Showing posts with label Ahmad Lutfi Othman. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Lutfi Othman. Show all posts

Tuesday, February 19, 2013

Mengapa kerajaan tak berani usik Cina Pengerang?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

HAMPIR sepanjang perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 8 Februari lalu, diiringi hujan lebat. Dua hari kemudian, Ahad, semasa sarapan pagi bersama AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dan rakan-rakan aktivis PAS Kulai, di bilik gerakan PRU13 Bukit Permai, hujan turun renyai-renyai.

Semasa wartawan kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, wartawan Johor, Salman Hussin, jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, Mazlan, anak lelakinya dan saya bertolak ke Pengerang, hujan masih belum reda. Malah bertambah lebat apabila kami menghampiri pekan Sungai Rengit.

Anis Afida gadis berani

Sambil menunggu Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli, kami memesan makanan. Oleh kerana sajian pagi agak berat -- pertama, di Pulai bersama Onn Jaafar, Setiausaha Perhubungan PAS Johor dan kedua, dengan petugas muda yang sedia berkempen untuk Mazlan -- saya memilih mee bandung; sebenarnya juga tidak sesuai untuk penghidap diabetis dan pernah menjadi pembedahan pintasan jantung seperti saya!

Saya perhatikan bandar kecil ini tenang, damai dan menyenangkan. Jauh daripada kesibukan. Suasana hujung minggu agak sunyi, apatah lagi ia hari pertama Tahun Baru Cina. Saya cuba mencari topi atau payung untuk melindungi kepala yang mudah sakit apabila terkena hujan, tapi banyak kedai tutup.

Menghadap ke laut, walaupun dibatasi titisan hujan, saya perasan projek penambakan laut giat dijalankan. Entah kenapa kepiluan segera menerpa. Waktu itu saya belum dimaklumkan masalah sebenar yang mengasak penduduk Pengerang, sekadar beberapa isu asas seperti pengambilan tanah dan masalah alam sekitar ekoran projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

Namun naluri saya menangkap, ada kepedihan yang tersimpan. sekurang-kurangnya para nelayan terjejas mata pencarian.

Rupanya Anis Afida, aktivis gigih memperjuangkan hak penduduk di sini -- yang saya dengar namanya dari jauh -- masih muda, baru menamatkan pengajian di UTM, Skudai. Awal bicara dengan Anis, terserlah kematangan berbanding usianya, 24 tahun. Lancar dia menjelaskan mukadimah awal isu-isu kritikal yang perlu ditangani.


Penggerak berpotensi

Alhamdulillah, Pengerang yang tersorok paling bawah di bahagian kanan selatan tanahair, masih mampu membekalkan penggerak berpotensi, wanita pula. Saya bimbang lokasi seumpama itu ketandusan tenaga tempatan, khususnya daripada kalangan anak-anak muda, apatah lagi yang berminat dengan Parti Islam (PAS).

Bayangkan, kerusi Parlimen P157 Pengerang, yang mula terbentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, dimenangi Dato Seri Azlina Othman Said tanpa bertanding pada 2004 dan 2008.

Justeru, sekiranya Pakatan Rakyat belum bertapak kukuh di sini, saya dapat faham. Bagaimanapun, di celah-celah bangunan kedai di seberang jalan, ada bendera parti pembangkang berkibar.

Anis menunjuk jalan ke rumah Ah Chai atau nama sebenar, Chua Peng San, di Bukit Buloh, berdekatan Pekan Sungai Rengit, selepas melintasi sungai. Banyak bot nelayan tersadai di muara. Mungkin pandangan itu tiada lagi selepas penduduk dihalau secara terhormat.

Pertama kali berjumpa tapi ramah

Ah Chai memang ramah dan mesra sekali, membuatkan kami, warga Harakah, tidak kekok bila dijemput masuk ke rumahnya. Anis dan Mazlan nampak sudah lama mengenali dan akrab dengannya. Keluarga Ah Chai, terutama isterinya, juga gembira.

"Tahun ini raya tidak berseri, dan mungkin kali terakhir kami sambut Tahun Baru Cina di sini," kata Ah Chai, sambil mempelawa kami menjamah makanan ringan dan biskut, sebahagiannya dapat ditemui pada pagi Aidilfitri.

"Apa pun kita mesti tukar," tambahnya merujuk kewajipan menukar kerajaan dalam PRU13. "Dan saya semalam, waktu makan besar bersama keluarga, saya dah tukar tradisi itu dengan makan di luar bersama rakan-rakan Melayu saya,' ujar Ah Chai, ketawa.

Saya agak kurang senang apabila Ah Chai terpaksa meninggalkan rumah pada tengahari raya pertamanya, untuk membantu kami meninjau kawasan terjejas dengan projek bernilai RM170 bilion, termasuk projek Rapid Petronas, RM60 bilion. Seorang tetamu terpaksa berpatah balik selepas berselisih 100 meter dari rumah Ah Chai.

Mengikut Mazlan, Ah Chai cukup mahir dan masak dengan isu Pengerang, termasuk kedudukan kawasan penempatan yang terbabit dengan projek mega, yang diwarisi sejak 100 tahun lalu. Malah, dalam isu perpindahan kubur orang Islam, dia dikatakan antara yang mula prihatin.

Akan dipertahankan

Anis memberitahu saya, 37 peratus daripada jumlah pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara disumbangkan daripada pelaburan industri mintak dan gas di Pengerang. Wow! Tentu sekali, ia akan dipertahankan dengan apa jua kaedah, by hook or by crook.

Ia melibatkan saiz seluas 22,500 ekar dengan populasi 28,050 orang. Enam masjid, 11 surau, sembilan kuil, empat sekolah rendah, sebuah sekolah menengan, tiga sekolah Cina, 11 perkuburan Islam dan tujuh bukan Islam terbabit.

Saya difahamkan kawasan perairan yang terbabit memiliki habitat dugong yang merupakan spesis terancam di Malaysia. Udang karanya (lobster) adalah antara yang terbaik di negara ini. Saya perhatikan semasa sampai tadi, banyak restoran Cina di pekan kecil itu, petanda ramai pelancong dari luar.


Melihat saya bertongkat dan kadang-kadang nampak seperti menahan kesakitan, isteri Ah Chai mencadangkan ubat-ubat Cina sebagai rawatan. Bersungguh-sungguh dia menceritakan bagaimana cara menyediakannya. Saya terharu dengan keprihatinannya.

Ah Chai memandu arah kami ke Tanjung Pengelih. Ada pangkalan TLDM di situ. Sepanjang jalan dia tidak jemu-jemu menghubungkaitkan kampung-kampung yang kami lintasi dengan projek yang bakal dibangunkan.

Produk pelancongan terabai

Hujan renyai-renyai membataskan pergerakan saya. Rupanya Ah Chai mahu menunjukkan kepada kami kesan-kesan sejarah, yang berpotensi sebagai produk pelancongan, termasuk kubu tentera penjajah yang terbiar, berdekatan Pos Imigresen Tanjung Pengelih, salah satu pintu keluar ke Singapura.

Jalan menyusuri pantai itu mendedahkan kami dengan panorama menarik, walaupun terganggu dengan objek-objek pembangunan yang berceragah di kawasan perairan.

Tiba-tiba saya teringat komen tokoh perniagaan, Dato' Seri Abd Rahman Maidin, yang pernah menerajui Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, terlibat dengan konglomerat terkemuka dan mengasaskan Institut Peduli Rakyat.

Semasa kunjungannya ke pejabat Harakah beberapa bulan dahulu, beliau melontarkan kritikan keras terhadap konsep atau falsafah pembangunan yang diamalkan pihak berkuasa, sehingga banyak berlaku kes-kes rampasan tanah di seluruh negara.

Konsep pembangunan yang meruntuhkan

Rahman menentang cara mudah pembangunan yang menghalau orang Melayu keluar daripada kampung-kampung tradisi. Baginya, itu bukan pembangunan tetapi satu proses meruntuhkan dan memiskinkan kehidupan orang Melayu. Sepatutnya kawasan penempatan dikekalkan tetapi projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ah Chai bercerita, Rahman selalu berkunjung ke Pengerang dan pernah bermalam di rumahnya. Saya sendiri berasa teruja untuk lebih lama merasai degup jantung masyarakat di sini ... dan tidak cukup sekadar meninjau dalam masa hanya sehari.

Sepanjang perjalanan, nama-nama kampung memikat hati saya, antaranya, kampung-kampung Sungai Kapal, Teluk Empang, Langkah Baik dan Sungai Buntu.

"Siapa lagi yang 'langkah baik' di sini kalau bukan pemimpin-pemimpin BN dan kroni mereka yang lapar projek dan rela menjual kepentingan orang kampung," tingkah saya, melintasi papan tanda jalan Kampung Langkah Baik.

"Dan yang 'buntu' tentulah masyarakat bawahan, yang dipaksa berpindah dan menjual tanah dengan harga murah," tambah saya, sambil ketawa kecil.

Eksploitasi melampau

Sesungguhnya majoriti pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian dan cawangan, berdasarkan pengalaman saya membongkar beberapa kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tidak dapat lari daripada terjebak dengan manipulasi dan eksploitasi melampau terhadap rakyat yang jahil dan tidak berani bersuara.

Justeru, saya tidak menolak kemungkinan dakwaan bahawa dalam proses pemindahan kubur di Pengerang pun terselit elemen rasuah dan transaksi yang meragukan. Sudahlah pengebumian semula jenazah dibuat secara tergesa, dalam keadaan daif dan menimbulkan fitnah.

saya tidak dapat menyaksikan dari dekat situasi menyedihkan di kawasan perkuburan baru di Kampung Punggai disebabkan laluan becak dan berselut. Apa pun, ia tidak menghalang saya daripada mengesan proses penambakan yang tidak mengambil kira faktor perubahan cuaca.

Namun begitu, elit penguasa yang hanya memikirkan keuntungan untuk diri dan suku-sakat, serta menyamar di sebalik projek pembangunan, termasuk di Pengerang, beruntung memandangkan kebanyakan penduduk Melayu masih bermentaliti "apa saja daripada kerajaan harus dipatuhi".

Saya tertanya-tanya, mengapa reaksi masyarakat Tionghua lebih lantang, berani dan bersedia menanggung risiko. Paling penting mereka seperti bersatu hati dan berpadu dalam mengatur gerakan penentangan.

Kubur mereka bukan saja tidak (berani) diusik malah semakin terpelihara dan terjaga.

Saya kira, bukan saja di Pengerang, malah di mana-mana pun, sekiranya kawasan penempatan atau kepentingan mereka terjejas, yang akhirnya terpaksa juga berpindah, pampasan yang diterima jauh lebih tinggi.

Petang Ahad itu, selesai menziarahi kubur yang dipindahkan, dan ditunjukkan kawasan lapang yang cukup luas, berdekatan rumah agam Azalina, yang sebenarnya bagi penduduk, lebih sesuai dibangunkan, walaupun berdepan Laut China Selatan, saya agak resah dan gelisah memikirkan jalur pemikiran bangsa sendiri.

Anjurkan pemberontakan

Bukanlah kita mahu menganjurkan pemberontakan atau penentangan membabi-buta terhadap projek pembangunan, serta berkeras tidak mahu berpindah tanpa alasan kukuh.

Pertahankan hak dan berani berhujah menyanggah daleh bodoh yang tidak masuk akal. Jangan hinakan diri sendiri dengan meletakkan "harga yang cukup murah". Cukuplah selama ini aset dan kepentingan kita diperdagangkan.

Terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang tua yang menyapa kami ketika menziarahi kawasan perkuburan yang telah dipindahkan. "Apa boleh kita buat, ikut ajalah kehendak orang berkuasa," begitulah lebih kurang maksudnya.

Ketika kami bertolak balik ke Kulai, hujan mencurah dengan lebat. Saya masih teringat anak mata Ah Chai yang merah mengiringi kepulangan kami. Dia nampak sebak dan terharu. Ya, Pengerang sememangnya sudah lama menangis.

"Terima kasih banyak," kata saya, ringkas sebelum pamit. "Saya sepatutnya mengucapkan terima kasih kerana Harakah sudi datang membuat liputan di sini," sambut Ah Chai.

Semasa Wan Nordin memandu perlahan dan berhati-hati keluar dari Sungai Rengit, saya berazam dalam hati: "Pengerang, tunggu aku akan datang lagi."

Friday, February 8, 2013

Ubahlah, usah tangguh lagi, jangan takut ugutan!

Oleh Ahmad Lutfi Othman 


Majoriti rakyat Malaysia amat mendambakan perubahan. Dan hasrat itu tidak boleh ditangguh lagi. Menunggu lebih lama hanya memburukkan situasi, menyeret negara ke kancah kemusnahan dan menyukarkan usaha pembaharuan nanti, selain memakan kos lebih mahal.

Satu demi satu masalah bertindan-timbun. Negara dikepung krisis dan konflik. Pemimpin lebih memikirkan soal kepentingan diri, kelompok, kroni dan suku-sakat.

Kalau ada pun perubahan, ia semata-mata demi meraih simpati dan sokongan politik. Segalanya kosmetik. Misalnya, pemberian bantuan 'one-off' yang dipopularkan Najib Razak, mungkin difaktorkan janji-janji Pakatan Rakyat sendiri, melalui Buku Jingga.


Susun semula ekonomi

Dr Mohamad Agus Yusof pernah mengulas: "Tawaran mana-mana parti berbentuk 'one-off' hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat. Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat. Saya harap selepas PRU13, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada kepada rakyat mahupun ekonomi negara."


Sebenarnya tsunami politik lima tahun lalu, yang hampir mengheret BN ke posisi pembangkang, langsung tidak pernah memberi iktibar kepada pemimpinnya, malah rakyat terus disogok dengan "rasuah yang dihalalkan undang-undang". Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN yang begitu menarik perhatian pengundi tidak pula dipandang penting pemerintah. Hutang negara berlipatganda. Kebajikan masyarakat bawahan dijadikan komoditi untuk mendapatkan undi.

Korupsi dan salahguna kuasa bermaharajalela. Khazanah kekayaan negara dipunggah rakus. Jurang kaya miskin melebar. Terbina kebangsawanan baru, menghidupkan fenomena antara dua darjat. Keselamatan keluarga juga terancam.

Demi survival kuasa, elit pemerintah Umno-BN sanggup memainkan emosi bahaya perkauman. Untuk mempertahankan takhta, sentimen agama yang sempit berterusan dibakar. Mereka langsung tidak hiraukan keharmonian dan kesentosaan bakal terjejas, asalkan dapat terus berkuasa. Peliknya, pada masa sama. Menteri Dalam Negeri menuduh Pakatan yang menjolok emosi perkauman.

Cukup menggerunkan

Keberanian rakyat untuk menggerakkan perubahan cukup menggerunkan pemimpin korup dan curang. Mungkin ramai di antaranya yang tidak dapat lena tidur mengenangkan nasib kehilangan kuasa. Bagi pemimpin yang selama ini tamak "merampok" wang rakyat, mungkin sentiasa diasak mimpi ngeri dikejar dosa sendiri.

Justeru, taktik usang-kuno digunakan, bagi menggertak dan menakutkan golongan yang bertekad melakukan pembaharuan itu. Bagi rakyat, kaedah menyelamatkan negara bukanlah susah pun; hanya bersedia untuk memilih kerajaan baru, terutama di peringkat persekutuan.

Hampir semua pengundi menyedari bahawa medan terbaik untuk mereka menukar impian menjadikan Malaysia lebih sejahtera, demokratik, makmur, dan lebih penting rakyatnya dilayan secara adil, adalah dalam PRU13 ini.


Tempoh 55 tahun Umno menerajui kerajaan sudah lebih daripada mencukupi. Melalui 12 kali pilihan raya umum, bermula daripada Parikatan sehinggalah BN, peluang menabur bakti, melakar hala tuju dan mengemudi teraju pemerintahan terbentang seluas-luasnya, dengan kemudahan cukup selesa, apatah lagi berbekalkan majoriti dua pertiga. Peluang dan ruang itu disia-siakan; amanah dikhianati.

Punah dan berderai

Selama lebih lima dekad, rakyat menggantung harap agar negara dipacu dan dikendali secara penuh kejujuran, telus, berintegriti dan melaksanakan prinsip good governance. Diimpikan suara mereka didengar, pemimpin turun padang menyelami degup jantung rakyat, kongkongan dibebaskan, tuntutan agama dijulang dan maruah sebagai insan dipertahan.

Galasan harapan itu punah. Kalungan impian itu putus berderai. Elit penguasa hanya mahukan mandat dan sokongan, tetapi tidak bersedia memikul tanggungjawab setulusnya.

Dalam sistem demokrasi, menukar kerajaan adalah lumrah dan tidak perlu dirisaukan. Kerajaan yang menyeleweng dan gagal menjalankan amanah akan direhatkan. Di negara maju, peralihan kerajaan tidak pernah membawa kehancuran sebaliknya dilihat suatu penambahbaikan.

Pemerintah yang bergelumang rasuah serta menyebabkan ekonomi negara merudum, kebajikan rakyat terabai, hutang meningkat dan peluang pekerjaan terbatas segera "dipencenkanan" apabila mandat berakhir. Malah, jika keadaan terdesak, undi tidak percaya boleh dikemuka di Parlimen, atau ada parti sekutu yang menarik balik sokongan.

Namun, di negara kita, Perdana Menteri Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, untuk kesekian kalinya mendendangkan kembali lagu lama. Mengetahui mood rakyat untuk berubah semakin kuat, kedua-duanya mengulangi "nasihat berbaur ugutan", dengan harapan dapat mengendurkan komitmen untuk menukar kerajaan itu.

Berita Harian, 1 Februari memilih tajuk depan "Jangan ikut emosi -- Ubah kerajaan secara mendadak boleh hancurkan negara: PM".

Gertakan Najib

Najib, mengikut laporan itu, mengingatkan rakyat bahawa perubahan mendadak dan tidak terancang untuk mengubah pentadbiran negara tidak menjamin kesan positif kepada masa depan negara.

"Sebaliknya, Najib berkata, "sebarang perubahan perlu mengikut undang-undang serta akal fikiran dan bukan kerana emosi akibat terpengaruh dengan dakyah semata-mata."

Pelik bin ajaib, Najib sebenarnya mahu merendahkan kemampuan berfikir masyarakat kita apabila cuba menegakkan benang basah. Siapa sebenarnya yang galak mempermainkan emosi rakyat? Pihak manakah yang memilih pendekatan perkauman dan menabur fitnah untuk kekal berkuasa? Bacalah Utusan Malaysia, tontonlah Buletin Utama TV3, anda sudah tahu jawapannya.

Lihatlah isu-isu yang dikemukakan BN dan bandingkan dengan Pakatan, siapa yang berterusan membakar emosi dan menolak perdebatan sihat? Lagipun, hasrat untuk menukar kerajaan tidak pernah berlaku secara mendadak. Ia suatu proses yang agak lama dan memakan masa. Sesiapa pun yang begitu lama ditindas, dizalimi, diperbodoh dan dikhianati, sampai waktunya akan bingkas menuntut hak.

Bosan, muak dan jelak

Rakyat telah membuat penilaian menyeluruh terhadap pemerintahan lima dekad Umno-BN. Mereka telah bosan, muak dan jelak dengan siri salahguna kuasa, kecurangan, rasuah, penompokan kekayaan buat elit penguasa, sikap meremehkan pandangan rakyat.

Selepas 55 tahun, mengapa arus perubahan ini masih dianggap mendadak? Peluang telah diberi secukupnya. Rakyat juga telah mencuba menukar kerajaan negeri sejak 1959 lagi, tetapi hanya berjaya di beberapa negeri. Di Parlimen, majoriti dua pertiga BN hanya berjaya disekat pada 2008.


Sukar dipastikan sama ada Dr Mahathir benar-benar serius dengan kenyataannya pada 31 Januari lalu atau seperti hanya bersifat sinikal atau sindirin halus seperti lazimnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja mereka berkuasa.

Mahathir bakal ditangkap?

Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.

Dr Mahathir menambah, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.

Ujarnya, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan PRU13 diumumkan.

"Perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas," katanya.

Apa pun, daripada kenyataan Mahathir itu, dan juga penekanan Najib yang sering mengingatkan tentang bahaya pertukaran kerajaan, saya kira kedua-duanya memang risau, bimbang dan takut dengan keputusan PRU13.

Anwar balas dendam?

Mahathir seperti mahu menggambarkan sikap negatif pemimpin Pakatan, terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim, selepas berkuasa nanti, yang bakal membalas dendam dan bertindak di luar batas undang-undang.

Sekali gus Dr Mahathir mahu menghantar mesej bahawa Malaysia di bawah pentadbiran baru Pakatan akan bertukar huru-hura, rusuhan tercetus di sana sini, ekonomi merudum, pelabur takut dan pelancong lari. Mudah kata, anarkis!

Bukankah Mahathir juga yang membayangkan akan berlaku suasana tidak stabil jika BN kalah dalam PRU13?

Sedangkan, antara isu-isu asas yang sering ditimbulkan Pakatan ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara yang independen, dan pihak keselamatan -- khususnya pasukan polis -- yang profesional, tanpa mudah dipengaruhi elit politik.

Diganggu mimpi ngeri

Ataupun mungkin Mahathir sendiri sering diganggu mimpi ngeri memandangkan kezaliman yang pernah dilakukannya semasa berkuasa dahulu, bukan hanya kepada Anwar, yang diaibkan dengan seribu satu cara, tetapi juga mangsa yang dianiayainya, seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Tidak mustahil juga kerisauannya terhadap nasib dan masa depan anak-anak beliau, yang kini kaya-raya membolot khazanah negara. Mahathir tentu arif dengan kesalahan sendiri, sepanjang 22 tahun menerajui negara, menjadikan Malaysia seperti milik personalnya. Segala kehendaknya akan dipaksakan menjadi projek negara walaupun menghanguskan berbilion ringgit.

Apa pun, Mahathir harus ingat, jika beliau pernah bertindak ganas kepada orang lain, tidak semestinya mangsa kezaliman beliau itu akan bertindak serupa apabila mendapat kuasa. Beliau mungkin gelabah menunggu Anwar naik takhta.

Undang-undang tetap dihormati. Anwar sendiri kerap mengulangi, beliau dapat memaafkan kesalahan Mahathir, walaupun sukar melupakan. Namun, kata Anwar, setiap wang rakyat yang dirompak akan dipastikan kembali semula kepada yang berhak.

Usah panik, gelabah

Mahathir, Najib dan sekutunya usah panik. Negara ini mempunyai begitu ramai tenaga baruyang berkebolehan untuk memimpin dan mentadbir dengan lebih baik lagi. Cubalah berfikir secara rasional dan terbuka.

Mungkin Mahathir melihat pemansuhan ISA sebagai rahmat terselindung kepada pemimpin Umno-BN yang korup dan menyeleweng, iaitu mereka tidak akan dikurung tanpa bicara jika Pakatan berkuasa nanti.

Walhal sebenarnya, yang dipentingkan ialah keadilan harus meliputi semua orang, tidak terkecuali. Proses pendakwaan ke atas mereka yang disyaki bersalah dibuat secara telus, tanpa campur tangan politik.

Kezaliman, termasuk membalas dendam, adalah perbuatan terkutuk yang mesti dihindari sejauh-jauhnya. Rupanya Mahathir masih terkepung dengan corak pemikiran penguasa yang keras dan dominan, sepertinya dahulu.

Secara peribadi, saya mengangap proses perubahan di Malaysia mengengsot terlalu lambat, jauh daripada ciri-ciri radikal atau mendadak. Justeru, saya tidak mahu ia tertangguh lagi, melewati PRU13, 'kan?

Saturday, February 2, 2013

Wahai Pejuang.. dah nak Menang dah nie.. Jangan di remehkan potensi menang ini..!!!

Usah remehkan potensi menang

Ahmad Lutfi Othman, 03 Feb 2013

Mungkin tidak ramai menaruh harapan tinggi bahawa Melaka dapat dikuasai Pakatan Rakyat dalam PRU13. Malah, ada pihak menyifatkannya sebagai negeri paling selamat buat BN.

PAS dan KeADILan belum mempunyai wakil dalam sidang Dun Melaka. Lebih tepat lagi, tiada pembangkang Melayu dalam Dun berkenaan. Daripada 28 kerusi, DAP menang lima, manakala di peringkat Parlimen, BN hanya tewas satu kerusi di Kota Melaka, juga kepada DAP.

Ketika perhatian rakyat lebih tertumpu ke Putrajaya, kerusi Parlimen Bukit Katil dikira menjanjikan persaingan sengit, selain Alor Gajah yang diwakili MCA, parti yang dilihat semakin terhakis sokongan masyarakat Cina. Kedua-duanya merupakan kerusi campuran.

"Kami mungkin mempunyai 'kerajaan pembangkang' di peringkat negeri selepas PRU13 nanti," kata seorang rakan, yang lama menetap di Melaka. Beliau merujuk andaian BN masih kekal mentadbir negeri walaupun Putrajaya dijangka mengalami perubahan.

"Tanpa mengira suatu perkara luar biasa boleh berlaku nanti, Pakatan hanya dapat mengharapkan dua lagi kerusi Parlimen dari Melaka," tambahnya, sambil menekankan jumlah itu sudah cukup untuk membuatkan kerajaan persekutuan bertukar tangan.

Istilah pelik 'kerajaan pembangkang' itu sebenarnya dipopularkan media Umno-BN, yang ditujukan khas kepada negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, menzahirkan kejengkelan mereka untuk mengiktiraf pilihan rakyat yang menyokong Pakatan membentuk kerajaan baru.

Namun, dalam kunjungan ke negeri bersejarah itu, hujung minggu lalu -- 26 dan 27 Januari -- saya tetap merasakan kehangatan iklim perubahan yang kini melanda seluruh negara juga terpercik di Melaka.

Mood untuk sama-sama mencipta sejarah, terutama di kalangan pengundi kali pertama, tidak boleh diperkecil. Bagaimanapun, rakan saya, Zaili Muhammad, yang juga wartawan Harakah Melaka mengingatkan: "Kita perlu kerja lebih kuat, terutama mendekati anak muda yang nampaknya seperti selesa dengan kerajaan yang ada,"

Lagipun, Melaka yang dianggap telah mencapai tahap negeri maju lebih dua tahun lalu, tentunya membekalkan peluang akses maklumat yang memadai -- suatu prasyarat terpenting sebelum menyaksikan perubahan benar-benar berlaku.

Tsunami politik yang tertampan di Negeri Sembilan pada Mac 2008, dan dijangka membadai Johor kali ini, sudah pasti turut mempengaruhi kecenderungan mengundi di Melaka.

Apabila diundang dalam program bicara santai anjuran PAS Bukit Katil, malam Ahad itu, sambil membicarakan karya terbaru, Detik Utopia, berdasarkan pengalaman menghadiri wacana buku sebelum ini, saya tidak mengharapkan kehadiran melebihi 20 orang.

Namun begitu, Ketua Penerangan PAs Kawasan, Cikgu Yusof Wahab, yang bertindak sebagai moderator, tidak menunjukkan kerisauan walaupun ada dua tiga program lebih besar turut berlangsung pada masa sama. Alhamdulillah, dewan sekolah agama rakyat, Madrasah Ar- Rahmah, Ayer Molek, hampir penuh.

Semasa dialog, saya dapat mengesan masih ada kebimbangan terhadap masa depan politik Melayu sekiranya Pakatan menang PRU13. Sememangnya jarum halus dakyah Umno-BN tidak boleh diremehkan.

Ketika Pakatan menawarkan formula praktikal menangani isu-isu besar-kritikal negara, BN masih bermain dengan sentimen dan emosi yang berbahaya.

Lebih melucukan -- tetapi masih perlu ditangani dengan serius, bijaksana dan cermat -- apabila orang Melayu seolah-olah sedang menyaksikan satu perdebatan nasional bahawa siapa lebih tulus perjuangan Islamnya, di antara PAS mahupun Umno?

Satu waktu dahulu, tidak tergambar dalam lintasan fikiran kita bahawa Umno begitu ghairah mahu "bertanding" dengan PAS, daripada segi komitmen parti itu terhadap agenda perjuangan Islam.

Pengalaman lebih 50 tahun Umno menjadi tunjang pemerintahan negara, dan begitu dominan dalam Pakatan dan seterusnya BN, dengan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak merdeka, serta memegang jawatan dan kementerian kanan-strategik; ia sudah cukup untuk rakyat membuat penilaian seadilnya tentang rekod panjang pengkhianatan Umno.


Namun, strategis dan jurukempen Umno, termasuk Dr Mahathir Mohamad, melihat harapan terakhir mereka hanyalah pengundi Melayu. "Psikologi takut" sebahagian masyarakat Melayu dieksploit sepenuhnya, dengan momokan tidak masuk akal seperti "takut Cina kuasai Malaysia", "takut Kristian jadi agama terbesar", "takut DAP buang hak istimewa Melayu" dan macam-macam lagi yang menakutkan orang Islam.

Segera saya terbayang peringatan Dato' Mustafa Ali semasa program retreat Jabatan Pengarang Harakah, 19 Januari lalu, yang cuba menggambarkan situasi "sulit" PAS yang terpaksa berdepan langsung dengan Umno, parti yang dilihat terkuat dalam BN, dan menguasai pelbagai sumber dan kemudahan kerajaan.


"PAS yang dilihat agak tertekan hari ini berbanding dengan rakan-rakannya dalam DAP dan KeADILan, serta diserang kiri kanan oleh media, perlu pertahanan diri yang lebih kuat," ujar seorang penganalisis politik, lama sebelum Mustafa melontarkannya.

Pagi Ahad itu, saya bersarapan di Pekan Merlimau, bersama Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man. Beliau telahpun diisytiharkan sebagai calon wanita pertama di Melaka yang akan bertanding kerusi Dun Sungai Rambai.

Sambil menikmati roti canai telur di sebuah warung yang agak sibuk, Kintan bercerita tentang cabaran yang bakal didepaninya. Sesekali Pengarah MTD Sungai Rambai, Abdul Karim Kassim, mencelah, menjelaskan lagi situasi politik tempatan.

Walaupun Dun Sungai Rambai tidak diletakkan dalam kumpulan kerusi target, namun ia tetap dilihat berpotensi. Dalam pilihan raya 1999, pengundi Melayu di kawasan itu pernah memberikan antara undi tertinggi kepada PAS.

Kawasan itu juga berjiran dengan dua kerusi Dun yang dimenangi PAS di Muar, Johor pada 2008.

"Jika maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan tepat kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat keputusan dengan baik. Tempoh berkempen nanti adalah period paling penting, begitu juga dengan strategi dan pendekatan terbaik mendekati pengundi," kata Kintan.

Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya singgah di Masjid Tanah, satu-satunya kerusi Parlimen di Melaka yang bakal ditandingi PAS.

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail, lulusan pengajian media Universiti Malaya, yang agak kerap bertukar-tukar pandangan dengan saya mengenai Harakah, memaklumkan melalui SMS beberapa hari sebelum itu bahawa tanpa diduga, dia terpilih sebagai calon.

Kebetulan ada program di markas besar PAS Kawasan. Ketika saya sampai, majlis hampir berakhir. Nasaie nampaknya masih "terkejut" dengan keputusan parti, tapi dengan kerendahan diri bersedia memikul amanah.

Masjid Tanah terkenal dengan pantai yang panjang dan cantik dari Kuala Linggi, Kuala Sg Baru, Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara. Namun berbanding dengan Port Dickson dan pantai sekitar Bandar Melaka yang terletak bersebelahan, ia jauh ketinggalan.

Walaupun Masjid Tanah tidak tersenarai dalam kerusi Parlimen yang disasarkan PAS, Nasaie yang aktif dalam beberapa NGO berkaitan Felda dan Felcra itu tetap melihat keistimewaan profil pengundi di situ.


Misalnya, Masjid Tanah dipenuhi hampir 10 institusi pendidikan tinggi dan separa tinggiseperti UiTM, KUIM, Kolej Komuniti, IKBN, Kolej Matrikulasi, UNIKL, Kolej Risda, Institut Laut Malaysia (ALAM) dan lain-lain.

"Ia seumpama Bandar Baru Bangi di Selangor, menunjukkan masyarakatnya terbuka kepada maklumat dan bersedia berubah. Malah, ramai juga penduduk di sini bekerja di Lembah Klang," katanya.

Keazaman dan tekad anak muda ini cukup menyenangkan saya. Difahamkan PAS bakal menurunkan lebih ramai calon muda yang berketrampilan. Nasaie seperti juga Kintan, seakan-akan mahu membuktikan, walaupun kelihatan sukar dan tidak ramai menaruh harapan tinggi buat mereka, namun jangan pandang kecil potensi dan peluang di mana saja PAS bertanding.

Rakyat Malaysia bukan saja sudah sedia berubah, mereka sebenarnya tidak sabar-sabar lagi mahu mencipta sejarah. Dan tiada lagi "simpanan tetap" buat Umno-BN. Padang permainan semakin sama rata, terpulang kepada para pemainnya beraksi, walaupun pengadil masih belum bertukar.

Friday, February 1, 2013

Baru UMNO BN ada akai... Bila BUKU bertemu RUAS..!!

Bila buku bertemu ruas

Ahmad Lutfi Othman, 01 Feb 2013


Berbanding kajian badan-badan penyelidikan universiti yang lain -- khususnya Majlis Profesor Negara (MPN) -- saya lebih menunggu rumusan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Pertama, saya tertarik dengan kewibawaan pengarahnya, Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman. Beberapa kali berpeluang menemubualnya -- walaupun beliau lebih selesa dengan tema politik antarabangsa, terutama pergolakan di Timur Tengah, apatah lagi berkaitan gerakan Islam, misalnya Ikhwan Muslimin -- saya dapat mengesan pakar sejarah ini cukup mementingkan disiplin ilmu dan cermat dengan pendekatan penyelidikan.

Kedua, meneliti carta organisasi UMCEDEL dan barisan felo penyelidiknya, saya kira, ia satu kombinasi yang mantap. Ketiga, beberapa buku yang dihasilkan, seperti "Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian", serta empat judul tentang siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Sibu, menambahkan lagi keyakinan kepada UMCEDEL.

Tulisan ini bukan sekadar bertujuan untuk respons dapatan terbaru UMCEDEL, berdasarkan kajiannya pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013, yang dilihat menyenangkan pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya. Saya cuba meneliti "sisi-sisi gelap" Pakatan yang boleh diambil iktibar pemimpinnya bagi mengkoreksi diri sebelum terlambat.

Selagi Parlimen dan Dun belum dibubarkan, dan kempen secara rasmi belum berjalan, saya lebih teruja dengan hasil kajian, tinjauan pendapat atau himpunan persepsi rakyat, yang dikira berjejak dan membumi, biarpun nampak negatif buat Pakatan. Kadang-kadang sebagai "pemain aktif" di lapangan, kita keliru dengan tanggapan "penonton".


Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita membuat pemerhatian secara lebih menyeluruh, dengan gambaran akar umbi yang menghampiri realiti sebenar. Selama ini agak sukar kita menelah atau meramal kecenderungan pengundi walaupun dibuat bancian atau culaan undi dari rumah ke rumah.

Ungkapan "undi itu rahsia" ketika di pusat mengundi rupa-rupanya menjadi pegangan ramai rakyat Malaysia, walaupun sebelum dan selepas hari mengundi. Ia turut difaktorkan oleh suasana persekitaran yang tertutup dan tidak demokratik. Menyokong parti pembangkang waktu itu dianggap satu kesalahan dan boleh menyebabkan kepentingan tergugat.

Justeru, saya lebih suka memberi perhatian kepada hasil kajian yang memungkinkan Pakatan dapat meneliti kelemahan dan kealpaan, yang sebahagiannya mungkin tidak disedari.

Ia juga seharusnya membantu para strategis mengatur langkah ke depan atau menawarkan formula penyelesaian, tanpa perlu mempertikai atau merendahkan kredibiliti badan penyelidikan walaupun sememangnya terserlah "udang di sebalik batu".

(Di zaman begitu ramai cendekiawan boleh "diupah" bagi menemukan keputusan yang menyenangkan "pengupahnya", memang agak sukar mencari hasil penyelidikan politik yang benar-benar bebas).

Misalnya, apabila ada kajian mengunjurkan bahawa di antara empat negeri yang dikuasai Pakatan, kemungkinan Kedah sukar dipertahankan dalam PRU13, maka saya pasti rakan-rakan aktivis PAS di negeri kelahiran saya itu tidak memandang rendah perkara ini. Lagipun bukannya mudah untuk mempertahankan kemenangan untuk pusingan kedua.

Masing-masing melihatnya sebagai cabaran untuk merencanakan kembali pendekatan terbaik dan berusaha membetulkan salahfaham atau sistem penyampaian sehingga akhirnya memungkinkan Kedah dapat melonjak keluar daripada "zon kelabu".

Bagaimanapun, kajian UMCEDEL yang dikeluarkan pada 23 Januari, menghantar beberapa mesej
penting. Semasa banyak pihak lebih tertumpu kepada kemerosotan pengaruh BN dan menjunamnya populariti Najib, saya pula mahu menarik perhatian terhadap petunjuk lain.

Benar, populariti Najib merosot daripada 61 peratus (di antara 31 Mac - 15 April 2012) kepada 58 peratus (1 - 16 September 2012), seterusnya 54 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013).


Bagi kajian persepsi pengundi kali pertama dalam PRU13, Dato' Seri Anwar Ibrahim jauh mengatasi Najib, iaitu 52 peratus berbanding 30 peratus.

Pastinya soalan yang paling menarik minat penyokong Pakatan ialah: "Dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya?"

Walaupun keputusannya lebih memihak BN, dan kemerosotannya tidaklah begitu ketara, iaitu daripada 43 peratus (25 Oktober - 15 Disember 2011) kepada 42 peratus (26 Disember 2012 - 11 Januari 2013), namun peningkatan Pakatan nampak menonjol, iaitu daripada hanya 18 peratus kepada 37 peratus, berdasarkan tempoh yang sama.

Ia juga memaparkan keperitan yang terpaksa ditanggung Najib. Semakin dianjak tarikh PRU13 ke hadapan -- mungkin atas nasihat mentornya, Dr Mahathir Mohamad -- populariti Najib dan peluang BN kian merosot. Dan kini Najib tidak berpeluang lagi mencipta kejutan tarikh pembubaran Parlimen; dia sudah diasak sehingga ke dinding.

Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Hasil kajian UMCEDEL mendapati pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat Cina masih "tidak pasti", sama ada untuk mengundi BN ataupun Pakatan.

Dengan itu, persaingan sengit adalah untuk merebut hati dan menawan minda kedua-dua kategori ini: Pengundi muda dan masyarakat Tionghua. Sekali imbas, ia seolah-olah memberi kelebihan awal kepada Pakatan, namun kesungguhan Najib merapati kelompok belia, melalui pelbagai insentif dalam Belanjawan 2013, tidak boleh dipandang ringan.


Untuk meraih sokongan pengundi Cina, malah sehingga kepada 80 peratus, ia tidaklah mustahil, tetapi menghadapi karenah dan kompleksiti anak-anak muda, saya rasa peluang Pakatan dan BN hampir sama rata. Generasi muda, terutama yang pertama kali mengundi, masih belum membuat keputusan muktamad. Saya kira mereka terus memerhati, menilai dan menghakimi, sehinggalah hari mengundi.

Harus diingat, pemberian bermacam-macam bantuan secara berkala oleh kerajaan, seperti BR1M dan baucer buku, turut dapat meningkatkan sokongan kepada BN, iaitu 75% berbanding hanya 61% (September 2012).

Begitu juga persepsi terhadap program transformasi kerajaan, seperti Kilnik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia. 73 peratus melihatnya positif buat BN, malah kepada pengundi wanita, ia meningkat sehingga 80%.

Tanggapan positif terhadap Bajet 2011, yang dilihat memanfaatkan rakyat berada pada tahap 55%, namun bagi persepsi pengundi wanita melonjak kepada 63%. Sekurang-kurangnya ia memberi indikator penting -- walaupun telah disedar sejak lama -- bahawa kalangan kaum hawa lebih mudah dipengaruhi oleh BN. Dan seharusnya fenomena ini diberi tumpuan khusus, terutama oleh sayap wanita parti-parti dalam Pakatan.

"Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi 'tidak pasti'," kata Dr Redzuan. Tambahnya, pengundi Cina pula paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia serta sukar didekati.

Lebih menarik, majoriti pengundi "tidak pasti" ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM (18%) dan STPM (15%).


Meskipun pengundi Melayu mungkin dikira sudah membuat keputusan awal, tetapi pada hemat saya, wajar diberikan perhatian istimewa kepada petunjuk lain kajian UMCEDEL ini.

Dari segi persepsi pengundi Melayu, Najib berada di depan sebagai tokoh paling layak menjadi PM selepas PRU13, memperolehi 46 peratus, berbanding Anwar 34%, manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat 36%.

"Anwar wajar menilai kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya," kata seorang pensyarah sains politik, "mungkin propaganda media Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 sedikit sebanyak berkesan juga, terutama yang tidak terdedah dengan media baru. Anwar memang popular di kalangan masyarakat Cina dan juga pengundi kali pertama, tapi segmen Melayu perlu lebih tumpuan."


"Ya, Anwar dan jurukempen serta strategisnya wajar memandang serius tanggapan rendah orang Melayu kepadanya. Media alternatif, terutama akhbar bercetak seperti Harakah dan Suara Keadilan, patut menyemak kembali, bukan saja kandungannya tetapi lebih penting lagi ialah sistem dan rangkaian pengedarannya," kata seorang veteran politik yang rajin menghubungi saya, meluahkan rasa bimbang Pakatan mungkin kalah disebabkan masalah teknikal dan bukannya kerana ditolak rakyat.

"Saya bimbang dua organ parti itu tidak sampai kepada golongan akar umbi, yang masih bergantung dengan Utusan Malatysia dan TV3," tambahnya, sambil mengharapkan PAS dan KeADILan dapat merebut kembali sokongan majoriti masyarakat Melayu.


Mengenai isu-isu yang boleh menghalang sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat, soal percanggahan pendapat di kalangan parti-parti dalam Pakatan dilihat penting, iaitu 59 peratus, kekal seperti kajian pada September 2012.


Semasa kredibiliti pemimpin BN berada pada kedudukan paling rendah dan dilihat telah mengkhinati amanah rakyat sejak lebih 55 tahun lalu, Pakatan pula "diancam" oleh sedikit rasa curiga pengundi, ekoran perselisihan pandangan para pemimpinnya.

Dibimbangi terdapat golongan yang sudah muak dan jelik dengan karenah dan keletah pemimpin Umnp-BN, tetapi mereka tidak bersedia untuk berubah hanya kerana ketakutan tidak berasas terhadap "pertelingkahan" Pakatan. Elok benarlah jika pemimpin utama Pakatan bersikap "menutup mulut" bila berdepan media musuh, yang sengaja mencungkil kelemahan dan kesalahan.

