Friday, October 21, 2011

Bab dok Sekat Guna Dewan Nie Sah kelaku Puak Otak Biru

Penduduk dihalang guna dewan

KODIANG - Tindakan pengurusan dewan orang ramai Kodiang menghalang penganjur Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu menggunakan kemudahan persekitaran dan dewan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat.

Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Basir Ismail berkata, tidak diketahui alasan pengurusan dewan berkenaan enggan menyerahkan kunci pagar serta dewan kepada mereka untuk menganjurkan program yang dijadualkan bakal berlangsung 26 Oktober ini.

Menurutnya, mengikut perancangan program sehari itu akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dewan manakala bahagian dalam dewan digunakan untuk menempatkan gerai pameran pelbagai agensi seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mengambil bahagian.

“Sepatutnya perkara ini tidak timbul kerana tapak yang dicadangkan itu milik MDKP walaupun pembinaan dewan berkenaan menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Tambahan pula program yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah program Kerajaan Negeri dengan melibatkan penduduk sekitar bukannya program berunsurkan politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Basir berkata, disebabkan masalah itu mereka terpaksa mencari tapak alternatif di kawasan berhampiran iaitu di Kompleks Perniagaan Taman Berjaya, pekan Kodiang untuk memastikan perjalanan program yang dirancang tidak tergendala.

“Kami amat kesal kerana orang ramai dihalang memanfaatkan kemudahan dewan sedangkan sebagai orang awam mereka berhak menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk mereka.

“Perancangan menggunakan dewan itu sudah dipersetujui penganjur program semenjak tiga bulan lalu. Walaupun permohonan untuk menyewa dewan daripada pemegang kuncinya dibuat dengan baik sebelum ini mereka tetap tidak membenarkannya,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis, Nordin Ahmad, berkata, antara aktiviti yang bakal diadakan sepanjang program seperti penyampaian geran tanah, pengagihan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Skim Kafalah.

“Dalam majlis itu juga akan diadakan jamuan rakyat serta sesi ramah mesra rakyat bertemu Menteri Besar.

“Walaupun sudah membuat keputusan akan mengadakannya di lokasi lain namun kami tetap berdepan dengan masalah apabila tapak kawasan yang dipilih itu lebih sempit serta tempat letak kereta lebih terhad,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, satu laman blog turut mendedahkan belum sempat Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan dewan itu kepada MDKP pada 2008, kerajaan bertukar tangan dan tiba-tiba pemilikan bangunan itu dirampas oleh parti politik.

No comments:

Post a Comment