Abdul Aziz Mustafa, 19 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut kerajaan menjelaskan ke mana perginya wang dividen yang tidak dibayar kepada kerajaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan hanya 10 dari 23 GLC yang membayar dividen kepada kerajaan.
Pada Laporan Audit Ketua Negara 2010 sebelum ini pula menyatakan sebanyak 37 daripada 47 GLC tidak membayar dividen kepada kerajaan.
"Persoalan terpenting yang perlu kerajaan jawab dan bertanggungjawab ialah ke mana perginya wang itu semua?" kata beliau.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kalau 10 GLC boleh membayar dividen sebanyak RM109.364 bilion kepada kerajaan bagi tiga tahun berturut-turut, tentulah jumlah yang tidak dibayar lebih besar lagi kerana GLC yang tidak membayar dividen lebih banyak dari yang membayar.
Beliau berpendapat, semua jumlah dividen yang tidak dibayar oleh GLC kepada kerajaan itu boleh menampung peratusan yang sangat besar dari anggaran belanjawan tahunan negara.
"Itu belum lagi diambil kira wang lesap akibat ketirisan di mana sebelum ini laporan audit negara menganggarkan ketirisan sehingga RM28 bilion dalam setahun akibat kegagalan pengurusan kewangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
"Keadaan bertambah buruk apabila kiraan yang dibuat berdasarkan laporan audit negara 2011 menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh negara berjumlah sekitar RM42.138 bilion," kata Mahfuz.
Beliau menekankan, isu tersebut sangat besar dan kerajaan tidak boleh dibiarkan berdiam diri mengenai perkara itu.
Laporan Audit Negara berkata, Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1993 menyatakan bahawa bayaran dividen sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai setiap tahun perlu dibayar kepada kerajaan sebagai pemegang saham.
Sekiranya keuntungan lebih diperoleh bagi sesuatu tahun kewangan, peratusan dividen perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.
Laporan itu menambah, sehingga tarikh pengauditan pada bulan Mei 2012, adalah didapati 14 atau 29 peratus syarikat daripada 47 syarikat telah membayar dividen bagi tahun kewangan 2010 yang berjumlah RM49.488 bilion.
Daripada jumlah tersebut 10 syarikat memperolehi keuntungan dan membayar dividen selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM109.364 bilion, menurut laporan itu.
No comments:
Post a Comment