Wednesday, March 9, 2011

5 rumah, kedai makan rosak akibat ribut


Norshakinah Shaari bersama penduduk kampung membersih kawasan kedai makan miliknya selepas dipukul ribut di Kampung Titi Tok Diah, Kubang Pasu, kelmarin.


KUBANG PASU 9 Mac - Lima rumah dan sebuah kedai makan di Kampung Titi Tok Diah dan Kampung Permatang Bonglai Kecil di sini rosak teruk akibat dilanda ribut, semalam.

Peniaga kedai makan, Norshakinah Shaari, 34, berkata, bahagian bumbung di kedai makan miliknya diterbangkan angin selepas ribut melanda kawasan Kampung Titi Tok Diah, kira-kira pukul 5 petang semalam.

"Sewaktu ribut melanda kampung ini, saya dan anak saya berusia tujuh tahun berada di dalam rumah kami yang terletak kira-kira 200 meter dari kedai makan milik saya.

"Tidak sampai 10 minit saya dengar bunyi bumbung runtuh dan ketika itu saya sangat takut dan tidak berani keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Titi Tok Diah, di sini hari ini.

Menurutnya, selepas ribut itu reda, barulah dia keluar untuk melihat apa yang berlaku di luar rumahnya itu.

"Bumbung kedai makan saya roboh dan sebuah kerusi tersangkut di atas pokok mangga yang terletak kira-kira lapan meter dari kedai makan saya.

"Ribut ini berlaku dalam tempoh 10 minit sahaja dan saya kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian ini," ujarnya.

Seorang mangsa, Mariah Omar, 44, berkata, anak perempuannya yang berusia enam tahun, Syafiqah Che Omar nyaris cedera apabila atap asbestos di bilik utama rumahnya di Kampung Titi Tok Diah runtuh dalam kejadian itu.

"Anak saya sedang tidur terus terjaga selepas terdengar bunyi benda jatuh dan mendapati atap asbestos dan serpihan konkrit di sekeliling kepalanya.

"Dia kemudiannya berlari mendapatkan saya yang ketika itu berada di dapur dan saya terus menjerit meminta suami mengambil seorang lagi anak saya yang ketika itu berada di ruang tamu," katanya.

Tambahnya, kejadian ribut yang pertama kali merosakkan rumahnya itu dianggarkan melibatkan kerugian melebihi RM4,000.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu, Mohd. Shabberi Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan bantuan diberikan mengikut nilai kerugian dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment