
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, gerak kerja amal masih belum menjadi darah daging dalam kalangan wanita Melayu di negara ini dan hanya dilakukan oleh sesetengah individu atau korporat.
Menurutnya, setiap NGO yang ditubuhkan harus mempunyai misi dan matlamat masing-masing tetapi perlu secara terperinci dan berdokumentasi dalam mengagihkan setiap sumbangan yang diterima.
“Sememangnya NGO membuat kerja, tetapi tidak nampak hasil disebabkan tidak ada rekod jelas yang dicatatkan, seharusnya kena ada salinan sebagai bukti untuk meyakinkan lagi setiap individu atau korporat untuk menyumbang pada masa hadapan.
“Kadang-kadang disebabkan oleh gerak kerja yang tidak jelas akhirnya akan menyukarkan sesebuah badan bukan kerajaan itu untuk mencari dana atau mengutip derma untuk membantu golongan sasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang sempena meraikan NGO yang baru ditubuhkan, Pertubuhan Wanita Amal Pokok Sena (Pawana) di Langgar, dekat sini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar Kedah, Toh Puan Faekah Hamzah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ahmad Izzat Mohd Syauki dan Pengerusi Pawana, Faridah Jaafar.
Siti Mariah berkata, selain pandai mengurus sumbangan yang diterima dan merekodkan setiap nama penerima, NGO juga perlu telus dalam soal kebajikan.
Menurutnya, ketika turun padang dan melihat keadaan golongan sasaran jangan tanya golongan berkenaan menyokong parti mana tetapi menghulurkan bantuan sekiranya memerlukan.
“Inilah tugas sebenar NGO yang menjalankan tugas kebajikan, paling penting adalah membuat kerja tanpa mengharapkan sebarang pulangan dan akhirnya golongan tertentu dengan sendiri akan menilai kerja dilakukan,” katanya.
Terdahulu, Siti Mariah turut menasihatkan Pawana agar dapat mengerakkan kerja amal ini dengan sempurna.
Beliau percaya badan berkenaan mampu melakukannya dan mendapat sokongan daripada masyarakat sekiranya bekerja dengan telus.
Menurutnya, beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak terus menghukum sesetengah golongan sasaran seperti warga miskin, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang sentiasa mengharap dan memohon bantuan.
No comments:
Post a Comment