Wednesday, January 9, 2013

Penduduk Sri Derga berterima kasih kerajaan negeri Kedah

ALOR SETAR – Penduduk Taman Sri Derga memuji usaha dan kesungguhan kerajaan negeri Kedah melalui Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyelesaikan masalah mereka mendapatkan Sijil Menduduki Rumah (CFO) untuk rumah mereka yang tergendala sejak 2008.

Seorang pemilik, Tan Hooi Pin dan isterinya menyatakan bahawa mereka sangat gembira kerana sudah mendapat CFO untuk rumah itu. Dikatakan rumah tersebut sudah boleh diduduki sejak 2008 tetapi pihak pemaju tidak memberikan CFO kepadanya.

“Pada tahun 2010 kami berjumpa dengan Pegawai Khas Menteri Besar, Teh Kok Soo untuk menyelesaikan masalah ini dan sekarang sudah selesai.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu bagi menyelesaikan masalah yang menjadi mimpi ngeri bagi kami ini. Kini, mimpi ngeri sudah hilang dan kehidupan sudah kembali cerah. Ianya merupakan hadiah tahun baru bagi kami. Tanpa bantuan kerajaan negeri dan pihak-pihak lain maka susah untuk selesaikan masalah ini,” kata mereka.


Seorang lagi peduduk taman tersebut juga turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan yang diberikan untuk mendapatkan CFO itu. Encik Saiyid Syaifuddin Syed Basri, 55 menyatakan bahawa beliau merupakan orang pertama yang menduduki taman itu dan pada waktu itu tiada bekalan eletrik dan air.

“Dahulu, kami terpaksa menggunakan lilin pada malam hari dan menggunakan paip air milik peniaga berhampiran taman ini.

“Selepas itu, Tenaga Nasional Berhad rasa kasihan dengan kehidupan kami, maka mereka memasang bekalan eletrik untuk kami. Namun, setiap daripada kami semua perlu membayar RM1500 untuk tiang eletrik tersebut,” terangnya ketika ditemuramah selepas Majlis Penyerahan CFO di Taman Sri Derga yang disampaikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.

Tambahnya, selepas itu, masalah tersebut selesai dan hanya menunggu CFO sahaja. Saya berterima kepada pihak kerajaan negeri dan MBAS kerana membantu menyelesaikan masalah ini. Tanpa bantuan mereka mungkin masalah CFO ini belum selesai.

No comments:

Post a Comment