Saturday, October 20, 2012

Tan Keng Liang digesa letak jawatan


Wan Salleh Wan Isa
Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa

ALOR SETAR - Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang digesa meletak jawatan kerana didakwa gagal berperanan sebagai pemimpin politik di sebuah negara pelbagai kaum, ekoran membangkitkan isu sensitiviti agama Islam.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, Keng Liang disifatkan sebagai pemimpin yang cuba memporak-perandakan hubungan baik yang terjalin antara Islam-bukan Islam, dan tindakannya itu adalah tidak matang.

“Pelbagai pihak cuba menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini, tetapi beliau biadap menyentuh isu agama Islam. Jika tidak memahami sesuatu perkara mengenai Islam, lebih baik diam sahaja, daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat,” katanya.

Menurutnya, PKR dan Pas Kedah sepakat mahu tindakan undang-undang diambil terhadap kelantangan Keng Liang kerana sengaja menimbulkan isu terbabit.

“Jika Keng Liang mahu berpolitik, buatlah dengan baik. Jangan jadi seperti samseng politik. Suasana politik di Kedah dalam terkawal sebelum ini, jangan disebabkan beliau, ianya menjadi huru-hara,” katanya.

Wan Salleh berkata, tindakan Keng Liang yang menyentuh isu agama lain hanya menyebabkan rakyat marah kepada kaum bukan Islam, ibarat ‘nila setitik rosak susu sebelanga’.

“Jika dibiarkan bimbang keadaan semakin tidak terkawal. Saya gesa beliau letak jawatan dan tinggalkan politik jika tidak faham adab berpolitik. Ini kerana kesannya amat besar kepada negara dan perpaduan rakyat,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin beliau wajar lebih memahami dan menghormati budaya dan nilai-nilai murni agama lain, bukannya menghina atau mempertikai perbuatan itu.

“Setiap kaum hormat kaum yang lain, Pas, PKR atau DAP pun tidak sentuh isu agama lain sebab kita tak faham, tetapi Gerakan nampaknya ambil mudah perkara ini. Saya harap pada masa akan datang mereka belajar daripada kesilapan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment