Sunday, November 18, 2012
Mat UMNO dah gabra
Wednesday, May 23, 2012
Pokok dan BN boleh tumbang, tidak kerajaan
Tuesday, March 20, 2012
Najib dengan lampu Aladdin BN
Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
Rakyat dipaksa yakin betapa Najib Tun Razak mempunyai kuasa jauh lebih hebat daripada jin lampu ajaib Aladdin. Gosoklah sebanyak mana sekalipun lampu BN, Najib akan menunaikan segala keinginan – akan muncul transformasi demi transformasi.
JIKA ada caranya, tentu sekali Umno-BN memilih untuk mengadakan pilihan raya umum lima lagi.
Namun, secara ‘default’, ia terpaksa juga diadakan .Masa sudah kesuntukan. Jauh daripada bersedia, gabungan parti yang asalnya ditubuh pada 1951 itu sedang dilanda fenomena ‘kereta api kehabisan wap’
Penggunaan tagline ‘undilah BN kerana ia berbudi kepada rakyat’ dan segala variasinya yang menjadi cap kempa atau ‘hallmark’ kepada gabungan parti itu telah sama sekali kehilangan daya tarikannya setelah dilewah guna untuk 12 pilihan raya umum menjangkau tempoh 53 tahun.
Malah tanda dagangan atau ‘trademark’ yang dipatenkan oleh Umno, misalnya ‘ketuanan Melayu’, ‘Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno’ dan seumpamanya terpaksa menyerah kepada ujian masa.
Nampaknya kata kunci untuk tagline generasi baru parti itu ialah ‘transformasi’. Perkataan itu kini meniti di bibir setiap pemimpin Umno-BN sekerap menyebut ‘makan nasi’.
Apakah makna semuanya ini? Mudahnya ia bermakud, tidak seperti Perdana Menteri dan Pengerusi BN lalu, rakyat dipaksa yakin betapa Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa jauh lebih hebat daripada jin lampu ajaib Aladdin.
Gosoklah sebanyak mana sekalipun lampu BN, Najib akan menunaikan segala keinginan – akan muncul transformasi demi transformasi.
Itu cuma kiasan. Tapi dalam bahasa harian, ia bermakna sekiranya hari ini anda berhempas pulas dan mengikat perut untuk hidup walaupun berpendapatan RM5,000 sebulan, penderitaan ini akan segera ditransformasikan oleh Najib. Bukankah kalau dulu rakyat Malaysia hidup menderita dan dilingkari serta dibelit hutang dan pendapatan yang memanjang tidak mencukupi, hari ini di zaman Najib kita semua hidup senang lenang, bak kata pepatah Melayu, ‘tendang tangga, goyang kaki.’
Itu pun belum apa-apa. Andaikata, jika tuah atau cara-cara tidak konvesional lain digunakan (dibaca konvesional bagi Umno-BN ) bagi mengekalkan BN bertaktha dan bermaharajalela di Putrajaya, maka pasti sudah setiap rakyat Malaysia akan menikmati hidup seperti dalam kayangan.
Namun jalan kekayangan bagi rakyat Malaysia masih lagi begitu di awang-awangan seperti kaburnya dan berbalamnya peluang BN untuk mempertahankan kedudukan (setidak-tidaknya dengan cara paling bersih).
Malah realitinya kini buat BN ialah betapa ‘kehidupan bukan lagi ibarat berbaring di atas tilam mawar’.
Selain daripada tagline lama sudah tidak dapat digunakan lagi untuk cuba mengembalikan kepercayaan rakyat dan tagline generasi baru, ‘transformasi’ dianggap tidak lebih dari kisah dongeng pari-pari (fairy tale), setiap usaha untuk menunjukkan kepada rakyat betapa hebatnya Najib dan BN, hanya diganggu oleh penemuan dan pendedahan kebobrokan demi kebobrokan yang dilakukan oleh kerajaan BN secara kolektif ataupun yang dilakukan oleh pemimpin individu parti berkenaan.
Musibah yang menimpa Umno-BN tidak hanya berakhir di situ. Segala kenyataan yang dibuat oleh mereka yang cuba menegakkan benang basah, hanya membuktikan betapa Umno-BN semakin kalut dan keliru.
Misalnya, tindakan-tiadapilihan- lain Dato’ Seri Shahrizat Jalil mengeluarkan kenyataan beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet. Tentu sekali setiap rakyat tahu beliau bukan meletakkan jawatan tetapi jawatannya terletak secara automatik apabila tempoh menjadi Senator di Dewan Negara berakhir pada 8 April ini.
Hakikat ini diakui sendiri oleh Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan mantan Ketua Wanita Umno (jawatan parti yang disandang oleh Shahrizat kini), “Tidak ada jawatan yang perlu diletakkan kerana dari segi undang-undang beliau bukan lagi seorang menteri pada 8 April.
Meletakkan jawatan bermakna melakukannya dengan serta-merta tetapi dia masih lagi seorang senator... Maka tida
k ada apa-apa pengorbanan.” Begitulah kenyataan seorang pemimpin Umno kepada seorang pemimpin Umno dan kepada sekalian pemimpin Umno.
Anda tak perlu menjadi seorang saintis roket untuk memahami apabila tempoh sah anda memegang jawatan telah berakhir, maka sampailah sudah masanya anda mengucapkan salam terakhir kepada jawatan berkenaan dan tidak ada kena mengena dengan meletakkan jawatan atau pengorbanan.
Tapi di mata pemimpin Umno lain, yang putih boleh jadi hitam dan yang hitam boleh jadi merah jambu.
Justeru, bagaimanakah Umno tidak dianggap sebagai tidak layak dan tidak berkemampuan mentadbirkan negara sekiranya perkara semudah ini pun tidak boleh dibezakan. Dari pragmatisme ke hipokrasi?
Barangkali. Apa pun, BN tetap bermatianmatian untuk menyelamatkan keadaan.
Masa sudah kesuntukan. Menurut perkiraan BN sendiri, PRU13 sepatutnya sudah diadakan tahun lalu lagi. Tapi... Hmm... Ada-ada sahaja.
Justeru suami Shahrizat perlu didakwa (walaupun dakwaan cuma melihatkan RM50 juta daripada 250 juta) bagi meredakan keadaan dengan harapan Pembangkang dan rakyat akan senyap.
Begitu juga dengan pemanggilan tidak semena-mena Tun Ling Liong Sik untuk membela diri atas tuduhan menipu kerajaan dalam kes PKFZ atau penolakan usul Apco dan usul menyiasat tuduhan konspirasi kuasa ke atas mantan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara di Dewan Rakyat.
Seolah-olah semua ini tidak mencukupi, timbul pula isu perbelanjaan hampir RM0.5 juta untuk pertunangan anak Najib dan RM80,000 untuk sambutan hari jadi beliau. Tak kisahlah Najib yang bayar sendiri atau sebaliknya, apa yang penting, pemimpin Umno-BN masih lagi hidup bagaikan di alam cerita pari-pari.
Jika tidak begitu, masakan ada keluarga menteri Umno yang boleh membeli kondo One Menerung di Bangsar, Kuala Lumpur. Bukan, satu tapi dua unit. Semuanya ihsan lampu Aladdin BN dengan jinnya yang begitu berkuasa dan mengakui boleh membawa kita ke alam kayangan.
Sunday, December 25, 2011
Bila penulis Umno pun sudah tidak percaya lagi ...
SEHARI sebelum menulis kolum ini, saya telah menemui beberapa orang rakan penulis. Dua daripadanya adalah penulis senior dan secara konsisten menyokong Umno sejak awal 1980-an lagi. Seorang lagi adalah kolumnis sebuah akhbar harian yang sering memuji dan memuja pemimpin Umno dan mengkritik parti pembangkang.
Pada pertemuan itu, melainkan seorang penulis yang pengkhususannya lebih kepada persoalan sosial dan bersifat non-partisan, hanya saya seorang sahaja yang berada di pihak pembangkang.
Walaupun mereka yang lainnya masih jitu memperjuangkan Umno namun semuanya bersetuju betapa kuasa pemerintahan yang selama ini dinikmati oleh parti tersebut kini sedang menempuhi hari-hari terakhirnya.
“Tapi Dr Mahathir confident kalau pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat, katakan lepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina, BN ada peluang untuk setidaktidaknya mengekalkan jumlah wakil rakyatnya baik di Parlimen ataupun di Dun tapi banyak juga pemimpin Umno mengatakan kalau pilihan raya diadakan dalam masa terdekat BN dan Umno akan bungkus,” kata saya sekadar memancing pendapat mereka yang cukup rapat dengan pucuk pimpinan Umno serta sering mendapat laporanlaporan tentang sokongan pengundi pra-pilihan raya dari pihak-pihak perisikan tertentu.
“Alah ... biasalah,” jawab penulis paling senior dan paling prolifik dalam menghasilkan buku yang sentiasa mengangkat Umno dan pemimpinnya di persada kayangan. “Itu mainan psikologi. Tapi aku sendiri ingat, kalau pilihan raya sekarang atau tahun depan pun, berat. Jangan kata nak menang dua pertiga majoriti (di Parlimen), kalau boleh maintain status quo pun sudah baik.”
“What makes you say that?” penulis sosial yang berijazah PhD itu mencelah.
“Kau tengoklah sendiri. Kau ni bukannya orang Umno, orang PAS lagilah tidak. Kau rasa kau masih nak percaya pemimpin Umno boleh memimpin orang Melayu dan rakyat Malaysia. Pemimpin paling besar pun tak boleh nak memimpin bini, macam mana nak memimpin parti dan negara,” jawab penulis tersebut.
“Aku pun rasa macam tu jugak,” kata kolumnis sebuah akhbar harian. “Memanglah bila tulis aku kena tulis baik-baik pasal Umno. Tapi realitinya, semua orang tahu. Orang Melayu semakin hilang kepercayaan pada Umno. Betul tak Doc?”
Dia menghadapkan arah penglihatannya ke wajah penulis sosial.
Dr Hafiz (bukan nama sebenar) menyudahkan hirupan kopinya dan meletakkan kembali cawan yang masih tiga-suku penuh kembali ke dalam piring. Sambil kembali menyandarkan dirinya dia menawarkan pendapat dalam susuan kata-kata seolah dia sedang menulis, “Ya. Sepatutnya setelah menerima keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dulu, pemimpin Umno di semua peringkat masing-masing sudah muhasabah, demi parti, demi negara dan demi orang Melayu.
“Tapi apa yang saya lihat, pemimpin kanan Umno lebih menjuruskan kepada soal bagaimana menyelamatkan kedudukan masing-masing.
Saya tak mahulah mengatakan benar atau tidak, tetapi perihal pemimpin Umno, mereka yang rapat dengan Umno serta kerajaan yang diperintah oleh Umno dikaitkan dengan pelbagai rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak berkesan dalam membuat dasar, gagal mentadbir-urus dengan sewajarnya, dan segala kenyataan bebal yang dibuat oleh pemimpin Umno termasuk menteri dan sebagainya, tidak pernah diberikan perhatian serius. Apa yang rakyat dapat lihat ialah, all talks but no actions (cakap-cakap sahaja tanpa tindakan).”
“Patutnya, akhbar Utusan Malaysia mainkan peranan untuk membantu Umno menukarkan persepsi rakyat terhadap parti,” kata penulis yang menjadi kolumnis akhbar harian.
“Utusan cuma nak cari kuatkan sokongan rakyat pada Umno,” jelas penulis veteran.
Di penghujung perbualan masing-masing bersetuju betapa akhbar seperti Utusan Malaysia bukan sahaja tidak membantu Umno untuk memperbetulkan persepsi rakyat, tetapi tidak juga membantu untuk cuba memperkuatkan Umno.
Pembaca Utusan Malaysia adalah mereka yang memang penyokong Umno.
“Macam mana nak cari penyokong baru kalau yang baca bukan sahaja orang yang sama tapi sudah ada orang yang sama berpindah sokongan kepada PAS dan lain-lain parti,” jelas saya pula. “Makin lama pembaca Utusan makin merosot. Bila pembaca Utusan makin kurang, maka penyokong Umno juga berkurangan.”
“Betul tu. Kalau macam ini, jangan mimpilah BN boleh menang Pilihan Raya Umum ke-13.”
Begitulah inti pati perbualan pada pertemuan beberapa orang penulis pada petang itu. Rumusannya, seperti juga yang dirumuskan oleh pelbagai pihak, BN akan kecundang.
Thursday, October 27, 2011
Apabila kantung rakyat jagaan ‘Abang Umno’ kian pokai
Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
Suatu ketika dulu, ada ungkapan popular berbunyi, “Ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang.” Maka besar kebarangkalian berdasarkan ungkapan klasik ini, Abang Umno-BN mengumumkan dua tiga jenis ‘pemberian-sekalisahaja’ atau dalam bahasa Perdana Menteri/Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak, oneoff payment kepada adik-adik sekalian agar Abang Umno-BN tak melayang dalam pilihan raya umum akan datang.
Kalau boleh tak mahu berpisah sampailah ketikanya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad.
Bagi rakyat biasa penyokong dan pengundi parti tersebut, sayangnya mereka terhadap Abang Umno-BN kerana kepandaian si abang bermain ‘tanam tebu di bibir’. Namun mereka tidaklah mencinta si abang bagaimana segelintir kecil yang menerima pelbagai hadiah dan habuan. Tapi hari ini tanda abang sayang akan melayang sudah semakin jelas. Dengan hutang negara yang dalam liga menghampiri setengah trilion dan begitu juga hutang isi rumah yang sudah melepasi angka 500 bilion ringgit, Abang Umno-BN sudah mula pening kepala.
Tapi ibarat lelaki yang suka memperdaya wanita, Abang Umno- BN terus membuat seribu jenis janji, terus mengayat rakyat dan terus memutar-belitkan isu itu dan ini yang membabitkan ekonomi.
Walaupun pertumbuhan ekonomi negara menunjukkan kadar hanya empat peratus berbanding lebih daripada lima peratus sebagaimana yang diramalkan oleh maha guru ekonomi, Abang Umno-BN masih lagi menjaja kononnya ekonomi negara adalah baik, kukuh dan abang cukup pandai mengurus kewangan negara.
Cakaplah apa pun dan pusinglah ikut mana sekalipun, namun tembelang Abang Umno- BN sudah tidak dapat ditutup lagi.
Ibarat orang yang melepaskan angin, bau pekongnya semerbak menusuk ke seluruh negara.
Dulu kebanyakan rakyat tak pandai sangat, tak ramai yang berpendidikan tinggi dan tak ada Internet. Bahan rujukan utama balik-balik adalah akhbar seperti Utusan Malaysia dan sumber berita muktahir semata-mata ‘TV Tiga Untuk Anda’. Maka mudah sahaja mereka kelentongkan oleh para pemimpin berkuasa yang tidak bertanggungjawab dan lebih mementingkan kedudukan politik daripada kedudukan rakyat.
Tapi hari ini semuanya sudah berubah. Kalau Abang Umno-BN mendabik dada kononnya pandai sangat menguruskan ekonomi negara dan mengaku tanpa segan silu betapa ikhlas dan jujur mereka, rakyat sana sini sudah mula bertanya, ‘betulkah’ apa yang dikatakan itu.
Dan persoalan yang berlegar di ruangan minda, cukup mudah.
Kenapa kedudukan tunai mereka kian hari kian parah walaupun ada di antara mereka yang telah menerima kenaikan gaji dan sebagainya. Kebanyakannya menuding jari kepada faktor harga barangan keperluan utama yang naik pada kadar cukup fenomenal serta semakin kedekutnya kerajaan terhadap pemberian subsidi.
Kedudukan inilah yang telah mengakibatkan rakyat Malaysia mencatatkan jumlah hutang isi rumah (kad kredit, pinjaman peribadi, ansuran pembayaran rumah, kereta, motosikal, TV, peti sejuk dan pelbagai lagi) ketiga tertinggi di dunia.
Menurut CIMBResearch, hutang isi rumah atau house hold debt meningkat begitu cepat pada kadar 11.1 peratus setahun dari 2004- 2009, dan daripada RM516.6 bilion pada akhir tahun 2009 kepada RM560 bilion pada akhir Ogos 2010. Dan nisbah hutang tersebut kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) melonjak daripada 66.7 peratus kepada 76 peratus pada tahun 2009.
Itu cerita beberapa tahun lalu, cerita sekadar menggambarkan betapa ‘terror’nya Abang Umno-BN menguruskan ekonomi negara.
Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2010 pula menunjukkan pada akhir tahun fiskal berkenaan, hutang isi rumah sudah menjadi RM581 bilion atau 76 peratus daripada KDNK.
Dalam bahasa harian ini bermakna rakyat Malaysia terpaksa menggunakan separuh daripada pendapatan mereka untuk membayar hutang. Justeru sebab itulah semakin ramai yang mengeluh, “kerja macam nak mati pun dapat gaji semuanya habis bayar hutang.”
Setakat ini, kecuali gimik transformasi, tidak jelas apakah langkah konkrit kerajaan Abang Umno-BN untuk mengatasi masalah ini. Apa yang jelas, Abang Umno-BN terus mengambil sikap ‘relaks’ – ekonomi kita ok, rakyat kita hidup makmur, krisis kewangan Eropah tidak akan menjejaskan kita dan dan blah blah. Mungkin inilah yang mendorong BNM negara, dalam laporan berkenaan mendakwa bahawa paras hutang isi rumah itu masih lagi boleh ditangani kerana paras penabungan tinggi rakyat, peluang pekerjaan yang cukup baik dan pertumbuhan pendapatan.
Tak tahulah berapa banyakkah pertumbuhan pendapatan rakyat dalam sebutan sebenar. Tapi di sebalik jaminan jangan susah hati kerana krisis kewangan di tempat lain tidak akan, jangan kata turut menjejaskan kita malah tempias pun kita tak kena, krisis kewangan terbaru Eropah sudah mula memberi kesan kepada nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika, Yen Jepun dan sebagainya.
Ketika kolum ini ditulis satu dolar Amerika adalah bersamaan RM3.13. Maknanya kalau dulu anda hanya memerlukan, barangkali RM2.93 untuk membeli satu dolar Amerika, kini anda harus membayar RM3.13 untuk nilai sama mata wang dolar. Bayangkanlah sekiranya ada yang perlu membayar AS$100 juta dan sebagainya untuk melunaskan hutang dan sebagainya.
Atas sebab yang sama, kuasa dan nilai muka ringgit di negara sendiri juga terus menguncup mengakibatkan penderitaan rakyat dari segi ekonomi ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Monday, October 17, 2011
Bila Najib nak lunaskan hutang kerajaan?
MENURUT Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah mudah untuk membuat janji dengan wang yang kita tidak miliki, apabila kita bukan kerajaan dan selagi kita boleh memengani pilihan raya (dibaca sebagai umpan pilihan raya umum).
Komen tersebut yang dibuat oleh mantan PM dan juga mantan Menteri Kewangan adalah antara reaksi kem Umno-BN sebaik sahaja Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan (bayangan) bagi tahun fiskal 2012.
Tak apalah. Kita lupakan sahaja tentang Dr Mahathir. Dia pun suka cakap tentang hal lupalupa ini. Dia pernah kata ‘Melayu mudah lupa’. Mungkin yang dimaksudkan ialah Melayu Umno.
Tapi dia jangan lupa, Melayu di luar Umno tak mudah lupa.
Mana dia Wawasan 2020? Mana dia Islam Hadhari? Mana dia ‘Look East Policy’. Sekali air bah sekali pantai berubah, sekali PM berubah sekali dasar berubah.
Apapun adalah diharapkan beliau tidak lupa betapa menjanjikan sesuatu (walaupun sumbernya belum diperolehi) adalah lebih mulia daripada berjanji dan kemudian berbohong dan gagal menunaikan janji.
Itu Dr Mahathirlah. Bagi Dato’ Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ceritanya lain pulak. Sebagai reaksi kepada Belanjawan itu, dia kata pemimpin Pakatan Rakyat tak faham apa dia subsidi. Eh betulke ni? Betulkah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng dan lain-lain tak faham apa itu yang dikatakan subsidi kerajaan?
Kasihan jugak dengan Noh. Dia pun nak tumpang hentam pembangkang tapi tak kena cara. Masakanlah pemimpin pembangkang tak tahu apa itu subsidi. Pesawah di Tanjung Karang pun tahu apa dia subsidi. Cuba tarik subsidi baja dan tengok jika mereka tak menjerit.
Kalau mereka tak faham tentu mereka tak menjerit. Ini simple logiclah. So janganlah bagi hujah kebudak-budakkan. Bukan apa, yang rugi Umno jugak nanti. Kita pun tak mahu tengok di Parlimen nanti tak ada satupun kerusi pembangkang daripada kalangan Umno. ‘Boring’ nanti Dewan Rakyat.
Membaca komen Noh Omar ini, mengingatkan perihal seorang sahabat zaman persekolahan. Sesudah begitu lama bermastautin di Wellington, New Zealand dan bertugas sebagai seorang rakan senior dalam salah sebuah firma perkauman The Big Five (lima firma perkaunan terbesar di dunia), dia pulang bercuti ke Malaysia.
Terkejut beruk dia melihat pembangunan fizikal yang sedang berlaku di mana-mana terutama di Kuala Lumpur. “Sudahkah Malaysia menjadi negara maju?” tanyanya tatkala bersiarsiar dan mengambil foto di sekitar KLCC
“Macam nilah,” jelas saya kepada anak pengusaha kedai dobi kecil di bandar tempat saya lahir dan dibesarkan di selatan tanah air,“Bayangkan anda belanjakan wang anda untuk membeli pakaian jenama Polo Ralph Laurent asli, bermegahmegah dengan barangan peribadi mahal-mahal sedangkan isteri dan anak anda di rumah cuma makan nasi dengan ikan kembong goreng setiap hari. More forms than substance.”
Apa yang dimaksudkan ialah orang nampak kita mewah dengan pelbagai infrastruktur.
Kerajaan BN bermegah kerana boleh buat itu dan ini dan rakyat boleh bermegah dengan itu dan ini yang dibuat oleh kerajaan BN.
Tapi tengok apa sudah jadi. “Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion… 53% daripada KDNK negara. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% daripada KDNK Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.”
Itulah yang sudah jadi. Mana tak banyak hutang, nak beli susu anak tenyeh kad kredit, nak beli keperluan makanan harian di pasar raya pun terpaksa tenyeh kad kredit. Bila jumlah hutang kad kredit sudah tak tertanggung, buat pula pinjaman peribadi.
“Macam mana ini boleh berlaku,” tanya sahabat itu. Jawab saya, “Pendapatan sebenar menurun (setelah mengambil kira penurunan kuasa belian ringgit dari tahun ke tahun, inflasi, dan kenaikan indeks pengguna), tak ada barangan keperluan asas yang tak naik.
Dulu minum teh tarik kat warung mamak, cuma 70 sen, sekarang sudah ada yang RM1.80. Subsidi pula ditarik balik sedikit demi sedikit. Duit yang ada digunakan untuk buat projek mewah supaya BN boleh megah.
Nak cerita wang bagi kat kroni, tak payahlah. Itu cerita lain.”
Bila agaknya Dr Mahathir nak suruh Perdana Menteri sekarang berjanji untuk melunaskan hutang kerajaan? Apa pulak cadangan Noh Omar tentang hutang peribadi rakyat?
Jangan pandai komen sahaja. Buatlah. Bukankah kuasa masih ada di tangan. Buktikan anda semua bukan sekadar pandai bercakap.
Monday, September 19, 2011
Ayam kian terlepas, tangan semerbak bahu tahi
BESAR keberangkalian semacam ada standing order atau perintah tetap (tak pasti sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis) daripada pemimpin Umno berautoriti kepada pihak media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 supaya meninjau apa sahaja kenyataan, ucapan, ceramah malahan juga perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin oposisi agar ia dapat diterjemahkan, diolah, diputarbelitkan dengan tujuan mendiskredit parti oposisi dan pemimpin mereka dengan cara yang agak kelakar tetapi dalam masa sama cukup menjijikkan.
Mengutip beberapa petikan ayat sana sini daripada pemimpin oposisi dan kemudian memandaimandai menokok-nambah dan menggunakan logik bodoh bukanlah cara terbaik untuk memancing kepercayaan rakyat.
Contoh logik bodoh terbaru ialah berdasarkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengusulkan agar Mat Indera diiktiraf secara rasmi sebagai pejuang kemerdekaan.
Maka deduksi yang dibuat oleh media berkenaan adalah, ‘oleh itu Mat Sabu adalah seorang komunis’. Dan deduktif itu diperkembangkan lagi dengan dah PAS pulak sebuah parti yang menyokong sama ada PKM atau mungkin juga dimaksudkan menyokong fahaman komunisme.
Kecuali segelintir manusia yang sukar untuk difahami minda jenis apa yang mereka miliki, bukan mudah untuk mengkhadam deduksi yang cukup kelakar, dangkal dan daif seperti ini. Anda tak perlu menamatkan persekolahan Darjah 6 bagi memahami betapa tidak logiknya deduktif seperti ini. Ia ibarat jika seorang rakyat Malaysia beragama Islam mengkagumi kemahiran Yossi Benayun, pemain tengah Arsenal (yang dipinjamkan oleh Chelsea), maka oleh itu si rakyat berkenaan adalah penyokong Gerakan Zionisme.
Namun, dalam persekitaran media sebagaimana yang ditakrif dan diamalkan media Umno-BN, taktik propaganda murahan ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah dan mendapat pengiktirafan oleh pemilik dan sidang editorialnya sebagai bukan sahaja sebagai prinsip panduan tetapi merupakan satu prinsip piawaian yang perlu dipatuhi dalam keadaan apa sekalipun.
(Umum sendiri telah melihat bagaimana isu Surau Al-Musyrikin telah didramatasikan menerusi pro duksi yang lengkap dengan prop berupa sepanduk dan seba- gainya supaya kelihatan seperti sebuah klip video berita yang autentik.
Dan umumnya juga telah melihat bagaimana hukum Tuhan sanggup digambarkan dan diperlekehkan menerusi lakaran kartun muka depan akhbar).
Justeru, bukanlah sesuatu bersifat fenomena jika akhbar Melayu yang suatu ketika dulu diyakini kebenarannya oleh kebanyakan orang Melayu dan siaran berita dari sebuah rangkaian TV kehilangan semakin banyak audien pembaca/penonton.
Walaupun gelagat media yang dikatakan itu melucukan, apa yang lebih tragik tetapi tidak kurang melucukan seperti membaca drama Comedy of Errors (bermaksud ‘Kelucuan Akibat daripada Kesilapan’) karya William Shakespeare (jangan pulak nanti ada pihak yang mengatakan saya melanggan kepada agama Kristian kerana Shakespeare adalah seorang beragama Kristian), ialah hakikat betapa hasrat untuk mengampu dan mempamerkan kononnya kehandalan sebagai alat propaganda Umno-BN tetapi sebaliknya mengakibatkan pemimpin Umno terkapar-kapar untuk terpaksa menjawab atau mengeluarkan kenyataan bagi menyokong apa sahaja yang telah diputarbelitkan oleh media berkenaan.
Contoh terkini ialah kenyataan Menteri Besar Johor merangkap Ketua Perhubungan Umno Negeri yang terpaksa berputar 360 darjah bagi menyangkal kandungan buku Pengukir Nama Johor yang turut menyenaraikan Mat Indera.
Kenyataan Dato’ Abdul Ghani Othman nampak begitu berbelitbelit. Perkataan ‘pengukir’ dalam judul buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor itu tentulah membawa konotasi kepahlawanan atau mereka yang telah memberi jasa. Kalau dah tahu seseorang itu petualang negara nak buat apa sibuk-sibuk dan bersusah payah turut menyenaraikan Mat Indera sebagai antara 22 nama yang terpenting dan mengukir nama atau keharuman negeri Johor.
Kasihan Abdul Ghani kerana terpaksa tertangkap dalam keadaan seluar yang terlondeh.
Andai kata bola kristal Umno Johor sudah awal-awal lagi menujumkan suatu ketika nanti seorang pemimpin PAS akan membuat kenyataan berdasarkan buku tersebut dan media Umno- BN tersilap langkah dengan cuba mengaitkan PAS dengan fahaman komunisme dan gerakan gerila bawah tanah PKM, sudah tentu beliau sudah mengarahkan agar nama Mat Indera dikeluarkan daripada senarai mereka yang mengukir nama negeri Johor dalam buku tersebut.
Kini, kerosakan besar telah pun berlaku dan kawalan kerosakan atau damage control yang cuba diusahakan oleh Umno dan ajen-ajen mereka sama ada dengan penghujahan di ruang maya, di media milik Umno-BN serta mereka yang membuat laporan polis sudah tidak berguna lagi.
Sekiranya media tersebut tidak memilih untuk memutarbelitkan ceramah Mat Sabu dan tidak mengekstrapolasikan dengan merumuskan Mat Sabu dan PAS penyokong komunis, maka tidak ada siapa yang mahu mengkaji semula kebenaran sejarah yang berlaku - ‘sejarah atau penulisan sejarah’ - meminjam judul entri terbaru blog Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar.
Setelah pengampuan media berkenaan menjadi kesilapan besar (tetapi tidak diakui), tiba-tiba sahaja begitu ramai orang yang melayari apa sahaja laman web mengenai perihal Mat Indera (dan juga pejuang kemerdekaan bukan- Umno lain terutama yang dipancung dan dilabelkan oleh British sebagai petualang).
Ketika kolum ini ditulis, enjin pencari Google misalnya menyenarikan 874,000 laman web di bawah nama Muhammad Indera dan 358,000 di bawah nama Mat Indera. Pelbagai pihak tampil bukan sahaja memberikan ulasan tetapi juga memuat-naikkan pelbagai bahan dan fakta sejarah yang selama ini tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku sejarah Malaysia. Meninjau laman sosial FB, mereka yang turut serta berbincang atau memberikan komen adalah generasi baru rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas Merdeka.
Monday, August 1, 2011
Kisah UMNO dengan Terowong
Kali ini, buat kesekalian kalinya, saya menulis dalam naratif sudut pandangan orang pertama. Walaupun lazimnya tulisan saya dalam kolum tak berjudul ini lebih berbentuk esei, tapi kali ini saya akur ada kalanya seseorang penulis, terutamanya kolumnis sesebuah penerbitan harus juga menggunakan naratif bentuk ini.
Hujung minggu lalu tatkala menghadiri sebuah majlis perkahwinan, seorang pembaca akhbar Harakah yang kebetulan turut sama hadir dan makan semeja bertanya tentang apakah yang saya fikirkan setiap kali saya mahu memulakan penulisan.
Jawapan saya ialah betapa saya memikirkan pelbagai hal – mungkin minda berlegar dari sebutir palam pencucuh enjin empat lejang kepada jarak melintang Bima Sakti dalam kiraan tahun cahaya.
Pembaca Harakah tersebut yang juga seorang ahli dan aktivis PAS, serta guru matapelajaran Fizik di sebuah sekolah menengah di pinggiran Kuala Lumpur itu bertanya lagi mengapa saya harus memikirkan tentang Bima Sakti dan apa ada kena mengena gugusan bintang itu dengan politik Malaysia. (Mungkin dia tidak bertanya perihal palam pencucuh kerana sedia maklum sesuatu peristiwa kecil boleh meledak menjadi isu nasional ibarat percikan api kecil palam pencucuk yang boleh menghasilkan ledakan dalam enjin empat-lejang).
Sukar juga untuk saya berikan jawapan secara spontan. Tapi kalau tidak dijawab soalan itu dia tentu menganggap saya seorang yang hanya pandai bercakap tetapi tak tahu apa yang dicakapkan – ibarat kebanyakan pemimpin UMNO yang bercakap tentang transfomasi, ekonomi, hadhari dan blah blah tetapi akhirnya rakyat akan berkata ‘boleh belahlah!”
“Di malam cerah tak berawan, cuba perhatikan bintang di langit,” jawab saya. “Nanti you akan nampak sebutir atau beberapa butir bintang yang pudar-pudar cahayanya. Bintang itu sebenarnya sudah tidak wujud lagi atau sudah lebur dan mati. Tetapi kerana jaraknya terlalu jauh, mungkin berpuluh atau beratus tahun cahaya dari bumi, dari tempat you memerhatikannya, maka berpuluh atau beratus tahun itulah juga masa yang diambil oleh cahaya itu sampai ke mata you sedangkan bintang yang memberikan cahaya itu sudah tidak wujud lagi. Jadi apa yang you lihat sebenarnya ialah masa lalu. Jadi kalau ada makhluk tinggal di bintang yang jaraknya puluhan atau ratusan tahun cahaya ke hadapan, mereka tentu dapat melihat apa yang telah berlaku ke atas planet Bumi dan juga Malaysia.”
Saya tahu penjelasan saya itu bukanlah satu jawapan yang meyakinkan. Tidak juga merupakan jawapan yang baik. Malah seolah-olah tidak relevan dengan dunia politik Malaysia dan juga kegiatan penulisan.
Namun nasib saya agak baik kerana dia faham. “I ingat kalau time tu, BN tentu dah hilang kuasa, dah hilang semuanya dan dah tak wujud lagi.”
Saya hanya tersenyum tanda puas.
Pada hari berikutnya saya minum di restoran mamak bersama seorang sahabat lama. Walaupun ia merupakan seorang yang berfikiran kritis terhadap politik, namun dia juga merupakan penyokong dan pemimpin kecil UMNO sejak saya mengenalinya hampir dua dekad lalu. Setiap kali kami bertemu, persoalan politik menjadi topik perbincangan utama. Dan pada pagi itu topik perbincangan adalah mengenai Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak serta kebarangkalian BN di bawah kepimpinannya untuk setidak-tidaknya kembali menguasai dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.
Menurutnya semua petanda menunjukkan BN akan pasti berjaya melakukannya. Lalu sayapun bertanya apakah premis yang menjadi sandarannya. Jawabnya, semakin ramai rakyat yang sukakan Najib dan bagi masyarakat perniagaan pula Najib tampak seperti boleh membawa perubahan positif.
“Betul ke?” tanya saya.
“Kenapa? Kau tak percaya?” tanyanya pula. “Aku tahulah kau menulis untuk Harakah. Mesti kau sokong PAS. Orang PAS mana boleh terima orang UMNO.”
Kenyataannya itu membuatkan saya merasa pelik. Mengapakah dia begitu beremosi sedangkan saya hanya seorang penulis dan bukannya seorang ahli politik. Kepadanya saya jelaskan saya tidak membenci Najib atau UMNO atau sesiapa sahaja.
“Allah suruh kita menyayangi antara manusia, bukannya saling membenci antara satu sama lain,” kata saya. “Aku menulis bagi bersama-sama mereka yang cuba menegakkan kebenaran dan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Islam, bukan sebab membenci seseorang.”
“Najib tu Perdana Menteri tau. Kenapa kau tak sokong dia, tak sokong parti UMNO. Bukankah parti UMNO itu parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” dia cuba menyergah saya.
“Betullah tu. Dia PM,” jawab saya. “Tapi cuba kau bagi tahu aku setelah dua tahun duduk dikerusi tu, apa dia buat untuk rakyat. Rakyat merungut adalah sebab barang naik, banyak subsidi ditarik balik. Patut pemimpin UMNO baca blog dan FB rakyat. Tengok sendiri rakyat suka tau tak suka. Kau kena faham, buat sesuatu untuk negara dengan buat sesuatu untuk rakyat tak sama.”
“Yang satu-Malaysia tu apa? Transformasi ekonomi tu apa? Banyak lagi…”
“Kalau betul satu Malaysia tu nak menyatupadukan rakyat Malaysia, aku nak tanya kau sikit, kalau pilihanraya diadakan dalam masa terdekat ini, kau rasa BN boleh dapat tak sokongan pengundi bukan-Melayu macam dulu-dulu sebelum 2004?”
Dia terdiam seketika sebelum berkata, “Memanglah susah sikit…”
“Setakat ini Najib cuba bercakap sahaja,” saya memotong sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya. “Tentang ekonomi, transformasi itu dan ini, setakat ini cuma perkataan yang keluar dari bibir Najib. Mana hasilnya. Cuba baca Buletin Ekonomi Suku Tahunan Bank Negara Malaysia, apakah pergerakan ekonomi negara mencatatkan anjakan positif dari masa ke semasa atau sebaliknya?”
“Kau tak boleh kata pertumbuhan ekonomi tu negatif sejak Najib ambil alih. Ada juga yang negatif,” dia menyanggah.
“Betul. Tapi kalau positif, kenapa masih ramai rakyat dihimpit dengan masalah ekonomi sehingga rakyat Malaysia menjadi sipemiutang kad kredit dan pinjaman peribadi antara tertinggi di dunia? Ini tak berlaku di zaman Dr. Mahathir. Zaman itu rakyat pinjam jugak duit tapi taklah macam hari ini. Zaman subsidi yang ditarik pun sikit-sikit aje. Tak sangat dirasa oleh rakyat. Kerajaan masa tu banyak duit sampai Dr. Mahathir buang ratusan bilion ringgit pun masih tak ada apa-apa,” saya menghujahkan.
Di akhir kata, saya menjelaskan kepadanya. Politik bukanlah mimpi seseorang pemimpin atau seseorang yang bercita-cita mahu menjadi pemimpin. Sebaliknya politik adalah realiti bersabit bagaimana kehidupan rakyat dalam sebutan ekonomi diuruskan.
Saya menutup sembang pagi itu dengan berkata kalau Najib dan kebanyakan pemimpin UMNO/BN berhenti bercakap, berhenti daripada membuat slogan-slogan, berhenti mencipta pelbagai gimik, berhenti dari memperlekehkan apa yang dipersoalkan oleh rakyat dan pembangkang tetapi sebaliknya meniliti setiap sesuatu mengenainya, dan mula bertungkus lumus membuat kerja untuk rakyat tanpa memikirkan sangat tentang bagaimana mahu mengekalkan kedudukan dalam kerajaan dan parti, maka keadaan mungkin berubah dan mungkin ada sinar di penghujung terowong untuk UMNO dan BN. Namun buat masa ini, terowong masih panjang dan mungkin tidak berpenghujung dan UMNO-BN mungkin terpaksa melupakan sahaja tentang sinar tersebut.
Saturday, June 4, 2011
Sampai bila UMNO boleh buat-buat tak takut dengan PAS
Setiap kali PAS mengadakan muktamar tahunannya, ia merupakan ingatan kepada umum betapa usia PAS adalah lebih dari usia Merdeka. Tahun ini PAS mengadakan muktamarnya kali ke-57. Bermakna muktamar pertamanya telah diadakan tiga tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Hakikat sejarah menunjukkan UMNO cukup dominan dalam menguasai kerajaan Persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri. Tidak mustahil disebabkan keadaan yang terlalu dominan dan terlalu lama ini menyebabkan ahli dan pemimpin UMNO merasakan kuasa politik adalah seolah-olah hak mutlak mereka dan hanya mereka yang layak dan berhak memerintah.
Dan tidak juga dinafikan dalam tempoh lebih dari setengah dekad itu, UMNO turut membentuk minda politik umum. Namun pada penghujung tempoh berkenaan apakah pembentukan minda politik umum yang dipupuk oleh UMNO itu sebenarnya telah memberikan sumbangan besar kepada proses pembikinan bangsa dalam erti kata sebenarnya?
Dari segi politik, UMNO budaya memomokkan rakyat, kalau tidak UMNO yang memerintah, negara ini akan menjadi kucar kacir dan sebagainya.
Dari segi perpaduan kaum, UMNO bercakap kononnya ia mewakili semua kaum tetapi dalam waktu yang sama ada ada pemimpin UMNO yang sentiasa mengungkit soal-soal ‘ketuanan Melayu’ dan sebagainya sehingga mencerakan hati kaum lain. Tak cukup dengan itu UMNO menggunakan media miliki mereka yang dinasionalisasikan dengan cara tidak adil menerusi penafian media cetak milik organisasi politik lain selain UMNO dan mana-mana parti komponen BN untuk bukan sahaja mempromosikan parti secara tidak beretika tetapi memupuk budaya memperlekehkan parti lain dengan membelakang adab dan kesopanan Melayu.
Kalau nak diceritakan tentang segala pembentukan budaya negatif yang bertentangan dengan pembangunan minda siasah yang sihat rasanya, semua ruang dalam halaman akhbar ini pun tak memadai.
Namun hal sebaliknya dialami oleh PAS dan rakyat termasuk rakyat yang tidak menyokong PAS tetapi tidak taksub dan tidak mudah dirasuk oleh pembudayaan yang dilakukan oleh UMNO.
Dalam tempoh 57 tahun dan meredah beberapa generasi, budaya Islam yang diperkenalkan oleh PAS dalam siasah Malaysia dan secara beransur-ansur diterima oleh rakyat bukan Islam sebagai wawasan pemerintahan paling adil dan saksama bukan sahaja berdiri betul-betul berdepan dan bertentangan dengan apa yang telah dibawa oleh UMNO selama itu tetapi kian menjadi ancaman kepada parti itu.
Kebetulan pada muktamar kali ini PAS turut mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti. Sejarah 57 tahun PAS menunjukkan PAS belum sekalipun lagi menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti atas alasan kononnya bagi mengelakkan perpecahan dalaman atau bagi memberi ruang masa mencukupi untuk persediaan menghadapi pilihanraya umum.
Justeru umum melihat PAS sebagai sebuah parti yang memegang prinsip. Sekiranya orang Islam perlu memegang janji mereka pada Allah, dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangannya, maka mereka juga harus memegang janji dengan manusia. Oleh itu sekiranya undang-undang bersabit perjalanan sesuatu pertubuhan mengkehendaki pemilihan anggota jawatankuasa induk diadakan setiap tiga tahun sekali maka PAS tidak mempunyai masalah untuk mematuhinya.
Walaupun dalam muktamar PAS kali ini menyaksikan pertandingan semua jawatan penting dalam parti kecuali jawatan Presiden dan digambarkan oleh pelbagai media yang berkiblat kepada UMNO sebagai kononnya terdapat pengaruh luar yang mahu memecah belahkan ukhwah dalam PAS dan lanjutan dari analisis cetek itu sebagai tanda-tanda awal kononnya parti akan lemah.
Namun begitupun, umum yang kebetulan membaca analisis seperti ini lebih mengetahui bukan sahaja tentang kejituan ukhwah dalam PAS tetapi lebih penting lagi ialah kefahaman tentang perang psikologi yang cuba dilancar atau dipermodalkan oleh UMNO bagi menunjukkan PAS juga terjebak dalam perebutan jawatan.
Bagi PAS sendiri soal perebutan jawatan tidak timbul. Ia hanyalah satu proses demokrasi dalam parti sebagaimana kehendak dan dibenarkan oleh undang-undang. Dan PAS juga tidak perlu membuat perbandingan atau membuat kenyataan rasmi atau tidak rasmi betapa yang sering berebut sehingga parti sendiri dikuburkan oleh mahkamah adalah UMNO.
Walaupun ada yang melihat PAS sebagai sebuah parti konservatif tapi PAS juga dilihat sebagai parti yang cukup teliti dalam urusan kepartian sehingga belum ada lagi cawangan atau bahagiannya yang tidak didaftarkan di bawah undang-undang sehingga menjejaskan kewujudan parti sebagai yang berlaku ke atas UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Walaupun ada usaha agar PAS dilarang menggunakan nama Islam dalam nama parti tetapi usaha itu gagal. Anehnya tidak ada pula usaha dari mana-mana pihak berwajib mengambil tindakan terhadap UMNO kerana gagal menggunakan perkataan (Baru) pada namanya sehingga seolah-olah menipu umum tentang kedudukan parti itu sebenarnya.
Muktamar kali ini mengingatkan umum betapa PAS sentiasa memelihara demokrasi dalam parti. Seperti yang telah lalu hanya dua pencalonon diperlukan bagi membolehkan seseorang itu bertanding mana-mana jawatan dalam parti. Tentu ramai masih ingat bagaimana UMNO menetapkan jumlah pencalonan yang tidak munasabah untuk bertanding jawatan dalam parti mereka.
Tapi itulah UMNO. Itulah demokrasi UMNO. Dan itulah juga demokrasi sebagaimana yang difahami oleh orang UMNO dan diajar oleh pemimpin UMNO sebelumnya.
Muktamar PAS yang diadakan setiap tahun terus mengingatkan UMNO betapa PAS terus mengumpul kekuatan dari masa ke masa. Sampai bila UMNO mahu berpura-pura tidak takut dengan kemaraan PAS? Lambat laun segala-galanya pasti terbongkar jua.
Monday, May 30, 2011
Bila ‘boleh’ dan ‘tak boleh’ sama sahaja
Kalau satu waktu dulu misi ‘menjual Malaysia’ ini macam menjual koyok, hari
ini kelebihan itu sudah tidak ada lagi.‘Menjual Malaysia’ tidak pernah lebih sukar dari pengalaman hari ini. Pada dekad 1970-an sehingga, mungkin sekitar dekad 1990-an, misi pelaburan yang diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu berjaya membawa masuk sekian banyak pelaburan asing sehingga ia merobah lanskap kawasan satu ketika dulu hutan belantara kepada bangunan kilang moden dengan segala infrastrukturnya.
Selain daripada mengiklankan betapa Malaysia adalah sebuah syurga percukaian, antara kelebihan lain ketika itu ialah buruh murah - terdiri dari rakyat Malaysia yang gagal mendapat tempat di IPT atau dalam kes lain gagal menamatkan persekolahan menengah.
Walaupun dasar FDI (foreign direct investment) Malaysia ketika itu seolah-olah bercanggah dengan cita-cita melahirkan satu generasi masyarakat berpendidikan dan berilmu, namun tidak ada mana-mana pihak yang menyedarinya. Alasan piawaian kerajaan ialah menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia lantas mengurangkan kadar pengangguran.
Apapun hari ini, iklim pelaburan asing di Malaysia tidak sama dengan era terdahulu di mana Malaysia turut muncul sebagai Harimau Asia. Apabila generasi pertama dan kedua ‘minah karen’ dan ‘mat kilang’ (kebanyakannya orang Melayu) sudah pencen wajib, generasi baru agak kurang minat untuk bekerja di kilang milik entiti asing.
Inilah antara sebab dalam masa sedekad lalu, banyak pelabur asing yang menutup kilang mereka di negara ini dan membawa keluar pelaburan ke negara lain seperti China di mana kos buruhnya masih kecil dan tidak terlalu membebankan angka untung kasar.
Suka atau tidak, tempoh sedekad terakhir ini menyaksikan kemerosotan paling drastic jumlah FDI di Malaysia. Justeru apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan misi menarik pelabur Amerika Syarikat dalam program yang dinamakan olehnya Invest Malaysia New York 2011, ia bukanlah sesuatu yang begitu menghairankan.
Sekiranya jumlah pelaburan asing di Malaysia masih kekal ke tahap seperti dekad-dekad yang disebut itu atau menunjukkan trend bertambah, sudah tentu Najib tidak perlu mengadakan misi menjual Malaysia lagi. Apa perlunya bersusah payah mencari pelabur baru untuk melabur di negara ini sekiranya jumlah yang ada lebih dari mencukupi bagi menjanakan pendapatan dan ekonomi yang dapat menyokong transformasi ekonomi sebagaimana yang giat diperkatakan beliau dan begitu rancak di perbesar-besarkan oleh media kerajaan.
Walaupun Najib, sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan akhbar harian dikatakan berjaya menarik pelaburan di antara 4 hingga 6 bilion dolar AS dalam masa beberapa tahun akan datang ini, namun sebagaimana yang dijangkakan ia hanyalah perjanjian mulut yang belum tentu lagi akan direalisasikan.
Adalah dikatakan sebanyak 4 bilion dolar AS akan dilaburkan oleh Motorola Inc dan jika ini benar maka bermakna misi Najib hanya berjaya meyakin pelaburan berjumlah 2 bilion dolar AS. Sebenarnya seseorang tidak semestinya melihat pelaburan oleh Motorola Inc ini sebagai satu pelaburan baru hasil misi Najib. Ini kerana, sebagaimana yang disebut oleh Najib sendiri, syarikat multinasional berpengkalan di Illinois, Chicago itu sudah berada di sini sejak 37 tahun dahulu. Tentulah agak terlewat bagi syarikat berkenaan untuk memindahkan operasi Timur Jauhnya ke sebuah negara lain kerana kos permulaan termasuk mendirikan kilang dan sebagainya serta risiko pengurusan buruh tidak memberikan justifikasi menguntungkan.
Justeru, tolak angka 4 bilion dolar AS yang dikatakan bakal dilabur oleh Motorola, maka bermakna dan sekiranya apa yang dijanjikan oleh syarikat Amerika Syarikat itu merupakan komitmen teguh terhadap FDI mereka di Malaysia dalam masa dua atau tiga tahun akan datang, maka ini bermakna jumlah pelaburan bersih yang dapat ditarik oleh misi Najib hanyalah 2 bilion dolar AS sahaja.
Angka sebanyak 2 bilion AS ini sudah tentulah celah gigi berbanding dengan apa yang dikatakan oleh Najib di hadapan 350 usahawan dan broker saham yang dilaporkan oleh media tempatan sebagai memegang jumlah aset sebanyak 6 trilion dolar Amerika.
Ia juga kecil dan tidak sepadan dengan apa yang dijelaskan oleh Najib mengenai kehebatan ekonomi Malaysia dan Asia. “dan apabila anda melabur di Malaysia, di bawah rancangan transformasi itu, anda sekarang akan mendapat lebih AS$400 bilion dalam bentuk peluang. Anda juga mendapat masuk ke pasaran yang membabitkan 600 juta pengguna yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan AS$2 trilion tahun ini.”
Tidaklah dapat dipastikan sekiranya 350 usahawan dan broker saham yang hadir dalam majlis makan malam di Pasaran Saham New York Euronext itu benar-benar yakin dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri.
Apa yang pasti, sebagaimana New York adalah hanya sebuah mimpi kepada kebanyakan rakyat Malaysia, begitu juga dengan kemampuan kerajaan yang ada hari ini sama ada merealisasikan transformasi ekonomi atau setidak-tidak mengembalikan zaman kegemilangan FDI ke Malaysia. Dalam misi beliau ke Amerika Syarikat, Najib juga mengumumkan program guru Peace Corp untuk pelajar luar bandar Malaysia. Menurutnya Amerika Syarikat sudah bersetuju menghantar seramai 30 orang guru untuk mengajar bahasa Inggeris.
Tidaklah pasti sama ada ini satu langkah yang baik atau sebaliknya. Hari ini, sebagaimana yang disebut oleh seorang kolumnis akhbar Sinar Harian, sudah ada murid yang menulis “I has a balls”. Kita tidak terkejut, di bawah guru sukarelawan Amerika yang diusahakan Najib ini sebagai acara sampingan misi pelaburannya ke negara itu, akan ada pelajar yang tidak lagi dapat membezakan di antara boleh dengan tidak boleh. Ini kerana “can” dengan “can’t” disebut dalam sebutan yang sama sahaja.