Wednesday, January 9, 2013

58 sekolah Tamil seluruh Kedah dibantu


 

ALOR SETAR – Sebanyak RM229 ribu telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk membantu pembangunan sekolah-sekolah Tamil seluruh Negeri Kedah yang melibatkan 49 sekolah bantuan modal dan 9 sekolah bantuan penuh.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, YB Dato’ S. Manikumar, agihan peruntukan berkenaan akan dibahagikan mengikut kapisiti jumlah pelajar dan lain-lain hal berkaitan.

“Bagi sekolah bantuan penuh kita akan sumbang setiap sekolah RM2 ribu manakala sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai, kita akan agihkan RM10 ribu setiap sekolah dan lain-lain sekolah kemungkian dalam RM5 ribu untuk setiap sekolah,” jelasnya ketika ditemui selepas selesai Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Latihan UPSR dan Bantuan Wang PIBG, di sini.

Katanya lagi, keperihatan kerajaan negeri membantu sekolah-sekolah Tamil menunjukkan sikap Menteri Besar itu sendiri yang cintakan pendidikan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Selain bantuan kepada sekolah-sekolah Tamil, kerajaan negeri juga memperuntukan sebanyak RM500 ribu untuk pembangunan kaum India. Peruntukan demikian yang diwujudkan sejak tahun 2010 tidak pernah berlaku pada masa yang lalu khususnya semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Masyarakat India begitu berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat hak-hak kaum lain. Dulu tiada sebarang peruntukan yang dikhususkan untuk pembangunan masyarakat India tetapi sekarang ada. Dengan sokongan kerajaan negeri, kita dalam usaha membentuk komuniti masyarakat India baru di Kedah,“ jelas beliau.

Di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India akan diwujudkan Kedah India Development Council (KIDC) yang akan merancang beberapa agenda untuk masyarakat India seperti perundangan, perladangan, ekonomi dan lain dalam corak perbelanjaan yang diatur oleh KIDC sendiri.

S.Manikumar juga mengucapkan terima kasih kepada NGO yang menyahut seruan kerajaan negeri untuk sama-sama membantu dalam urusan kebajikan kepada yang memerlukan.

“Majlis Penyerahan buku latihan UPSR dan Bantuan Wang PIBG ini adalah cetusan idea dari Persatuan Kemajuan Masyarakat Malaysia yang teruja dengan sambutan masyarakat India pada program sambutan Deepavali lalu di Taman Ria, Sungai Petani.

“Program tersebut dihadiri oleh Menteri Besar dan mendapat sambutan lebih 10 ribu hadirin dari masyarakat India. Bagi mereka Menteri Besar adalah seorang pemimpin yang boleh membawa harapan besar kepada masyarakat India dan melengkapkan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.“ ulas beliau mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment