Showing posts with label Wira Arjuna. Show all posts
Showing posts with label Wira Arjuna. Show all posts

Monday, July 11, 2011

Usah lempar batu sembunyi tangan.. Rakyat ada mata dan akal...

9 Julai: Usah lempar batu sembunyi tangan

oleh Wira Arjuna

Apakah takrif keganasan yang digunapakai oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis sendiri?

bersih rally petaling street 090711Bagi rakyat biasa, sesuatu pihak dikira melakukan keganasan apabila menyerang dengan segala kudrat dan senjata yang ada pada mereka (gas pemedih mata, air berkimia, menumbuk dan memijak) terhadap sasaran yang tidak bersenjata (kecuali botol air mineral) tetapi hanya berhimpun secara aman.

Inilah yang berlaku pada 9 Julai.

Tidak perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.

NONEDan jika bukti video itu tidak mencukupi, gambar-gambar Mohamad Sabu di atas kerusi roda dan foto enam jahitan di kepala ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad boleh juga boleh diperolehi dengan mudah oleh Najib, Hisham dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk melakukan penilaian.

Kalau masih tidak memadai, mungkin ada pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan bersih dan aman.

Remehkan kecederaan

Namun semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

NONEMaka, oleh kerana itulah Najib meremehkan kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mengakui ketua pembangkang itu ditembak dengan gas pemedih mata.

Ketua Polis Negara sebelum ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.

Hishamuddin pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.

tear gas fire at tung shin hospital 090711 3Ismail sekali lagi menafikan insiden memalukan itu sungguhpun, wujud foto dan keterangan saksi yang menempelak penafian itu.

Tentunya Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.

Bertukar ganas

Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?

NONE“Keganasan” itu jelas tercetus apabila polis mula menyembur air berkimia dan gas pemedih mata serta melakukan tangkapan rawak ke atas sesiapa disyaki mendokong BERSIH 2.0.

Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.

Respon paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan sungai berdekatan.

NONEMereka mengharungi segala kesakitan akibat terhidu gas beracun atau terkena pancutan air berkimia atau kedua-duanya sekali. Rasa pedih dan loya dan sesak nafas hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang terpaksa diharungi mereka.

Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.

Aparatus polis

Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.

bersih2 rally 090711 03Hanya beliau dan Najib boleh menerangkan keperluan untuk sebuah rangkaian kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tiba-tiba boleh menjadi musuh kerajaan hanya kerana menuntut pilihan raya adil dan telus.

Apa yang jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka, dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.

bersih2 rally 090711 01Namun rancangan itu tersasar kerana BERSIH 2.0 tidak beralah daripada matlamatnya mengadakan perhimpunan aman walaupun penyokongnya mula ditangkap di seluruh negara dan pemimpinnya diaibkan di media arus perdana.

Terima tamparan

Najib dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.

NONECampurtangan Seri Paduka itu membuka ruang untuk Najib dan Hishamuddin menyelesaikan kemelut BERSIH 2.0 secara baik, khususnya apabila penganjur bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan diadakan di sebuah stadium.

Namun belum sempat rakyat menarik nafas lega, gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan haram dan tidak layak memohon permit.

bersih rally petaling street 090711Permohonan BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan aman di Stadium Merdeka ditolak dan sebaliknya penganjur “diarah” mengadakan perhimpunan di stadium-stadium yang terletak di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Tujuan arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya cetusan suara rakyat.

Justin Bieber lebih berhak

Najib memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.

NONEStadium Merdeka telah berkali-kali digunakan untuk konsert rock dan hiburan termasuk pertunjukan Justin Bieber pada 21 April lalu.

Apakah Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil dan telus secara aman?

Tentunya tidak. Namun inilah alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.

NONEPenganjur BERSIH menyedari perangkap yang diletakkan oleh Najib dan Hishamuddin dan terus berpegang kepada hak mereka mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka, walaupun di luar perkarangannya.

Ini kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral” dan adalah “milik” rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.

Patahkan BERSIH

Apabila penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.

NONEJusteru diadakan sekatan-sekatan jalanraya, penutupan kawasan tertentu, pembekuan permit bas ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di hotel-hotel menjelang 9 Julai.

Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.

Dengan kongkongan sebegitu, tidak hairanlah pada 9 Julai, pancutan air berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.

NONEHak mereka untuk berjalan secara aman dicabuli dengan sewenang-wenang di atas nama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Najib harus menerangkan bagaimana satu “perjalanan demokrasi” oleh rakyat untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu keselamatan negara dan mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada peniaga, jika tidak ada provokasi polis!

Rakyat dihukum

Jika polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang terpampang di Internet sekarang.

NONERasanya tidak!

Akibat agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.

Lebih 1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.

funeral baharudin bersih protesterJusteru, janganlah Perdana Menteri dan sepupunya terlalu bingkas menuding jari kepada penganjur BERSIH 2.0 di atas kekecohan Sabtu lalu.

Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?

Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Saturday, July 9, 2011

BERSIH 2.0: Kebenaran sentiasa atasi kekejaman

Penganjur BERSIH 2.0 petang semalam mengisytiharkan matlamat perhimpunan itu menuntut pilihan raya adil dan telus berjaya dipenuhi walaupun lebih seribu rakyat dan pemimpin ditahan polis manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan dipancut air berkimia.

bersih rally petaling street 090711Walaupun hasrat untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dihalang oleh ribuan polis bersenjata automatik di laluan ke Istana Negara, BERSIH 2.0 berjaya menyemat keperluan untuk pembaharuan proses pilihan raya disanubari kita semua.

Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan lebih 100,000 rakyat menyertai BERSIH 2.0 walaupun terpaksa menongkah pelbagai kezaliman polis dan pemerintah.

Secara ringkas berikut adalah “harga” yang terpaksa dibayar oleh pendokong Bersih :
  • 1,667 orang ditahan termasuk Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasanya Maria Chin Abdullah. Lebih 250 yang lain ditangkap sebelum ini, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat.
  • NONEKetua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditembak gas pemedih mata dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki. Beliau menerima rawatan di Hospital Pantai. Anaknya Nurul Iman dan Hana ditahan manakala pengawal Anwar dikasari.
  • Turut cedera ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.
  • Kepimpinan utama PAS turut diberkas termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu serta dua naib presidennya, Sallehuddin Ayob dan Datuk Mahfuz Omar.
  • Ahli parlimen yang ditahan termasuk Tian Chua, RSivarasa, Azmin Ali, Fuziah Salleh (PKR) dan Ngeh Ko Ham (DAP).

Harga murah

Namun harga itu dianggap “murah” berbanding dengan mesej tajam yang dihantar oleh Himpunan BERSIH 2.0.

NONEPerkara paling memberangsangkan adalah hakikat bahawa ratusan ribu orang yang turun padang menyertai BERSIH merangkumi pelbagai kaum, khususnya Melayu, Cina dan India, menjadikan BERSIH sebuah gerakan rakyat dalam erti kata sebenarnya.

Kehadiran mereka membuktikan “kuasa rakyat” masih kuat membara di negara ini dan tidak mungkin ditenggelamkan dengan provokasi dan kekerasan polis serta pemerintah, walau sehebat manapun.

“Kebenaran akan sentiasa mengatasi kekejaman,” kata Ambiga, sejurus sebelum beliau ditangkap oleh polis dan dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui.

NONEBeberapa “adegan-adegan” BERSIH 2.0 akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara ini.

Contohnya: ribuan rakyat berbilang kaum bersilang tangan, membentuk saf berjalan walaupun disekat polis yang menembak air bercampur kimia dan gas pemedih mata di Jalan Pudu.

Begitu juga dengan rakyat yang menyanyi 'Negaraku' di Stadium Merdeka bagi meraikan kejayaan melepasi sekatan jalan dan kekerasan polis.

Imej-imej anggota polis yang bergerak secara berkumpulan, memukul, memijak rakyatnya sendiri sebelum mengheret mereka ke lokap juga akan terpahat dalam ingatan.

tear gas fire at tung shin hospital 090711 1Pancutan air berkimia dan bau gas pemedih mata pula akan menandakan 9 Julai 2011 sebagai hari di mana aparatus pemerintah diguna untuk menghalang rakyat berjalan aman ke sebuah lokasi untuk menzahirkan keperluan diadakan pilihanraya adil dan telus.

BERSIH 2.0 berjaya membongkarkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin utama negara ini.

Wajah sebenar Najib

Sebuah gerakan yang aman, ditunjangi oleh pemimpin masyarakat madani menjadi mangsa serangan pemerintah dengan ribuan orang ditangkap hanya kerana memakai baju berwarna kuning atau berjalan secara berkumpulan.

azlanWajah sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdedah apabila beliau sendiri mengikut rentak PERKASA, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Ambiga.

Media arus perdana dan khutbah Jumaat di masjid dipergunakan untuk melabelkan BERSIH sebagai kumpulan pelampau, berfahaman komunis dan mahu menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Apabila Yang di-Pertuan Agong memberi petunjuk jelas supaya kerajaan dan BERSIH berdialog, Najib bertindak dengan menegaskan BERSIH adalah sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri .

NONEJusteru, Najib mendakwa BERSIH tidak layak memohon permit untuk menganjurkan perhimpunan itu di stadium.

BERSIH 2.0 menunjukkan Najib dan Umno pimpinannya sebagai orang yang tidak teragak-agak membelakangi institusi Raja.

Negara diktator

Najib bukan sahaja bersifat rasis tetapi juga tidak langsung melihat keperluan merombak proses pilihan raya negara ini yang banyak menguntungkan pemerintah selama ini.

Perdana Menteri dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein juga mempamerkan kesanggupan luar biasa menggunakan polis untuk menangkap orang awam di atas sebab-sebab dangkal yang mirip sebuah negara diktaktor.

NONEWalaupun mencanang dirinya sebagai adil dan berjiwa rakyat, BERSIH membuktikan Najib tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa eksekutifnya untuk menumpaskan sesiapa yang dianggap sebagai musuh politik Umno.

Dalam konteks Himpunan BERSIH, beliau melihat tokoh-tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Ambiga dan Presiden Jamah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin sebagai musuh politiknya.

Semua mereka adalah aktivis berhemah tinggi, mempunyai kewibawaan dan keikhlasan mendokong agenda murni iaitu berjuang untuk proses pilihanraya yang lebih baik.

Kenapa agenda begitu digeruni oleh Umno dan Najib?

NONEInilah persoalan yang berlegar di minda rakyat sebelum dan pada 9 Julai , dan terus akan berlegar pada hari-hari menjelang pilihan raya umum ke 13.

Kebingkasan kerajaan mengeluarkan segala senjata yang ada padanya (media, khutbah jumaat, polis, mahkamah, pendaftar pertubuhan,) untuk menumpaskan BERSIH 2.0 menimbulkan banyak tanda tanya mengenai kepemimpinan Najib, khususnya bersabit keikhlasan beliau.

Kesetiaan kepada Raja?

Episod BERSIH telah menawarkan Najib ruang yang cukup luas untuk mendokong sebuah agenda rakyat yang mustahak dan pada masa sama menzahirkan kesetiaan beliau kepada Istana Negara.

NONENamun semua ini ditempelak oleh Perdana Menteri dalam keghairahan untuk memastikan kelangsungan penguasaan penuh kerajaan ke atas insitutusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan badan kehakiman kekal berterusan.

Perhimpunan aman BERSIH 2.0 bagaimanapun memberi semangat bahawa kuasa rakyat masih membara di Malaysia dan tidak mudah dipadamkan oleh pemerintahan kuku besi.

Seperti mana kata Ambiga “kebenaran akan sentiasa mengatasi kekejaman.”

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Thursday, July 7, 2011

Silapkah Agong terima wakil 62 NGO mengadap?

oleh Wira Arjuna

ULASAN “Hanya kerana Yang di-Pertuan Agong menemui mereka (BERSIH 2.0) tidak bermakna mereka tidak lagi diharamkan.”

Itu kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

azlanDalam keghairahan untuk terus menyerang BERSIH 2.0, Hishamuddin mencadangkan bahawa Tuanku Mizan Zainal Abidin telah sanggup berjumpa dengan sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan.

Pendapat ini kemudiannya turut disokong oleh sepupu beliau – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai alasan untuk menafikan BERSIH permit bagi mengadakan perhimpunan amannya di sebuah stadium pada Sabtu ini.

Tindakan kedua-dua pemimpin itu dikecam kerana Najiblah yang mencadangkan kepada BERSIH 2.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di sebuah stadium.

Apabila dipersetujui BERSIH, beliau tampil pula mengingatkan BERSIH bahawa rangkaian kerjasama itu sudah diharamkan kerajaan dan tidak layak memohon permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

NONEInilah urutan perkembangan dalam tempoh 48 jam yang menyerlahkan kualiti kepemimpinan negara ini dan tahap “kesetiaan” Umno kepada institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Nasihat” baginda kepada BERSIH untuk membatalkan perarakan di atas sebab keselamatan dijunjung oleh BERSIH yang kemudiannya menerima tawaran Najib untuk mengadakan perhimpunan itu di sebuah stadium.

Buka laluan

Tuanku Mizan kemudian sudi menerima menghadap rombongan BERSIH iaitu Pengerusinya Ambiga Sreenevasan, Presiden Jamaah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin dan Sasterawan Negara A Samad Said.

Pertemuan itu dan titah baginda membuka laluan untuk BERSIH membatalkan tunjuk perasaan yang amat digeruni oleh BN.

NONEPerbincangan di Istana Negara dan kenyataan susulan BERSIH akhirnya meleraikan ketegangan yang diwarnai dengan tangkapan-tangkapan polis dan kenyataan-kenyataan menghasut dan berbaur perkauman oleh kumpulan dan pihak tertentu.

Apakah respons kerajaan pula? Malangnya, Najib dan Hishamuddin membawa mesej bahawa pertemuan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dengan jawatankuasa BERSIH tidak memberi apa-apa makna kerana BERSIH masih pertubuhan haram dan justeru tidak boleh diberikan permit mengadakan perhimpunan di stadium.

NONETangkapan-tangkapan polis ke atas sesiapa yang memakai baju berlogo BERSIH diteruskan dan penahanan enam orang di bawah Ordinan Darurat juga diteruskan.

Pada ketika kerajaan dan polis berpeluang tampil memberi kerjasama untuk membolehkan suara rakyat didengar di sebuah persekitaran yang dikawal dan dijamin keselamatannya, Najib dan sepupunya Hishamuddin meremehkan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan penganjur BERSIH dan terus menekan kumpulan itu.

Pedoman Tuanku

Di manakah kesetiaan tidak berbelah bahagi Umno kepada institusi raja dan kerelaannya untuk mengikut pedoman yang diberikan oleh Tuanku Mizan?

NONEAmat mudah untuk pemimpin-pemimpin Umno mengeluarkan madah-madah indah mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara menerusi media arus perdana, dan menuduh semua yang lain sebagai pengkhianat bangsa, agama dan negara.

Rujukan mudah adalah krisis perlembagaan Perak tahun 2009 yang akhirnya menguntungkan Umno apabila calon lantikannya dinobat sebagai Menteri Besar.

Namun apabila tiba saat untuk Umno membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Istana dengan menghayati semangat perlakuan Tuanku Mizan, parti itu yang ditunjangi oleh Najib gagal dari segala sudut.

Sepupu beliau, Hishamuddin meremehkan titah dan semangat tindakan susulan yang diambil oleh Seri Paduka.

Justeru hari ini, negara masih berdepan dengan kemelut BERSIH – kerana kerajaan yang memerintah enggan menghormati petunjuk-petunjuk jelas daripada Seri Paduka dan menghayati semangat Baginda.

NONESebaliknya Najib dan Hishamuddin mahu menguatkuasakan undang-undang zalim ke atas BERSIH, demi agenda sempit masing-masing.

Apakah benar BERSIH sebuah pertubuhan haram? Soalan yang lebih tepat adalah sama ada BERSIH itu sebuah pertubuhan.

Jawapannya Tidak. BERSIH adalah hanya satu bentuk kerjasama antara 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) YANG SAH dan berdaftar.

NGO-NGO ini memupuk kerjasama untuk mengatur sebuah majlis bagi mendesak pilihanraya yang adil dan telus.

Tafsiran sempit

Mereka melakukan usaha ini setelah usaha mereka berunding dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) gagal.

azlanApakah kerjasama BERSIH ini memerlukan pendaftaran rasmi di negara ini? Tentunya tidak, jika keluhuran undang-undang dan semangat Perlembagaan didokong oleh pihak berkuasa.

Anehnya, kerajaan tidak pun merungut mengenai mengenai status BERSIH sebelum ini, walhal BERSIH 2.0 dilancarkan pada 10 November 2010 dan hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani.

SPR pula bebas mengadakan mesyuarat dengan BERSIH sebelum ini sungguhpun hasilnya tidak ke mana.

Hanya apabila BERSIH mula mengatur perhimpunan aman, yang kemudiannya disokong sepenuhnya oleh parti pembangkang, kerajaan mencengkam pergerakan itu dengan tafsiran undang-undang yang sempit.

NONENajib pula melabelkan Ambiga sebagai musuh Islam hanya kerana membela seorang anak guamnya dalam kes murtad Lina Joy.

Tiba-tiba daripada sebuah pergerakan masyarakat madani, BERSIH digambarkan oleh kerajaan sebagai berhaluan militan dan komunis yang mahu menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Tidak cukup dengan itu, perhimpunan aman BERSIH juga didakwa akan merugikan negara pada kadar RM1bilion sehari!

Dalam jangka masa singkat dua minggu, rakyat dipertontonkan watak sebenar Perdana Menteri dan Hishamuddin terhadap sistem demokrasi berparlimen, keluhuran undang-undang dan perlembagaan serta institusi Raja Berdaulat.

Tindakan mereka harus menimbulkan rasa gusar kepada sesiapa sahaja yang mendokong keadilan, prinsip-prinsip hak asasi manusia serta mahu melihat institusi-institusi seperti SPR diperkasakan demi manfaat rakyat.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Monday, July 4, 2011

Iktibar kepemimpinan tulen untuk Najib

oleh Wira Arjuna



Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai BERSIH 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong BERSIH 2.0.

NONEDalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

NONE“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”.

Tersasar hayati ucapan

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur perhimpunan BERSIH, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas: biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

NONESayugia diingati BERSIH telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergabung di bawah naungan BERSIH.
Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.

NONEApabila rundingan antara SPR dan BERSIH gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh BERSIH.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.

Mencetuskan ketegangan

PERKASA dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan BERSIH hanya untuk mencetuskan ketegangan.

NONEMasjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur BERSIH sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta BERSIH 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap BERSIH 2.0.

kedah pkr arrested by police bersih 020711 01Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo BERSIH. Lebih 200 orang ditahan dan pejabat seketariat BERSIH diserbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan BERSIH disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk ahli parlimen Sungei Siput Dr D Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Rakyat terima padah

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi BERSIH.

NONESiapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh BERSIH sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah BERSIH melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas? Tidak. Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh BERSIH, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong BERSIH 2,0.

rustam ali silat group bersih 2Fitnah disebarkan menerusi khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur BERSIH 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.

Aktivis tersohor

Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur BERSIH 2.0?

NONEHarus diingati, BERSIH 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan. Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S Ambiga, nama-nama seperti Maria Chin Abdullah, Marina Mahathir dan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

NONESayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak BERSIH 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.

Tawaran jengkel

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

azlan“Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu:

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan semalam adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur BERSIH 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Thursday, June 30, 2011

Bersih 2.0: Tembelang Najib Pecah

wira arjuna

"Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.”

Last day of Abdullah Ahmad Badawi. Najib Abdul Razak takes over as prime minister in PutrajayaItu intipati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi.

Rakyat yang memakai kemeja T dengan membawa logo BERSIH ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas.

Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihan raya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi tindakan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai.

NONESegala aktiviti penganjur BERSIH dan pemimpin-pemimpin politik yang menyokong gerakan itu diibaratkan oleh polis dan media arus perdana sebagai memudaratkan keselamatan negara.

Malah BERSIH, menurut Umno-BN, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung.

Tembelang pecah

Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai baju T dengan logo BERSIH dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo itu.

Akhirnya tembelang Najib “pecah”.

NONEJanji-janji untuk mengamalkan keterbukaan dan menjadikan rakyat sebagai paksi kepada segala tindakan beliau hanya kenyataan politik yang kosong.

Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Dr Mahathir dan kini berulang di era Najib.

Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan BERSIH.

Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan.

NONEApakah undang-undang rimba berdaulat kembali apabila polis boleh menyerbu dan menyita sekretariat BERSIH tanpa waran semata-mata untuk merampas baju T dan risalah BERSIH?

Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong BERSIH, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Suhakam, sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman BERSIH, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan.

police crack down bersih 290611 melacca chinese assembly hallIni kerana tuntutan asas BERSIH adalah supaya sistem pilihan raya diperbaiki khususnya ketelusan undi pos di samping pembersihan daftar pengundi.

Sebuah pilihan raya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang “bersih” dan tidak mencurigakan.

Amat berpengetahuan

Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihan raya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam.

Contohnya Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Times dan Berita Harian dikawal oleh Umno manakala The Star dikuasai MCA.

bersih rally 271207 06Ini tidak termasuk RTM dan Bernama yang diletak terus di bawah Kementerian Penerangan, Komunikkasi dan Kebudayaan.

Kelebihan ini umumnya diterima oleh Pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan sebagai realiti politik negara, contohnya tidak mungkin Umno menyerahkan haknya untuk menentukan siapa Ketua Pengarang Utusan Malaysia mahupun Berita Harian.

Justeru tuntutan utama NGO berkenaan menerusi BERSIH ialah supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi.

Justeru inisiatif 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan ini harus disokong, bukan sahaja oleh Pembangkang tetapi juga oleh BN, yakni Najib sendiri.

Najib ingin mencanang Malaysia sebagai sebuah negara dinamis di bawah dasar-dasar beliau yang pro-aktif dan berpaksi rakyat.

NONEBeliau seorang yang amat berpengetahuan luas, menjelajah di seluruh dunia dan tentunya peka bahawa hak berkumpul secara aman adalah prinsip asas demokrasi.

Jika benar beliau mendokong prinsip itu, kenapa bertindak begitu zalim terhadap penganjur BERSIH?

Tutup sebelah mata

Jika Najib menyokong prinsip asas demokrasi, beliau sepatutnya turun bersama rakyat, tak kira sama ada mereka penyokongnya mahupun pembangkang , demi menzahirkan komitmennya kepada sebuah pilihan raya yang telus dan adil.

NONEKehadiran beliau bersama rakyat, wakil masyarakat madani dan pemimpin pembangkang pada perhimpunan BERSIH sudah tentu menjadi pemangkin untuk Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan penambahbaikan kepada sistem pemilihan yang sedia ada.

"Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa."

Itu ucapan Najib pada satu majlis di Sabah tidak lama dahulu. Jika beliau mendokong kenyataannya itu, sudah tentu Perdana Menteri tidak bermasalah menyokong BERSIH.

NONESebaliknya Najib memilih untuk merestui tindakan polis menangkap dan memenjarakan mereka yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Beliau juga menutup sebelah mata dengan provokasi PERKASA dan Pemuda Umno menganjurkan siri demostrasi pada hari yang sama, semata-mata untuk mencetuskan keadaan tegang dan memberi alasan kepada polis untuk bertindak liar.

Sayang – peluang Malaysia melangkah ke depan untuk menyubur dan mematangkan proses demokrasi negara disambut dengan tindakan pemerintah yang begitu keras dan jauh daripada bersih.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.