Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts
Showing posts with label Azmin Ali. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Lucah: Azmin tuntut Utusan bayar RM100 juta

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali (gambar) hari ini menuntut Utusan Malaysia membayar RM100 juta kerana menyiarkan gambar lucah palsu.

Azmin melalui peguamcaranya Tetuan Edwin Lim suren & Soh mengeluarkan surat tuntutan kepada Utusan Berhad Melayu (Malaysia) yang memiliki akhbar Utusan Malaysia dan menuntut editornya menarik balik tuduhan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka di muka depan Utusan Malaysia.

“Memandangkan seriusnya aib dan edaran akhbar di seluruh negara, Azmin Ali telah menuntut sejumlah RM100 juta sebagai ganti rugi.

“Azmin Ali telah memulakan prosiding undang-undang ini untuk menjustifikasi nama dan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin negara dan ahli politik, dan untuk mempertahankan hak orang ramai kepada kewartawanan yang adil dan bersih,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan.

Katanya, dakwaan-dakwaan tersebut dan gambar-gambar yang direka, bermotifkan politik dan rendahnya etika kewartawanan.

Tambahnya, imej yang bersifat lucah yang mengaitkan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak telah telah disiarkan pada muka hadapan Utusan Malaysia 2 Mei, semalam.

Wednesday, May 2, 2012

Kalih Isu - Bila tak terdaya nak berhujah Isu BERSIH 3.0 maka UMNO kembali ke asas KELUCAHAN mereka..!!

UMNO beralih kepada kepakaran fitnah bila rakyat bangkit dalam BERSIH 3.0

Parti Keadilan Rakyat mengutuk keras tindakan terbaru UMNO dan para pengendali laman-laman blog upahan mereka yang menjadikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamad Azmin Ali sebagai mangsa fitnah mereka.

Parti Keadilan Rakyat menggesa Presiden UMNO Najib Razak tampil mengambil tanggungjawab dan tidak lagi bersikap "baling batu sembunyi tangan".  Hakikat bahawa media kawalan UMNO seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang begitu bernafsu menyambung fitnah terhadap Mohamad Azmin Ali  (gambar kiri) sekadar mengesahkan peranan Najib Razak yang memberikan laluan lampu hijau.

Budaya politik kotor yang di luar batas adab dan akhlaq ini sewajarnya dihentikan.  Budaya fitnah ini amat jauh dari pendekatan wasatiyyah yang dilaungkan oleh Najib Razak dalam pemaknaan dan pengertian dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhamad saw melalui rentetan sirah.

Apakala UMNO berada dalam keadaan terdesak dek kebangkitan dan penolakan rakyat terhadap mereka sepertimana peristiwa terbaru BERSIH 3.0 di mana rakyat membebaskan diri dari perasaan takut untuk turun beramai-ramai, UMNO akan beralih kepada kepakaran sebenar mereka yakni mencipta fitnah.  Harapan UMNO rakyat dapat melupakan perbuatan ganas polis ke atas rakyat, SPR yang terus memanipulasikan pilihanraya dan propaganda media kawalan UMNO yang membuta tuli mempertahankan fitnah dan kezaliman mereka.


Parti Keadilan Rakyat lantas mengajak rakyat mengambil pengajaran daripada peristiwa fitnah yang menimpa isteri kesayangan Nabi Muhamad saw Ummul Mukminin Aisyah ra yang difitnah berbuat jahat dengan seorang sahabat yang terkenal wara' dan kebaikannya.  Peristiwa ini mendedahkan peranan golongan munafik yang mencipta dan menjaja fitnah ini.  Golongan ini wajib ditolak dan ditentang habis-habisan.  Peristiwa ini juga memberi pengajaran bahawa membanteras perbuatan fitnah menjadi tugas dan kewajipan sesama muslim demi melindungi dan memelihara maruah saudara seagama.

Parti Keadilan Rakyat mengajak rakyat seluruhnya menolak dan meninggalkan UMNO yang terus mengamalkan politik fitnah pada pilihanraya ke-13 akan datang.  Rakyat semakin matang dan jika UMNO beranggapan mereka terus boleh kekal berkuasa dengan politik fitnah ini ternyata UMNo silap besar.  Rakyat mampu membezakan di antara haq-batil, adil-zalim dan mahmudah-mazmumah.

*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail (gambar kanan, kanan) selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

Friday, January 6, 2012

Azmin dedah yang Mahadet perkenalkan dia kepada Anwar dan suruh bantu Anwar....!!

