Monday, March 14, 2011

Sewa Tapak gerai Cuma Sehari RM300 sahaja bukan RM1500

Kadar sewa berpatutan

ALOR SETAR - Keluhan beberapa peniaga kecil mendakwa sewa tapak di karnival Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera mahal tidak berasas.

Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, Abd Ghani Ahmad berkata, pihaknya memaklumkan lebih awal mengenai kadar sewa tapak karnival supaya peniaga tidak dibebani dengan kadar yang ditetapkan.

“Memang ada rungutan daripada beberapa peniaga kecil mengenai sewa tapak namun hanya melibatkan segelintir sahaja, akhirnya mereka membuat keputusan untuk tidak menyertai karnival. Ingin saya tegaskan, sewa tapak karnival adalah dua kali ganda lebih murah berbanding kadar yang dikenakan oleh pihak swasta,” katanya.

Menurutnya, bagi penyertaan lima hari bermula 10 hingga 14 Mac, bayaran yang dikenakan ialah RM1,500, bermakna peniaga hanya perlu membayar sewa RM300 sehari.

“Sebelum kadar ditetapkan, kita ambil maklum balas daripada peniaga dan kadar yang dikenakan dipersetujui ramai. Daripada pengiraan kasar, setiap peniaga mampu meraih keuntungan mencecah RM1,000 sehari,” katanya.

Abd Ghani berkata, diharap dengan penjelasan ini, tidak ada lagi pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan penganjuran Kedah Sejahtera dengan pelbagai tohmahan kerana karnival ini adalah untuk rakyat.

“Ini adalah harga pasaran dan semasa yang berpatutan. Terdapat juga peniaga yang menyewa tiga tapak sekali gus dan ianya tidak pula membebankan mereka,” katanya.

Pihaknya berharap semua pihak berpuas hati dengan penganjuran ini dan menegaskan program Kerajaan Negeri ini bukannya bermotifkan keuntungan, sebaliknya mahu meraikan rakyat dengan memberi mereka peluang berniaga.

No comments:

Post a Comment