Pencuri maut dibelasah pelajar
Mangsa maut dibelasah sekumpulan pelajar asrama di sebuah sekolah agama persendirian selepas pemeriksaan menemui beberapa barang dipercayai dicuri mangsa.
 
ALOR SETAR-Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah agama persendirian yang ditahan reman hingga lima September lalu berhubung kes memukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian dibebas dengan jaminan polis selama sebulan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, setakat ini mereka dijamin polis dan belum dituduh kerana pihak pendakwaan masih dalam proses melengkapkan siasatan dalam tempoh berkenaan.

Sebelum ini pelajar berkenaan ditahan reman selama tujuh hari mulai 30 Ogos lalu sehingga 5 September untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Pada 30 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipukul sekumpulan pelajar apabila menyedari mangsa memecah masuk asrama sebuah sekolah agama persendirian di sini awal pagi hari sebelumnya.


Laporan itu menyebut, berlaku sedikit pertikaman lidah sehingga mangsa dibelasah kumpulan pelajar berkenaan menyebabkan mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan.

Adzaman berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman termasuk patah tulang rusuk kiri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sekitar jam 2 petang.

“Berdasarkan rekod lampau, mangsa mempuyai empat kes jenayah pada tahun 2006 dengan satu kes dalam kediaman serta tidak dapat memberi keterangan,” katanya.