnya, telah menguncup pada1990, tapi ia melebar semula pada 2009.
Pada 1990, bagi setiap RM1 pendapatan Bumiputera, Cina memperoleh RM1.70. Menjelang 2009, jurang ini meluas menjadi dua kali ganda.
Ambil contoh simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) pula. Orang Cina menyimpan 2.4 kali lebih banyak daripada Bumiputera. Orang Cina miliki 5.6 kali lebih banyak bangunan. Pada 2005, hanya 7.4 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia milik Bumiputera berbanding 58.6 peratus oleh orang Cina. Jumlah ekuiti Bumiputera hanya 18 peratus berbanding 35.8 peratus oleh orang Cina.
Dalam pasaran buruh pula, pekerja Cina peroleh gaji purata 1.77 kali lebih tinggi daripada Bumiputera. Ini tidak menghairankan kerana majoriti Bumiputera bekerja dengan Kerajaan yang lebih rendah gajinya manakala majoriti Cina bekerja dalam sektor swasta yang dikuasai oleh bukan Bumiputera.
Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Tiga
Kalau diukur mengikut pekali Gini (Gini coefficient), orang Cina dan India secara purata makin jauh meninggalkan Bumiputera dari segi pendapatan.
Saya tidak menolak ada orang Cina dan India miskin, tetapi bilangan mereka jauh lebih kecil daripada Bumiputera. Dalam konteks ekonomi, Bumiputera sudah menjadi rakyat kelas ketiga selepas orang Cina dan India.
Kerana ekonomi negara kini tidak berkembang sepesat tempoh DEB Baru dan dasar pembahagian kekayaan melalui pembasmian kemiskinan serta penyusunan semula masyarakat tidak lagi diamalkan dengan serius malah sudah diganti dengan keterangkuman dan meritokrasi, maka kesan lelehan (trickle-down effect) semakin perlahan.
Manifestasi kemunduran ekonomi Bumiputera ini boleh dilihat di mana-mana saja. Beberapa hari lalu, ketika bersarapan di sebuah kedai India bukan Islam, saya ternampak sekeluarga India (yang tentunya kaya) masuk dengan diiringi seorang pengawal keselamatan Melayu berpakaian seragam biru.
Kasihan pula melihat dia berdiri terpacak di belakang majikannya sepanjang mereka bersarapan. Tetapi apa nak buat, itu cara dia mencari rezeki halal dan itulah agaknya yang diperintahkan oleh majikannya.
Boleh kata semua orang India dan Cina kaya yang ada pesaing perniagaan dan takut diculik, apatah lagi yang ada musuh akan mengambil orang Melayu, khususnya bekas anggota Unit Tindakan Khas polis sebagai pengawal peribadi.
Ada sesetengahnya sampai berbelas-belas orang. Apabila mereka ke mana-mana, mereka akan bergerak dalam konvoi tiga atau empat buah kereta. Cermin kereta mereka tentulah gelap gelemat. Kadang-kadang mereka tidak pun ada di dalam kenderaan. Sekadar helah mengelak daripada ancaman.
Kerana Melayu Taat
Alhamdulillah, kerana ramai orang Cina dan India kaya di negara kita ini dan kerap berlaku keganasan yang melibatkan mereka maka ramailah bekas anggota polis dan tentera Melayu dapat kerja jadi pengawal keselamatan.
Lagi-lagilah sekarang apabila jenayah bunuh, culik, peras ugut dan rompakan makin menjadi-jadi. Bukan tauke saja yang ketakutan, sengkeh pun ketakutan juga. 
Saya perhatikan tauke Cina dan India yang saya kenali jarang sekali mengambil orang Cina atau orang India jadi pengawal peribadi mereka. Ramai orang India jadi pemandu. Lagipun tidak ramai orang Cina yang mahu jadi pengawal keselamatan – berbahaya dan gaji tidaklah besar mana. Lebih baik buat kerja lain.
Tetapi orang Melayu dan India yang rendah pelajaran dan tidak pandai berniaga terpaksalah buat apa saja yang mereka layak untuk mencari rezeki halal. Itu pun sudah ramai orang Melayu dan India yang menjadi penjenayah, khasnya bekas tahanan Ordinan Darurat yang dimansuhkan. Dalam hal ini, saya salahkan Kerajaan dan Parlimen yang memansuhkannya. 
Tapi dalam jenayah pun, Melayu kalah kepada kaum-kaum lain. Ramai Melayu diambil menjadi pegawai keselamatan dan pengawal peribadi tauke Cina dan India kerana orang Melayu taat serta setia hasil pembabitan mereka dalam pasukan bersenjata. Lagipun, jarang sekali Melayu terbabit dengan jenayah seperti culik dan peras ugut. Kalau terbabit pun cepat kena tangkap.
Wallahualam, saya pun tidak tahu sama ada orang Melayu dan Bumiputera seronok atau tidak menjadi warga ekonomi kelas tiga serta mempertaruhkan nyawa sendiri untuk melindungi nyawa dan kekayaan orang lain

Wednesday, October 24, 2012

Cukai rokok dan AES cara pantas jana hasil pendapatan untuk NAJIB...

A Kadir Jasin
24 Oktober 2012-+


SAYA merokok ikut-ikutan selama dua tahun apabila mula bekerja pada tahun 1969. Selepas itu berhenti terus. Saya nasihati orang yang rapat dengan saya jangan merokok, berhenti merokok atau kalau tak tahan sangat, cuba kurangkan merokok.

Saya benci sikap penghisap rokok yang tidak bertanggungjawab dan tidak sopan. Mereka tidak peduli orang yang tidak merokok. Mereka buang puntung rokok yang masih menyala sesuka hati.

Pengotor.

Jadi, saya sepatutnya mengalu-alukan kenaikan tiba-tiba harga rokok dan tembakau mulai 22 Oktober yang diumumkan oleh syarikat pengeluar rokok dengan persetujuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia), pengeluar terbesar, menaikkan harga semua produk sebanyak 20 sen. Ia berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 18 Oktober mengenai kebenaran menaikkan harga kilang rokoknya antara 26 peratus hingga 58 peratus bermula 19 Oktober.

Saya terus mengalu-alukan usaha mengurangkan tabiat yang merosakkan kesihatan itu, tetapi langkah menaikkan cukai melalui kenaikan harga itu “menceritakan” sikap kerajaan, khasnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak selain kemungkinan bahawa Perbendaharaan memerlukan pendapat segera.

Lazimnya, pengumuman kenaikan cukai rokok dan arak dibuat ketika pembentangan belanjawan negara. Tetapi, Mohd Najib tidak melakukannya ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Jadi, kenapa agaknya beliau berbuat begitu?

Saya hanya berani dan boleh membuat andaian. Yang terlintas dalam fikiran adalah Mohd Najib mahu membentangkan belanjawan pilihan raya yang menyenangkan semua orang dan pihak. Beliau sendiri tidak menaikkan cukai rokok sebab beliau tahu banyak pengundi adalah perokok.

Tetapi, kenapa selepas 20 hari cukai rokok dinaikkan secara tidak langsung melalui kebenaran kenaikan harga oleh Kastam dan Eksais? Perokok lagi marah kerana mereka berasa tertipu. Dalam Belanjawan tak naik, tapi melalui prosedur Kastam dan Eksais naik.

Ada dua kemungkinan. Pertama, kerajaan memang hendak menaikkan harga dan cukai rokok, tetapi bukan melalui pengumuman belanjawan. Kedua, Perbendaharaan kekurangan wang atau kehabisan wang untuk tahun semasa (2012).

Dan ketiga, dengan membenarkan kenaikan harga dan dengan itu kenaikan cukai di luar belanjawan, kerajaan boleh memungut cukai serta-merta. Kalau dibuat melalui belanjawan, ia hanya boleh dilaksanakan apabila belanjawan diluluskan oleh Parlimen, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan arahan-arahan kewangan tertentu dikeluarkan.

Perbendaharaan Kesuntukan Duit?

Melihatkan kenaikan pintu belakang cukai rokok dan betapa cepatnya Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcment System- AES) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaksanakan serta saman dikeluarkan, nampaknya Perbendaharaan mungkin kesuntukan wang atau kekeringan wang untuk tahun semasa.

Saya dapat merasakan kemungkinan bahawa Perbendaharaan mengalami kesuntukan wang setelah secara kebetulan, bercakap dengan tiga orang bekas Menteri Kewangan, yang semua bimbang dengan kedudukan kewangan kerajaan.

Hari ini, dalam akhbar The Star tersiar surat Mohd Zakry Omar, Ketua Unit Perhubungan Korporat dan Awam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bertajuk “AES Cameras Smart Enough” (kepintaran kamera AES memadai” dalam ruangan surat pembaca.

Setelah melihat saman yang dikeluarkan berikutan pelaksanaan AES, saya kurang yakin dengan kenyataan beliau. Sebaliknya, saya rasa sistem itu “is not smart enough” (tidak cukup pintar) apatah lagi meyakinkan.

Gambar yang disertakan hanya mempamerkan bahagian hadapan kenderaan dengan pelat nombornya sahaja. Gambar seperti itu boleh diambil di mana-mana pun. Kamera yang dikatakan pintar itu tidak mempamerkan dalam gambar tempat tangkapan, waktu dan tarikh tangkapan dan kelajuan (dalam kes melanggar had laju).

Kalau inilah hasil kamera AES, saya rasa kamera digital RM500 lebih “smart” kerana boleh pamerkan banyak maklumat atas gambar.

Terima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana membangkitkan ketidaksenangan dan keraguan umum terhadap sistem ini. Daripada apa yang saya lihat, sistem itu bukan sahaja tidak meyakinkan, tetapi kesilapan boleh berlaku ketika menulis saman kerana bukti bergambar seperti yang saya sebutkan di atas tidak ada atau tidak disertakan.

Tetapi, seperti lampu isyarat yang dipasang di tempat-tempat yang tidak diperlukan dan tidak dinyalakan, kemungkinan berlaku pakatan dan persekongkolan antara pembekal sistem dengan pembeli (JPJ) tidak boleh ditolak bulat-bulat.

Namun begitu, jelaslah sistem ini boleh menjana hasil yang lumayan dan “cost effective” kepada Perbendaharaan berbanding tangkapan laju dan sekatan jalan raya oleh pihak polis. AES tidak memerlukan tenaga manusia, tidak tidur malam dan beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Monday, June 18, 2012

Bermula 43 Tahun Yang Lalu

Oleh A Kadir Jasin

16 Jun genaplah 43 tahun saya menjadi wartawan.

Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak.

Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.

Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukin Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.

Emak, kanak dan adik-adik menitiskan air mata. Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25.

Itulah yang dia mampu. Alhamdulillah, saya ada beberapa ratus ringgit dalam Post Office Savings Bank hasil lebihan biasiswa kecil Tingkatan Enam sebanyak RM50 sebulan.


Kalau hari ini ibu bapa berpesan kepada anak-anak mereka: “Buatkan kami berasa bangga” atau “Make us feel proud”, pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.

Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.

Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.

Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.

Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.

Mula-mula saya tinggal dengan sepupu saya di rumah setinggan Kampung Pandan. Dia bekerja sebagai pengawal (jaga) syarikat perlombongan. Kita mandi dan mencuci pakaian di kolam lombong atau menggunakan air hujan yang ditakung.

Selepas itu, saya pindah ke rumah setinggan sepupu yang lain di Kampung Kerinchi. Untuk mandi, kita menyeberang jalan Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Federal Highway. Kita mandi di anak sungai yang mengalir di sempadan Universiti Malaya.

Itulah permulaan kerjaya kewartawanan saya 43 tahun lalu. Perjalanan sudah lama dan jauh; dari pinggir Sungai Pendang yang layu ke muara Rio de la Plata di Amerika Selatan, Sungai Danube di Eropah dan Mississippi, Amerika Syarikat.

Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet. Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.

Di atas semua itu, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.

http://kadirjasin.blogspot.com

Sunday, March 25, 2012

Menjelang Pilihan Raya Macam-Macam Ada

Oleh A Kadir Jasin

SEMAKIN kuat, hangat dan bersemangat cakap-cakap pilihan raya, semakin panas jugalah persekitaran politik satu Malaysia. Pendek kata, macam kata iklan ikonik Astro tidak lama dulu – “macam-macam ada.”

Antaranya:-

1. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata, tarikh pilihan raya umum adalah “trademark” (tanda niaga) beliau. Maksud beliau, keputusan bila PRU akan diadakan adalah hak mutlak beliau. Beliau yakin orang India kini menyokong Barisan Nasional dan mahu kelebihan suara dua pertiga dikembalikan.

2. Namun begitu, di sebalik kecanggihan kempen blog, Facebook dan Twitter, aspek-aspek tahayul dalam pemikiran sesetengah orang politik terus kukuh. Maka, ramailah tukang tilik dan burung serinditnya, sami pelbagai agama, bomoh Siam dan Kiai Jawa yang dilawati untuk mendapatkan “petunjuk”.

3. Khabarnya, ada tok sami yang meramalkan bulan Jun ini, bulan, bintang dan matahari akan berbaris harmonis di angkasa raya menandakan masa paling sesuai untuk mempertaruhkan nasib. Agaknya itulah sebab mengapa ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan Mei atau Jun.

4. Namun begitu, hanya Mohd Najib akan menentukan sama ada segala ramalan mengenai tarikh PRU itu tepat. Itu tanda niaga yang didaftar atas nama beliau.

5. Selepas pergolakan Pas di Kedah, kini giliran DAP pula. Pengerusi Nasionalnya, Karpal Singh terus bertelingkah dengan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy. Karpal tidak puas hati dengan keputusan Jawatan Kuasa Disiplin mengenai aduan salah laku terhadap Ramasamy lantas menghalakan serangan kepada pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai, pula. Apa yang sedang berlaku dalam DAP sekarang adalah penerusan perebutan kuasa antara golongan lama dan baru dalam parti itu. Pergolakan dalam Pas dan DAP itu sudah tentunya tidak baik bagi Pakatan Rakyat.

6. Selain isu lembu dan kondo NFCorp yang menghambat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil, keluar daripada Kabinet, Umno kehilangan seorang veteran apabila bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengumumkan keluar parti selepas 56 tahun berkuat kuasa 19 Mac. Beliau berbuat demikian selepas dicabar oleh Setiausaha Agung Umno, Teuku (Tengku) Adnan Mansor agar keluar kalau tidak puas hati dengan parti.

7. Bukan Abdul Kadir saja keluar parti. Ramai lagi yang telah keluar Umno tapi nama mereka ada lagi dalam daftar kerana cawangan tidak mahu atau tidak berani kemukakan kepada ibu pejabat.

8. Ramai yang keluar parti masih komited kepada Umno, tetapi mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan kepemimpinan parti, khasnya mengenai mempertahankan hak orang Melayu. Pemimpin atasan Umno dilihat lebih mengutamakan Barisan Nasional daripada Umno.

9. Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) mengesahkan yang National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga Shahrizat tidak membayar balik ansuran hutang mudah kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Feb lalu berjumlah RM34 juta.

10. Dr Hassan Ali, bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, yang baru dipecat daripada Pas kerana bergaduh dengan rakan kongsi DAP, berkata beliau gembira menghadiri sidang DUN sebagai wakil rakyat bebas. Cabaran terhadap Pas ialah membuktikan kepada orang Melayu/Islam yang ia bukan di bawah telunjuk DAP dan PKR.

11. Sebahagian peneroka Felda dan perwakilan mereka masih menentang IPO Felda Global Ventures. Masih banyak soalan mengenai modus operandi cadangan IPO itu yang belum terjawab. Seorang bekas menteri kanan bertanya mengenai “preference shares” yang akan memberikan keutamaan dividen kepada pihak-pihak tertentu dan membelakangkan peneroka.

12. Tidak kira di negeri perintah BN atau PR, keselesaan dan keselamatan harian rakyat jelata semakin terancam. Bandar raya, bandar dan pekan semakin kotor, jalan raya berlopak dan anjing (bertuan dan liar) berkeliaran menjadi ancaman kepada orang ramai. Di Bukit Mertajam, Seberang Prai baru-baru ini, seorang kanak-kanak tujuh tahun, Dhiya Qairina, diserang anjing jirannya ketika berbasikal.

13. Sekarang dalam satu Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) anjing, sama ada anjing bertuan atau anjing liar, serta babi hutan menjadi masalah besar. Dulu anjing yang tidak ada lesen tergantung di tengkuk akan ditangkap atau ditembak. Tapi sekarang tidak lagi. Tunggu sajalah sampai manusia dijangkiti penyakit anjing gila (rabies) barulah Kerajaan akan riuh-rendah, hiruk-pikuk buat ikrar dan janji.

14. Tidak cukup dengan anjing, babi hutan dan kera, kita juga kena main oleh pendatang (halal dan haram). Kerana para perunding antarabangsa dan diplomatik kita hambar dan half-past-six, maka negara kita kena buli kiri kanan oleh negara-negara jiran. Negara jiran yang sepatutnya jadi kawan sudah jadi lawan.

Wallahualam. Kalau pembahas ada nak tambah, silalah tambah.

http://kadirjasin.blogspot.com

Friday, October 28, 2011

Bazir Wang Negara Satu Pengkhianatan

Oleh A Kadir Jasin

BUKANLAH tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan. Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.
Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.

Pada 24 Oktober, portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah.

Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.

Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.

Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya.

Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan negara bertentangan langsung dengan mantera 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.

Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

Sebab itulah saya dari dulu lagi, berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri tidak wajar menjadi Menteri Kewangan. Tetapi, oleh kerana Perdana Menteri memilih untuk turut menjadi Menteri Kewangan, maka beliau perlulah menanggung padah “the buck stops here” seperti yang diungkapkan oleh Presiden Amerika, Harry S. Truman.

Dalam ingatan saya, hanya Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah menjadi Menteri Kewangan. Yang lain semuanya menjadi Menteri Kewangan, kalau tidak lama, sekejap. Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan sejak beliau menerajui negara pada awal 2009.

Elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat oleh PAC terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Itu belum diambil kira sembilan Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Secara peribadi, saya tidak membantah keras kalau kejadian terlebih berbelanja oleh Kementerian-Kementerian sosial dan ekonomi seperti Pelajaran, Kesihatan dan Pertanian bukan berpunca daripada pembaziran atau penyelewengan.

Dalam suasana ekonomi yang lembap dan inflasi yang meningkat, adalah lebih baik Kerajaan berbelanja ke atas rakyat jelata daripada untuk kesenangan beberapa kerat Menteri dan pegawai tinggi. Jadi, eloklah dijimatkan perbelanjaan mengubahsuai rumah dan pejabat Menteri, perjalanan dan keraian yang tidak perlu.

Satu lagi, saya bimbang sikap sambil lewa sesetengah pegawai awam terhadap kewangan negara bukan sahaja merugikan rakyat jelata, malah akan membawa nama buruk kepada Kerajaan.

Golongan yang paling dianakemaskan dan dijaga ibarat menatang minyak yang penuh adalah kakitangan awam. Tetapi, bukan sahaja perkhidmatan awam masih tidak cemerlang seperti yang dijanjikan di bawah GTP, malah (dengan ampun) wujud tanda-tanda ketidakpedulian dan sabotaj oleh elemen-elemen tertentu dalam perkhidmatan awam.

Akar umbi kepada kewujudan unsur-unsur negatif ini perlu didalami, difahami dan ditangani segara. Kepastian perlu dicari sama ada ia kebetulan atau disengajakan.

Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

Wallahualam.

Wednesday, August 10, 2011

A Kadir Jasin: Menteri Palanivel dan macam-macam cerita

A Kadir Jasin



KALAU menambahkan bilangan, menaikkan KPI, maka KPI Perdana Menteri naik se takuk lagi. Beliau baru sajamenambah bilangan anggota kabinetnya kepada 30 dengan melantik seorang ahli politik kecundang.



Sebenarnya saya pun tak tahu kedudukan KPI menteri, pegawai dan jabatan. Yang saya baca, Idris Jala kata, kadar jenayah menurun dan matlamat NKRA sedang dicapai.



Tapi yang saya baca setiap hari orang kena bunuh, mayat reput ditemui, orang kena ragut sampai mati dan macam-macam lagi jenayah ngeri. Yang saya tengok, tak ada kawasan perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang tak dikepung dan dikawal siang malam.



Perdana Menteri melantik presiden MIC, Palanivel a/l Govindasamy aka G. Palanivel menjadi seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menaikkan bilangan mereka kepada lima.



Seperti Koh Tsu Koon dan Shahrizat Abdul Jalil, Palanivel juga kalah pilihan raya umum. Dia kalah kepada calon PKR di Hulu Selangor dan tidak dicalonkan untuk bertanding pilihan raya kecil kawasan yang sama tahun lalu. Dalam PRU akan datang, dia dikatakan akan bertanding di Sungai Siput, Perak, kawasan bekas bosnya S Samy Vellu yang kalah kepada DAP.



Memang kabinet kita besar. UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Kita ada 28 juta penduduk dan 30 menteri. Tidak hairanlah susah nak jumpa menteri sebab tak tahu yang mana satu.



Seorang pegawai media Perdana Menteri berkata, PM ada 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang, wartawan kanan dan eksekutif TV. Paling ramai Dr Mahathir ada sepanjang jadi PM adalah tiga.



Malaysia Boleh Di Mana-Mana



Dilaporkan yang pasangan lesbian Menteri Kewangan Australia peranakan Malaysia, Penny Wong, yang dikenali sebagai Sophie Allouache mengandung. Perempuan dengan perempuan bersekedudukan boleh mengandung?



Sehebat mana pun orang Malaysia atau kelahiran Malaysia, perempuan dengan perempuan dan jantan dengan jantan tak menjadi. Hukum Allah macam itu. Pasangan lesbian Penny Wong mengandung secara in vitro dengan ihsan seorang penderma sperma – air mani lah tu.



Kerana pasangan lesbian Penny Wong bunting, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata dia gembira. Gillard bukan lesbian, tapi tak kahwin. Dia ada pasangan tetap bernama Tim Mathieson.



Tukar-Menukar Harap Berjaya



MAS dan AirAsia bertukar-tukar saham. Sebab saham AirAsia mahal dan saham MAS murah, Tune Air, iaitu syarikat induk AirAsia, mendapat 20.5 peratus saham MAS dan Khazanah, induk MAS, dapat 10 peratus saja saham AirAsia.



Pertukaran saham itu bernilai hampir RM2 bilion berdasarkan harga AirAsia RM3.95 seunit Jumaat lalu dan saham MAS RM1.60 seunit. Khazanah masih pegang 49 peratus saham MAS.



Pengarah Urusan MAS, Tengku Azmil Zahruddin letak jawatan. Tony Fernandez dan rakan kongsinya Kamaruddin Meranun sertai Lembaga Pengarah MAS.



Yang menarik ialah majoriti eksekutif kanan Tune Air/AirAsia adalah Melayu. Jelas syarikat-syarikat milik usahawan India Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia cenderung memberi jawatan bermakna kepada eksekutif Melayu yang berkemampuan, tidak seperti syarikat milik kaum-kaum bukan Bumiputera lain yang ambil Melayu jadi pengarah hiasan, kerani, pemandu, penghantar surat, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi. GRO Melayu pun ramai mereka ambil.



Salah seorang ahli lembaga pengarah baru MAS adalah Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Rohana Rozhan. Astro adalah sebahagian daripada empayar korporat Ananda Krishnan.



Kalau ikut Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Khazanah akan jual banyak lagi saham GLC. Khazanah akan kurangkan pegangan saham dalam lebih 30 GLC atau menjualnya terus. Harap-harap janganlah hanyut pengurus dan eksekutif Bumiputera dalam GLC.



Tak Sangka Bawa Angkara



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop, memberitahu wartawan Jumaat lalu yang krisis kewangan Eropah dan kemerosotan ekonomi Amerika tidak akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.



Alhamdulillah kalau betul, Isyak-Allah akan terbukti.



Tak tahulah saya kalau menteri itu anggap kejatuhan harga saham di Bursa Malaysia, kemerosotan import oleh Amerika, kejatuhan pengeluaran perindustrian dan kenaikan harga barang pengguna tidak jejas ekonomi negara.



Yang kita tahu, bila ekonomi negara menguncup pada tahun 2009, Nor Mohamed Yakcop kata dia tak sangka. Tak tahulah saya kalau pengurusan ekonomi dan persediaan menghadapi krisis ekonomi global boleh diasaskan kepada sangka dan tak sangka. Wallahualam.



Source: http://kadirjasin.blogspot.com/2011/08/menteri-palanivel-dan-macam-macam.html



Monday, July 18, 2011

Tegur Pemimpin Hak Rakyat Jelata

A Kadir Jasin

KITA belajar daripada ibu bapa kita. Bernasib baiklah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sempurna – akal, tubuh badan, kesihatan, iman dan moral. Jadi, benarlah kata pepatah, bapa borek anak rintik. Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Saya adalah anak emak dan ayah saya. Salah satu ilmu dan panduan yang ayah saya ajarkan ialah “dengar teguran dan jangan takut menegur.”

Dulu kita jaga tepi kain orang. Apabila di masjid atau surau, kita memang jaga tepi kain orang. Kalau tepi kain orang kena najis dan lumpur atau carik sehingga dedah aurat, kita tegur. Kita tidak mahu najis dan kekotoran seorang jemaah mencacat solat berjemaah.

Kita jaga tepi kain jiran-jiran kerana kita tidak mahu anak-anak mereka jadi budak jahat dan ganggu ketenteraman kampung.

Kita bagi tahu mereka dan kita tegur anak-anak mereka. Mereka tidak marah kepada kita. Silap hari bulan, anak yang diadukan itu yang kena tempeleng. Saya pun pernah ditegur atau, dalam bahasa jalanan hari ini, kena sound, oleh jiran-jiran kerana buat bising, curi buah rumia (kundang) Pak Su Salleh atau kurang sopan di majlis kenduri. Saya terhutang budi kepada mereka kerana menjaga tepi kain keluarga saya.

Hari ini, jaga tepi kain menjadi ungkapan kotor. Silap-silap kena maki atau penumbuk di muka. Dulu kita jaga tepi kain orang demi kebaikan kerana adat berjiran saling tegur-menegur dan ingat-mengingati.

Hasil ajaran itu, saya tidak berasa bersalah menegur, apatah lagi menegur orang yang kita pilih, kita upah dan kita restui untuk memimpin kita.

Sama ada secara sulit atau secara terbuka, secara lisan atau melalui tulisan, saya sentiasa menjaga tepi kain mereka kerana kalau kain mereka penuh najis, bagaimanakah mereka boleh “mengimamkan” kita.

Tidak kira Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin, Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib Abdul Razak, Muhammad Muhammad Taib, Abdul Rahim Tamby Chik atau Dr Khir Toyo dan ramai lagi saya tegur.

Saya mulakan dengan “menegur” mereka secara sulit. Seelok-eloknya secara bersemuka kerana saya perlu menjaga air muka mereka. Ada kalanya saya mengutus surat.

Ketika pilihan raya umum 1999 dan selepasnya saya “menegur” pendekatan dan cara kerajaan dan Barisan Nasional menangani isu Anwar.

Saya terpaksa “menegur” kerana selama hampir 16 tahun – sebagai wartawan dan pengarang – antara tugas wajib saya adalah mempromosikan Anwar.

Ketika di puncak kemasyhurannya, Anwar adalah “untouchable” dan “could do no wrong” – tidak boleh dicuit dan tidak mungkin melakukan kesalahan. Segala bisikan saya – seperti bisikan ramai orang lain – ditolak sebagai iri hati dan fitnah.

Apabila saya menulis sebuah pojok mengenai Brutus menikam Julius Caesar dari belakang dalam kolum “Kunta Kinte” Berita Harian, ia diberhentikan serta-merta. Waktu itu, media massa difrancaiskan kepada Anwar. Pengarang lantikan Anwar amat berkuasa.

Menegur dan Ditegur

Saya “menegur” mengenai beban peribadi pemimpin BN akibat gerak-geri mereka, campur tangan ahli keluarga mereka dan perniagaan anak-anak mereka.

Selepas PRU 1999, giliran saya pula “disound” kerana “menegur” kaedah kempen iklan BN dan ingkar arahan. Turut kena “sound” adalah Quek Leng Chan yang ketika itu menguasai kumpulan akhbar Nanyang.

