Wednesday, November 21, 2012

KHTP catat pelaburan tertinggi tahun 2011

ALOR SETAR – Dalam menghadapi persaingan yang hebat dari segi pelaburan dengan pelbagai kawasan perindustrian di seluruh Malaysia, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berjaya mendapat pelaburan tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 2011.

Exco Industri & Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, jumlah pelaburan baru di KHTP tidak termasuk pengembangan seperti yang tertera di laporan Malaysia Investment Performance secara rasmi adalah berjumlah RM4.7 bilion.

Beliau menjelaskan dalam jawapan bertulis mengenai soalan yang diajukan oleh YB Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (ADUN Guar Chempedak) di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke 12 di Wisma Darul Aman.

“Ianya menjadikan KHTP merupakan kawasan perindustrian yang mendapat jumlah pelaburan yang tertinggi di Semenanjung Malaysia bagi jumlah pelaburan baru pada tahun 2011.


“Antara strategi kerajaan negeri mendapatkan pelaburan yang tinggi adalah menyediakan infrastruktur yang baik, mencukupi serta efisyen kepada pengilang-pengilang. Menjaga kepentingan dan keperluan pengilang-pengilang dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Katanya, pihaknya juga memastikan penyelenggaraan di KHTP dijalankan dengan baik dan berterusan. Mewujudkan program-program yang akan memberi nilai tambah kepada pengilang-pengilang di KHTP.

Penyelenggaraan prasarana dan kemudahan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian KHTP seperti membaiki susur jalan Hi -Tech 1, menyelesaikan masalah banjir dengan membaiki parit dan longkang contohnya longkang berdekatan dengn Kilang Fuji.

“Selain itu, kita juga menaik taraf lampu isyarat dan sensor di jalan utama dan menurap jalan di kawasan industri fasa 1. KPTC juga meningkatkan kawalan keselamatan dengan memasang CCTV di Kawasan Industri Fasa 3.

“Isu penyelenggaraan prasarana di KHTP sudah dibincangkan dan diambil tindakan melalui mesyuarat bersama-sama pihak Kulim Industrial Tenants Association (KITA) dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan teknikal berkaitan secara berkala mulai 2007 sehingga kini,” terangnya.

Tambahnya lagi, pelbagai tindakan telah dan akan diambil bagi mempertingkatkan tahap penyelengaraan prasarana dan kemudahan lain di KHTP.

No comments:

Post a Comment