Tiada khutbah yang memecahbelah masyarakat
ALOR SETAR - Khutbah Jumaat tidak pernah memecahbelahkan umat sebaliknya mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kezaliman yang berlaku.
Sekiranya ada jemaah atau pihak yang terasa mahupun tersinggung dengan Khutbah Jumaat yang disampaikan maka adalah lebih baik seseorang itu untuk kembali ke pangkal jalan sekaligus membuat kebaikan seperti yang disarankan dalam khutbah tersebut.
Demikian penjelasan YB Dato' Mohamed Taulan Mat Rasul (PAS-Tokai) di Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah kali ke-12, di Wisma Darul Aman, yang menjawab bagi pihak kerajaan berhubung soalan lisan YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang mempersoalkan sama ada kerajaan negeri bersetuju tindakan membenarkan pembacaan khutbah Jumaat berunsur politik di masjid-masjid dan pandangan tentang mencela individu tertentu.
Bagaimanapun YB Dato’ Mohamed Taulan menjelaskan kerajaan negeri tidak membenarkan dan menolak sama sekali khutbah Jumaat yang ada politik kepartian dan mencela individu tertentu.
"Khutbah dibaca oleh kedua-dua belah pihak. Kita pun baca dan pihak sana pun baca, sama sahaja...semua ajak amal maruf, nahi mungkar.
"Yang kita mahu mencegah kezaliman. Kalau terasa, jangan buat zalim dan aniaya orang. Cuma kita tolak khutbah yang mencela individu," katanya.
Beliau juga menjawab soalan tambahan YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah berhubung doa untuk memusnahkan Umno yang diperkatakan dibaca di Kelantan tempoh hari.
"Yang saya dengar ialah minta kembalikan royalti minyak kepada Kelantan dan jika tidak, doakan mereka yang zalim musnah.
“Jabatan Agama Islam Kedah membenarkan apa jua khutbah Jumaat yang mengikuti syarat lima rukun khutbah dan tidak melakukan apa yang membatalkannya”, katanya.
Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membenarkan khatib membaca khutbah Jumaat berunsur politik selagi ia tidak lari dari landasan ajaran Islam.
Pengarah JHEAIK, Dato' Noh Dahya berkata, khatib dibenarkan berbuat demikian selagi ia tidak tersasar dari agama Islam.
"Kalau politik itu untuk kebaikan dan mempunyai unsur-unsur keagamaan tidak mengapa.
"Tetapi sekiranya ia bertujuan untuk mengata seseorang memang tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan kekacauan," katanya.
Dato’ Noh berkata, sekiranya imam yang dilantik JHEAIK membuat kesalahan atau membaca teks khutbah berunsur politik melampau, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, masih belum ada rekod kesalahan itu di negeri ini.
No comments:
Post a Comment