Wednesday, January 9, 2013

Projek pertanian untuk Sekolah Agama, Tamil dan Cina jana pendapatan





ALOR SETAR – Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengagih-agihkan tanah pertanian berskala besar kepada sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Sekolah Agama rakyat untuk dibangunkan.

Demikian kenyataan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kerja UPSR dan Bantuan Wang PIBG untuk enam buah sekolah Tamil, sebuah sekolah Cina dan tiga buah sekolah rendah kebangsaan sekitar zon utara.

Tambah beliau lagi, sebagai alternatif sumbangan berbentuk wang ringgit yang telah disumbangkan saban tahun, tanah ladang yang bakal diagihkan akan diberi kebenaran untuk penggunaannya selama 30 tahun dan secara usahasama dengan GLC berkaitan.

“Kita bukan bagi terus sebagai hak milik, tapi kita bagi untuk dibangunkan. Tanam kelapa sawit atau getah selama 30 tahun dan pulangan hasil akan diperolehi oleh sekolah-sekolah ini. Dalam masa dua hingga tiga tahun, InsyaAllah hasil sudah boleh diperolehi.

“Mungkin 500 ekar, 800 ekar dan mungkin juga 1000 ekar walau bagaimana pun kita kena pastikan ianya tidak mengganggu alam sekitar. Tapi sebelum dapat hasil tanaman kekal. Tanaman kontan seperti pisang, ubi, nanas dan lain-lain dapat diusahakan dan ianya juga boleh mendatangkan pulangan yang lumayan,“ terang Azizan.

Ujar beliau lagi, tindakan sedemikian menunjukkan satu jaminan dari kerajaan negeri dan betapa seriusnya usaha memastikan pendidikan di Kedah berjalan dengan baik tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Kerajaan negeri sangat mengambil berat berkenaan dunia pendidikan, walau pun pelbagai sumbangan telah disalurkan oleh Kementerian Pendidikan kepada sekolah-sekolah namun kerajaan negeri turut bersama-sama membantu sekadar termampu untuk anak bangsa agar tidak tercicir.

“ Untuk melihat masa depan sesebuah negeri atau negara, kita boleh melihat atau menilai anak-anak muda hari ini. Kalau anak-anak muda berpendidikan dan berilmu bermakna baik untuk masa depan negeri atau pun negera itu tapi kalau anak muda tidak bertangjungjawab serta tidak berilmu maka akan lahirlah generasi tidak bermoral dimasa akan datang.

“Tanggung jawab yang besar ialah untuk meninggalkan sesuatu yg terbaik untuk generasi kini. Sekiranya gagal, maka gagallah mereka dan ianya berpunca dari kita sendiri. Penbangunan yang pesat dan kemajuan ekonomi yang tinggi tidak menjamin kesejahteraan sesebuah negara kalau generasi tidak berilmu, berakhlak dan beragama,“ luahnya di hadapan kira-kira 500 hadirin.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau semasa menuntut ilmu dahulu, di mana pengajian beliau tidak ditaja atau dibantu oleh mana-mana agensi atau biasiswa samada negeri mahu pun persekutuan namun tekad dan azam beliau yang kuat untuk terus belajar sehinggalah beliau ditawarkan menjadi pensyarah di beberapa buah universiti, antaranya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa , selain pernah menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud pada tahun 1966.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Kemajuan Masyarakat Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India kerana berjaya mengadakan majlis ini serta tahniah kerana dapat membantu meringankan beban ibubapa.

“Kepada para pelajar yang dapat buku latihan UPSR hari ini, guna elok-elok buku itu sebaiknya. Saya dulu belajar menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Buku bahasa Arab mahal, tak mampu beli, tiap-tiap tahun pinjam dekat senior, balut elok-elok dan guna sebaiknya,“ celahnya lagi.

Seramai 311 pelajar menerima sumbangan buku-buku latihan UPSR serta enam buah sekolah Tamil di zon utara yang menunjukkan prestasi cemerlang menerima bantuan wang tunai kepada PIBG sebanyak RM1000 setiap sekolah di majlis berkenaan.

Majlis yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon itu turut dihadiri oleh, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, YB Dato’S. Manikumar, Adun Kota Darul Aman, Lim Guan Aik, Penasihat Persatuan Masyarakat Malaysia, Dato’Segaran Krisnan, Pengerusi Persatuan Masyarakat Malaysia, Encik Kanusamy, guru-guru dan waris-waris pelajar sekolah-sekolah yang terlibat.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SRJKT Thiruvaluvar, SRJKT Barathi, SRJKT Jabi, SRJKT Darul Aman, SRJKT Paya Kemunting, Jitra, SRJKT Changloon, SRK Titi Gajah, SRK Wawasan, Taman Aman dan SRJKC Soon Jian.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam.

No comments:

Post a Comment