SUNGAI PETANI - Masalah status pemilikan Projek Perumahan Rakyat 1 Paya Nahu yang dikatakan bersifat sementara akan dibawa ke pengetahuan menteri yang bertanggungjawab sebagai usaha mencari jalan penyelesaian.
Ahli Parlimen Sungai Petani, YB. Dato' Johari Abdul berkata, pihaknya akan membawa isu itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato' Seri Chor Chee Heung untuk berbincang.
Menurutnya, isu pemilikan rumah transit berkenaan menjadi tanda tanya setelah penduduk ditempatkan di flat terbabit lebih dari 15 tahun.
“Kita mahukan penyelesaian terbaik diperoleh setelah penduduk yang berasal dari enam kampung setinggan sekitar bandar ini dipindahkan ke sini, namun sehingga lebih 15 tahun, mereka masih lagi menetap dalam status sementara,” ujarnya.
Johari memberitahu, sampai bila lagi mereka harus tunggu dan ke mana pula mereka akan dipindahkan.
Beliau menjelaskan, penempatan sementara diberikan setelah enam kampung termasuk Kampung Raja, Kampung Atap, Kampung Tebu, Kampung Selut/Bahagia, Kampung Pulau Hawaii dan penempatan belakang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Petani dirobohkan bagi tujuan pembangunan.
“Namun, dah lebih 15 tahun mereka di sini, adakah status mereka masih sementara, ada antaranya sudah berkeluarga tetapi mereka masih tetap meneruskan hidup di sini tanpa mengetahui status penempatan,” katanya.
![]() | ![]() |
Johari berkata, berdasarkan luahan penduduk, mereka juga mahukan hak milik diberikan setelah penempatan asal dirobohkan lebih 15 tahun lalu tetapi kini hala tuju mereka masih menjadi teka-teki.
“Penduduk bertanya sampai bila mereka akan menetap sementara di sini dan bagaimana pula nasib anak-anak setelah ibu bapa meninggal dunia,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun memberi cadangan supaya kerajaan menjual rumah terbabit menggunakan harga pasaran terdahulu dengan tawaran diskaun 40 peratus sebagai mengurangkan beban yang ditanggung.
“Kebanyakan mereka adalah golongan berpendapatan rendah, warga emas dan tidak mampu milik jadi cadangan diskaun adalah sesuai,” jelasnya.
Menurutnya, kira-kira 640 keluarga yang mendiami rumah flat di lapan blok itu kebanyakannya sudah berkeluarga dan ada yang tinggal sehingga tiga generasi.
Disebabkan bersifat sementara, kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih saliran dan kemudahan awam tidak diberi perhatian mana-mana pihak sehinggakan penduduk terpaksa menanggung kesulitan sekiranya ditimpa masalah.
No comments:
Post a Comment