Sunday, October 23, 2011

PAS yakin peralihan kuasa akan berlaku


KOTA SARANG SEMUT - Pas yakin peralihan kuasa boleh berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), selepas negara menyaksikan kebangkitan parti Islam sejak kebelakangan ini, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Beliau mengingatkan supaya mempertahankan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) dan berusaha untuk ambil alih Putrajaya.

“Ini agenda utama kita dalam PRU akan datang,” katanya ketika berucap di hadapan 5000 penyokong Pas yang hadir pada ceramah sambutan 60 tahun Pas peringkat negeri Kedah, malam semalam.

Mohamad berkata, fenomena baru dalam politik Malaysia yang melihat gabungan Pas-DAP tidak disenangi ramai, oleh itu pihaknya mahu kedua-dua pemimpin bergerak dengan pemikiran baru tanpa meninggalkan dasar asal perjuangan parti.

“Kita juga sedang menterjemah kandungan Buku Jingga di semua negeri PR. Ada yang kita puas hati dan ada sebaliknya. Namun saya lihat penerimaan rakyat sedang meningkat, sehingga Perdana Menteri cuba menjawab buku itu dalam belanjawan 2012,” katanya.

Menurutnya, PR kini mahu mengikis pemikiran rakyat yang sudah lama disogok dengan prinsip, konon hanya Umno mampu memerintah dan menyejahterakan Melayu.

“Mungkin rakyat belum nampak kebolehan kita untuk ganti Umno. Saya mahu kikis pemikiran itu, dan beri jaminan jika Umno kalah, orang Melayu masih boleh teruskan kehidupan macam biasa,” katanya.

Mohamad turut mengingatkan Umno bahawa isu pembangunan tidak lagi sesuai dijadikan bahan kempen parti itu untuk mengembalikan sokongan rakyat.

“Pada PRU akan datang, berdasarkan analisis saya, BN bergantung kepada empat sumber, iaitu undi orang Melayu di luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk kekalkan kuasa,” katanya.

Malah, katanya, BN masih memainkan isu 3R (racial, religion, royal) untuk mendapatkan sokongan rakyat, dan pada masa sama membuat tuduhan liar terhadap PR konon sering memperlekeh isu membabitkan perkauman, agama dan kesetiaan raja.

Mohamad berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kesemua negeri di bawah PR belum memutuskan sama ada akan membubarkan Dewan Undangan Negeri atau tidak.

“Saya tahu ramai yang bertanya adakah pilihan raya seperti itu akan berulang kali ini. Itu kita tunggu dahulu. Kita pernah buat pilihan raya berasingan dan keputusan berpihak kepada kita, apabila menang di dua buah negeri,” katanya.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment