Showing posts with label Prof Dr Aziz Bari. Show all posts
Showing posts with label Prof Dr Aziz Bari. Show all posts

Sunday, October 16, 2011

Aziz Bari: Kenyataan Dr Mahathir melucukan

October 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Okt ─ Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan respons bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam kononnya kenyataan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini sebagai kurang ajar adalah “agak melucukan.”

“Saya lihat pandangan itu (Dr Mahathir) agak melucukan... saya tidak tahu nak kata apa... tengok siapa yang bercakap,” kata Aziz (gambar) dengan merujuk kepada perkembangan berkaitan dengan isu-isu istana ketika kepimpinan Dr Mahathir, yang juga bekas presiden Umno.

“Saya sebenarnya tidak mahu kata apa-apa, tidak mahu beri respons mengenai kenyataan Dr Mahathir ini... kita tahu siapa beliau,” kata beliau sambil menambah, semua pihak tahu pendirian Dr Mahathir dan kandungan ucapannya semasa hendak mengkaji semula kekebalan raja-raja.

“Saya hanya sentuh mengenai kaedah tindakan sultan, dan jika kita melihat ucapan dan kenyataan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri, ia menjangkaui aspek itu, beliau telah menyentuh asas institusi diraja... tengok balik kenyataan dan ucapan-ucapan beliau,” kata Aziz.

Semalam Dr Mahathir menyifatkan kenyataan Aziz berhubung titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama “sebagai kurang ajar.”

Beliau berkata, kenyataan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu bertentangan dengan moral masyarakat timur dan boleh disifatkan sebagai kurang ajar dalam budaya Melayu.

“Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar,” kata Dr Mahathir dipetik Bernama.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Aziz yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin Umno membuat laporan polis agar dikenakan tindakan ke atas Aziz.

Dalam kenyataannya semalam, Aziz ada memberitahu bahawa beliau sedang mengkaji dengan serius untuk menyaman Utusan Malaysia dan media lain yang menurut beliau telah memutar belit kenyataannya tentang titah Sultan Selangor.

Kata pakar perlembagaan ini, pihak-pihak terbabit sepatutnya mengulas dan menganalisis pendapat beliau, bukannya menuduh “derhaka” dan meminta pengurusan Universiti Islam Antabangsa mengambil tindakan ke atasnya.

“Saya tidak pernah menafikan kuasa Sultan sebagai ketua agama; malah saya akui kuasa itu. Saya hanya komen bagaimana kuasa itu digunakan,” kata beliau.

Aziz berkata di bawah undang-undang Malaysia tidak ada konsep derhaka atau kurang ajar.

“Tuduhan derhaka dan kurang ajar itu mahu memprovokasi masyarakat supaya membenci saya. Mereka juga putar belit kenyataan saya kononnya saya enggan minta maaf,” kata beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Dr Mahathir, Aziz berkata, kemungkinan negarawan itu sudah lupa dengan apa yang beliau telah lakukan semasa menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

“Beliau sudah lupa, mungkin sudah tidak ingat... sudah lupa,” katanya dengan merujuk kepada perkembangan kes meminda Perlembagaan Persekutuan tahun 1983 dan 1993 selain respons berkaitan dengan krisis politik Perak 2009 dan isu berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor akhir tahun lalu.

Monday, September 12, 2011

Mahathir merepek, kata Aziz Bari

Bahang polemik kemerdekaan negara kini berpindah kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula selepas beliau hari ini menyokong pendapat Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Zainal Kling bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

NONEPensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari (kiri) berkata, sebuah portal berita membuat semakan dan menemui versi berbeza pendiriannya - yang dilapor merujuk zaman prakemerdekaan sebagai "zaman penjajahan British" dan "pemerintahan kolonial British".

"Mahathir merepek; lupa? Buat-buat lupa?" soalnya merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ketika membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 .

Sehubungan itu, Dr Abdul Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, persetujuan Dr Mahathir dengan pandangan Dr Zainal menunjukkan bahawa kedua-dua mereka "putar alam".

"Agaknya apa yang TDM (Tun Dr Mahathir) kata hari ini menunjukkan yang mereka semua dalam denial syndrome (sindrom penafian).

"Ini bahaya sebab kalau depa betul-betul kalah nanti depa akan kata itu atas kertas saja. Depa akan terus memerintah," katanya lagi.

Pemuda PAS: Mengarah, bukan menasihat

Dr Mahathir hari ini berkata, secara teknikalnya Tanah Melayu tidak terjajah kerana sultan memutuskan menjemput British datang menasihatkan cara mentadbir negeri.

Bagaimanapun, katanya, apabila sudah berada di sini, British akhirnya beroperasi seolah-olah negara ini dijajah, sekali gus tidak memberi nasihat, tetapi arahan.

NONESementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kiri) pula berkata, walau apa pun hujahnya, pada hakikatnya British bukan menasihat, mengarahkan sultan mengikut telunjuk mereka.

"Bermakna British lebih berkuasa daripada baginda Sultan pada waktu tersebut," katanya sambil membariskan beberapa persoalan yang perlu dijawab Dr Mahathir dan sarjana sejarah.

Persoalan itu antaranya:
  1. Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957? Sultan atau British?
  2. Apakah rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh kepada pemintah pada masa tersebut?
  3. Apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Baharu pada tahun 1915?
  4. Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut?
  5. Apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda sultan?
  6. Apakah salah kita menanggap Umno sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan?

Saturday, September 10, 2011

Aziz Bari 'smash' Kerajaan Najib pulak...

Aziz Bari: Seperti Ops Lalang, polis jadi ‘kambing hitam’ Bersih 2.0

September 10, 2011

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari berkata kerajaan tidak harus mempersalahkan pasukan polis berhubung kesan akibat cara menangani isu Bersih 2.0 – yang didakwa menjadi antara punca kemerosotan kepimpinan Najib dan kerajaan pusat.

“Kerajaan tidak boleh mempersalahkan polis dalam isu Bersih,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Justeru, Aziz (gambar) berkata pasukan polis sebenarnya sebahagian daripada perkhidmatan awam dan ia terletak di bawah penyeliaan kuasa eksekutif iaitu kerajaan pusat semasa.

“Sebagaimana di bawah demokrasi Westminster yang lain, kerajaan bertanggungjawab atas (tindakan) kakitangan awam termasuk pasukan polis.

“Oleh kerana mereka tidak dipilih, maka Kabinet yang dipilih yang seharusnya dipertanggungjawabkan,” kata beliau lagi.

Malah tegas beliau, ia adalah tanggungjawab penting kerajaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam urusan berkaitan Bersih, polis telah bertindak di bawah arahan kerajaan. Sedihnya, ini dilakukan sehingga membelakangkan peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan kebebasan bersuara di bawah Artikel 10(1),” kata ahli akademik ini.

Aziz mengulas kenyataan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Koh berkata cara polis mengendalikan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah punca kemerosotan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Gerakan melahirkan pandangan itu ketika bersetuju dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang muncul semalam.

Koh berkata tindakan-tindakan diambil oleh polis ketika perhimpunan Bersih 2.0 memberi gambaran bahawa kerajaan terlalu tegas dan ia adalah tidak benar sama sekali.

Media memetik Dr Mahathir berpendapat tinjauan Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan sokongan terhadap Najib merosot teruk berpunca antara lain kesan cara kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Katanya, tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

Dr Mahathir berkata, imej kerajaan jadi buruk kerana tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengekalkan ketenteraman awam menjelang 9 Julai.

“Ini disalahkan ke atas Datuk Seri Najib tetapi saya tidak tahu apakah Datuk Seri (Najib) yang beri arahan baju kuning tak boleh pakai.

“Saya tak fikir dia nak kata kepada polis baju kuning tak boleh pakai. Tetapi hakikatnya orang yang pakai baju kuning kononnya dianggap sebagai musuh dan ditahan. Itu tindakan kerajaan Malaysia dan ini memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan,” kata beliau lagi.

Kajian terbaru Merdeka Center mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kajian itu dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu – kira-kira sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0.

Sehubungan itu tambah Aziz, kerajaan tidak boleh menuding jari ke atas kakitangan awam semata-mata.

“Tetapi, sekali lagi ia dilakukan oleh Mahathir. Ingat, beliau mempersalahkan polis atas tindakan berkaitan dengan Operasi Lalang?” kata beliau merujuk kepada penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

“Layan polis dengan baik. Mereka sekali menjadi tikus belanda,” katanya seolah-olah menggambarkan Polis Diraja Malaysia menjadi bahan uji kaji.

“Tetapi kemungkinan, seperti juga bekas ketua polis negara Tun Haniff Omar sebelum ini, mereka dengan gembira menerima kesalahan kali ini,” kata beliau merujuk kepada kenyataan Haniff sejurus selepas pendirian Dr Mahathir muncul awal tahun ini.

Aziz menambah, di bawah perlembagaan, tanggungjawab bermakna seseorang yang didapati cuai atau bersalah, boleh dipecat ataupun harus dihadapkan di Parlimen.

“Ia menjadi asas kepada tindakan susulan, misalnya prosiding disiplin yang boleh membawa kepada pemecatan seseorang. Jika ia melibatkan pelanggaran undang-undang, ia bermakna liabiliti.

“Polis kini terdedah kepada liabiliti jenayah atau tindakan sivil,” kata beliau lagi.

Monday, September 5, 2011

Aziz Bari perbetulkan kenyataan Dr Khoo Kay Kim pasal status British di Tanah Melayu

Aziz Bari: ‘Secara teknikal tidak, pada hakikat British jajah kita’

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Pakar perlembangaan Prof Abdul Aziz Bari berkata meskipun negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya telah “dijajah kerana pentadbiran negeri dikawal” oleh kuasa Eropah itu sehingga negara merdeka lima dekad lalu.

“Pendeknya dari segi teknikal memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah... hatta pentadbiran agama pun dipantau oleh British,” kata beliau dalam reaksi kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Secara teknikal memang betul bahawa kita tak pernah dijajah; negeri-negeri Melayu hanya negeri lindungan. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut ahli akademik ini, negeri-negeri Melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas mengadakan hubungan luar.

“Raja-raja, contohnya, dipaksa menerima kejatuhan Empayar Uthmaniah yang dihancurkan oleh British dan sekutu-sekutunya pada 1924. Ini semua berlaku kerana Raja-raja di bawah tangan British meskipun mereka tidak dijajah.

“Selain itu meskipun di sisi undang-undang, yakni secara teknikalnya, mereka berdaulat kita semua tahu dasar dan undang-undang semuanya ditentukan oleh British,” kata beliau sambil menambah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak harus membesar-besarkan kedudukan teknikal itu sehingga menafikan hakikat yang berlaku ketika itu.

Aziz (gambar) mengulas mengenai kritikan beberapa pihak ekoran pandangan tokoh sejarah itu bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya berada di bawah naungan negara Eropah itu.

Khoo melahirkan pandangan itu dalam satu temu bual dengan akhbar arus perdana kelmarin ketika kontroversi berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hangat diperkatakan sehingga ada yang mahu fakta sejarah diteliti semula.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 bersama hari pembentukan Malaysia — buat julung kali pada 16 September ini.

Menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad bahawa Allaharham Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan pejuang kemerdekaan sebenar kerana mereka pegawai British, Khoo berkata: “Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu tidak pernah menjadi jajahan British. Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali sebagai Negeri Melayu Naungan iaitu di bawah perlindungan British, tetapi tetap diperintah oleh Raja.”

Katanya, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja.

“Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pegawai British utama di Negeri-Negeri Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan Melayu dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi. Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan Melayu: ‘They were, they are and they must remain Malay states. These states were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies. And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the system of government’,” katanya lagi.

Kata beliau, dalam undang-undang ada dua keadaan iaitu ‘de jure’ dan ‘de facto’.

“Datuk Onn mula-mula bekerja dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Raja masih ada banyak autonomi.

“Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima oleh British sebagai presiden Umno yang diakui British sebagai parti politik orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union. British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga Umno untuk menentukan sistem lebih sesuai,” kata Khoo lagi dan menambah, “akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan.”

Mengulas lanjut, Aziz berkata, Khoo perlu faham beza antara kedudukan teknikal dan formal dengan kenyataan atau hakikat, yakni sesuatu yang benar-benar berlaku.

“Sama seperti hari ini, Raja-raja adalah ketua agama. Soalnya apakah mereka benar-benar ketua agama dalam erti kata yang sebenar? Tidakkah pentadbiran agama dijalankan oleh kerajaan?” kata beliau lagi.