Thursday, February 21, 2013
Berjuanglah menegakkan agama Allah
Wednesday, February 20, 2013
Mai nak habaq... DAP menang semua kerusi pun tak akan dapat jadi PM...
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyifatkan dakwaan bahawa DAP akan menguasai pentadbiran kerajaan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang pada pilihan raya kali ini, hanyalah propaganda untuk menakutkan rakyat khususnya kaum Melayu.
Secara umumnya beliau dilihat seolah-olah menggambarkan bilangan kerusi yang diperuntukkan kepada DAP juga jelas menunjukkan parti itu belum berkelayakan untuk mendominasi kerajaan PR kelak.
“(Rakyat) ditakut-takutkan sekiranya Barisan Nasioal (BN) kalah, Malaysia diambil alih oleh DAP. DAP bertanding 50 daripada 222 kerusi (Parlimen). Kalau menang habis pun tidak boleh perintah Malaysia.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kerjasama Pas-DAP berbeza sama sekali dengan gabungan parti kerajaan, iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan.
Beliau menjelaskan, kerjasama Pas-DAP masih ada batasan kerana Pas tegas atas prinsip perjuangan parti dan mengehadkan batasan tertentu, tidak seperti parti pemerintah.
“Kita berjaya bincang dengan bukan Islam daripada DAP dan PKR yang sanggup bersama kita. Kita tidak jual dasar, perangai dan akhlak kita.
“Ini tidak serupa kerjasama Umno dengan MCA, MIC dan Gerakan. Mereka hilang jati diri dan kuasa politik,” katanya.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi juga berkata, Umno gagal mentadbir negara, sambil membandingkannya dengan negara China.
Menurut Abdul Hadi, walaupun ditadbir oleh kerajaan komunis, China berjaya meletakkan republik itu setanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Thursday, January 10, 2013
Jasa Amanat Haji Hadi Kepada UMNO yang cuba di sembunyikan kebenarannya...
Wednesday, December 19, 2012
Arahan Khas Presiden PAS kepada semua ahli.
Monday, November 19, 2012
Presiden PAS tak nak pun jawatan PM tu tapi perwakilan saja yg lebih sudu dari kuah..!!
Muka depan The Star hari ini melaporkan, "Hadi ready to be PM" (Hadi bersedia menjadi PM).
Namun tajuk untuk edisi onlinenya agak berbeza iaitu, "It is syiok (thrilling) to be PM." (Syok juga kalau jadi PM)."
Selari dengan The Star adalah, media dalam talian The Malaysian Insider juga membuat laporan sealiran dengan akhbar MCA itu. "Hadi ‘alu-alukan’ cadangan perwakilan dilantik jadi PM", menjadi tajuk media itu.
Kedua-dua laporan ini membayangkan seolah-olah Presiden PAS itu mahu menjadi perdana menteri.
Ekoran kedua-dua laporan itu, timbul fitnah kepada Presiden bahawa beliau dikatakan 'setuju dan bersedia' untuk menjadi perdana menteri.
Namun, Malaysiakini pula membuat tajuk "Syor jadi PM, syok juga sepintas lalu - kata Hadi".
"Syok (seronok) juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita menangkan Islam, lepas tu nak mati, matilah,"katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu semalam.
Laporan yang ditulis Abdul Rahim Sabri itu agak berlainan dari dua media di atas.
Apakah yang dikatakan sebenarnya oleh Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberikan ucapan penangguhan yang disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai terbaik oleh beliau itu.
Para pembaca wajar sekali mendengar sendiri apakah maksud Ustaz Abdul Hadi dalam ucapannya itu.
Ini kerana, dalam sidang media selepas memberikan Ucapan Dasar Muktamar PAS ini, Abdul Hadi dengan jelas menolak cadangan itu.
Beliau lebih rela kembali menjadi nelayan selepas Islam menang.
Apakah sebenarnya maksud TG Abdul Hadi tentang isu ini? Berikut adalah transkrip ucapan penangguhan beliau yang berkaitan dengan isu ini.
Berikut adalah penyataan Tuan Guru Abdul Hadi semasa penggulungan itu secara verbatim.
Saya alu-alukan nak lantik saya jadi perdana menteri. Syok juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah.
Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.
Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Ustaz Azizah ingat tak peristiwa itu? Saya tak mahu jadi macam tu lah. Belum apa-apa dah tumbuk rempah.
Kita kena belajar dengan Nabi SAW. Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kabilah yang bersedia menawarkan negeri dan penduduk mereka untuk menegakkan Islam. Allah menjanjikan kemenangan.
Nabi jumpa satu-satu kabilah ini. Masa jumpa kabilah Bani Amir, Nabi tawar Islam, Allah janjikan kemenangan, boleh tegakkan negara bila berjaya. Tiba-tiba pemimpin mereka bertanya, "Kalau menang siapa jadi raja, jadi ketua, jadi menteri" lalu Nabi jawab, "Kemenangan itu bagi Allah, Allah beri kepada siapa yang Dia kehendaki" Itu jawapan Nabi.
Jadi kita PAS ni kena ajar begitulah. Itulah caranya."
(Klik di sini untuk mendengar ucapan itu)
Friday, October 12, 2012
Disebabkan Nasharudin tu pekak badak terpaksalah Presiden PAS beritahu sekali lagi...!!
Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).
(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).
Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus dikalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya, kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah S.A.W. bersabda tersebut diatas dengan huraiannya : ( Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).
Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).
Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman tersebut , walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya :
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).
PAS adalah Parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan UMNO.
Begitu juga hubangan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan diantara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada Al Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan Tahaluf yang berpandukan nas tersebut diatas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep Tahaluf Siyasi yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama UMNO, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Cukuplah menegakkan Islam ala UMNO yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama UMNO, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang diletak diatas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.
PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas Allah.
PAS pernah bersama UMNO di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional bersama UMNO dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan Muktamar Khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama UMNO, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama UMNO.
Kemudian PAS dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh UMNO dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihanraya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan UMNO.
Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah UMNO dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada UMNO. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional yang juga berpecah daripada UMNO. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.
PAS mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan media yang menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.
Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama UMNO sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain dikalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam UMNO atau bersekongkol bersama UMNO.
Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walau pun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjesama PAS dalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah PAS ditendang keluar.
Pengaruh PAS dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran PAS dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama PAS bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun Sembilan puluhan berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama PAS dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin Parti Keadilan Rakyat dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walau pun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan UMNO berjuang menegakkan hukum Hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih lima puluh tahun. Sebenarnya UMNO lah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.
Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. PAS mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh PAS sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan dan ekonomi.
Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran PAS dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik menjadi sasaran UMNO bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisma.
Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat UMNO dengan Melayu dan Islam anutannya.
Kepada semua pihak yang bersimpati dengan PAS, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada UMNO parti Maha Esa.
Kepada ahli dan penyokong PAS saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam PAS, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. PAS tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada Allah. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah S.A.W. “sesiapa yang memencilkan diri daripada jamaah akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.
*Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
Thursday, September 20, 2012
Fitnah: Presiden PAS saman Mashitah
Fail tersebut difailkan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Mazwan dan Nasar.
(Gambar: Ahmad Samsuri bersama peguam bercakap kepada media.)
Tuan Guru Abdul Hadi menamakan Mashitah sebagai defendan pertama dan akhbar Sinar Harian sebagai defendan kedua.
Bercakap kepada pemberita, Ahmad Samsuri menyifatkan tulisan berbentuk fitnah tersebut keterlaluan dan memalukan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
"Sebelum ini kita sudah minta Mashitah dan Sinar Harian buat permohonan maaf terbuka tapi mereka tidak berbuat demikian maka kita ambil tindakan samanlah," katanya yang ditemani peguam Mazwan Johar dan Nasar Khan.
Sebelum ini, Shamsuri berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan tersebut.
Pada 2 Mac lalu, Mashitah dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian mengaitkan penahanan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon dengan beberapa skandal seks kononnya membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Dalam tulisannya, Mashitah menyebut Abdul Hadi pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu dan mengambilnya sebagai isteri ketiga, bagaimanapun ia dinafikan Abdul Hadi.
Wednesday, September 19, 2012
Terima kasih Tun Mahathir
Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya.
Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu memberi mafhum, supaya ahli UMNO yang beragama Islam meninggalkan UMNO dan menjadikan PAS sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan syaitan yang ada dalam UMNO atau menghapuskannya bagi menyelamatkan UMNO. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang Islam.
PAS adalah parti manusia bukan parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan ditarbiyah oleh Allah sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam dan Hawa. Allah mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.
Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Al Din).
Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.
Allah memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak sekali-kali menderhakai Allah. Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.
Al Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan sikap berlumba mentaati Allah. Apabila Allah mendedahkan kelebihan Adam kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan bertasbih. Allah mengesahkan dengan firmannya:
وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33)
(Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “. Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :” Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33).
Allah tidak dengan segera menghantar Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya dikalangan syaitan, jin dan manusia, yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.
Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud. Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan). Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan segala cabarannya. Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong. yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada Allah.
Adam dan para Rasul yang dilantik membawa petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat disamping beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna memusuhi Allah dan Rasulnya.
Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat.
UMNO diakui oleh Tun Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan daripada cawangan, bahagian, sehinggalah tertinggi. Namun tidak bersedia dirawat atau berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat kepada jentera kerajaan yang membantu kemenangannya, menipu undi demi kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil ketika mengundi.
Al Marhum Tunku Abdul Rahman, Presiden pertama UMNO dan Bapa kemerdekaan meninggalkan UMNO. Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal penyakit yang ada pada UMNO, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang sedar dan peka. Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk UMNO. Semuanya sudah cukup bagi ahli UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia PAS memohon pertolongan Allah dan para malaikat yang nyata baiknya bagi menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan nyata dalam kitab Allah dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya yang nyata. Inilah panduan tertinggi PAS, dicatat dalam undang-undang tubuhnya .
Apabila wajib beriman kepada malaikat dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran. Ini kerana kalau difahami secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas Al Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:
60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
61. "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang Lurus.
62. "Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)
Allah juga mendedahkan diantara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah, maksudnya:
208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208).
Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya:
268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Tuesday, August 7, 2012
Umno hadiah kerusi kepada MCA, MIC dan Gerakan
Isu yang sering dicampak oleh media khadam UMNO ialah 90 kerusi untuk DAP, tujuannya untuk memikat pengundi Melayu supaya terus bersama UMNO, walaupun sudah ada keraguan yang banyak terhadap kemampuan UMNO memimpin negara bersama rakan-rakannya, khususnya dengan penyertaan beberapa tokoh UMNO dan pegawai tinggi kerajaan yang bersih dan tidak berkepentingan bersama PAS. Memang rakyat Melayu yang jahil sepak terajang politik tidak nampak dengan hakikat yang nyata berlaku di lapangan seluruh negara.
Perlu dikaji bahawa beberapa senario pilihanraya menunjukkan DAP terus bertapak di kawasan majoriti bukan Islam. DAP tidak mampu bertapak di kawasan majoriti Melayu, jumlah sebenar yang mampu bagi DAP untuk menang tidak sampai lebih daripada 50 kerusi. Kedudukan DAP yang kuat ini sehingga MCA, MIC dan Gerakan (rakan sejawat UMNO) tersingkir dalam beberapa kali pilihanraya dan akhirnya hilang kuasa di Pulau Pinang dan tersingkir di banyak tempat di peringkat Parlimen. Maka UMNO terpaksa merancang untuk menyelamatkan kuasa semata-mata, walaupun menjual maruah agama dan bangsanya sendiri.
Keadaan menunjukkan bahawa DAP sekadar berkemampuan lebih kurang jumlah kerusi tersebut sehingga tidak ada alasan untuk menjadi parti mengepalai kepimpinan negara, dengan kadar itu daripada jumlah semuanya 222 kerusi di parlimen. Maka yang lebih daripada itu adalah rebutan di antara PAS, PKR Melayu dan UMNO dengan sedikit berbeza di Malaysia Timur bagi bumiputera. Di sinilah juga maka DAP bersama menerima asas yang sudah ada dalam Perlembagaan Negara yang telah disalah urus oleh UMNO bersama BN. DAP menerima kedudukan Islam adalah agama persekutuan, serta hak yang adil kepada agama-agama yang lain. Hak istimewa bumiputera dan hak yang adil terhadap kaum yang lain, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan hak bahasa ibunda berbagai kaum, dan menerima konsep raja berperlembagaan.
Sesiapa yang mengkaji secara mendalam di sepanjang perjalanan pilihanraya mencetuskan kesedaran betapa UMNO adalah parti sekular pragmatik yang lebih bertujuan untuk mempertahankan kuasa semata-mata, tanpa agenda yang sebenar mempertahankan Melayu dan Islam, lebih malang dan zalim apabila menyalahkan pihak lain yang boleh mencetuskan kekacauan dan UMNO hanya ingin mengambil kesempatan dengannya bagi meneruskan kuasanya.
Sikap pemimpin UMNO dan langkah politik mereka mendedahkan perjuangannya yang sebenar, bukan sahaja Islam dan Melayunya diperkuda dengan topeng hak istimewa, bahkan kerusi Islam dan Melayu yang telah diakui oleh semua kaum lain dihapuskan oleh UMNO, demi menyelamatkan rakan sejawatnya, MCA, MIC dan Gerakan.
Kepada sesiapa yang membaca politik UMNO akan menemui betapa UMNO menyerahkan banyak kerusi campuran, majoriti Islam dan Melayu di seluruh negara kepada rakan sejawatnya MCA, MIC dan Gerakan bagi menyelamatkan kuasa semata-mata. Walaupun PAS meletakkan calonnya di kawasan tersebut, UMNO wajib mengalahkan PAS walaupun dengan politik wang tanpa batas khususnya membeli pengundi-pengundi Melayu Islam di kawasan yang dihadiahkan kepada MCA dan Gerakan. Jentera UMNO dikerahkan bermati-matian, termasuk guru-guru agama bagi menunjukkan kesetiaannya kepada MCA, MIC dan Gerakan.
Dipihak yang lain pula UMNO menggunakan kuasa majoriti di parlimen menambah kerusi di peringkat negeri dan pusat. Hanya di negeri-negeri dan kawasan Melayu kuat UMNO sahaja dilakukan penambahan kerusi dengan jumlah dan persempadanan yang sangat tidak seimbang dan dengan sengaja tidak menambah kerusi di negeri-negeri dan kawasan-kawasan di pantai timur dan utara semenanjung yang besar majoriti Islam dan Melayunya (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis). Ada kawasan yang jumlahnya lebih daripada lapan puluh ribu dan sempadannya lebih besar daripada negeri Melaka dan Perlis, seperti Baling, Gua musang, Kemaman dan sebagainya, tidak berubah sejak berpuluh tahun. Di Johor, Sabah dan Sarawak dibanyakkan kawasan tambahan dan sebahagiannya dihadiahkan kepada MCA, MIC dan Gerakan dan rakan-rakannya yang lain.
Adapun kenyataan pemimpin UMNO bahawa DAP akan menguasai seluruh negara sekiranya BN kalah dengan provokasi perkauman, adalah satu cara yang zalim, demi mencapai kemenangan dengan apa cara, walaupun boleh menyebabkan kebencian di kalangan kaum dalam masyarakat majmuk. Sepatutnya kaum Melayu dan Islam diperkasakan pengetahuan politik, bukannya diperbodohkan, khususnya melalui media arus perdana berbahasa Melayu yang digunakan menjadi khadam dan hamba abdi UMNO.
