Wednesday, January 2, 2013

100 unit rumah untuk keluarga miskin di bina di Yan

YAN – 100 unit rumah di Tapak Projek Rumah Sejahtera Rakyat, Mukim Dulang, Daerah Yan akan menjadi kenyataan apabila projek pembinaannya akan dimulakan menjelang Januari 2013.

Rumah mengikut pelan rekabentuk dan konsep pembangunan keluarga miskin itu merupakan Projek Perumahan Rakyat pertama di Yan dan ianya sumbangan dari Yayasan Haji Zainuddin.

“Kita menerima sumbangan RM5 juta dari Yayasan Haji Zainuddin untuk pembinaan Rumah Sejahtera Rakyat ini dan kerajaan negeri menyediakan tapak perumahan,”ucap Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sempena Majlis Pecah Tanah projek rumah berkenaan.

Tambahnya lagi, beliau bersyukur kerana projek berkenaan akhirnya dapat dilaksanakan walau pun sebelum ini terdapat sedikit kelewatan atas sebab-sebab tertentu.

“Yang jadi lambat itu pasal tapak. Bila tapak ini kawasan bendang, kita perlu timbus tanah dan mantapkan terlebih dahulu. Lagi pun bila kita nak timbus, kena juga tengok masa yang sesuai. Kalau masa padi nak masak, tak boleh juga. Kena tunggu sehingga sesuai,”jelasnya.

Kerajaan negeri telah merancang projek berkenaan yang  sejak tahun 2008 dan pada tahun yang sama kerja-kerja menambun tanah di tapak seluas 15 ekar telah dimulakan. Pembinaan rumah ditangguhkan kerana mematuhi nasihat Jabatan Teknikal supaya pembinaan hanya dibuat selepas enam bulan kerja-kerja menambun tapak selesai bagi tujuan penstabilan.

“Nak buat rumah batu bukan macam nak buat rumah kampung. Ianya mengambil masa. Rakyat kena faham, pembangunan yang dicadangkan tidak akan berlaku dalam sehari semalam dan ianya perlukan masa untuk menyelesaikan perkara-perkara tertentu.

“Tak bolehlah nak banding dengan kerajaan dulu. Mereka dah merancang dua tiga tahun sudah dan selepas itu mereka boleh laksanakan. Sekarang ini kita sudah ada perancangan, sekiranya kita menang lagi, mudahlah bagi saya nak teruskan apa yang telah dirancangkan,“ tambah beliau lagi.

Katanya, pengambilan tanah-tanah sawah untuk dibuat rumah terpaksa dibuat kerana pembangunan yang agak pesat di Sungai Limau. Ini kerana perlunya kembangkan kawasan bandar-bandar kecil di luar kawasan Alor Setar.

“InsyaAllah, kita juga akan bangunkan Pulau Dayang Bunting. Di sana ada perancangan nak bina logi minyak dan pengkalan kapal dan ini secara tidak langsung memerlukan tenaga mahir dan tidak mahir untuk menjayakannya. Dan apabila ramai orang datang bekerja di sini, keperluan untuk tempat tinggal juga akan meningkat.

“Jesteru itu projek ke dua Rumah Sejahtera Rakyat ini akan kita dirikan di Sungai Daun di tanah seluas 30 ekar. Saya berharap ianya berjalan dengan baik,”ujar beliau.

Sambungnya, kerajaan akan memberi pertimbangan yang adil dalam memilih keluarga yang bakal berpindah ke Rumah Sejahtera Rakyat. Syarat-syarat seperti harga rumah dan lain-lain bersangkutan akan diumumkan apabila pembinaan telah mencapai 50 peratus. Pejabat Daerah akan bertindak sebagai jabatan yang mengurus pemilihan peserta.

“Kesempatan ini, saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Haji Zainuddin yang bermurah hati memberi sumbangan membina 100 unit rumah untuk projek ini,”kata Azizan.

Menteri Besar juga menyempurnakan Upacara Pecah Tanah selain menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman Rumah Sejahtera Rakyat antara kerajaan negeri yang diwakili oleh Dato’Khazali Din dan Yayasan Haji Zainuddin yang diwakili oleh Mohd Lutfi Abdul Karim.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Yan, Wakil Yayasan Haji Zainuddin dan pimpinan tempatan.

No comments:

Post a Comment