Showing posts with label Wan Nik Wan Yussof. Show all posts
Showing posts with label Wan Nik Wan Yussof. Show all posts

Tuesday, July 12, 2011

BERSIH 2.0 berjaya, polis dan media gagal

Bersih 2.0 bukan pengacau. Buktinya puluhan ribu rakyat berjaya berhimpun menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0. Rakyat tetap menyokong perhimpunan pada 9 Julai lalu meskipun dikacau oleh polis dan dikongkong oleh media perdana milik penguasa Umno-BN. Polis telah melaksana strategi perang pencegahan terhadap rakyat yang cintakan pemulihan demokrasi negara. Tangkapan awal dibuat, sekatan jalan ditingkatkan. Sehingga 59 laluan masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur. Karenah polis telah mendaruratkan Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Saturday seven nine

Hakikatnya ‘Saturday seven nine’ telah mencatat sejarah kebangkitan rakyat menzahirkan kecintaan untuk bermesra dengan amalan pilihan raya bersih. Setara pula berlaku penglibatan polis memerangi baju kuning dengan cara merampas dan menangkap serta mereman penjual baju kuning Bersih 2.0. Tindakan yang tidak bertamadun, unlawful dan bersifat rimba. Maka, ia lambang kegerunan penguasa Umno-BN kerana mengontrol kementerian polis supaya jadi sedemikian.

Polis sudah dijadikan perisai menyekat serangan baju kuning. Sekali gus menyerlahkan kekencangan denyutan nadi pemimpin Umno-BN, khususnya Datuk Seri Mohd Najib selaku presiden parti yang memilihnya sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia. Cukuplah. Layaknya Najib sebagai pemimpin Umno terakhir!

Pengongkong rakyat

Selain polis, media perdana milik penguasa Umno-BN sudah menjadi pengongkong minda rakyat. Minda rakyat dikepung, dikotakkan(boxed) melalui laporan fitnah, racau dan ampu melampau. Maka, media cetak dan elektronik, khususnya utusan, harian, peti gambar (televisyen) dan peti suara (radio)cukup cekap memfitnah, meracau dan mengampu sehingga Bersih 2.0 dicap sebagai pengacau dan kumpulan haram.

Kesannya, gabungan lebih 80 NGO yang sah bergabung ‘kecintaan’ untuk menuntut pihak kerajaan (Yang Di-pertuan Agong) melaksanakan lapan tuntutan sudah dianggap pertubuhan haram. Apakah haram, NGO (yang sah) bergabung cita rasa ke arah mencapai kebersihan pilihan raya?

Maka sukacita dinyatakan, kalimah ‘haram’ merupakan kalimah terdesak yang menggambarkan ketempangan demokrasi yang memenangkan pemimpin Umno-BN disebabkan undi pos, penipuan senarai pemilih, rasuah politik, penggunaan terlarang jentera kerajaan Pusat dan kempen media yang berat sebelah. Natijahnya kemenangan pilihan raya diraih Umno-BN selayaknya bertaraf ‘haram’ tetapi dihalalkan oleh kuasa dan kongkongan minda rakyat daripada memahami nilai-nilai kebersihan pilihan raya.

Sebagaimana diperjuangkan oleh Bersih 2.0 atas hasrat untuk demokrasi yang segak dan tampan, adalah ingin memperbaiki nilai pendemokrasian di Malaysia. Kesannya lebih daripada 65 peratus ahli perhimpunan Bersih 2.0 disertai anak muda Malaysia yang pelbagai kaum. Ia bukan 1Malaysia tetapi sepakat untuk demokrasi segak dan tampan!

Meskipun, rakyat dikongkong daripada menganggap Bersih 2.0 sebagai lambang penyatuan ke arah suatu amalan pilihan raya telus, bersih dan adil. Tidak kurang juga, polis dan media terus mengecap Bersih 2.0 sebagai pengacau, pertubuhan haram dan penyekat aktiviti ekonomi rakyat.

Natijahnya, tindakan polislah (menutup jalan, menangkap dan mengarah kedai-kedai ditutup pada hari 9 Julai) penyebab utama peniaga terkandas untuk masuk berniaga dan pembeli pula dihalang membeli belah. Sedangkan puluhan ribu (menurut Al-Jazeera, 100 ribu) ahli perhimpunan Bersih 2.0 yang hadir sepatutnya boleh berbelanja sakan dan mewah. Atas realiti ini, adakah boleh diterima akal apabila polis mengecap ahli perhimpunan sebagai pengacau kepada peniaga. Realitinya, tindakan polis yang menembak, menggempur dan menangkap ahli perhimpunan pencetus kekacauan sebenar.

Media asing lebih adil

Ketika melihat rakaman media asing Al-Jazeera tentang perhimpunan Bersih 2.0, ternyata kalimah mereka gunakan adalah realistik. Ahli perhimpunan disifatkan sebagai pembantah kepada perjalanan pilihan raya yang disaluti amalan tidak demokratik kerana undang-undang pilihan raya yang tidak adil. Lalu dianggapkan urusan perhimpunan sebagai saluran untuk menuntut Najib menggubal undang-undang pilihan raya yang adil.

Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-BN . Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau.

Fakta palsu

Di antara nilai terlampau media lokal yang dikontrol penguasa Umno-BN ialah menyiar hal Bersih 2.0 pada 9 Julai berlapikkan ulasan atas fakta palsu, bohong dan fitnah. Misalnya akhbar berita harian telah menggunakan ‘imej jadian’ dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel. Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0.

Media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan tela mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0. Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal. Lalu menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar lima/enam ribu sahaja. Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang?

Demikian pula, pembohongan paling tidak berperikemanusiaan turut disiarkan melalui kenyataan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berhubung pengakuan di sebalik kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad. Kematian itu dikatakan akibat sakit jantung, sedang ahli keluarganya mendakwa arwah tidak pernah mengidap sakit jantung. Apakah kepakaran polis telah mengambil alih kepakaran seorang doktor? Hanya media yang sewel seumpama media lokal tersebut sahaja yang mengiktiraf kenyataan polis sebagai benar!

Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau. Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip. Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil!

Rumusannya, Bersih 2.0 semestinya dianggap berjaya mengembalikan semangat dan kesedaran rakyat tentang demokrasi. Ia turut mengimbau sejarah Bersih pada 10 November 2007. Momentum itu harus disegarkan untuk meluncur laju menghadapi pilihan raya umum ke-13. Justeru rakyat yang masih keras hati kerana ingin kekalkan nilai kekotoran pilihan raya di Malaysia sewajarnya berubah. Berubahlah dan hayatilah misi pendemokrasian yang dibawa oleh Bersih 2.0. Pilihan raya bersih pastinya diberkati Allah SWT. Hanya individu yang beriman memiliki hati yang bersih. Hati yang bersih adalah kekuatan untuk Bersih 2.0 mencipta landskap politik baru pada pilihan raya umum ke-13.

Wan Nik Wan Yussof


Saturday, June 25, 2011

Bersih 2.0 – Umno mula bertindak kotor

Oleh: Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan telah mula bertindak kotor tatkala menyerang usaha perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Serangannya mengguhttp://www.malaysiandigest.com/images/newfolder/ahmad%20maslan.jpgnakan bahasa yang kesat terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Ahmad Maslan selaku peneraju perang saraf dan provokasi Umno ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada14 Julai 2011 lalu menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai “himpunan kotor” dan menyindirnya sebagai menjadi "titik hitam" kepada kerajaan Barisan Nasional yang dikuasai Umno.

Responsnya kepada soalan diajukan wartawan, beliau menganggap perhimpunan tersebut akan susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi. Malah dianggap menjejaskan industri pelancongan dan juga ancaman kepada ekonomi negara––langkah pre-amptive yang cuba memburukkan persepsi rakyaat terhadap perhimpunan Besih 2.0.

Paling tidak bermoral, ketua penerangan Umno itu turut menyeru (baca menghasut) pertubuhan bukan kerajaaan (NGO), termasuk Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) supaya mendapatkan khidmat peguam dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan itu. Apa pun beliau tidak membuat sebarang hujah rasional kenapa perlu NGO membuat laporan polis.

Sebenarnya, pendekatan Ahmad Maslan yang cuba menafikan perhimpunan Bersih 2.0 itu boleh dianggap pemikiran kotor seorang mewakili kelompok Umno yang berkuasa. Tanpa meneliti terlebih dulu maksud sebenar perhimpunan tersebut. Ia menggambarkan rasa gusar dan gementar hati pemimpin Umno yang berada dipaksi kuasa!

Matlamat Bersih

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO adalah bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara ke arah penambah baikan sistem pilihan raya di Malaysia.

Lapan perkara itu ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minimum 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor serta desakan menghentikan penyalahgunaan jentera dan wang kerajaan (oleh parti penguasa) semasa kempen pilihan raya.

Semua matlamat ini merupakan penegasan yang membela hak dan kebebasan rakyat daripada terus dimanipulasikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Justeru itu, apakah perhimpunan Bersih 2.0 itu sesuatu yang kotor!

Apa pun perhimpunan Bersih 2.0 dijangka bakal mencetus lebih meluas kesedaran rakyat untuk menolak sistem pilihan raya yang tempang, senget dan terdorong kepada autoritarian. Mudah-mudahan ia dapat membuka pintu hati rakyat untuk menolak sistem pilihan raya ikut selera kerajaan Barisan Nasional. Maksudnya, rakyat sejawarnya bangkit melakukan perubahan untuk menggantikan pilihan raya yang ikut kehendak penguasa (semata-mata ingin terus berkuasa) sehingga mencantas kewarasan rakyat berfikir ikut lunas pendemokrasian.

Hak berhimpun dizalimi

Lunas undang-undang negara membenar perhimpunan. Tidak timbul soal perhimpunan itu untuk tujuan apa sekali pun. Kerajaan Barisan Nasional yang dikemudikan oleh Umno tahu dan memahami Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberi hak eksklusif untuk rakyat berhimpun.

Namun, apabila pihak PAS dan Pakatan Rakyat mahu pun gabungan NGO seumpama Bersih akan mengadakan perhimpunan, maka secara cepat Umno bercakap ia sebagai perhimpunan haram. Ia sebagai pre-amptive agar polis bertindak tidak membenarkan sebarang perhimpunan anjuran pihak selain Umno-BN. Ini kerana kuasa polis telah disandarkan sebagai pihak yang betul atas alasan menjaga keselamatan awam.

Sesungguhnya cara pengurusan hak rakyat berhimpun sedemikian adalah suatu kezaliman penguasa (kerajaan Barisan Nasional dipimpin Umno) terhadap hak dan kebebasan bersuara untuk menzahirkan kehehendak sebenar. Meskipun rakyat (berhimpun) itu mewakili kelompok di luar kerajaan, NGO atau pun individu, maka aturan demokrasi dan sistem politik tamadun tetap membenarkan!

Justeru kerajaan Barisan Nasional ditunggangi Umno kini sudah bertindak bercanggah dengan sistem politik tamadun. Ia suatu tindakan yang harus ditentang oleh semua rakyat. Maka, perhimpunan Bersih 2.0 seharusnya menjadi gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak amalan politik tidak bertamadun, mungkar dan berdosa. Logiknya, pihak Umno-BN sudah mengamalkan politik tidak bertamadun kerana menyekat hak dan kebebasan bersuara kelompok rakyat. Maka di sisi fekah politik Islam, ia suatu kemungkaran dan setiap yang mungkar adalah berdosa. Kebalikannya, rakyat yang menyokong dan terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 nanti akan mendapat pahala kerana menentang amalan berdosa penguasa Umno-BN!

Perkasa menyokong dosa

Satu NGO yang menyahut hasutan Ahmad Maslan ialah Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), sebuah NGO totok Melayu pro-Umno. NGO ini dilihat terlalu mesra menentang setiap perkara yang pro-PAS-Pakatan Rakyat, walau pun dalam perkara mungkar (termasuk menghalang Bersih 2.0). Justeru dalam hal perhimpunan Bersih 2.0 ini pun Perkasa dilihat lebih lantang bersetuju dengan Umno yang menentang gelombang kebangkitan rakyat untuk meraih pahala menerusi perhimpunan Bersih 2.0.

Kenyataan tidak bertamadun Perkasa dikatakan akan turut menganjurkan perhimpunan balas untuk menyekat kehadiran rakyat meraih pahala di perhimpunan Bersih 2.0. Lalu berlapikkan ‘nilai agama’ Perkasa telah menyeru umat Islam dan umat Melayu agar hadir ke Majlis Pelancaran “menentang golongan anti Islam” yang diadakan pada 19 Jun di Padang Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur dengan motif ‘lawan perhimpuan Bersih 2.0’.

Atas asas ini, maka Perkasa sudah bertaraf serupa Umno yang menyanggah usaha membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia. Meskipun tindakan membersihkan pilihan raya satu usaha baik, tetapi bagi Perkasa serupa dengan Umno menganggap usaha membersih itu sebagai bercanggah dengan kehendak mereka. Ini kerana Perkasa dan Umno yang sering menang dengan sistem kotor tidak mungkin bersetuju dengan usaha membersih pilihan raya anjuran Bersih.

Apakah kemenangan pilihan raya berlapikkan sistem kotor adalah sesuatu yang mulia di sisi agama? Apakah puak yang menyokong pihak yang ingin mengekalkan kekotoran itu sebagai puak yang mulia? Logik agama ialah setiap kekotoran tetap kotor (najis). Justeru rezeki yang diperolehi menerusi cara kotor, ia tetap kotor.

Maka penentangan Umno dan disokong Perkasa terhadap perhimpunan Bersih 2.0 adalah berniat mengekalkan kekotoran. Oleh itu, tindakan Umno dan Perkasa itu merupakan kerja anti-bersih yang pro-kotor. Apakah ia bakal meraih pahala? Mungkinkah tindakan Perkasa yang selari dengan Umno itu adalah menyokong dosa atau pahala?

Seruan menjaya Bersih 2.0

Ayuh turun ke Kuala Lumpur menyertai Bersih 2.0 demi pahala untuk membersihkan sistem pilihan raya yang tidak bertamadun. Kehadiran secara aman adalah keutamaan demi membersihkan segala kekotoran yang sengaja dikekalkan oleh penguasa yang sentiasa menzalimi hak dan kebebasan rakyat.

Atas maksud tersebut, Pengerusi Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Haji Mohammad Sabu (sekarang Timbalan Presiden PAS) dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS (21 Mei 2011) menegaskan tujuan Bersih 2.0 adalah sama dengan tujuan perhimpunan Bersih 1.0 pada 10 November 2007, iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Harapannya, pihak PAS dapat menghantar sekurang-kurangnya 100 ribu ahli hadir pada perhimpunan tersebut. Ia sesuai dengan nama perhimpunan kali ini adalah 'Walk for Democracy' sebagai gelombang baru yang bakal mengubah senario politik pilihan raya umum ke-13 nanti.

Hal yang sama turut disuarakan oleh Dr Mohd Hatta Ramli (sekarang Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS) yang menaruh harapan kejayaan lapan matlamat Bersih 2.0 (bakal menjadi memorandum rakyat kepada Yang Dipertuan Agong) sebagai meneruskan tuntutan sebelum ini (penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih) yang langsung tidak dilayan oleh kerajaan. Justeru itu, sekurang-kurangnya 62 NGO yang bergabung dalam Bersih dijangka hadir.

Harapnya, Bersih 2.0 bakal membuat bayaran tunai kepada Umno dan Perkasa. Maka segala hutang piutang kezaliman dan kemungkaran serta dosa terhadap rakyat dalam sekian kali pilihan raya akan terlangsai. Ayuh bersama berdoa, semoga gelombang Bersih 2.0 akan berjaya dan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT.

Tuesday, April 5, 2011

Catatan perjumpaan MCA dan kerajaan Kelantan

Wan Nik Wan Yussof

Catatan perjumpaan Presiden MCA dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan berhubung pengharaman judi pada 3 April 2011, Jam 2.30 Petang di Bilik Mesyuarat MMK, Tingkat Bawah Blok 1, Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Demi survival politik di kalangan pengundi Cina, MCA sudah bersikap membetul diri sebagai usaha terdesak memaut sokongan pengundi Cina. Perjumpaan MCA dengan Kerajaan Negeri Kelantan adalah suatu engagement untuk memastikan langkah politik MCA tidak kelihatan sumbang.

Justeru pemimpin MCA telah menafikan kesemua sedutan ucapannya yang dilaporkan oleh surat khabar, khususnya berkaitan dakwaan Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan berjudi sebagai budaya Cina dan merupakan sebahagian kepercayaan orang Cina. Justeru, MCA sudah membangkang larangan judi di Kelantan.

Memahami realiti tersebut, berikut diperturunkan kandungan penting ucapan/kata-kata pemimpin MCA dan Kerajaan Negeri semasa perjumpaan antara parti dengan Kerajaan Negeri tersebut.

Majlis dipengerusikan oleh YB Dato' Tuan Haji Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar.

Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai YB Dato' Haji Anuar Tan Abdullah, YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, YB Mohd Zaki Ibrahim, YB Ustaz Abdullah Yaakob, YBhg. Dato’ Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi. Turut hadir Encik Wan Nik, Setiausaha Politik.

Perjumpaan tersebut dimulakan dengan penerangan oleh YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan. Ringkasan penerangan adalah sebagaimana berikut:

“Asas tindakan Kerajaan Negeri Kelantan bertindak mengharamkan premis perjudian dan penjualan tiket-tiket judi adalah mengikut Undang-undang kecil perniagaan dan perindustrian. Penjualan Big Sweep pula kononnya kami mengambil tindakan selepas 20 tahun PAS memerintah.

Perlu diperbetulkan, sejak PAS memerintah bermula 1990 apa sahaja judi diharamkan. Ia termasuklah loteri, kerana dalam tafsiran Kerajaan Negeri Kelantan, loteri itu adalah judi dan setiap judi itu haram. Walau pun loteri itu legal pada sisi Kerajaan Pusat, tapi pada Kerajaan Negeri ia illegal.

Begitu juga, Big Sweep adalah legal pada Kerajaan Pusat, namun dari segi by-law ia tidak boleh dikeluarkan lesen premis.

Mengenai langkah-langkah diambil oleh Kerajaan Negeri ke arah pengharaman judi, pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial. Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang ada local government, maka turut dipakai ialah pandangan dari sudut undang-undang mendapati ada hak untuk tidak membenar judi dijual. Bermaksud tidak dibenar mana-mana tempat menjual tiket atau apa sahaja unsur judi. Ia adalah hak bagi Kerajaan Negeri.

Mungkin dalam aspek ini ada pandangan berbeza, apa pun forum hari ini bukan untuk hujjah.

Forum ini hanya untuk Kerajaan Negeri memberi penjelasan, bukan untuk mengadilinya kerana tidak ada hakim di sini. Perbincangan di sini tidak akan selesai, melainkan selepas ini ke mahkamah untuk muktamad.

Berhubung dengan dakwaan mengatakan MPKB (maksudnya penguatkuasaan MPKBBRI) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis. Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah.

Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan. Kemudian saman dikeluarkan.

Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik.

Berbangkit pula, mengenai orang yang menjual dalam premis dan luar premis – kedua-duanya boleh disaman jika perkara yang dijual tidak membayar lesen atau tiada dalam lesen. Seperti mana lesen menjual kedai buku, tetapi menjual tiket judi, maka ia boleh disaman. Tetapi orang membeli tidak boleh disaman. Justeru isu ini bukan politik, tetapi telah dipolitikkan.

Perlu sedar, Kerajaan Kelantan ada kedaulatannya, dan memberi kebebasan beragama dan tidak diskriminasi dari segi agama dan kaum.”

Majlis kemudian memberi peluang Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyampaikan kata-kata:

“Bersetuju untuk tidak dipolitikkan isu judi. Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya.

Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi.

Bersetuju, forum ini bukan kamar mahkamah untuk pertahan mana yang betul atau salah. Apa yang penting, MCA ada permintaan untuk sampaikan hak/kebebasan untuk orang bukan Islam boleh membeli judi/loteri.

Dari segi by-law, sepatutnya (apa yang Kelantan amal) tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka kerajaan Kelantan tak seharusnya menghakis hak orang bukan Islam.

Semua kenyataan yang dirujuk (dalam surat khabar) sebagai menghina Islam, sebenarnya 'out of context' dan ia adalah dipetik dari buku 'Malaysia and the Club of Doom'. Ia kerana surat khabar sudah salah lapor.

Diikuti dengan kata-kata YB Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA:

“Tujuan MCA ialah untuk perbetul persepsi bahawa MCA macam menjuarai judi. Faktanya, MCA ingin menuntut hak asasi dan terpanggil untuk sampaikan mesej ini.

Apa sahaja dasar (Kerajaan Negeri), by-law perlu dilihat. Ini pun yang diamalkan juga oleh kerajaan Negeri di bawah BN. Kalau ada yang tidak betul, perlu diperbetulkan.

MCA menghormatinya (dasar), bila ia melibatkan hak orang bukan Islam. Apa yang menjadi tujuan ialah hak asasi perlu diperbetulkan.”

Dato’ Anuar Tan kemudian mencelah:

“Minta penjelasan mengenai kenyataan DS Chua dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang didapati mengaitkan judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina”

Penjelasan DS Chua:

“Apa pun sumber dari surat khabar bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar”

Kemudian Dr. Wee Ka Siong mencelah:

“MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam”

Pihak MCA diakhiri dengan kata-kata Datuk Ti Lian Ker:

“Loteri ditafsirkan sebagai judi. Perlu lesen untuk dijual. Soalnya, adakah Kerajaan Kelantan akan buat perkara di luar konteks perlembagaan?

Mengungkitkan soal consensus 1990 untuk mengharam judi. Perlu juga diambil consensus terkini.”

DS Chua mencelah:

“Bagi MCA, hak beli tiket loteri itu adalah hak orang bukan Islam, walaupun judi tidak digalakkan.”

Penjelasan Dato’ Takiyuddin:

“Ada pandangan, agar peraturan tutup aurat terpakai untuk judi, iaitu boleh kepada orang bukan Islam. Ini tidak sama. Begitu juga peraturan larangan arak diboleh untuk orang bukan Islam.

Apa pun ini bukan forumnya untuk bincang peraturan ini, kerana ia ada perbezaannya dengan larang judi.”

Majlis berkahir kira-kira jam 3.30 peetang dengan jamuan ringan dan ramah mesra.

Catatan hujung:

Berikutan perjumpaan semalam (3 April 2011), pihak MCA pula menyatakan kepada media, bercadang membawa isu hak bukan Islam membeli tiket loteri ke mahkamah. Alasannya, kerana tindakan kerajaan Negeri Kelantan dianggap menghakis kebebasan dan hak prang bukan Islam.

Apakah MCA tiada motif politik di dalam perkara ini? Perkara yang difahami, MCA sudah mencari political mileage atas perjumpaan dengan Kerajaan Negeri. Bagi Kerajaan Negeri sudah dipastikan sedia berdepan dengan kes mahkamah, demi kedaulatan kuasa rakyat berteraskan kesucian Islam yang merahmati kehidupan umat.