Bahagian Pertama

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali meluangkan masa bersama wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir, Izmil Amri dan Mazir Ibrahim serta jurugambar Wira Andika untuk berkongsi pengalaman dan cabaran politik semasa. Dalam suara dan bahasanya sendiri, beliau memperkenalkan dirinya.

Saya boleh katakan saya ini reluctant politician. Saya bukan seorang ahli politik daripada asal. Saya berkhidmat dengan orang politik. Saya memberikan sumbangan dan khidmat saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selama 13 tahun, mulai seawal 1987 ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, kemudian kita beralih ke Kementerian Kewangan, sehinggalah ke Jabatan Perdana Menteri dan sehingga beliau dipecat pada 2 September 1998.

Namun sebelum itu kalau diperlukan saya kongsi sedikit latar belakang saya, saya ini bukanlah daripada keluarga aristokrat. Saya berasal dari sebuah keluarga yang sederhana.

Ayah saya

Allahyarham ayah saya seorang bekas tentera yang berkhidmat dengan British Army di Singapura, sebaik sahaja Singpura berpisah dengan Malaysia, beliau balik ke Kementerian Pertahanan dan semenjak itu kita mula meneroka tanah kerajaan di kampung Klang Gate Baru Hulu Kelang semenjak tahun 1968.

Dan ketika itu saya berumur 4 tahun, mula dibesarkan dalam keluarga ini di kampung Klang Gate. Sebagai seorang anggota tentera, pegawai rendah, ayah saya seorang sarjan mejar sahaja, nombor tenteranya 3443, saya ingat lagi. Seorang yang cukup berdisiplin, tegas.

Mungkin latihan yang diterima dalam ketenteraan, dan dia menerapkan watak ketegasan dan disiplin ini di kalangan ahli keluarga khususnya anak-anaknya, dan saya dibesarkan dalam keluarga sebegini, tegas berdisipllin patuh kepada arahan dan ianya telah membentuk saya daripada kecil. Dan Allahyarham ayah saya ini walau pun dia berkhidmat dengan tentera selama 21 tahun, beliau mengambil keputusan untuk bersara awal dan menceburkan diri dengan advertising company di jalan Riong Bangsar.

Kambing, ayam dan ikan keluarga saya

Pada masa yang sama juga dia mahu kami melalui satu proses pembesaran yang tidak dengan jalan yang mudah. Sebenarnya, tak ramai yang mengetahui saya pernah menjadi penternak kambing…bukan lembu, ya.

Ketika saya berusia 17 tahun dan sedang menghadapi SPM saya masih ingat lagi di kampung Klang Gate, ketika itu Taman Melawati sedang dibangunkan, iaitu pada tahun 1981, saya di tingkatan 5. Dalam kesibukan saya menyiapkan diri untuk SPM, ayah saya mendesak supaya saya menternak kambing.

Saya ingat lagi 20 ekor kambing, tidak mudah cara menternak kambing ini kerana kalau hujan dia tak boleh keluar, kita terpaksa pergi cari daun nangka untuk memberi makan kepada kambing. Kalau cuacanya baik saya terpaksa bawa kambing-kambing ini pergi ke dalam kebun getah daripada pukul 4 petang hinggalah waktu maghrib, bawa kambing balik ke kandang.

Saya telah melalui proses ini, saya juga telah dididik untuk menjadi seorang pekebun, kita ada tanah kerajaan yang kita teroka di empangan kampung Klang Gate, di mana sekitar dua ekar tanah dibangunkan dengan menanam pisang, nangka, durian, serai, cili sayur-sayuran dan ulam dan lain.

Setiap hari Sabtu dan Ahad, merupakan dua hari yang wajib saya bersama ayah dan abang saya untuk berada di kebun tersebut dan hasil daripada penanaman ini kita kumpulkan dan kita bawa ke pasar tani untuk dijual. Saya melalui proses tersebut, dan tidak cukup dengan itu, ayah juga cuba menternak ayam daging.

Lebih lima ribu ekor diternak dan sekali lagi saya diarahkan terlibat secara langsung dalam membantu beliau dalam menternak ayam daging ini, tidak mudah untuk uruskan najis-najis ayam yang dijadikan baja, untuk memberikan makanan dan menjaganya dengan memasang lampu pada stiap malam juga saya melalui proses itu.

Tak cukup itu saya juga telah terlibat secara langsung dalam menternak ikan air tawar, dalam halaman rumah juga tanah liat tanah yang keras. Namun saya tahu bahawa ayah saya bukan mendera tetapi melatih kita melalui satu proses pembesaran dengan jalan yang sukar supaya kita faham apa itu erti kemiskinan, apa itu erti kepayahan.

Walau pun kita tidak perlu sebenarnya melalui proses ini, dia mahu anak-anaknya supaya memahami masalah rakyat pada ketika itu dan tanah-tanah yang keras di keliling rumah dikorek menjadi kolam-kolam ikan, dan kita menternak ikan keli dan ikan air tawar yang lain dan kita telah pun berjayalah dari segi itu.

Melanjutkan pengajian tinggi ke Amerika Syarikat

Sehinggalah saya selesai SPM dan Alhamdulillah keputusan itu membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dengan tajaan MARA untuk membuat kursus Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik. Pada waktu saya dalam program MARA di mana saya perlu balik dan mengajar di Maktab Rendah Sains MARA.

Namun saya juga mengambil kesempatan di sana, dan oleh kerana peluang yang telah diberikan dan suasana pendidikan yang cukup kondusif, saya juga mengambil satu lagi matapelajaran, iaitu ekonomi, dan saya telah berjaya menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik dan juga ekonomi.

Kemudian saya telah membuat rayuan untuk meneruskan pengajian dalam bidang matematik dan juga ekonomi. Dan saya pulang ke Malaysia pada tahun 1987 untuk berkhidmat dengan MARA, tetapi pada ketika itulah DSAI menawarkan saya berkhidmat dengan beliau sebagai pegawai khas pada ketika itu sebagai Menteri Pendidikan dengan mendapat sokongan dan dokongan yang kuat daripada (Perdana Menteri pada masa itu) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, sewaktu perbicaraan DSAI, saya pernah memberikan keterangan dalam mahkamah, bahawa saya diperkenalkan kepada DSAI oleh Dr. Mahathir sebenarnya. Saya tidak kenal DSAI, saya lebih mengenali Dr. Mahathir kerana aktiviti saya di Amerika Syarikat dalam kesatuan pelajar yang aktif untuk membantu mempertahankan dasar-dasar kerajaan pada waktu itu.
Bagaimana Dr Mahathir perkenalkan saya kepada Anwar

Sekitar pertengahan tahun 1980-an ada satu kebangkitan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang menentang kerajaan (Malaysia) secara besar-besaran. Ketika itu isu mengkafirkan orang UMNO oleh PAS, dan oleh kerana ketika itu gerakan Islam di kalangan pelajar Malaysia di Amerika itu cukup kuat, maka mereka juga sama-sama menentang UMNO dan Barisan Nasional.

Saya masih ingat insiden di mana Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mohktar yang juga Naib Presiden UMNO masa itu membuat lawatan ke AS dengan membawa dana yang besar untuk menyampaikan kepada pelajar-pelajar tetapi ditolak malahan dihalau oleh pelajar-pelajar.

Itu menunjukkan sentimen para pelajar ketika itu. Maka ketika itulah saya diperkenalkan kepada Dr. Mahathir oleh Duta Besar Malaysia, Liew Sik Hon, orang kuat MCA yang menjadi Duta di Washinton DC. Dia membawa saya bertemu dengan Dr. Mahathir sekitar tahun 1983 di Chicago. Itulah kali pertama saya bertemu dengan Dr. Mahathir dan beliau meminta saya membantu bagaimana kita dapat mendekati pelajar-pelajar dan menerangkan dasar-dasar kerajaan supaya dapat meredakan ketegangan pada ketika itu.

Alhamdulillah, saya telah memberikan pandangan dan sumbangan ke arah tersebut dan hubungan saya dengan Dr. Mahathir semakin akrab dan setelah tamat pengajian, Dr Mahathir yang pada ketika itu akrab dengan saudara Anwar telah meminta saya membantu DSAI.

Maka itu saya mula bersama dengan DSAI mulai tahun 1987 sehingga 1998. Memang benar saya salah seorang yang paling lama berkhidmat dengan DSAI. Berbeza dengan satu, dua watak yang baru mengenali DSAI tetapi telah mengkhianati beliau dan perjuangan, malah telah membuat kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan perwatakan dan personaliti DSAI.
Anwar yang saya kenali

Bagi saya mereka ini adalah mereka yang tidak mengenali beliau sepenuhnya dan dipergunakan oleh musuh-musuh DSAI untuk menyerang dan melakukan fitnah. Sebagai orang yang lama dan paling lama sebenarnya berkhidmat dengan DSAI, bagi saya beliau seorang yang cukup tegas dan memikul amanah ini dengan baik dan bertanggungjawab seorang Muslim yang kuat aqidahnya, seorang Melayu yang kuat keMelayuannya tetapi pada masa yang sama mempunyai sikap yang adil dan saksama kepada kaum-kaum yang lain.

Ini semua kerana beliau melihat kepelbagaian ini juga dituntut oleh Islam tidak sekadar melihat Islam dan Melayu itu sebagai agenda tetapi menolak kaum-kaum yang lain. Sebab itu prinsip kepelbagaian ini atau pun apa yang sering disebut-sebutnya dalam Bahasa Cina yang bermaksud “kita semua dalam satu keluarga”.

Kata-kata ini diucapkan bukan dalam zaman Reformasi, beliau telah menyebut ini ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lagi. Ini bermakna ia merupakan satu conviction beliau sebagai Islam, sebagai Melayu tetapi pada yang sama kita mesti menerima kenyataan yang Islam menuntut kepelbagaian, Islam menuntut kerjasama dengan kaum-kaum dan agama-agama yang lain. Jadi beliau memegang prinsip yang berkenaan.

Bagi saya, saya bersyukur kerana pengalaman berkhidmat dengan DSAI ini banyak mendidik saya dan membentuk perwatakan saya.

Yang pertama, saya dapat belajar bagaimana kita nak menguruskan manusia ini. Tidak mudah dengan pelbagai latar belakang dan pelbagai watak tetapi kita mesti ada kebijaksanaan untuk urus perkara-perkara ini.

Yang kedua, sudah tentulah bagaimana kita nak mengurus dan mentadbir krisis dengan berhemah dan bertanggungjawab. Sudah tentulah isu-isu lain, soal foreign policy, isu-isu antarabangsa, isu-isu politik, ekonomi dan sebahagian besarnya kita tak ada peluang untuk belajar di dalam kuliah di universiti atau kolej.

Tetapi melalui pengalaman seperti ini, saya mula berkhidmat dengan beliau seawal usia 24 tahun dan di usia begitu muda saya diberikan pendedahan untuk bersama-sama dengan beliau dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh negarawan besar di dunia bukan saja di Timur Tengah atau pun di Eropah dan juga di negara Barat.

Kalau di peringkat Malaysia ini saya masih ingat ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia ada satu Forum Ilmuan Malaysia (FIM), dan kita bertemu dengan mereka setiap bulan di mana ia melibatkan tokoh-tokoh akademik daripada universiti, daripada civil society, tokoh-tokoh politik untuk membincangkan bukan isu kepartian tetapi isu masyarakat, isu negara dan mendapat input dan maklum balas daripada pakar-pakar berkenaan sebagai resource persons.

Itu bagi saya amat penting. Orang-orang politik ini jangan terlalu banyak bermain politik sehingga memutuskan hubungan mereka dengan tradisi keilmuan. Sebab itu sehingga hari ini DSAI menekankan pimpinan keadilan mesti banyak membaca, mesti banyak berdamping dengan tokoh-tokoh ilmuan sama ada soal Islamnya, soal ekonominya dan juga bidang-bidang yang lain supaya kita dapat membuat keputusan berasaskan ilmu, kita tidak membuat keputusan berasaskan emosi atau sentimen.

Apa-apa isu itu dapat ditangani kalau kita memiliki ilmu yang tinggi. Dan, ilmu ini perlu dipelajari walau pun kita sudah berada di suatu kedudukan yang tinggi, tetapi ia tidak bermakna jika kita tidak berdampingan atau pun hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh akademik.

Di peringkat regional juga sudah tentulah DSAI merupakan tokoh yang dilihat dapat menjana perubahan. Sebab itu saya kesal dengan serangan-serangan jahat termasuk Raja Petra Kamaruddin dan pecacai-pecacai UMNO yang lain dengan mengatakan DSAI ini unfit to be a Prime Minister (“tidak layak menjadi Perdana Menteri”).

Bagi saya, siapa mereka ini untuk menentukan masa depan parti dan DSAI, sedangkan pandangan dunia tidak begitu. Pandangan dunia melihat DSAI ini bukan sahaja milik keadilan, bukan sahaja milik Malaysia tetapi milik antarabangsa. Sebab itu beliau mendapat undangan hampir setiap minggu untuk berkongsi pengalaman dan ilmu beliau bagaimana dunia ini dapat bekerjasama dalam konteks globalisasi pada hari ini.

Sebagai contoh, pada 9 Januari ini, pada hari keputusan mahkamahnya, sepatutnya beliau berada di India atas undangan cucu Mahatma Gandhi dalam satu seminar penting dalam soal demokrasi. Begitu juga Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan telah menyusun satu program besar untuk beliau pada 12 Januari ini bersama dengan tokoh-tokoh akademik dan kemasyarakatan di Turki untuk membincangkan soal bagaimana masa depan Islam dan Barat untuk kita maju kehadapan.

Kesetiaan saya kepada idealisme dan perjuangan Anwar

Bagi saya, kalau dunia melihat ketokohan kewibawaan DSAI, siapa satu, dua kerat manusia upahan UMNO ini untuk mempertikaikan kewibawaan dan juga ketokohan DSAI. Dan saya sebagai orang yang lama dengan beliau, 13 tahun dalam kerajaan semenjak beliau dipecat dalam tahun 1998 sehingga hari ini saya masih setia dengan beliau.

Saya sudah hampir 30 tahun bersama DSAI. Isu yang harus kita bincangkan, iaitu soal kesetiaan, ini juga bagi saya isu penting dalam perjuangan. Dan bagi saya, saya bukan setia kepada DSAI kerana batang tubuhnya, tetapi kerana prinsipnya dan idealisme yang dibawa oleh beliau yang saya tertarik dan saya melihat ia dapat mendidik anak bangsa untuk berpegang kepada prinsipnya.

Itulah rentetan yang dapat saya kongsi dari zaman persekolahan saya, zaman universiti dan khidmat saya kepada DSAI. Sekarang saya terlibat langsung dalam KeADILan (PKR) dan Pakatan Rakyat.

Bagi saya rumusannya ialah saya bersyukur kerana saya dapat mendekati DSAI dalam konteks rasmi ketika dalam kerajaan dan hari ini dalam konteks perjuangan dalam Pakatan Rakyat.

Pengalaman yang saya perolehi cukup luas, bukan saja dalam konteks kedaerahan atau pun dalam konteks tempatan tetapi juga pengalaman-pengalaman saya berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa melalui DSAI itu cukup luas. Sudah tentulah ia dapat membantu KeADILan khususnya dan juga Pakatan Rakyat dalam meneroka masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

Inilah peranan saya dan saya akan terus memberi khidmat kepada parti dan perjuangan Pakatan Rakyat walau apa pun berlaku kepada DSAI pada 9 Januari nanti. – Roketkini.com

Ikutilah Bahagian Kedua wawancara Roketkini bersama Azmin Ali pada petang Isnin 9 Januari ini

Monday, June 20, 2011

Apa dia nie SPR.. 6 Melayu, 5 Cina di alamat ibu Azmin..!!!

6 Melayu, 5 Cina di alamat ibu Azmin

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mencabar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan jika gagal membuktikan apa yang dikatakannya mengenai daftar pemilih suruhanjaya itu tidak benar.

Menurut Azmin, beliau mempunyai bukti berdasarkan daftar pemilih diwartakan 13 Mei lalu, terdapat seramai 11 pengundi luar beralamat di rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Gombak, dekat sini.

“Bagaimana SPR boleh letak enam pengundi Melayu dan lima Cina di alamat rumah ibu saya. Ibu saya tinggal di rumah itu seorang diri sejak kematian ayah saya beberapa tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya SPR di sini, semalam.

Azmin dalam satu kenyataan 14 Jun lalu mempertikaikan SPR kerana tidak memberi alamat lengkap pengundi dalam daftar pemilih SPR sehingga menyukarkan pihaknya untuk mengenal pasti identiti mereka.

Susulan pada itu, Wan Ahmad menafikan kenyataan Azmin lalu menggesa pemimpin PKR itu mengemukakan bukti.

Selain itu, Azmin turut wujud beberapa alamat rumah pangsapuri bagi pengundi di Kampung Klang Gate Baru yang tidak mempunyai sebarang bangunan tinggi.

Beliau turut mempelawa untuk membawa sendiri Wan Ahmad melawat kampung itu yang hampir kesemua penduduknya berketurunan Melayu.

“SPR perlu ingat kita memerhatikan mereka,” katanya.