UMNO yang gagal menunjukkan contoh Islam dan sifatnya yang sebenar kepada kalangan bukan Islam, bahkan menunjukkan amalan yang mencalarkan imej Islam. Contoh tidak adil terhadap semua, contoh rasuah, menggunakan kuasa yang bercelaru, pemimpin yang terlibat segala jenis skandal silih berganti dan skandal digunakan untuk menundukkan pemimpin mengikut contoh politik kaum Yahudi. Dalam masa yang sama memperbodohkan rakyat dengan politik wang dan media terhadap kaumnya sendiri.
UMNO yang menunjukkan sifat pemimpin yang berlagak menjadi Tuhan, Maha suci daripada segala kesalahan dan kekal berkuasa selama-lamanya, melakukan apa sahaja terhadap pemimpin dan parti kalangan bangsanya sendiri, walaupun dengan cara merempuh dasar konsep perlembagaan, seperti tidak melaksanakan konsep Federalisme apabila PAS memimpin Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak, dengan melakukan tindakan yang lebih keras daripada negeri yang dikuasai oleh kaum lain, seperti terhadap Pulau Pinang di bawah Parti Gerakan, Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika berada dalam Malaysia. Maka UMNO tidak layak menjadi pelakon pahlawan Melayu menentang DAP.
UMNO jangan menyalahkan parti bangsa lain kerana Melayu bumiputera masih lambat untuk mengejar kefahaman bangsa lain, UMNOlah yang menghilangkan jatidiri Melayu Islam di Singapura dan negeri-negeri Melayu pantai barat semenanjung dan kelemahan bumiputera Islam di Sabah dan Sarawak disebabkan berebut jawatan parti untuk merebut kekayaan. Cukuplah baki orang Melayu dan bumiputera dengan sejarah yang terlalu dekat, peristiwa kematian Bank Bumiputera yang berada di bawah ketiak UMNO, kerana di mana adanya pejabat bahagian UMNO maka di bawahnya Bank Bumiputera dan yang terbaru Bank Pertanian diubah nama kepada BANK AGRO, seronok dengan nama orang putih, inilah dia bahasa jiwa bangsa, sehinggalah bahasa kebangsaan dikecilkan tulisannya dan berada digaris yang direndahkan dalam segala iklan di Malaysia bukannya di England.
UMNO hanyalah teringat kepada agama dan bangsanya sepenuh semangat ketika hampir pilihanraya dan di masa kempen pilihanraya. Menggunakan sebanyak duit untuk meraih kemenangan, kemudian menyalahgunakan duit dan kuasa selepas kemenangan. Perkara ini tidak berlaku di zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, oleh kerana ini maka ramai kalangan UMNO lama dan bekas pegawai kerajaan bersama PAS dan mengharapkan PAS ganti UMNO.
Perkembangan menarik juga berlaku di kalangan bukan Islam dan Melayu, apabila media bahasa ibunda mereka agak terbuka, tidak seperti media khadam Umno yang membodohkan bangsanya sendiri, Apabila sedikit kuasa yang penuh cabaran dan sekatan kepada PAS dilaksanakan terhadap kaum bukan Islam dilaporkan oleh media bahasa cina dan tamil , menyebabkan bukan Islam dan bukan Melayu mengundi calon PAS yang menentang calon MCA , MIC dan Gerakan.
Dalam ruangan ini PAS berusaha untuk menyelamat secara khusus, kaum Islam dan Melayu supaya mengubah kepercayaan mereka terhadap UMNO dalam masa yang lama, kepada memberi kepercayaan kepada PAS memimpin kaum Islam dan Melayu khususnya bersama Pakatan Rakyat dengan Negara Berkebajikan yang adil untuk semua.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Tuesday, July 10, 2012
Presiden PAS berada di Meir sekarang ini...
(Ustaz Hadi dan rombongan berbincang dengan Dr Musa di pejabatnya dekat Kaherah)
Beliau tiba di sini kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dan bakal melalui jadual yang sangat padat sepanjang dua hari berada di sini.
Turut mengiringi beliau adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.
Lawatan beliau yang pernah belajar di Mesir sehingga ke peringkat master sebelum ini antara lain bagi meninjau perkembangan yang sedang berlaku di sini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Fraksi Parlimen Hamas di Gaza Dr. Khalil Al Heyya.
Dalam program lain hari ini, Tuan Guru juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif petang ini waktu tempatan.
Presiden juga dijadual menghadiri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini malam ini.
Tuesday, June 19, 2012
Selepas Tulisan Jawi dan Mate Sains dalam Inggeris.. Kini tiba pula Isu Felda..!!!
Monday, May 28, 2012
Nie mai nak habaq pasai apa PAS boleh sokong BERSIH 1,2 & 3...!!!
Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah SWT). Rasulullah S.A.W bersabda: “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “.
Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.
Ucapan Abu Bakar R A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah SAW: “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat....”
Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya. Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat.
Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab.
Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.
Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar memahami hak mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan negara contoh di Madinah.
Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.
Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.
Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.
Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Watergate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing.
Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem diktator terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.
Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihan Raya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar.
Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat.
Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil.
Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum. Semua yang berlaku adalah kemungkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.
PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah SAW mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati.
Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.
Rasulullah SAW mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Mekah selepas Islamnya Hamzah dan Umar RA bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa senjata.
Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya, menyebut peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: "Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya."
Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.
BERSIH adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.
PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. Umno sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia.
Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.
Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah SAW: "Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah."
Sabdanya lagi: "Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal."
PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemungkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.
Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar.
Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.
Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama Umno yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG merupakan presiden PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Monday, May 14, 2012
Pendidikan Percuma dari perspektif Islam
Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.
Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek sina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.
Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.
Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.
Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.
Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara membantu kalangan yang tidak berkemampuan.
Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.
Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:
Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.
Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.
Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat mendatangkan hasil yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.
Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.
Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.
Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.
Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Friday, March 2, 2012
Isu Kedah: Presiden PAS minta ahli bertenang
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Seluruh ahli PAS diminta bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.
"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.
"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.
Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.
Dalam pada itu, seluruh pimpinan PAS Pusat akan turun ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan mahabbah dengan pimpinan parti di negeri itu berhubung kemelut yang melanda.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi.
Mesyuarat kira-kira empat jam itu yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.
Pada sidang media semalam, Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.
Difahamkan sebelum ini, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.
Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.
Pada Selasa lalu, lapan daripada 10 Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dikatakan enggan menyambung jawatannya.
Friday, February 3, 2012
Hadi: Ramai layak ganti saya
3 Februari 2012
MUKADIMAH: Bukan senang bertemu bual dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau sibuk setiap hari. Sebagai tok guru yang sangat dihormati, beliau tidak putus-putus dikunjungi rakyat yang dahagakan ilmu agama dan sebagai Presiden Pas, Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Rhu Rendang, Abdul Hadi kerap mempengerusikan mesyuarat di pelbagai peringkat dan turun padang bagi mengatur strategi parti, apatah lagi dalam keadaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) boleh diadakan bila-bila masa.
Justeru, adalah sesuatu istimewa apabila Sinar Harian diberi peluang berwawancara dengan beliau baru-baru ini. Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan dan wartawan Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin dengan tokoh agama dan politik itu, yang berlangsung selama 1 ½ jam di kediaman beliau di sebelah Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Boleh Datuk Seri jelaskan kedudukan Pas setakat ini?
HADI: Culaan terperinci (dibuat oleh petugas Pas menunjukkan) jumlah pengundi muda berumur 40 tahun ke bawah, sangat besar. Ini adalah undi penentu; di Terengganu dan di mana-mana pun begitu.
Inilah barangkali menyebabkan Umno dan BN (Barisan Nasional) teragak-agak membuat pilihan raya dengan cepat. Jadi apabila saya dapat maklumat begini, ini menandakan cawangan kita dan Dun (Dewan Undangan Negeri) kita bekerja bersungguh-sungguh sehingga mereka mendapat maklumat terperinci.
Harapan Datuk Seri pada PRU13?
Hadi: Harapan kita untuk mencapai kemenangan memang tinggi. Untuk Terengganu kita sudah meneroka asas-asas mengisi kemenangan bermula daripada kita meminda Perlembagaan Negeri Terengganu kembali kepada asalnya, kepada Perlembagaan Itqan al Muluk Bitta’addilissuluk tahun 1911, yang menjadikan hukum Islam hukum tertinggi, di mana kedudukan ini sudah dihapuskan oleh penjajah British dan diteruskan zaman, setelah kita mencapai kemerdekaan sehinggalah kita menang tahun 1999.
Pas telah membuat satu pindaan, di antaranya meletakkan semula Islam hukum tertinggi bagi negeri Terengganu. Sudah tentulah selepas itu ada pengisian-pengisian. Alhamdulillah, pindaan kita ini tidak dirombak BN, cuma mereka tidak isi.
Itu terpulang kepada kita untuk mengisi. Yang kita menunggu, kepercayaan yang diberi oleh rakyat melalui keputusan pilihan raya.
Adakah Datuk Seri akan bertanding pada PRU13 nanti?
Hadi: Terpulang kepada parti sama ada di peringkat atas ataupun dari bawah. Memang saya terlalu lama menjadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung, di Dun sudah 30 tahun lebih, sejak 1982, Parlimen sudah belas-belas tahun; sudah lama.
Sebab itu saya memberi tawaran yang pertama, sama ada saya tidak bertanding semua, kerana dengan itu saya boleh bergerak ke seluruh negara. Yang kedua, bertanding satu sahaja. Itu harapan saya.
Kerusi Parlimen atau Dun?
Hadi: Terpulang kepada parti menilainya.
Adakah harapan Datuk Seri untuk memberi laluan kepada pengundi muda atau anak Datuk Seri sendiri?
Hadi: Anak saya biar dulu; biar jadi petugas parti. Pas ada dua tokoh besar; tok guru (Mursyidul Am) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri sendiri.
Sekiranya Datuk Seri undur diri, tidakkah kedudukan Pas akan terjejas?
Hadi: Saya melihat pemimpin-pemimpin pelapis, sama ada dalam kalangan yang sebaya dengan saya, ataupun kurang sikit umur daripada saya, ataupun dalam kalangan muda. Kita ada ramai pemimpin pelapis, sama ada yang sudah berpengalaman mengikuti parti sejak dari awal ataupun yang baru menyertai parti; daripada pelbagai lapisan. Saya secara kebetulan mengikuti parti sejak zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, generasi kedua, sampai kini. Itu penyertaan saya dan saya diberi amanah oleh kepimpinan dan mendapat kerusi Dun ketika saya terlalu muda. Masa menjadi Naib Presiden, usia saya dalam 30-an. Saya rasa terlalu lama sangat menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan tinggi dalam parti.
Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang dan laluan kepada pemimpin pelapis pula. Ramai yang layak untuk mengganti.
Andaian bahawa Pas, setelah memerintahTerengganu, tidak mampu menjalankan apa yang perlu dijalankan. Apa jawab Datuk Seri?
Hadi:Kita sudah bukti ada kemampuan untuk jalankan banyak perkara, contohnya sebaik sahaja kita menang tahun 1999 kita telah menghapuskan tol Jambatan Sultan Mahmud, kita membatalkan bayaran cukai pintu rumah kediaman. Rumah komersial sahaja yang dibayar cukai, rumah kediaman dianggap rukun hidup, tak dibayar cukai dan kita menghapuskan cukai-cukai peniaga kecil, kita hapuskan cukai nelayan kecil, kita hapus masa kita memerintah dan kita telah berjaya menyerahkan geran meneruskan hak milik tanah hampir 60,000 rakyat, termasuk peserta-peserta Felda yang tak ada geran sejak tahun 1960. Kita beri milik; lebih kurang 60,000 jumlahnya.
Di antaranya, kita telah mencapai satu kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan dari tempoh satu penggal daripada nombor dua mengikut tertib seluruh negara kepada nombor tiga (atau) nombor empat; turun dalam masa empat tahun. Kita meningkatkan prestasi pendidikan masa kita memerintah. Kita berjaya memperkasakan keputusan peperiksaan bagi pelajar seluruh negeri Terengganu. Bahkan dalam bidang sukan, kita berjaya juga meningkatkan bidang sukan di negeri Terengganu. Banyak pencapaian kita, walaupun kita telah dinafikan hak dengan merampas royalti petroleum dan lambatkan pencen geran. Sebagai contoh kempen pelabur yang datang dalam masa satu penggal itu, kita telah berjaya menarik pelaburan dalam negeri dengan jumlah yang besar, menarik pelaburan asing dengan jumlah yang besar juga, walaupun dikempen oleh Pusat. Mereka datang kerana tiada rasuah, tiada bayaran tol apabila mereka mahu melabur di Terengganu. Ini pencapaian kita.
Kekalahan kita pada 2004 bukan kerana kelemahan kerajaan tetapi kerana pelaksanaan pilihan raya yang tidak adil. Di antaranya, pertambahan pengundi sehingga beberapa peratus, penambahan pengundi yang luar biasa. Mengikut post-mortem yang kita buat untuk pilihan raya tahun 2004, ada kawasan yang kita menang dengan ada kawasan yang meningkat dua peratus undi naik, ada yang turun dua atau satu peratus sahaja.
Adapun Kelantan, kita menurun sehingga enam peratus, tetapi kita boleh bertahan di Kelantan tidak boleh bertahan di Terengganu. Itu kerana ada sesuatu yang dibuat melalui penipuan di mana kejatuhan kita bukan kerana rakyat, tetapi kerana penipuan pilihan raya.
Adakah cukai dibatalkan masih kekal sehingga sekarang?
Hadi: Tol (jambatan) masih dimansuhkan sehingga hari ini, cukai pintu diambil balik dan kita berjanji kalau kita memerintah kita nak hapuskan balik cukai pintu dan cukai peniaga kecil.
Berlaku penipuan pada PRU 2004? Apa maksudnya?
Hadi: Sebagai contoh, di Parlimen Kemaman, undi kita meningkat dua peratus pada PRU 2004 berbanding 1999. Kita dapati ditambah pengundi baru 17,000 pada 2004. Fikirlah bagaimana kita nak halang 17,000 pengundi. Pertambahan pengundi secara tiba-tiba dari luar dan ada penemuan pengundi acap kali. Seorang boleh mengundi beberapa kali. Kita ada penemuan.
Penemuan ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau macam mana?
Hadi:Itu saya serah pada Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat. Laporan pada saya, ada perjalanan bergantung pada sistem kehakiman, sistem pentadbiran di negara kita sendiri. Bahkan banyak penemuan penyelewengan masa kita memerintah negeri dan kita tunggu endorsement Tun Salleh Abbas. Exco berkenaan ada pasukan dia dan membuat penyiasatan. Banyak penemuan salah laku dalam pentadbiran di mana Kerajaan Negeri tiada kuasa. Ini di bawah kuasa polis, di bawah kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita tidak boleh. Ada pemindahan undi Kemaman di tempat lain di luar Kemaman; kawasan yang terdekat. Peningkatan berlaku di semua (tujuh) daerah, di semua (32 kawasan) Dun.
Bagaimana Pas mahu menangani dari segi peningkatan?
Hadi: Kita dapat penemuan undi yang tidak dikenali di kawasan masing-masing dan kita buat bantahan. Kita kena bayar RM50 untuk satu bantahan. Nak buat bantahan semua tidak mampu, banyak sangat. Melalui proses Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, proses undang-undang, proses pentadbiran, SPR pun ada, mahkamah pun ada. Walaupun tidak banyak, SPR ada melakukan tindakan.
Pendapat Datuk Seri mengenai kekuatan Pas di Terengganu sendiri; adakah tambah kerusi yang dimenangi?
Hadi: Kekuatan kita bertambah berdasarkan kepada sambutan pengundi-pengundi muda walaupun tidak dapat ditentukan jumlah mereka tetapi gelombang pengundi muda itu ada. Berdasarkan kepada beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh Pemuda Negeri di seluruh negeri.
Sasaran kita yang pertama, kerusi yang sudah kita menang. Kedua, kerusi yang pernah kita menang dan kita menang dengan majoriti yang tipis, ketiga kerusi yang pernah kita menang dengan majoriti besar. Itu tiga peringkat. Pada tahun 80-an kita dengar ucapan Datuk Seri
sungguh berapi-api, tetapi sekarang ini tidak begitu. Apakah sebab Datuk Seri kecewa dengan perkembangan dalam parti dan negara atau kerana sudah terlalu lama dan banyak pengalaman, jadi tidak payah cakap berapi pun orang akan dengar, macam mana?
Hadi: Kalau kita tengok gunung berapi pun, yang terlalu lama tetap mengeluarkan baja yang baik (senyum). Kadang-kadang isu berlainan. Mungkin pada masa itu isunya hangat. Bila isu itu dah kurang, lain pula isunya, nada pun lainlah.
Topik kegemaran Datuk Seri nampaknya hudud. Hari ini dalam ceramah pagi di Masjid Rusila pun isu hudud juga yang Datuk Seri huraikan?
Hadi: Hari ini barangkali kebetulan. Dulu memang; dalam tahun 50-an 60-an. Kalangan yang menyanggah parti-parti Islam di seluruh dunia jadikan isu hudud untuk menakut-nakutkan umat Islam yang jahil dan bukan Islam. Padahal hudud ini hanya barangkali berapa peratus daripada hukum Islam yang banyak itu. Itu yang ditonjol dan kita terpaksa jawab. Padahal banyak lagi isu; ekonomi dan kemasyarakatan, yang ada dalam Islam.
Dalam isu hak asasi manusia, Islam mendahului Barat, begitu juga dalam segala teori yang lain, terlalu banyak.
Sistem kehakiman Islam mendahului segala-galanya dan banyak Barat ambil daripada Islam, dijadikan rujukan dalam undang-undang Barat sendiri, undang-undang antarabangsa dan undang-undang di peringkat nasional.
Tetapi hudud ditonjolkan tanpa suatu penjelasan, tanpa hikmah. Bagaimana melaksanakannya dan cara melaksanakan, orang tidak tahu. Padahal hudud ini ada dalam enam perkara sahaja, yang menjadi sepakat alim ulama dalam hukum kesalahan jenayah. Beribu-ribu kes lagi tak masuk dalam hudud.
Kita terpaksalah jawab pada masa itu, bermula daripada bekas Presiden Pas, Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy, Datuk Asri Muda; kemudian pada tahun 60-an, dibawa isu kafir mengkafir. Saya terpaksa mewarisi isu kafir-mengkafir. Itulah ucapan berapi dalam tahun 70-an itu. Tahun 80-an isu debat dan sebagainya. Isu itu bawa pada muzakarah, akhirnya jadi perlahan. Hari ini tidak sebagaimana dulu. Ini satu perubahan.
Berkenaan solat Jumaat dua kariah di Terengganu?
Hadi: Solat Jumaat dua kariah bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia, termasuk di negara Arab sendiri. Ini berlaku kerana, yang pertama, kepadatan penduduk. Apabila penduduk padat, boleh buat sembahyang Jumaat di banyak tempat. Yang kedua, isu salah faham yang sepatutnya boleh diselesaikan, tapi tak boleh diselesaikan. Daripada mereka (orang Islam) tidak sembahyang, lebih baiklah mereka sembahyang. Pendekatan yang boleh diambil kemudian diuruskanlah selepas itu dengan cara yang baik. Masa kita (Pas) memerintah Terengganu dari 1999 ke 2004, kita telah berjaya sama ada membatalkan tempat dua Jumaat ini ataupun kita sahkan masjid yang tidak disahkan. Kita lihat kepada keadaan setempat. Ini yang berjaya kita buat.
Bagaimana dengan masjid yang tidak diiktiraf sebagai masjid?
Hadi: Itu bergantung pada keadaan setempat dan kita tidak boleh marah kepada penduduk setempat. Kadang-kadang ada imam-imam yang dilantik itu mencela hukum hudud. Ini bukan hukum Pas; ini hukum agama, kita tidak boleh nak kata yang bukan-bukan. Imam mengatakan kalau melaksanakan hudud, boleh potong tangan.
Cakap macam itu sedangkan dia imam masjid. Macam mana orang kampung nak buat imam pada orang macam itu? Ini bukan fasal Pas atau Umno, ini hukum Islam. Bukan masalah parti, ini kerana cakap. Tapi Alhamdulillah, cakap-cakap macam ini sudah reda sekarang.
Penggunaan dakwat dalam PRU13?
Hadi: Itu saya terima secara positif, tetapi bukan dakwat sahaja. Salah satu daripada yang penting adalah kebebasan media. Malam tadi saya tengok Internet, pilihan raya di Kuwait. Apa yang menarik, media elektronik beri tiap-tiap parti 10 minit untuk bersyarah. Bukan lama sangat. Tiap-tiap parti ada wakil. Saya masih ingat zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dulu; masa itu tiada TV, ada radio tahun 50-an dan 60-an; diberi 15 minit kalau tidak silap saya, kepada wakil-wakil parti untuk berucap melalui radio.
Di negara lebih maju lagi zaman sekarang, kita lihat diberi peluang dialog debat calon-calon presiden, calon Perdana Menteri boleh debat dalam TV. Wartawan boleh tanya, kalangan akademik boleh tanya, rakyat boleh tanya dan dia jawab, rakyat boleh nilai calon kepimpinan negara. Barulah pilihan raya itu adil.
Kalau dia jawab tak betul, rakyat hukum dia ataupun dia buat fitnah, rakyat hukum dia, melalui undang-undang boleh ambil tindakan, kita takut apa? Jadi kebebasan media sangat penting untuk pilihan raya yang adil.
Saya rasa kebebasan media lebih penting daripada celup dakwat. Tapi tak apalah, kita terimalah dakwat itu.
Datuk Seri rasa apa yang bebas sekarang ini?
Hadi: Saya rasa media yang cuba nak keluar daripada kepompong akan diluku kepalanya. Jadi terpaksa berhati-hatilah, termasuk Harakah lidah rasmi Pas sendiri. Dulu Harakah pernah dapat kebenaran diterbitkan satu kali seminggu, selepas itu Kerajaan beri dua kali seminggu; kemudian tarik balik menjadi satu kali seminggu; bagi dua kali seminggu balik. Kita menghadapi keadaan begitu. Itu surat khabar parti. Surat khabar yang tidak parti lagi berhati-hatilah.
Bagaimana dengan isu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada parti itu dan timbulkan tanggapan bahawa dalam Pas ada parasit?
Hadi: Kita menghadapi isu-isu dalam Pas sejak awal Pas ditubuhkan. Tahun 1951 Haji Ahmad Puad keluar parti, Pas diambil alih oleh Jaafar Alias. Tahun 50-an, 60-an pernah Setiausaha Agung Pas, Osman Abdullah dan beberapa orang lagi keluar parti pada masa itu. Kita boleh melangsungkan perjuangan. Tahun 69 tidak banyak, tahun 70, kita ambil tindakan kerana tidak bersetuju Pas menyertai BN pada masa itu. Ada yang tubuh parti Imam, parti Islah. Sama ada didisiplinkan diri sendiri atau parti mendisiplinkan diri dia.Bila dia tubuh parti lain secara automatik keluar partilah. Parti bertindak pecat dia. Kita masuk BN tahun 1970. Kita pecat Ustaz Abu Bakar Hamzah kerana dia buat kenyataan yang bercanggah dengan dasar dan polisi parti. Dia juga suka menulis.
Oleh sebab kenyataan dia di luar landasan parti, maka kita bebaskan dialah. Itu caranya. Kalau dia duduk dalam parti, dia kena ikut apa yang polisi partilah. Kalau dia tak nak ikut, baik keluar. Ustaz Abu Bakar buat rayuan dan kita terima balik dalam tahun 80-an.
Sejarah yang azab. Terlibat dalam kejatuhan Kerajaan Pas Terengganu tahun 1961. Almarhum Ustaz Ahmad Azam, dalam menghadapi undi tidak percaya, dia tidak keluar parti, tetapi dia berkecuali, tidak undi sokong kerajaan pada masa itu. Ada krisis dalaman dan Pas ambil tindakan disiplin, pecat dia. Tahun 1961, kita pecat dan Ustaz Ahmad Azam minta jadi ahli balik, kita terima balik pada tahun 80-an.
Peristiwa Hasan Ali ini bukan baru bagi kita kerana dia buat kenyataan sendiri, bertindak sendiri-sendiri. Dia kena ikutlah polisi parti. Kalau dia nak buat cara sendiri, lebih baiklah dia di luar. Dengan sebab itu, kita bebaskan beliau. Itu perkara biasa sahaja.
Kalau Datuk Hasan kembali?
Hadi: Itu terpulang kepada dia. Saya tidak boleh kata apa-apa. Itu kepunyaan Majlis Syura Ulama.
Yang lambat lagi PRU13 itu, pasal apa?
Hadi: Saya dengar macam-macam. Antaranya saya dengar juga bahawa penyelarasan gaji perkhidmatan awam. Yang disebut di sini, pegawai yang tinggi terlalu mahal naik, dia yang rendah naik RM8 pun ada. Naik RM8 buat apa?.
Naik RM8 dan RM30. Saya pergi Hospital Universiti bawa anak saya buat rawatan. Saya tanya, dia kakitangan beritahu yang pengarah, timbalan pengarah ribu-ribu ringgit naik gaji. Dia yang staf bawah ini naik RM8, sedangkan inilah jumlah lebih besar, lebih perlu. Ini perlu diselesaikan. Saya dengar masalah ini tidak selesai lagi sejak dulu. Yang dia kerja bukan tanggungjawab, dia nak menang pilihan raya. Patutnya sejak mula merdeka telah selesai. Dah lebih 50 tahun merdeka, tidak dapat nak tangani masalah.