Dalam pada itu, walaupun hanya 43 peratus bersetuju persoalan "dominasi DAP dan bukan Melayu dalam Pakatan", serta "kehilangan kuasa politik Melayu", boleh menjadi penghalang sokongan, bagi saya isu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, apatah lagi di kalangan responden Melayu, 53% bersetuju.

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin BN memang dimainkan dengan cukup berkesan. BN terpaksa lebih teliti dengan penampilan calon-calonnya dalam PRU13. Mungkin mereka perlu akur dengan senarai nama tokoh-tokoh yang tidak melepasi "tapisan" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebanyak 78 peratus melihatnya sebagai isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN. Lebih menakjubkan, di kalangan pengundi Cina, isu integriti dan salahguna kuasa ini memperolehi 95%, satu angka yang cukup tinggi.

Saya merasakan pengundi Melayu juga boleh mempunyai kecenderungan yang sama jika isu-isu seumpama itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan, terutama dengan mengemukakan kes-kes secara terperinci. Mungkin Harakah sendiri dapat membantunya, di samping penekanan oleh pemimpin PAS sendiri.

Hasil kajian UMCEDEL ini wajar ditelaah secara lebih khusus, juga mengambil kira tinjauan pendapat terbaru badan-badan penyelidikan lain, terutama Merdeka Centre. Masyarakat terbukti semakin terbuka dan bijak menilai, serta tidak bergantung dengan saluran maklumat tradisional sahaja.

Sementara Pakatan mengutamakan isu-isu yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian denyut nadi rakyat, BN masih dengan tradisi lapuk, iaitu bergantung harap dengan persoalan sensasi membakar sentimen, yang sengaja direka-reka bagi meneruskan "kebergantungan" pengundi Melayu kepadanya.

Friday, January 25, 2013

Adakah PR Kedah akan tumbang di sebabkan "over confident"..??

PRU13: Pakatan bernasib malang di Kedah?
oleh Ahmad Lutfi Othman

ustaz azizan
Semasa banyak pihak bercakap tentang kemungkinan besar Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya dalam PRU13, seorang veteran politik yang berpengalaman luas sejak 50 tahun lalu mengingatkan saya agar tidak terlalu "overconfident".

"Tak takut ke Lutfi?" tanyanya. "Takut apa pula?" balas saya, memang tidak dapat memahami maksud sebenar pertanyaannya.

Sebelum itu kami bersembang panjang tentang peluang, potensi dan cabaran Pakatan, khususnya PAS, berdepan dengan bermacam-macam taktik jahat Umno-BN. Jelas dia risau dengan persiapan pembangkang; baginya, masih longgar.

Kebetulan, jalur pemikirannya agak selari dengan tema yang selalu saya bangkitkan dalam tulisan, agar aktivis Pakatan lebih berhati-hati dan tidak "syok sendiri. AJK PAS Pusat, Khalid Samad semasa wacana buku "Detik Utopia" juga menyebut kekhuatiran saya terhadap kesepaduan dan kemantapan Pakatan, terutama di peringkat atas.


"Saya risau bila melihat ada rakan-rakan kita yang nampaknya bersikap terlalu yakin menang," jawab veteran politik itu. "Bagi saya, lebih elok kita menjangkakan situasi terburuk, worst scenario, dan dari situ kita merancang strategi bagi mengatasinya," tambahnya. Saya perhati ada kerutan di dahinya, petanda beliau serius dengan pandangannya.

"Benar, saya bersetuju," pintas saya. Bukankah selama ini banyak catatan saya menekankan agar pemimpin Pakatan dan aktivis oposisi tidak memandang rendah keupayaan pemimpin Umno untuk meraih kembali sokongan, khususnya melalui manipulasi 3M (media, wang dan jentera kerajaan)?

Memang banyak kaji selidik dan tinjauan di lapangan turut mengesahkan bahawa populariti BN dan Perdana Menteri Najib Razak sendiri semakin merosot, namun langkah berhati-hati dan berwaspada, serta mengurangkan seminimum mungkin kesilapan dan kesalahan -- walaupun kecil -- tidak boleh dipandang ringan.

Ini termasuk persepsi masyarakat terhadap persefahaman di antara parti-parti dalam Pakatan. Keyakinan dan kepercayaan rakyat pelbagai kaum terhadap barisan pemimpin peneraju perubahan tidak boleh disangsikan dengan beberapa "pertikaian" berterusan yang mereka saksikan melalui media.

"Malah ramai di antara kita turut meremehkan kekuatan pengaruh Utusan Malaysia dan TV3," saya cuba memancing pandangannya memandangkan beliau pernah menerajui media di bawah kawalan Umno.

"Ya, saya suka dengan istilah 'meremehkan' itu. Bahaya memandang rendah keupayaan lawan. Walaupun minda masyarakat sudah berubah, lebih progresif, serta makin ramai kelas menengah dan mudah akses dengan maklumat, tetapi masih terdapat mereka yang senang dipengaruhi, termasuk dengan hujah-hujah rasis yang tak masuk akal," tambahnya.

"Ada rakan saya, mempunyai kelulusan tinggi, profesional yang berjaya, tapi mengakui kepada saya baru-baru ini, dia akan menyokong BN dalam PRU13.

"Sdr tahu apa puncanya? Dia marah kerana kerajaan Pakatan di Pulai Pinang menindas orang Melayu. Jelas, dia termakan dengan dakyah Utusan dan TV3. Dia tidak pernah pun turun melihat sendiri keadaan di sana, dan saya rasa mungkin ramai lagi bertanggapan sepertinya." katanya sambil menjelaskan pertarungan merebut undi Melayu begitu kritikal sekali.

Dapat dikesan dengan jelas daripada intonasi suaranya bahawa veteran politik ini benar-benar mahu mengingatkan seluruh pendokong Pakatan agar segera "perketatkan apa yang longgar" dan "perkemaskan apa yang berserabut" serta tidak membiarkan salah faham masyarakat menganggu keputusan mereka semasa hari mengundi nanti.

"Bayangkan, ketika kita nampak overconfident menang Putrajaya dan menguasai banyak negeri-negeri lain, termasuk Johor dan Negeri Sembilan, tiba-tiba kita boleh kalah di Kedah," tegasnya dengan wajah serius.

Beliau menyebut Kedah kerana mengetahui saya berasal dari negeri Jelapang Padi itu. Malah veteran politik ini sendiri pernah aktif lama dalam politik di Kedah. Saya agak terkejut bagaimana dia boleh membuat kesimpulan atau jangkaan seperti itu.

(Apa pun, menurut seorang teman, bekas pemimpin belia, yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno Kedah, isu-isu yang ditimbulkan untuk menjejaskan imej kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan Abd Razak, sengaja diperbesarkan dan mudah disanggah. "Semua isu itu dapat dijawab dengan baik, cuma saya kurang jelas dengan sikap politik masyarakat Cina, adakah mereka terpengaruh dengan beberapa kontroversi, saya dengar mereka kurang puas hati," katanya).

"Ingat, kita pernah menang hanya sepenggal di Terengganu. Saya malu jika rekod itu diulangi di Kedah, ramai kenalan lama saya dari 'sebelah sana' tunggu untuk bersorak saja," katanya sambil ketawa. Meskipun gelaknya besar dan kedengaran menyenangkan sekali, tetapi saya kira beliau hanya mahu menutup rasa bimbangnya.

"Saya mahu melihat PAS menjadi parti teras dalam Pakatan dan menang besar dalam PRU13," sambungnya. "Tapi janganlah terlalu ghairah mengejar undi Melayu hinggakan sokongan sedia ada daripada bukan Melayu terlepas pula. Asas sokongan tradisi PAS mesti diperteguh, tetapi penyokong baru jangan dibiar kecewa."

"Masalahnya," kata saya, "PAS sekarang berdepan Umno selaku parti tunjang dalam BN, yang menguasai segala sumber kekuatan. Tidak mudah tugas ini. Berbeda dengan DAP yang menghadapi komponen BN paling lemah."

"Sebab itu," pintasnya cepat, "persiapan PAS mesti juga luar biasa, termasuk mengemukakan calon-calon hebat dan berwibawa, bukan sahaja "winnable candidite" tapi selepas memang nanti mampu memberikan servis terbaik dan berketrampilan semasa berbahas dan berdebat dalam sidang Dun atau Parlimen."

Segera saya teringat cadangan seorang pembentang dalam program permukiman (retreat) Jabatan Pengarang Harakah Ahad lalu: "Selalunya kita buat post-mortem selepas pilihan raya, dengan mencari punca-punca kekalahan, tapi kaedah ini tidak banyak manfaatnya sebab selepas empat atau lima tahun, situasi sudah banyak berubah.

"Lebih praktikal jika letakkan posisi kita sekarang sebagai pihak yang bakal kalah dengan mengandaikan punca kekalahan dan berusaha mengelaknya atau mencari formula penyelesaian lain."

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, yang turut diundang, turut mengingatkan: "Nampak daripada mood dan sambutan rakyat, kita seperti boleh menang tetapi saya bimbang jika kita boleh kalah disebabkan faktor-faktor teknikal. Oleh itu, saya cukup tertarik dengan inisiatif Bersih untuk merekrut puluhan ribu pemantau PRU13. Dalam waktu singkat, berupayakah kita menyediakan pemantau terlatih itu, dalam jumlah yang cukup besar?"

Monday, January 21, 2013

#LISTEN..Hentikan proses pembodohan di IPTA!

oleh Ahmad Lutfi Othman

Kontroversi "video Listen!" menyedarkan kita bahawa proses "brainwashing" dan "pembodohan" masih berterusan di kampus-kampus. Dan ia dilakukan secara terbuka serta dinaungi pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, majoriti mahasiswa, seperti dapat dikesan melalui paparan video berkenaan, nampak agak "kebingungan". Seolah-olah mereka bertepuk dan bersorak tanpa mengetahui hujung pangkal.

Terima kasih kepada ledakan teknologi maklumat dan keajaiban dunia komunikasi hari ini yang "secara tidak sengaja" telah mendedahkan  "penghinaan terhadap intelektual anak-anak muda" dan realiti sebenar di menara gading.

Sehingga 21 Januari, pengunjung klip video tersebut di YouTube mencecah lebih 960,000. Sekelip mata, pelajar tahun kedua undang-undang Universiti Utara Malaysia, KS Bawani dikenali ramai dan begitu popular.

Ada pihak melihatnya sebagai mengulangi jejak Adam Adli dan Umar Mohd Azmi, tetapi saya kira kes Bawani lebih klasik lagi.

UUM sejak sekian lama  dikenali sebagai antara universiti yang sukar memberi ruang selesa buat warganya menjalani kehidupan sebagai cendekiawan. Pernah mendapat jolokan "Universiti Untuk Mahathir" dan kewajiban mahasiswanya memakai "tali leher di tengah ladang getah" sering dijadikan bahan ketawa.

Saya teringat peristiwa lucu (dan juga tragis) pada akhir 1980-an, semasa menziarahi rakan-rakan pemimpin gerakan pelajar di Taman Siswa, Bandar Darul Aman, dekat Jitra (UUM ketika itu masih di kampus sementara).


Saya terpaksa dibawa menyelinap dari satu rumah ke rumah yang lain, kononnya untuk mengelabui pengawal keselamatan. Mereka cukup bimbang pelajar UM dipengaruhi "anasir asing".

Difahamkan, agak kerap pihak HEP melakukan pemeriksaan mengejut (spot check) ke atas bilik pengenapan mahasiswa yang disyaki menyokong pembangkang (PAS). Bukti yang dijumpai hanyalah buku-buku mengenai gerakan Islam!

Proses "cuci otak" ini -- seperti lagak Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin -- bukan hanya tertumpu di UUM atau kampus IPTA yang lain, khususnya di UiTM dan kampus-kampus yang agak muda usianya, malah melibatkan kakitangan awam di setiap peringkat, terutama dikendalikan Biro Tata Negara (BTN).

Program "brainwashing" itu selalunya dianjurkan secara tertutup, sarat dengan sentimen perkauman dan berselindung di sebalik faham agama yang sempit. Walhal tujuan sebenarnya hanyalah untuk mempertahan dan mengukuhkan kuasa Umno-BN.

Lagu "Anak Kecil Main Api", yang dinyanyikan di Perhimpunan Agung Umno 2012 merupakan mantera yang sentiasa diulangi dalam program indoktrinasi itu sehingga "bercucuran air mata" mengenang nasib malang "bumi dipijak milik orang". Alahai!

Bawani juga mengenangkan saya satu lagi peristiwa "memalukan", kali ini di kampus tertua, Universiti Malaya. Cuma adegan tersebut tidak dirakam dalam YouTube, sebaliknya hanya sekeping gambar mati.

Tarikhnya, 10 Februari 2011. Sekumpulan 20 mahasiswa UM dihalang secara tidak bertamadun daripada mengadakan sidang media, membantah beberapa peraturan pilihan raya kampus, yang sememangnya sengaja digubal untuk memberi laluan sukar kepada kumpulan Pro-M.

Tiba-tiba sahaja seorang pengawal keselamatan bertindak nekad menekap mulut seorang aktivis mahasiswa ketika beliau mahu memberi ucapan dalam sidang media itu. Gambar itu memang klasik dan patut diabadikan dalam sejarah "pembodohan massa" ini!

Dalam video Listen itu juga menyerlahkan bagaimana mahasiswa UUM dimomokkan dengan propaganda murahan mengenai demonstrasi jalanan, khususnya Bersih. S Ambiga diburukkan imejnya secara terbuka, begitu juga dengan pemimpin Pakatan.

Dan ketara sekali Sharifah dan konco-konconya mahu memaksakan pandangan mereka terhadap mahasiswa secara unilateral.

Cuma, saya kasihan melihat gelagat seorang pemimpin pelajar yang mengetuai bacaan ikrar-- yang kontang nilai dan maknanya -- rasanya Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UUM. Nampak dengan jelas beliau seperti "diperbudakkan" oleh Sharifah.

Saya turut bersimpati dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilihat begitu bersungguh-sungguh, malah ikhlas, mahu membebaskan universiti daripada segala elemen yang merendahkan martabat ilmu dan ilmuwan.

Pada 5 Januari lalu, saya mengikuti forum anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang membincangkan pembabitan pelajar dalam PRU13, termasuk sebagai calon pilihan raya. Saifuddin yang diundang sebagai penalis (dan bersedia hadir) memberikan buah pandangan dan reaksi menarik, serta mengemukakan beberapa cadangan untuk mengembalikan status universiti ke landasan asalnya.

Saya kira Saifuddin keseorangan dan tidak mendapat sokongan, bukan sahaja daripada pemimpin Umno-BN, malah idea pembaharuannya itu diremehkan oleh pentadbir tertinggi universiti.

Baru-baru ini, beberapa universiti mendapat naib canselornya yang baru dan mereka yang dilantik itu merupakan bekas timbalan naib canselor yang menjaga hal ehwal pelajar. Sepanjang mengetuai HEP, permusuhan mereka  dengan mahasiswa yang mahukan perubahan begitu ketara.

Lebih menarik, mereka juga terbukti begitu aktif menekan persatuan pelajar dan turut memomokkan isu demonstrasi jalanan ini, seperti dilakukan Sharifah Zohra Jabeen dalam forum di UUM, pada 8 Disember 2012 itu.

Seorang profesor menulis surat kepada saya memaklumkan ia bukan satu kebetulan. Katanya, memang sengaja dipilih pegawai kanan yang berjasa  "menjinakkan" pelajar, sekali gus menyumbang kepada kepentingan elit penguasa itu sendiri. Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno.

Sepatutnya kes Bawani ini membuka jalan untuk kita meneropong dengan cermat apa sebenarnya berlaku di kampus-kampus?  Ia bukan saja menghimpit kehidupan mahasiswa tetapi juga "memenjarakan" para pensyarah dan kakitangan akademiknya. Kemudahan yang mereka terima dan lingkungan  universiti juga cukup daif dan langsung tidak menyuburkan tradisi ilmu.

Ada kalangan akademia yang masih memegang teguh idealisme terpaksa menelan segala peraturan dan situasi yang mengongkong itu asalkan dapat terus berbakti buat anak bangsa.

Dr Maszlee Malik sempat berkongsi "keperitan" tersebut dalam forum bersama Saifuddin itu. Saya kira sampai masanya perjalanan IPT di negara kita dibedahsiasat secara holistik ... atau mungkin proses itu lebih mudah jika kerajaan persekutuan bertukar tangan, insya-Allah.

Wednesday, January 16, 2013

HKR #KL112 : UTUSAN RTM TV3 kekal primitif namun Sinar dan Akhbar Cina wajar dipuji..!!

HKR: Akhbar Cina, Sinar Harian wajar dipuji; Utusan TV3 kekal primitif
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Harakah edisi Isnin lalu terpaksa dilewatkan penerbitannya bagi mendapatkan liputan terkini Himpunan Kebangkitan Rakyat, 12 Januari 2013. Lazimnya deadline kami, pada Jumaat malam; ada kalanya terlajak sekitar jam 3 pagi Sabtu, malah kadang-kadang sehingga azan Subuh.

Himpunan bersejarah paling aman itu berakhir lebih kurang jam 5 petang Sabtu. Kami perlu bergegas menyiapkan bahan untuk  proses percetakan tidak boleh melewati tengah malam. Saya masih di hotel dekat Pudu Sentral, sehingga jam 6 petang. Mengambil masa berehat sebentar sebelum memulakan tugasan. Malangnya, seorang editor jatuh pitam semasa berjalan balik dari Stadium Merdeka dan proses editing dan rekabentuk tersangkut sehingga 2 pagi.

Rakan-rakan di bahagian pengedaran berhak untuk khuatir jualan merosot jika pembeli menunggu lama sehingga senja Ahad, apatah lagi jumlah cetakan sengaja ditambah.

Alhamdulillah, sambutannya laris, mengulangi terbitan Harakah untuk siri demonstrasi Bersih, yang juga kami lewatkan percetakannya. Ramai mahu mengabadikan foto besar yang menghiasai dari muka depan ke back cover itu sebagai poster untuk tatapan awam.

Pagi-pagi Ahad, 13 Januari,  ketika lenguh seluruh badan menapak ke Stadium Merdeka belum terubat, kolumnis A Shukur Harun menelefon: "Lutfi, dengar suara pun sudah maklum anta tak sihat, tapi harap dapat beli akhbar-akhbar Cina hari ini dan bandingkan dengan surat khabar Melayu. Jangan tunggu sampai tengahari, nanti habis!"

Tidak lagi kemudian, seorang lagi rakan SMS: "Pagi ini aku cari Sinar Harian di lima kedai, semua habis. Masa minum di kedai tadi, aku tengok orang sebelah baca, memang menarik. Laporannya seimbang."

Selain lidah rasmi PAS dan KeADILan, Sinar Harian dikira akhbar yang berani mencarik adat. Ia bukan sahaja  bersedia melaporkan dengan penuh tanggungjawab, tetapi dapat membantu pembaca melihat sesuatu isu secara lebih menyeluruh.

Pastinya semua sudah maklum akan "tabiat dan kelakuan pelik" media yang dikawal ketat Umno-BN -- khususnya Utusan Malaysia dan TV3 -- dalam menyorot HKR ini ... ya, sejak awal lagi.

Tentulah rakan-rakan wartawan di media berkenaan berhak membuat liputan yang menguntungkan bos politik mereka, tetapi usahlah sengaja menurunkan martabat diri, misalnya dengan membuat gelaran yang bukan-bukan seperti "Himpunan Shamsidar".

Lebih bebal lagi, momokan yang dimulakan oleh seteru ketat Anwar Ibrahim, Nallakaruppan itu, turut dilafazkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad. Saya belum mendengar PM Najib Razak mengulanginya.

Mendengar Buletin Utama TV3, yang merujuk semua liputannya tentang HKR sebagai Himpunan Shamsidar, awalnya saya rasa marah dan panas telinga, tetapi selepas diulang-ulang istilah itu,  terbetik perasaan kasihan bercampur lucu, terutama kepada kawan-kawan di sana.

Terbukti Umno dan segala jentera propagandanya tidak pernah berubah, malah makin mengarut, tersasar dan terbabas, walaupun menyedari kuasa BN terancam. Rakyat yang semakin cerdik dan matang terus diperbodoh tanpa segan. Kalau bukan kerjaya sebagai wartawan, saya sendiri sudah lama melupakan Utusan, tetapi terpaksa juga mengikuti tohmahan dan fitnah terhadap pembangkang.

Pagi Ahad itu, anak saya terpaksa berpusing-pusing juga sekitar Ampang mencari akhbar Cina. Rupanya bukan saya seorang, bahkan ramai lagi yang bergegas membelinya hanya untuk melihat gambar-gambar menarik -- bukan hanya di muka depan tetapi menempati empat lima halaman penuh di dalam -- tanpa  memahami walaupun satu kalimat!

Ketiga-tiga naskhah akhbar Cina yang saya tatap pagi hujung minggu itu memaparkan foto sama  di muka depan -- pemandangan dari udara, menunjukkan bukan saja Stadium Merdeka penuh sesak hingga tiada ruang kosong di tengah padang, malah ia melimpah keluar, bersesak-sesak, dalam lingkaran beberapa kilometer di sekitarnya.


Prof Dr Shaharir Md Zain, anak Melayu pertama memperolehi PhD dalam matematik, melalui kaedah pengiraan tersendiri, menganggarkan hampir 700,000 orang menyertai HKR. Manakala Pengerusi HKR, Mohamad Sabu -- berdasarkan kutipan sumbangan hadirin, khususnya di dalam stadium, iaitu sekitar RM280,000 -- meletakkan angka setengah juta peserta.


Daripada himpunan gambar-gambar yang dipilih akhbar Cina itu, laporannya cukup positif, menggambarkan suasana harmoni peserta HKR pelbagai kaum, dengan gaya santai dan mimik muka ceria. Ada foto di muka depan menunjukkan tiga orang, pertengahan umur, rasanya dari kalangan Melayu, India dan Cina, tersenyum girang sambil memegang banner mendokong tuntutan bersihkan proses pilihan raya.

Sementara itu, Malaysiakini membuat analisis ringkas kandungan akhbar hujung minggu yang dikawal Umno-BN itu. New Sunday Times, yang meletakkan tajuk utama "Simply Irresponsible" (Memang Tak Bertanggungjawab) menyiarkan gambat besar tiga wanita, termasuk seorang darinya mengintai dari celah pagar besi kedai yang hampir ditutup.

Mingguan Malaysia menggunakan tajuk utama "Penganjur langgar syarat" dan tajuk kecil "Polis berjaya kawal himpunan pembangkang" di muka depan.

kl112 coverage 130112 utusanDalam intisarinya, akhbar tersebut menyebut polis bertindak dengan "bijaksana" namun peserta melanggar syarat dengan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dan juga "sepanduk menghasut dan boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan". Ia juga menyebut dakwaan satu blog bahawa peserta dibayar RM200 hingga RM700.

Muka depan itu dihiasi gabungan tiga gambar ibu bapa bersama anak masing-masing dengan kapsyen "Undang bahaya".

Berita Harian pula langsung tidak menonjolkan apa-apa berhubung perhimpunan berkenaan di muka depannya. 

Berdasarkan respons dalam FB saya, ramai kenalan yang sudah lama tidak membaca akhbar-akhbar berkenaan. Mereka menyifatkan "membuang masa" saja saya memberi perhatian istimewa kepada kandungan "akhbar tali barut" Umno itu.

Sebagai pengamal media, saya menghormati dasar editorial akhbar masing-masing, tapi janganlah sampai menghina diri ke tahap pencacai yang tidak bermaruah. Boleh saja menggelapkan berita dan gambar perhimpunan raksasa tetapi mengapa perlu menggelarnya Himpunan Shamsidar?

II.
Sejak lebih sebulan, Pengerusi HKR, Mohamad Sabu, merupakan orang paling sibuk menjelajah seluruh negara. Himpunan yang bermula di Seremban Jaya, 3 November lalu dan melintasi semua bandar-bandar besar membawa mesej penting dan kritikal, khususnya bagi memastikan PRU13 berjalan bebas, bersih dan adil.

Mulanya kami menetapkan temujanji pada petang Selasa lalu, tetapi sehari sebelumnya, iaitu tengahari Isnin, Timbalan Presiden PAS itu menelefon minta segera berjumpa. Saya di Restoran Haslam, tidak jauh dari pejabat, baru menjamah hidangan. Disebabkan tidak dapat menunggu lama, kerana banyak urusan penting yang perlu dibereskan, Mat Sabu terpaksa mencari saya di restoran. 

Beliau minta disiarkan iklan semuka penuh, menzahirkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada peserta HKR, termasuk petugas daripada Jabatan Amal, AMK dan DAPSY yang bertungkus-lumus memastikan kelicinan program, selain pihak polis yang berjaya menunaikan janji untuk bertindak sebagai pemudahcara (bukan lagi provokator ataupun menganggu majlis!).

Semasa kami bersembang, dua rakan wartawan Harakah, Roy Rasul dan Nyza Ayob datang untuk bertanya lebih lanjut hal HKR. Memang tidak selesa berbicara semasa restoran penuh tetapi Mat Sabu tidak mempunyai masa terluang petang itu kerana perlu ke Kota Bharu. Lebih mendesak, deadline Harakah untuk sisipan Fikrah mesti disiapkan malam itu juga. 

Perbualan kami kerap tertangguh apabila banyak panggilan masuk. Hampir semuanya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mengendalikan himpunan Ahad lalu. Beberapa  pengunjung restoran kelihatan menyapanya, bersalam atau sekadar menunjukkan tanda bagus; pastinya merujuk acara kemuncak HKR yang menarik perhatian semua pihak itu.

Beliau nampak lega dan selesa. Saya cuba membayangkan perasaannya ketika Stadium Merdeka penuh sesak petang Ahad lalu dan Mat Sabu merupakan penganjurnya. Pastinya pertimbangan utama beliau ialah keselamatan orang ramai yang memenuhi setiap inci stadium.  

Dia menceritakan hubungan baiknya dengan pihak polis dan sentiasa berinteraksi dengan OCPD Dang Wangi semasa program berlangsung. Timbul juga soal ugutan yang diterimanya melalui SMS bagi menakutkan beliau.

Ternyata pasukan keselamatan dalam bertindak profesional dan independen sekiranya tidak diganggu elit penguasa yang lebih mementingkan survival politik daripada keselamatan awam.

Mungkin teguran berbisa bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan -- walaupun menyinggung penggantinya, Ismail Omar -- turut menyumbang ke arah formula praktikal yang melegakan semua pihak.  

Teringat saya kos sia-sia yang terpaksa ditanggung apabila siri himpunan Bersih digempur polis. Bayangkan, di peringkat awal dahulu, memakai baju kuning pun menjadi satu kesalahan besar sehinggakan pembantu restoran Bangladesh pun ditangkap disebabkan baju seragam oren mereka.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat 11 Jun 2012, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Husseein menjelaskan kerajaan menanggung RM1.8 juta daripada Bersih 3.0 pada 28 April.

Hishamuddin juga memberitahu sidang Dewan Rakyat, menjawab  soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh), kos keseluruhan yang dibelanja oleh PDRM bagi menangani Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 adalah sebanyak RM2,018,850.06.

Selain itu, tambah Hishamuddin, sejumlah 11,046 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal keselamatan di Lembah Klang termasuk 2,600 yang dikerah untuk siap sedia di kontinjen-kontinjen seluruh negara.

Sepanjang berjalan dan kemudiannya menyusuri Jalan Sultan dengan teksi apabila sukar mengheret kaki lagi, sehinggalah ke pintu stadium, saya perasan tidak ramai polis yang berkawal.

Begitu juga semasa saya berpusing-pusing di sekitar ibu kota pada sebelah paginya, polis trafik pun jarang-jarang kelihatan. 

Rupanya tanpa kelibat polis, apatah lagi FRU, kita menjadi lebih selesa. Pelik juga 'kan?

Najib memilih jalan selamat apabila tidak melanjutkan konfrontasi dengan peserta himpunan, sebaliknya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama baik melicinkan aturcara program, berbeda dengan timbalannya, Muhyiddin dan mentornya, Dr Mahathir.

Sebenarnya Najib tidak banyak pilihan. Sekiranya pasukan polis dikerah untuk menggempur rakyat -- seperti lazimnya -- saya yakin kehadiran tetap melimpah. Rakyat tidak takut lagi dengan gertakan dan ancaman, malah sebahagiannya mungkin lebih bersemangat jika meraka cuba dihalang.

Dan imej PM dan BN sendiri akan menjunam lebih teruk; situasi cukup berbahaya di saat-saat akhir menjelang Parlimen terpaksa dibubarkan.

Ketika ini, saya tidak mahu menghitung untung-rugi politik kepada Najib dan juga Pakatan Rakyat ekoran HKR. Yang penting, kita telah menunjukkan tradisi yang baik. 

Pendekatan konfontasi dan bermusuhan tidak membawa manfaat, sebaliknya amalan rundingan dengan fikiran terbuka, tanpa terlalu terikat dengan peraturan yang sedia mengongkong dapat memberi laluan kepada "politik baru" untuk berkembang.  

Terbukti sudah, perhimpunan aman, biarpun melibatkan ratusan ribu orang pada Ahad lalu -- termasuk kanak-kanak dan juga bayi, juga OKU dan orang-orang tua --  seperti juga siri pertemuan yang sering dihadiri Perdana Menteri, yang dihadiri pelbagai lapisan umur, dapat berjalan lancar, harmoni dan tenteram sekali. Alhamdulilah.

Saturday, December 22, 2012

Anwar: Usah remehkan minda politik orang kampung!

oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak lama saya tidak menghadiri program politik di sebelah malam, terutama selepas serangan angin ahmar kedua, seminggu sebelum Ramadan lalu. Bagaimanapun, Syarahan Baling, malam Jumaat lalu, 10 Disember, di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya berjaya menarik saya ke sana. Saya terasa ada elemen nostalgik yang mengheret.

Demonstrasi Baling, 3 Disember 1974, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, terutama dalam konteks perjuangan golongan bawahan tertindas, masyarakat petani di luar bandar, yang miskin dan hilang hak untuk sama-sama menikmati kehidupan berkualiti (sebenarnya sekadar untuk cukup makan-pakai-tempattinggal).

Baling juga simbol komitmen tinggi gerakan pelajar -- menjelang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 -- menjuarai isu-isu rakyat, menyelami penderitaan dan ratap tangis kelompok terpinggir apabila inflasi melambung, harga getah menjunam dan elit penguasa bersikap tidak peduli.

Ia gabungan padu yang terjalin di antara mahasiswa, tenaga akademik dan juga penduduk kampung, bukan hanya di Baling tetapi juga kawasan sekitar, seperti Sik dan Kulim.

Malah tiga bulan sebelum itu, di Tasik Utara, Johor, mahasiswa turun membela golongan miskin yang diperintah keluar dari rumah yang mereka dirikan di Kampung Barisan Nasional atas janji pemimpin Umno sebelum PRU 1974. Kediaman dirobohkan dan tapak ganti tidak diberikan. Bersama penduduk yang teraniaya mahasiswa berkampung di hadapan pejabat Menteri Besar.

Dalam kedua-dua episod itu, lebih seribu mahasiswa ditahan polis. Di Baling, pada 1 Disember 1974, hampir 30,000 berdemonstrasi, manakala lebih 5,000 pelajar menunjuk perasaan di Kuala Lumpur (Saifuddin Abdullah; Kalau Saya Mahasiswa). Masjid Negara yang menjadi tempat perlindungan demonstran dicabuli anggota FRU. Kampus UM digempur polis melalui Operasi Mayang; autonomi universiti berkecai.


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, aktivis AMK merakamkan kembali catatan dalam majalah Ar-Risalah, terbitan ABIM 1975 mengenai peristiwa itu: "Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid serta melepaskan tembakann gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat "ALLAHU AKBAR" dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan. Sementara menunggu ketibaan waktu Zuhur mereka berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan fardu Zuhur secara berjamaah .

"Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfield dan Jalan Bandar. Pada sebelah malamnya mereka ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.

"Polis memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah ISA.”

Tanpa sedar, rupanya dalam diri saya masih meruap semangat sebagai bekas pemimpin pelajar pertengahan 1980-an, yang dikira era malap selepas 10 tahun kampus diserkup Auku dan pelbagai peraturan karut-marut HEP (Hal Ehwal Pelajar) -- meletakkan mahasiswa tidak lebih daripada pelajar sekolah.

Majlis anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, 10 Disember, diserikan tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam kebangkitan rakyat yang mencipta sejarah itu. Syarahan utama disampaikan Anwar Ibrahim, sebelumnya Dr Syed Husin Ali dan forum melibatkan Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Susulan tunjuk perasaan yang menggegarkan tanahair itu, kelima-limanya menjadi mangsa kezaliman ISA, dan yang paling lama merengkok di Kamunting ialah Dr Syed Husin, hampir enam tahun, diikuti Anwar dua tahun. Sebenarnya tarikh 10 Disember merupakan Hari Hak Asasi Manusia yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Dalam bicaranya, Syed Hamid, bekas Setiausaha Agung PSRM, kini aktivis KeADILan di Batu Pahat, membawa misalan menarik.

"Dalam perjuangan ini, saya tidak lebih daripada sebatang lidi sahaja. Tetapi janganlah kita lupa banyak lagi lidi-lidi yang lain, yang bertebaran di sana sini.

Mari kita kumpulkan lidi-lidi itu dan mengikatnya menjadi penyapu yang dapat membersihkan segela penyelewengan dan kezaliman," ujarnya bersemangat, disambut tepukan bergemuruh lebih 1,000 hadirin.

"Demonstrasi Baling membuktikan, di mana ada kezaliman dan penindasan, pasti di situ ada penentangan dan perlawanan. Ia bukan hanya hukum sosial atau hukum sejarah saja, tetapi juga hukum fizik. Semakin kuat sesuatu itu dibaling, maka akan lebih kuatlah pantulannya," kata adik kepada Dr Syed Husin itu.

Dr Syed Husin pula menjelaskan, selepas hampir 40 tahun demonstrasi Baling, keadaan negara kita, terutama dari segi keadilan sosial, tidak banyak berubah. "Sebab kerajaan pun tidak pernah berubah," tegasnya.

"Baling menunjukkan perlu persefahaman, kesatuan, penggabungan tenaga dan jalinan erat semua pihak bagi menjayakan gerakan perubahan. Tidak harus dibiarkan segelintir kecil orang, tapi besar kuasanya, melakukan kezaliman.

"Saya tidak percaya satu orang boleh membuat perubahan. Anwar, yang teruk dizalimi dan difitnah sejak 14 tahun lalu, hanya lambang kepada perubahan itu, dan kita mesti bersatu melakukannya," kata Dr Syed Husin semasa memperkenalkan Anwar sebagai pemidato utama Syarahan Baling.

Malam itu Anwar bercakap agak serius, menekankan aspek-aspek penting perubahan dan konsep pembangunan yang ditawarkan. Beliau banyak mengutip kata-kata sarjana terkemuka, di antaranya Malek Ben Nabi dan Alexis de Tocqueville.

Saya lebih tertarik apabila Anwar menekankan sesuatu yang bermakna buat mereka yang mahu sama-sama mencetuskan perubahan dalam PRU13: "Demonstrasi Baling mengingatkan kita agar jangan mudah mengandaikan kelompok miskin di daerah terpencil, yang kurang mendapat maklumat, rendah pendidikan formalnya, masih dihimpit kemiskinan dan kekurangan asas, tidak mampu bangkit untuk menentang pemimpin zalim dan sistem bobrok."

Anwar menyanggah tanggapan yang mendakwa penduduk kampung ketika itu berani bangun melawan disebabkan hasutan mahasiswa atau orang luar yang lebih terpelajar. Katanya, setiap manusia mempunyai potensi dan nurani untuk melakukan perubahan, apatah lagi selepas ditindas dan ditekan.

Beliau mungkin mahu menepis andaian bahawa masyarakat di pelosok desa, yang tidak mendapat akses maklumat seperti orang bandar, tidak tergolong dalam kelas menengah, sukar menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Tsunami politik lebih empat tahun lalu dikira banyak disumbangkan oleh kelompok berpendidikan tinggi di kota dan pinggir bandar, yang dianggap lebih celik politik berbanding masyarakat di pedalaman, selain protes terbuka masyarakat bukan Melayu.

Agak ramai juga penganalisis politik, termasuk pemimpin oposisi sendiri, yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada pengundi luar bandar, terutama yang mendiami kampung Melayu tradisi dan penempatan Felda, untuk memudahkan misi Pakatan ke Putrajaya.

"Saya tidak bersetuju dengan andaian itu. Lihat saja di Kelantan, yang diperintah PAS sejak lebih 22 tahun lalu," tambah Anwar sambil menolak nasihat kepadanya agar usah buang masa membentangkan data dan statistik tentang ekonomi negara, termasuk fakta tentang defisit, apabila berceramah jauh di kampung-kampung. "Saya diminta membawa isu-isu mudah seperti kenaikan harga barangan asas dan seumpamanya," ujarnya.

"Tak semestinya golongan terpelajar di bandar lebih berilmu dan memahami isu. Misalnya semasa di Chuping, Perlis, sebuah rancangan Feldam saya bertanya kepada seorang penduduk kampung, apakah negara kita pernah dijajah, beliau mengakuinya. Sedangkan ada profesor sendiri tidak tahu perkara ini," Anwar berseloroh, disambut gelak ketawa penonton.

Bagi saya, teguran Ketua Pembangkang itu harus diberi perhatian serius oleh penggiat parti, terutama PAS dan KeADILan, yang bertembung langsung dengan cabaran masyarakat desa dan peneroka Felda, di luar kubu tradisi pembangkang. Proses pendemokrasian harus merentasi segenap ruang.

Ada kalanya kita meremehkan keupayaan berfikir dan menganalisis oleh segmen pengundi terpenting itu, yang masih dianggap penyokong kuat BN. Meskipun mengakui mereka sasaran terpenting yang perlu didekati, namun tidak banyak usaha terancang dibuat bagi meningkatkan kesediaan untuk melakukan perubahan. Sebaran maklumat masih tersekat. Persepsi songsang sukar diperbetul.

Saya sendiri bertemu rakan-rakan yang masih setia menyokong BN bukan disebabkan habuan atau imbuhan yang mereka terima. Kelihatan mereka ikhlas dan mempercayai hanya Umno mampu mempertahankan "ketuanan" dan kepentingan Melayu. Mereka seolah-olah yakin kedudukan orang Melayu akan tergugat apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, dengan DAP menjadi teraju utamanya.

Malah di Terengganu, yang mana lebih 96 peratus penduduknya orang Islam, Umno tetap memainkan isu PAS dikuasai, atau menjadi kuda tunggangan, oleh DAP, walhal tiada satu kerusi pun ditandinginya.

Boleh saja anda rumuskan bahawa mereka ini naif berpolitik tetapi ia bukan hanya membabitkan masyarakat di kampung atau golongan berpendidikan rendah. "Kerisauan masa depan politik Melayu" itu turut dikongsi oleh kelompok kelas menengah, memegang jawatan tinggi-strategik dan terdedah kepada limpahan informasi.

Di sebelah tengahari, sebelum Syarahan Baling pada malamnya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, semasa majlis diskusi ringkas bersama Jabatan Pengarang Harakah, menekankan bahawa dalam PRU13, jentera kempen Umno-BN akan mengeksploitasi semaksimum mungkin isu-isu sensitif berkaitan agama dan perkauman.

"Untuk BN pertahan kuasa, kali ini mereka mainkan isu sentimen, bukan fakta lagi. Untuk pertahankan undi kerana hilang harapan kepada Cina, kini Umno terpaksa menggunakan isu sentimen perkauman untuk mendapatkan undi Melayu dan bumiputera Islam," ujarnya.

Mat Sabu seterus menceritakan pengalamannya bersembang dengan seorang pensyarah universiti semasa menunggu pesawat di lapangan terbang, di Johor. "Dia beria-ia minta PAS bertanding bersendirian, jangan berpakat dengan parti lain, terutama DAP. Katanya, jika PAS konsisten solo memperjuangkan nasib bangsa dan agama, akhirnya ia akan diterima rakyat juga," katanya.

Beliau cuba menjelaskan kepada pensyarah itu situasi yang PAS alami setelah sekian lama bertanding bersendirian, termasuk hilang pertaruhan di Johor. "Selepas bersembang lama barulah saya sedar, pensyarah tadi sebenarnya dipengaruhi oleh kursus indoktrinasi BTN (Biro Tata Negara) yang baru dihadirinya," tambah Mohamad Sabu.

Selanjutnya orang no 2 PAS itu mengingatkan: "Saya tidak memandang rendah keupayaan Umno-BN untuk memanipulasi sentimen itu. Biarpun isu-isu yang dimainkan itu bukan berjejak di bumi nyata, tetapi Umno yang berpengalaman lama memerintah negara tahu ia cukup berkesan kepada sebahagian besar pengundi Melayu."

Apabila saya posting peringatan Mohamad Sabu itu dalam Facebook, seorang rakan, wartawan politik membalas melalui SMS: "...tapi saya masih pelik kenapa dalam isu raih undi Melayu, Pakatan macam buat kesilapan yang tidak sepatutnya, macam beri bola tanggung kepada Umno-BN."

Tanpa menjelaskan lebih terperinci maksudnya, kawan baik saya itu berpesan: "Andai dalam PRU13, Pakatan atau PAS terutamanya masih gagal menguasai kerajaan persekutuan, yang pertama harus dipersalahkan ialah diri sendiri."

Anwar dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Alor Setar, 7 Disember lalu, juga mengingatkan hal yang sama. Penilaian awal harus dibuat terhadap prestasi gerakerja pilihan raya dan juga mengamati kemungkinan terdapat kesilapan yang dilakukan oleh jentera Pakatan sendiri.

Menjelang pecutan terakhir berkempen PRU13, saya kira penegasan Anwar, pengakuan Mohamad Sabu dan pesanan sahabat saya itu elok dijadikan renungan bersama. Walaupun nampak seolah-olah ada sedikit pertentangan di antara ketiga-tiganya, namun masa masih berbaki untuk membuat "post mortem" terlebih dahulu, agar isu-isu "yang terlepas pandang" dapat diberi perhatian.

Keghairahan melakukan perubahan di tengah-tengah sambutan hebat massa terhadap Pakatan, misalnya seperti ditunjukkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat tidak harus melupakan kita tentang aspek-aspek terselindung yang masih perlu diteliti.

Anwar mengingatkan dalam Syarahan Baling, 10 Disember lalu, agar tidak hanya menumpukan kepada golongan kelas menengah untuk membawa perubahan, sebaliknya masyarakat kampung terpinggir yang tidak begitu terdedah dengan maklumat juga berupaya mencipta sejarah, seperti dibuktikan dalam demonstrasi Baling, 3 Disember 1974. Turut kelihatan, Dr Syed Husin Ali.