Menjelang pertengahan tahun 2000 saya mendapati saya tidak dapat lagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP tanpa kehilangan saki-baki kredibiliti saya. Maka saya pun meletakkan jawatan. Quek pula menjual kepentingannya dalam Kumpulan Nanyang.

Apabila Anwar berucap kepada badan pemikir swasta Amerika, Council on Foreign Relations di New York ketika Krisis Kewangan Asia sedang memuncak (September, 1998 ), saya berada di situ dan “menegur” beliau.

Saya berkata, walaupun penghujahan beliau mengenai teori “constructive destruction” ciptaan Joseph Schumpeter dalam tesisnya mengenai kapitalisme, sosialisme dan demokrasi pada tahun 1942 mendapat sambutan hangat daripada audiens Amerika, ia mungkin tidak disenangi bosnya di Kuala Lumpur.Ringkasnya, Anwar dan penulis ucapannya menganggap Krisis Kewangan Asia 1997/98 sebagai kemusnahan yang membina.

Kemudian, ketika saya bersama beliau di dalam kamarnya di hotel JW Marriott, Washington DC, Anwar mendapat panggilan daripada kawan akrabnya, Michel Camdessus, yang ketika itu menjadi Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Sekali lagi saya “sound” beliau dengan mengatakan yang bosnya di Kuala Lumpur tidak begitu senang hati dengan percubaan campur tangan IMF.

Saya “sound” Abdullah mengenai cara beliau mengawal media massa, Mohd Najib mengenai rumah tangganya (seperti pernah saya katakan, saya kenal Mohd Najib sejak 1977), Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pengagihan tanah negeri untuk pembangunan dan Abdul Rahim mengenai gaya hidupnya.

Saya mengingatkan Muhammad Taib dan Dr Khir Toyo mengenai pendahulu mereka yang jatuh kerana skandal dan rasuah.

Tegur Bukan Kerana Benci

Saya tegur kerana saya berasa itu tanggungjawab saya. Sebagai wartawan dan pengarang media arus perdana ketika itu, beban mereka adalah beban saya.

Tentulah tidak semua mereka suka saya menegur mereka. Apatah lagi apabila teguran itu menyentuh hal-hal peribadi dan keluarga mereka. Dan kita tentulah tidak popular dengan membuat teguran itu.

Tetapi bagi saya mudah saja, seorang pemimpin yang tidak bersedia ditegur atau tidak mengendahkan teguran lambat-laun akan tersesat jalan, ditolak oleh rakyat jelata dan mungkin juga diheret ke muka pengadilan, lebih-lebih lagilah apabila berlaku pertukaran parti yang memerintah.

Lihatlah apa yang berlaku di Thailand dan Taiwan, dan kini di negara-negara Arab. Lihatlah apa yang terjadi kepada Hosni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Atau yang lebih dekat, Suharto di Indonesia.

Pendek kata, pendirian saya mudah saja dan saya kerap mengulanginya. Kita pilih pemimpin melalui pilihan raya. Kita beri mereka kepercayaan. Kita beri mereka upah. Kita bayar cukai. Kita tidak pernah pilih isteri, anak-pinak, suku-sakat dan sahabat-handai mereka.

Kita beri kuasa kepada mereka bukan untuk difrancaiskan kepada kaum keluarga, sahabat-handai dan FOPM.

PS: Mengenai Mohd Najib menjalin perhubungan diplomatik dengan Vetican, saya dapati berita pesanan rungkas The Star yang berbunyi “Najib meets Pope and announces diplomatic ties with the Vetican to help promote values of moderation and harmony” sangat memeranjatkan.

  1. Adakah selama ini kita tidak mempromosi dan mengamalkan nilai-nilai sederhana dan harmoni?
  2. Apakah Islam, agama rasmi Persekutuan, dan budaya Melayu, teras budaya kebangsaan, tidak menekankan kesederhanaan dan keharmonian;
  3. Apakah kita memerlukan bantuan Vetican untuk mempromosikan nilai-nilai sederhana dan harmoni?; dan
  4. Bukan semua orang Kristian Malaysia berkiblatkan Vetican. Bancian penduduk tahun 2000 menunjukkan ada 9.1 peratus penganut Kristian yang terdiri daripada Anglican, Baptist, Bretheren, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Roman Katolik.
Wallahualam.