MB Kedah: 'Bajet rakyat, biar depa nilai sendiri'
ALOR SETAR - Bajet 2013 memang bajet umum dan itulah yang difokuskan untuk kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bajet itu dirangka mengikut apa yang sedang berlaku dalam negeri ini dengan sedikit penambahan kepada perancangan sedia ada.
"Saya buat semata-mata untuk rakyat, biar depa nilai sendiri. Yang penting saya dapat tunai kewajipan saya kepada keperluan rakyat biasa. Kalau nak buat daripada yang luar biasa, memang tidak ada.
"Nak pastikan semua agenda lama diteruskan agar segala-galanya siap atau lengkap untuk rakyat. Sebab itu kita tambah bajet tahund depan kepada RM1.1 bilion berbanding tahun ini RM1.06 bilion," katanya kepada media hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menganggap Bajet 2013 yang dibentangkan Azizan adalah bajet biasa, tiada fokus dan mengulangi perkara lama.
Menurutnya, walaupun Kedah bukan negeri kaya tetapi ia tetap menyediakan peruntukan agak besar untuk memastikan rakyat menikmati pelbagai kemudahan daripada kerajaan.
Beliau berkata, Selangor, sebuah negeri kaya membentangkan bajet bernilai RM1.63 bilion berbanding Kedah RM1.1 bilion.
"Jadi peruntukan yang kita sediakan adalah memadai untuk rakyat Kedah," katanya sambil bertanya kepada media apa lagi yang diperkatakan oleh Mahdzir.
"Apa yang dia kata lagi. Hampa nak pelaga aku dengan dia," katanya.
Mengenai bajet sukan yang kecil seperti ditimbulkan Mahdzir, Azizan berkata, banyak peruntukan akan diperolehi dari Kerajaan Pusat melalui pelbagai projek dan program.
"Bajet sukan kita memang kecil sebab Pusat akan salur bantuan. Kita tunggu duit Pusat sebab ia pun duit kita juga," katanya.
Mengenai projek agropelancongan yang akan dilaksanakan di sekitar Tasek Pedu, beliau berkata, ia akan memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk tempatan kerana pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan akan ditanam di kawasan berkenaan.
"Kita sediakan 400 hektar tanah untuk ditanam dengan pelbagai jenis buah-buahan termasuk kelubi, rumbia, manggis, rambutan, nangka dan cempedak," katanya.
No comments:
Post a Comment