Sunday, February 13, 2011

Kepada SADA & K'jaan Negeri.. Takan hangpa nak tengok 20thn lagi kot untuk selesai masalah ini..???

20 tahun krisis air tidak selesai

AIR PUTEH – Lebih 100 keluarga di Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Bukit Mak Inson dekat sini terus mengeluh apabila kawasan penempatan itu mengalami masalah gangguan bekalan air lebih 20 tahun sehinggakan kadangkala bekalan terbabit terus terputus lebih berminggu-minggu lamanya.

Tinjauan Sinar Harian ke penempatan terbabit mendapati setiap rumah penduduk di situ disediakan beberapa tong dan bekas lain di hadapan rumah mereka kerana difahamkan untuk mengisi air yang dihantar lori.

Penduduk, Mohd Tarmizi Omar, 32, berkata, penduduk di sini masih dalam pertanyaan mengenai masalah air yang melanda kawasan ini yang sudah pada tahap serius, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang diambil pihak berkenaan.

“Masalah ketiadaan bekalan air yang melanda kawasan ini bukan lagi perkara baru, namun sudah lebih 20 tahun dan masih tiada penyelesaian yang dapat dilakukan sehinggakan penduduk hairan mengapa masalah ini tidak langsung diambil tindakan sedangkan kawasan lain memperoleh bekalan air selama 24 jam.

“Penduduk di kawasan ini hanya memperoleh bekalan air pada waktu tengah malam sahaja dan lebih membebankan penduduk apabila bekalan air di kawasan ini sudah terputus lebih seminggu,” katanya.

Mohd Tarmizi berkata, pihak berkenaan tidak memaklumkan mengenai ketiadaan bekalan itu kepada penduduk kawasan ini sehingga menyebabkan mereka tidak sempat menyimpan bekalan air untuk kegunaan harian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noor Harum, 36, berkata kedudukan rumah yang tinggi dari jalan utama bukannya penyebab masalah ini berlaku memandangkan teknologi masa kini semakin canggih dan ia boleh diselesaikan segera.

“Bekalan air yang terputus lebih seminggu ini menyebabkan penduduk tidak dapat menjalankan kerja harian seperti membasuh baju dan pinggan serta makan minum.

“Bekalan air yang dihantar lori ke kawasan ini tidak mencukupi kerana yang dihantar adalah terhad dan terpaksa berebut sesama jiran,” katanya.

Bagi Siti Murni Mohd Nayan, 48, setelah berbelas tahun dia menetap di sini, hanya sekali dapat merasai bekalan air iaitu pada hari raya memandangkan setiap kali musim perayaan kawasan itu terus terputus bekalan air serta sambutan perayaan penduduk di situ tidak pernah sempurna setiap tahun.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan banyak aduan dihantar kepada pihak berkenaan dan terdapat juga laporan disiarkan melalui akhbar dan televisyen sebelum ini, namun ia masih juga gagal mendapat penyelesaian.

No comments:

Post a Comment