Monday, February 14, 2011

BUKIT RAYA – Sup belut makin digemari

BUKIT RAYA – Sepasang suami isteri di Kampung Kubang Jelai dekat sini sanggup berulang-alik selama dua minggu sekali ke pekan semata-mata untuk mendapatkan bekalan belut bagi urusan peniagaan restorannya.

Mohd Subli Ismail, 47, atau lebih dikenali sebagai Bang Mat Sup Belut oleh penduduk sekitar dan pelanggan bersama isterinya Roziah Awang, 42, membuka perniagaan yang menghidangkan belut dari 2001 sehingga kini kerana melihat sambutan terhadap makanan itu terutamanya masakan sup begitu mendapat sambutan.

Menurut Bang Mat, dia bersama isteri membuka restoran kerana mengetahui bahawa haiwan itu mempunyai banyak khasiat yang dikatakan dapat merawat kulit dan kecederaan serta beberapa penyakit lain.

“Saya membuka perniagaan menjual masakan belut terutamanya yang paling digemari pelanggan adalah sup belut yang dicampuri pelbagai herba bukan sahaja untuk mengenyangkan malah dapat merawat penyakit.

“Selepas membuka perniagaan selama tiga tahun, namun disebabkan ketiadaan bekalan belut untuk dimasak menyebabkan saya terpaksa menutup kedai itu sekian lama dan kini sudah dua bulan kedai ini kembali beroperasi,” katanya.

Menurutnya, dia alami kerugian ketika restorannya itu terpaksa ditutup.

“Saya rasakan perniagaan ini jarang sekali di temui terutamanya di sekitar negeri ini kerana ada segelintir orang geli untuk mencuba makanan ini, namun masakan yang disediakan saya ini adalah dicampuri pelbagai herba yang akan menyelerakan lagi rasa belut itu.

“Restoran ini kembali operasi setelah saya mendapat pembekal belut daripada Perak sehinggakan saya terpaksa berulang-alik hampir dua minggu sekali untuk mendapatkan bekalan itu,” katanya.

Bang Mat berkata, dia akan membeli lebih 40 kilogram belut setiap kali ke pekan untuk mendapatkan bekalan itu dan kadangkala menimbulkan masalah apabila ia tidak dapat diperoleh.

“Dahulunya ketika berhijrah ke merata tempat saya melakukan rawatan urat saraf secara tradisional.

“Rawatan tradisional yang dilakukan saya itu menyebabkan saya mengetahui bahawa belut mempunyai khasiat tersendiri,” katanya.

Menurutnya, pelbagai masakan belut yang disediakan di restoran itu seperti tomyam belut, paprika belut, belut goreng kunyit, sup belut dan pelbagai lagi masakan lain yang berasaskan belut.

“Saya menjual masakan dengan harga RM5 semangkuk namun harga itu adalah cukup murah memandangkan harga belut adalah terlalu tinggi kerana sukar diperoleh.

“Bagi mengelakkan perniagaan ini ditutup akibat ketiadaan belut menyebabkan saya merancang ingin menternak belut sendiri pada masa akan datang,” katanya.

1 comment: