ALOR SETAR - Sebanyak 19 jabatan/agensi telah dipilih oleh Jabatan Audit Negara Negeri Kedah untuk dinilai di bawah Program Indeks Akauntabiliti bagi tahun ini.Pegawai Kewangan Negeri, YB. Dato’ Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali berkata, ketua-ketua jabatan/agensi perlu mengambil tahu apakah isu-isu yang telah dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara dan pasukan naziran Bendahari Negeri termasuklah saranan-saranannya.
“Pastikan sembilan kawalan dalam pengurusan kewangan ini dilaksanakan sebaik-baiknya dengan memfokuskan terhadap tindakan-tindakan pembetulan yang ditetapkan deadline dan mengenal pasti dengan jelas siapa yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Index Akauntabiliti 2011 di Hotel Holiday Villa, di sini.
Menurutnya, indeks akauntabiliti ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2007 dan ia mengukur pencapaian jabatan/agensi Kerajaan Negeri dari segi pematuhan kepada dasar, peraturan dan prosedur kewangan.
“Taraf pematuhan yang tinggi bermakna pengurusan kewangan jabatan/agensi itu cemerlang (empat bintang) dan sekiranya memperolehi satu bintang bermakna pengurusan kewangannya tidak memuaskan,” katanya.
Beliau memberitahu, penilaian pada tujuan berkenaan adalah kerana markah diberi terhadap indikator-indikator yang ditetapkan bagi sesuatu aspek atau kawalan dalam pengurusan kewangan itu.
“Saya percaya taklimat yang diadakan pada kali ini akan dapat membantu kita membuat penambahbaikan agar prestasi pengurusan kewangan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Dato’ Mohd Puat menjelaskan, pencapaian empat bintang dalam Indeks Akauntabiliti bagi jabatan/agensi yang dipilih pada tahun ini adalah sesuatu yang bukan mustahil dan ianya boleh dicapai.
“Bagi tahun 2011, sebanyak tiga jabatan/agensi utama iaitu Perbendaharaan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK) telah berjaya mencapai empat bintang,” tambahnya.
Beliau berkata, majlis penyampaian sijil akan diadakan pada 2 Oktober 2012 di Kuantan, Pahang oleh Ketua Audit Negara, YB. Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang.
Pencapaian empat bintang, katanya, adalah juga merupakan manifestasi bahawa akauntabiliti dan integriti organisasi adalah pada tahap cemerlang.
“Kita harus sedar bahawa dasar-dasar awam yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada hakikatnya mempunyai niat yang murni iaitu untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya.
Namun, ujarnya, jika program dan aktiviti bagi menterjemahkan dasar-dasar tersebut tidak dirancang dengan teliti, tidak dilaksanakan dengan cekap dan tidak dipantau dengan berkesan, maka akan timbul masalah ‘implementation gap’ yang boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam serta Kerajaan pada keseluruhannya.
“Kita selaku ketua-ketua jabatan dan agensi haruslah sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu yang dibangkitkan di dalam Laporan Audit serta mengambil iktibar berlandaskan prinsip value for money dan value management dalam pengurusan kewangan jabatan/agensi masing-masing,” katanya.
Tambahnya, sebagai penjawat awam perlulah komited dan teliti serta memastikan system kawalan dalamannya berfungsi seperti yang diarahkan oleh Kerajaan menerusi arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
“Seterusnya ketelitian atau diligence juga perlu agar gejala terlepas pandang tidak akan berlaku jika kita teliti dalam kerja kita di mana sikap rajin dan teliti adalah nilai-nilai integriti yang mesti ada pada semua orang yang menguruskan kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata, faktor integriti dalam pengurusan kewangan juga perlu bagi memastikan sistem kawalan dalaman dan sistem check dan balance sentiasa diamalkan.
“Saya kira integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik seharusnya sentiasa tersemat di hati sanubari kita semua yang ingin melihat persepsi Kerajaan, masyarakat, media dan lain-lain terhadap kita sentiasa positif dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan memberi manfaat kepada negeri dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Dato’ Mohd Puat memberitahu, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kedah telah bersetuju memberi penganugerahan kepada mana-mana jabatan/agensi yang mencapai empat bintang dalam IA pada setiap tahun mulai tahun 2011.
Tambahnya, ia sebagai tanda penghargaan dan usaha mencemerlangkan pengurusan kewangan di jabatan/agensi masing-masing dan penganugerahan bernilai RM10,000 bagi setiap jabatan/agensi yang berjaya akan menjadi perangsang dalam usaha memantapkan pengurusan kewangan yang sedia ada.
“Pada kali ini, beberapa jabatan/agensi menerima anugerah tersebut kerana telah mencapai tahap kecemerlangan dalam penarafan Indeks Akauntabiliti bagi tahun 2011 dalam pengurusan kewangan masing-masing,” jelasnya.
Menurutnya, ini adalah merupakan satu pencapaian yang amat menggalakkan dan harus dipertingkatkan, sekaligus menolak persepsi umum bahawa pengurusan kewangan Kerajaan adalah kurang cekap.
“Ia juga menggambarkan dan mencerminkan keupayaan sektor awam untuk berubah serta menambah baik pencapaian mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment