Sunday, October 23, 2011

Tidak jejas hubungan: MB

ALOR SETAR - Masalah pertindihan kerusi akibat tuntutan kerusi yang dikemukakan DAP terhadap PKR tidak akan menjejaskan hubungan baik antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 sudah dilakukan dan memang wujud pertindihan namun ia masih di peringkat perbincangan.

Menurutnya, parti lain turut hadapi masalah pembahagian kerusi, dan Dap Kedah menuntut kerusi yang disandang oleh PKR namun ia terpulang kepada rundingan di antara kedua-dua parti namun sebagai penyelaras, Pas mahu penyelesaian yang terbaik.

“Rundingan melibatkan ketiga-tiga pihak dan dipengerusikan Pas, jika masing-masing dapat memberikan alasan yang boleh meyakinkan rakan-rakan lain dalam PR, tuntutan itu boleh dipertimbangkan.

“Tetapi kita tidak fikir permintaan (tuntutan kerusi oleh Dap) akan menjadi satu masalah pula kepada PR di negeri ini, dan jika tiada apa-apa, kita lebih selesa dengan keadaan sekarang ,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, semalam.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, Pas tidak meletakkan syarat atau kuota terhadap calon yang bakal mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, tidak kira sama ada calon terbabit muda atau tua, individu berkenaan akan dipilih mewakili parti jika dia mampu memberi kemenangan kepada parti dalam pilihan raya umum kelak.

“Tidak kira muda atau tua, kalau (calon itu) boleh menang, kita bagi kerana yang penting dalam pilihan raya ialah kemenangan, kalau usia 21 tahun sekalipun tetapi berpotensi untuk menang, kita akan calonkan.

“Kita lihat keadaan persekitaran, bagaimana kehendak rakyat sebab rakyat yang akan mengundi dan menilai siapa (bakal) pemimpin mereka,” katanya.

Azizan berkata, penilaian akan di buat di semua peringkat untuk mengenal pasti calon yang dikehendaki rakyat sebelum disenaraikan untuk pemilihan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pertindihan tuntutan itu berlaku apabila DAP meminta untuk bertanding kerusi yang ditandingi PKR (pada 2008), dalam pilihan raya umum akan datang.

Difahamkan, DAP yang bertanding dua kerusi iaitu Dun Kota Darul Aman dan Derga pada pilihan raya umum 2008, menuntut tambahan empat kerusi Dun iaitu Gurun, Bakar Arang, Lunas dan Bakar Bata serta dua kerusi Parlimen iaitu Alor Setar dan Padang Serai. [Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment