ALOR SETAR, 13 Mei: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah berharap keberangkatan Seri Paduka Baginda (SPB) Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Kedah akan merapatkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerajaan Persekutuan.
Baginda percaya dengan kerjasama erat ini kedua-dua belah pihak sama-sama mendapat faedah bagi tujuan pembangunan negeri Kedah dan negara Malaysia seluruhnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena lawatan rasmi selama tiga hari SPB Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke negeri Kedah di Istana Anak bukit.
Aktiviti yang diatur sempena lawatan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan SPB Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan rakyat Kedah tetapi turut memperkenalkan keindahan dan keunikan negeri Kedah seperti flora dan fauna yang terdapat di Sungai Merbok dan Gunung Jerai.
“Paduka kekanda pecaya bahawa lawatan Seri Paduka Adinda dan Sri Paduka Adinda Raja Permasuri Agong yang singkat ke Kedah akan merapatkan tali silaturrahim antara rakyat negeri Kedah dengan Kerajaan Pusat di bawah pemerintahan Seri Paduka Adinda,” titahnya.
Pada majlis itu, KDYMM Tuanku Sultan menarik perhatian para hadirin bahawa asas kekuatan negara adalah berpaksikan pada prinsip demokrasi berparlimen dan sistem Raja Berpelembagaan. Penyerapan nilai-nilai kerjasama dan keharmonian selaras dengan prinsip Rukun Negara telah menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara semenjak ianya ditubuhkan.
Oleh yang demikian baginda mengingatkan semua pihak supaya berpegang teguh dan menghormati prinsip bagi menjamin keutuhan negara untuk selama-lamanya.
Selain itu dalam titah ucapannya, baginda menyentuh isu perpaduan dan semangat hormat menghormati antara rakyat yang berbilang keturunan, nilai agama haruslah diperkukuhkan di dalam berbagai aspek termasuklah sosial, ekonomi dan politik.
“Kerajaan kekanda sentiasa memberi perhatian meningkat tahap ekonomi dan sara hidup rakyat supaya setanding dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Malaysia.
“Walaupun sumber kewangan adalah terhad namun usaha gigih dalam mencari sumber hasil baru serta usaha berjimat cermat senantiasa diamalkan supaya perbelanjaan dan pengurusan kewangan dibuat secara teratur dan berhemah,” titah baginda
Baginda berharap agar hubungan Kerajaan Negeri dengan kerajaan Pusat diteruskan dan semua rakyat dapat menikmati kehidupan seperti diidamkan semenjak negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lau.
Turut sama pada majlis itu Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan isteri, Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Bendahara dan To’ Puan, YTM Tunku Laksamana dan To’ Puan, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Tunku Puteri Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz, ketua-ketua jabatan dan dif-dif kehormat.
Majlis itu diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Dato’ Syeila Majid, Dato’ Khatijah Ibrahim dan Hazami. Manakala Kombo Kesenian Tentera Darat mengiringi persembahan itu.
No comments:
Post a Comment