Sunday, February 13, 2011

Ada manusia dok curi BALAK di Pulau Langkawi..!!

Exco dedah hutan sekitar Langkawi makin ‘cerah’

http://www.hotelreservation.com.my/hotel/langkawi/images/tanjung_rhu_langkawi_map.jpg
ALOR SETAR - Sebahagian kawasan di beberapa lokasi hutan di pulau Langkawi didapati semakin ‘cerah’ akibat penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara berleluasa sejak kebelakangan ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, S Manikumar berkata, tinjauannya melalui udara baru-baru ini agak mengejutkan apabila kebanyakan hutan di pulau legenda itu dicerobohi pihak tertentu tanpa kawalan pihak berkuasa.

Berikutan itu, semua pihak diminta membendung aktiviti penebangan itu bagi memelihara khazanah flora fauna pulau Langkawi supaya statusnya sebagai pulau pelancongan tidak terjejas.

“Keaslian flora fauna pulau Langkawi perlu dikekalkan kerana itulah aset utamanya. Pihak berkaitan perlu kaji semula dan pantau dengan ketat mengelak penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara tidak terkawal,” katanya.

Manikumar turut mendedahkan beberapa lokasi yang dikenal pasti berlaku penebangan tidak terkawal adalah sekitar Sungai Itam (berdekatan Air Terjun Durian Perangin), kawasan persekitaran Telaga Harbour Park, Gunung Mat Cincang, Pantai Kok dan Kompleks Kraf.

Beliau tidak menafikan perkara itu berlaku kerana kelemahan sistem pentadbiran di pulau itu, yang mungkin dimanipulasi pihak tertentu.

“Saya dapati tanah kerajaan atau hutan terbiar yang diusahakan boleh dipohon oleh individu terbabit selepas tempoh ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang. Ada pula sesetengah pihak mengambil kesempatan daripada kelemahan sistem itu untuk mengaut keuntungan dengan menjadi broker tanah,” katanya.

Manikumar mendakwa terdapat juga kes yang membuat permohonan menggunakan beberapa nama ahli keluarga bagi mendapatkan geran hak milik kekal, bagi memastikan tanah berkenaan menjadi milik mereka walaupun kawasan yang dipohon itu boleh menjejaskan ekologi.

“Mungkin terdapat kelemahan dalam sistem permohonan sedia ada hingga ada pencerahan di kawasan tertentu diklasifikasikan sebagai tanah usaha. Malah aktiviti pertanian berskala besar tidak sesuai diusahakan di situ,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rakus meneroka tanah hutan tanpa kawalan dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan itu kerana boleh menjejaskan keunikan Langkawi.

Beliau turut meminta pihak terbabit membuat perbandingan pulau itu dengan pulau pelancongan terkemuka lain supaya timbul keinsafan untuk memelihara khazanah itu.

“Singapura dikenali sebagai pulau fantasi membeli-belah, Bali pula pulau warisan manakala Phuket lebih kepada penerokaan penuh cabaran. Identiti Langkawi ialah keunikan flora fauna dan geopark yang diiktiraf oleh Unesco. Jika tidak dihalang pencerobohan itu, kelak identitinya akan hilang,” katanya.

Menurutnya, kawalan secara sistematik perlu dibuat segera untuk menjaga kepentingan semua pihak termasuk pihak pelabur dan rakyat.

“Semua jabatan, unit dan agensi harus gembleng tenaga memastikan perkara ini dipantau untuk selamatkan Langkawi daripada diceroboh. Saya akan panjangkan isu ini kepada Menteri Besar untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Manikumar berkata, pihaknya turut memantau aktiviti itu dengan mengumpul bukti pihak yang terlibat.

:Sekiranya tidak mendapat kerjasama sewajarnya setelah diberi amaran, beliau tidak teragak-agak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya akan guna pendekatan lembut terlebih dahulu dengan memberi teguran dan menghalang, tetapi jika tidak berkesan, biarlah SPRM pula yang siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment