Tuesday, March 1, 2011

Iran dakwa logo Olimpik London bersifat perkauman


Logo Olimpik London yang menunjukkan angka 2012 tetapi ditafsirkan sebagai ZION oleh Iran.

LONDON - Iran mengancam untuk menarik diri daripada Sukan Olimpik 2012 kerana mendakwa logo temasya sukan itu bersifat perkauman.

Ketua sukan negara itu berkata, lambang logo Olimpik 2012 jelas menunjukkan ejaan 'Zion' dan percaya lain-lain negara Islam mungkin enggan menghantar atlet mereka ke kejohanan tahun depan, jika logo berkenaan tidak diubah.

Logo yang berbentuk bergerigi itu, direka pelbagai warna yang menelan kos 400,000 pound dan mempamerkan empat angka yang iaitu simbol 2012.

Logo tersebut akan tertera pada 10,000 pelbagai barangan berbeza dalam bentuk cendera hati dan dijangka mampu mendatangkan pulangan 80 juta pound sempena Olimpik tahun depan.

Ketua Jawatankuasa Olimpik Iran, Mohammad Aliabadi menuduh penganjur kejohanan tahun depan bersifat perkauman.

Lantas dia menulis kenyataan mengejutkan kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge.

Katanya: ''Agak malang kita akan menyaksikan wajah-wajah pada Olimpik akan datang berdepan cabaran serius kerana ada orang yang mempunyai semangat perkauman.

"Penggunaan perkataan Zion pada logo Olimpik 2012 adalah tindakan yang menjijikkan,'.

Dia juga mendakwa Olimpik tahun depan mungkin 'terjejas' akibat penyertaan beberapa negara terutama seperti Iran yang enggan mematuhi prinsip dan nilai sukan tersebut.

Dia juga menyebut bahawa rekaan logo tersebut mungkin memberi kesan kemusnahan terhadap masa depan sukan.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Iran menghantar 55 atlet tetapi hanya membawa pulang satu pingat emas dalam acara taekwondo dan gangsa dalam acara gusti. - Agensi

No comments:

Post a Comment