Dalam laporan tersebut, kartunis-kartunis tempatan mengkritik saya, antara lain kerana menolak anugerah yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri serta pendirian politik dalam karya saya.
Sejak mula berkarya, saya tidak pernah berhasrat untuk mengkritik karya atau pendirian sesama kartunis kerana itu bagi saya tidak wajar. Namun kerana ia dibangkitkan, saya perlu memberi penjelasan.
Pada 20 Jun lepas, Kelab Putra Malaysia bersama beberapa pertubuhan menganjurkan program "Anda, PM & Kartunis" di Pasar Seni. Bebarapa kartunis tempatan, termasuk saya ditawarkan anugerah berupa trofi dan wang tunai RM10,000.
Bagaimana mungkin saya menerima anugerah dari Perdana Menteri sedangkan di bawah pemerintahan beliau hak dan kebebasan saya sebagai kartunis dinafikan. Pada September 2010, saya ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap beberapa jam sebelum pelancaran buku "Cartoon-O-Phobia". Saya disiasat di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabit kesalahan.
Pejabat saya di Brickfields telah dua kali diserbu, manakala lebih 500 buah buku saya dirampas ketika serbuan tersebut.
Selain itu, enam buah buku-buku kartun saya diharamkan sejak 2009, iaitu Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun edisi 1, 2 dan 3 serta 1Funny Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, kilang-kilang pencetak yang mencetak buku saya diugut penarikan lesen, begitu juga kedai-kedai yang menjual buku saya di seluruh Malaysia.
Saya mahu kerajaan mengembalikan hak-hak saya sebagai kartunis. Tanpa mengembalikan hak-hak saya, anugerah dan wang tunai tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai, malah tidak keterlaluan kalau saya anggap itu sebagai "gula-gula pelembut".
Ingin saya jelaskan pendirian bahawa apabila kezaliman berlaku, kita wajar memihak dan membela pihak yang dizalimi. Berkecuali bererti menyokong pihak yang zalim.
Ingin saya jelaskan juga, konflik yang berlaku bukan soal pertembungan politik antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, tetapi jauh lebih besar. Ia itu antara rakyat menentang pemerintah yang zalim. Dalam konteks saya, kartunis menentang pemerintah zalim.
*Kenyataan media oleh Zunar (gambar kanan), salah seorang kartunis politik di Malaysia. Tahun 2011 beliau dianugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington. Beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment