Saturday, March 10, 2012

Usahawan boleh pohon pinjaman dari PKNK

ALOR SETAR – Mana-mana usahawan Bumiputera di negeri ini boleh membuat pinjaman daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dalam usaha memajukan bidang perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, YB. Abdul Ghani Ahmad berkata, pinjaman itu diuruskan oleh PKNK iaitu sebuah organisasi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memajukan sektor ekonomi negeri.

“Pinjaman ini hanya diberikan kepada usahawan yang gagal mendapat pinjaman atau tidak cukup syarat untuk membuat pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan seperti SME Bank, Bank Pembangunan atau geran daripada kementerian berkaitan,” ujarnya.

Abdul Ghani memberitahu, kadar pinjaman tersebut antara RM5,000 hingga RM50,000.

Mulai tahun 2011, katanya, PKNK telah memperuntukkan bantuan tersebut sebanyak RM 3 juta manakala pada tahun 2010 (RM2 juta), 2009 (RM1.7 juta) dan 2008 (RM500,000).

Dalam hal ini, jelasnya, inisiatif telah diambil oleh PKNK untuk membantu usahawan atau bakal usahawan yang ingin menceburi perniagaan tetapi tiada sumber kewangan iaitu modal untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, usahawan yang berjaya dalam pinjaman ini hendaklah menggunakan pinjaman tersebut khusus untuk perniagaan sahaja dan tidak seharusnya menggunakan untuk tujuan yang lain seperti melangsaikan pinjaman, membeli kenderaan, mengubahsuai premis perniagaan atau sebagainya.

Tambahnya, ini adalah penting untuk mendisiplinkan diri dalam membayar kembali pijaman tersebut kerana niat untuk meminjam biarlah selari dengan niat untuk memajukan perniagaan.

“Usahawan juga dingatkan agar jangan lupa mengeluarkan zakat perniagaan kerana ini akan mendatangkan barakah dalam perniagaan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment