Showing posts with label Dunia. Show all posts
Showing posts with label Dunia. Show all posts

Thursday, November 24, 2011

PM Kena penampaq oleh seorang rakyat yang tension harga barang mahal..!!

Pemuda tampar muka Menteri Pertanian India


HARVINDER SINGH yang menampar Menteri Pertanian India, Sharad Pawar, ditahan dalam sebuah kereta polis di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Seorang pemuda menampar muka Menteri Pertanian India, Sharad Pawar semalam untuk menarik perhatian berhubung kenaikan harga makanan dan amalan rasuah di negara berkenaan.

Ketika kejadian, Pawar yang berusia 71 tahun sedang bercakap kepada sekumpulan pemberita dalam satu majlis politik apabila dia diserang oleh lelaki tersebut.

Beberapa laporan berita televisyen menyatakan, lelaki itu menjerit slogan tentang harga makanan yang melambung tinggi dan gejala rasuah.

Imej di stesen televisyen menunjukkan penyerang itu memegang sebilah pisau semasa dia ditarik keluar oleh beberapa pengawal keselamatan dan pembantu Pawar.

“Tahukah anda kenapa saya memukul beliau? Orang ramai di negara ini tertekan. Adakah saya salah?” jerit lelaki itu semasa dia dibawa keluar oleh beberapa pengawal keselamatan peribadi yang menangkapnya.

Stesen televisyen tempatan, CNN-IBN TV melaporkan penyerang itu kini ditahan polis.

Menurut agensi berita AP, Pawar tidak cedera teruk dalam insiden tersebut.

Menurut laporan agensi berita Bernama, Pawar yang memberi reaksi mengenai kejadian itu menyatakan perbuatan itu adalah bodoh.

Ketika ditanya sama ada dia akan mengemukakan dakwaan terhadap penyerangnya, menteri itu berkata, terpulang kepada polis untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pawar berkata, penyerang itu dilihatnya berdiri dalam kumpulan wartawan dan dia mungkin mengambil kesempatan daripada kawalan keselamatan yang longgar.

Semasa ditampar, Pawar hilang imbangan badan dan kelihatan tidak peduli dengan kejadian itu sebelum menuju ke pintu keluar auditorium dan memasuki sebuah kereta yang sedang menunggunya.

“Saya merancang untuk datang ke majlis itu untuk menampar menteri tersebut,” kata penyerang Pawar, Harvinder Singh.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh turut mengutuk kejadian itu. – Agensi

Sunday, September 4, 2011

Tahniah anda PM yang hebat..sanggup istihar harta anda bersama dengan kabinet anda sekali..!!

PM India, 30 menteri kabinet isytihar harta


Perdana Menteri India Manmohan Singh dan kira-kira 30 menteri Kabinetnya semalam telah mengisytiharkan harta peribadi masing-masing.



NONEMenurut laman web Pejabat Perdana Menteri, harta peribadi Manmohan (kiri, berserban) berjumlah 2.63 bilion Rupee (RM3.9 juta) termasuk wang tunai di bank, tanah dan harta (dua buah rumah dan sebuah kereta jenis Maruti 800cc).



Berdasarkan maklumat dalam laman web berkenaan, menteri Kabinet yang paling kaya ialah Menteri Pembangunan Bandar Kamal Nath, dengan nilai harta (termasuk milik keluarganya) berjumlah 263 juta Rupee (RM165 juta).



Yang paling miskin pula dalam kalangan mereka ialah Menteri Pertahanan AK Antony, yang berasal dari Kerala, dengan nilai harta 10 juta Rupee (RM666,000).



Perisytiharan harta itu dibuat mengikut Kod Tatalaku bagi menteri.



Namun begitu tidak semua menteri mengisytiharkan harta mereka.



Seramai 72 daripada 77 menteri mengumumkan kepada awam harta peribadi mereka -- yang dilihat sebagai langkah mempromosikan ketelusan yang lebih meluas dalam kerajaan -- semasa parti memerintah sedang menghadapi krisis kewibawaan.



Sejak akhir-akhir ini gabungan United Progressive Alliance, yang diketuai Manmohan, berdepan tekanan hebat selepas berlakunya kes-kes rasuah besar seperti rasuah Sukan Komanwel dan penipuan telekomunikasi yang menjadi tajuk utama akhbar.

Monday, August 22, 2011

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.



TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.



ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.



Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Saturday, August 20, 2011

Ribuan penduduk Islam Birmingham Sembahyangkan Jenazah Pemuda Yang Mati Ketika Rusuhan di England

SUBHANALLAH RAMAINYA SOLAT JENAZAH UNTUK ORANG KECIK!







Ribuan Sembahyangkan Jenazah Pemuda Yang Mati Ketika Rusuhan di England.



Berikut ialah gambar ribuan umat Islam Birmingham yang hadir untuk pengkebumian dan menyembahyangkan jenazah 3 orang pemuda Islam yang terbunuh ketika rusuhan yang belaku di England 10 Ogos lalu.



Di Birmingham Haroon Jahan (21) serta dua orang adik beradik Shazad Ali (30) dan Abdul Musavir (31) meninggal dunia setelah dirempuh kereta perusuh yang cuba melakukan kekacauan. Ketiga-tiga orang mangsa pada ketika itu sedang melakukan kawalan keselamatan berhampiran kawasan perumahan mereka. Semalam jenazah mereka akhirnya dikebumikan di Birmingham.



Majlis pengkebumian dan solat jenazah mereka dihadiri ribuan penduduk Birmingham dan dilakukan di Summerfield Park. Just look at the humber of people there. Sobering isn't it. Di kalangan komuniti Islam Birmingham ketiga-tiga dikatakan mati syahid kerana mempertahankan ahli keluarga dan harta benda milik mereka dari dimusnahkan perusuh.

Thursday, May 5, 2011

PERTAHANKAN PEMUAFAKATAN HAMAS-FATAH DAN IKTIRAF SEGERA SATU NEGARA PALESTIN BERDAULAT

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
5 Mei 2011
"PERTAHANKAN PEMUAFAKATAN HAMAS-FATAH DAN IKTIRAF SEGERA SATU NEGARA PALESTIN BERDAULAT"

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) merakamkan ucapan tahniah diatas persefahaman yang telah dimeterai antara HAMAS dan FATAH yang telah berlangsung dengan penuh rasa harapan di Kaherah kelmarin.

Bagi LA DPPP permeteraian tersebut adalah satu manifestasi permuafakatan persefahaman yang akan menguntungkan umat Islam Palestin dan antarabangsa kerana persengketaan yang berlaku sebelum ini antara Hamas dan Fatah hanya menguntungkan regim Zionis Isreal

Namun LA DPPP berharap, permuafakatan yang disepakati bersama kelmarin perlu diasaskan kepada keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua belah pihak yang sama-sama memperjungkan kemerdekaan Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel. Permuafakatan bersejarah ini menjadi permulaan baru kepada perjuangan berteraskan iman dan kepentingan umat Islam. Namun apa yang paling penting, kepercayaan dan keyakinan baru ini adalah pengorbanan paling besar buat Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain yang telah membuang semua prasangka terhadap Fatah terutama dalam konteks hubungan diplomatiknya dengan Israel.

Pada masa yang sama LA DPPP menggesa pemuafakatan ini dilaksanakan dengan suci hati tanpa campur tangan Israel dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya secara unilateral. LA DPPP berharap negara umat Islam dan semua masyarakat madani umat Islam berjuang mempertahankan keutuhan pemuafakatan yang suci ini. Malah secara jelas, pemeterian pemuafakatan ini menjadi indikator kepada kejayaan revolusi menumbangkan rejim-rejim diktator Asia Barat.

LA DPPP juga menggesakan seluruh Negara umat Islam dan dunia agar segera mengiktiraf kerajaan Palestin yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza. Setelah Hamas mengisytiharkan pemisahan kuasa antara Gaza dan Tebing Barat, dunia Islam yang takutkan Israel serta merta menarik sokongan kepada Kerajaan Hamas dan hanya mengiktiraf kerajaan Fatah di Tebing Barat. Namun dengan permeterian permuafakatan kelmarin, maka tiada alasan Negara-negara Islam dan dunia untuk tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah Negara berdaulat.

LA DPPP juga berharap satu pilihanraya baru dapat diadakan segera bagi memilih kerajaan supaya mandat yang baru dapat dizahirkan oleh rakyat bagi memimpin dan membawa suara sebenar rakyat Palestin. Harapan LA DPPP supaya pemimpin-pemimpin politik Palestin membuang semua kekusutan bagi membawa amanah rakyat kearah menuju Palestin yang Islami, makmur dan berdaulat.


RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB

Pengerusi

Lajnah Antarabangsa

Wednesday, May 4, 2011

Pengebumian OSAMA cetus tanda tanya

Memo Editor
WASHINGTON - Misteri yang sentiasa menyelubungi kehidupan pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden, masih berterusan walaupun selepas kematiannya.

Di sebalik kegembiraan Amerika Syarikat (AS) meraikan pembunuhannya, pelbagai pertanyaan dan keraguan mula timbul.

Benarkan Osama dibunuh? Bagaimana berita itu boleh disahkan? Di mana gambar mayatnya?

Dan yang paling membingungkan, mengapa AS mengebumikan Osama di dalam laut? Atau lebih tepat lagi, apa hak Washington mencampak mayatnya ke dalam laut?

Keputusan luar biasa pentadbiran Presiden AS, Barack Obama untuk mengebumikan Osama menerima kecaman hebat daripada ulama Islam yang menegaskan pengebumian di laut bercanggah dengan hukum dalam Islam.

Tindakan AS itu juga dilihat akan menyemarakkan lagi ketidakpercayaan masyarakat dunia mengenai kematian Osama.

Benarkan lelaki yang AS gelar pengganas No.1 dunia itu telah dibunuh?

Semasa mengumumkan kematian Osama, pemimpin AS itu menegaskan mayat Osama dikendalikan mengikut cara Islam, termasuk dimandi dan dikapankan sebelum jenazahnya disemadikan di utara perairan Laut Arab.

Antara alasan paling tidak logik diberikan AS yang dilihat cuba memanipulasi hukum Islam untuk kepentingan negara itu adalah Islam menuntut mayat seseorang dikebumikan dalam tempoh 24 jam selepas kematiannya.

Jadi Washington memutuskan untuk mengebumikan Osama di dalam laut kerana kononnya sukar untuk mencari negara yang mahu menerima jenazah individu yang didakwa sebagai pengganas terulung dunia itu.

Selain itu, AS juga berkata tindakan mengebumikan Osama di dasar laut adalah untuk mengelakkan kuburnya menjadi tempat pemujaan golongan fanatik jika pemimpin Al-Qaeda itu dikebumikan secara biasa.

Namun beberapa ulama Islam semalam menyelar tindakan itu dan menegaskan pengebumian yang dilakukan AS mencabuli hukum Islam dan bakal menyebabkan kumpulan militan melancarkan serangan membalas dendam ke atas kebiadaban Washington.

Mufti Besar Dubai, Mohammed Al-Qubaisi berkata, pengebumian di lautan memang dibenarkan dalam situasi luar biasa tetapi menegaskan apa yang berlaku kepada Osama tidak termasuk dalam pengecualian itu.

Jika soal agama tidak menjadi isu, tindakan itu tetap menyebabkan beberapa teori konspirasi mula diperkatakan pelbagai pihak sama ada Osama benar-benar telah dibunuh, walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dikatakan mengesahkan berita itu.

Bukan sahaja kumpulan Taliban di Pakistan yang tidak percaya dengan pengumuman Obama kelmarin, malah beberapa media Barat lain turut mempersoalkan kesahihan berita itu.

Pengarang akhbar AS, Washington Times, Emily Miller menuntut gambar mayat Osama ditunjukkan sebagai bukti.

Tindakan AS itu tentu sekali mencetuskan pertanyaan kerana pentadbiran Obama mempunyai banyak pilihan lain dalam melaksanakan pengebumian Osama, seperti yang dikatakan oleh seorang peguam di Mesir, Montasser Al-Zayat.

“Mengapa AS tidak mengebumikan jenazahnya di kubur tidak bertanda jika terlalu khuatir ia akan menjadi tempat pemujaan?

“AS tidak mahu Osama menjadi simbol, tetapi beliau sudah pun menjadi simbol di dalam hati ramai manusia,” katanya.

Saturday, March 19, 2011

Tsunami di Jepun: Apa Yang Kita Boleh Bantu

Salam~

Baru-baru ni kilang hantaq pi outstation, malam tak dak benda nak buat apa, dok berkurung kat bilik hotel dekat dua malam. Nasib ada internet dan 24 News TV Singapore, boleh juga lepas boring dok surf dan tengok berita-berita terkini khususnya bab tsunami dan isu terkini radiasi nuclear di Jepun nu.

Baca pi baca mai, tengok pi tengok mai, berita dan gambar-gambar sadis tu kalau dok ulang tengok, dok tumpu sangat, dok layan sangat, lama-lama boleh naik tension oo. Payahlah manusia nak selamat kalau terperangkap dalam laluan Tsunami ini.



Memang sedih dan berserabut rasanya urat perut bila tengok klip video manusia, kereta, rumah, bangunan, kapal, bot, jentera dan segala makneka dilambung gelombang tsunami, bergumpal-gumpal menjadi satu. Habis disapu semua sepanjang laluan itu, macam diserang garuda, tinggal padang jarak padang tekukur dan timbunan sampah sarap kayu besi dan 1001 benda bersepah sejauh mata memandang.



Dulu waktu Tsunami di Kota Kuala Muda dan juga Acheh, kami di NGO Wargakilang adalah juga menggerakkan aktiviti menghulur bantuan. Tapi untuk Jepun ini, bila tengok begitu teruk punya dok ada, rasa macam tak tau nak buat apa. Niat di hati memang kalau boleh nak pi tolong tapi Sendai jauh sangat, tak mampu nak sampai ke sana.

Dok ingat balik dari outstation nanti, nak lah gerakkan kawan-kawan pakat pikir macam mana nak bantu.

Tengah dok pikir pi pikir mai, tiba-tiba dapat call dari kilang minta saya gerakkan team CSR (Corporate Social Responsibility) kat tempat kerja untuk bantu mangsa Tsunami di Jepun ini.

Hah – asalnya cuma plan untuk NGO, kerja sukarela, tiba-tiba dah jadi urusan rasmi tempat kerja pulak. Saya kata tak apa, nantilah saya fikir tengok macam mana.

Waktu dok cari idea macam mana nak gerakkan team CSR nak bantu mangsa Tsunami ni, saya terlihat berita Channel News Asia apa ke nama, TV Singapore kat bilik hotel tu. Berita tersebut memetik kata-kata Duta Besar Jepun ke Singapore, dia kata bagi pihak rakyat Jepun beliau ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas “expression of support” (kata-kata perangsang dan semangat) yang diberikan oleh rakyat Singapore dalam isu Tsunami ini.

Kemudian secara kebetulan, saya terbaca pula berita dalam yahoo news, di ruangan komen di bawah berita-berita tu (ada beratus-ratus ribu komen) saya terbaca komen daripada seorang rakyat Jepun, Watanabe san kalau tak silap namanya. Beliau menulis lebih kurang terjemahannya:

“Mewakili rakyat Jepun, saya berasa amat terharu dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga terhadap semua yang memberi kata-kata perangsang dan semangat kepada kami melalui komentar di internet ini”

Bila saya melihat komen dua orang rakyat Jepun ini, terus saya teringat waktu NGO kami pi bagi bantuan mangsa banjir di Johor sewaktu musim banjir besar yang melanda selatan tanah air empat atau lima tahun yang lalu; ada seorang pakcik tua itu, waktu kami sampai ke rumah dia menyorong sampan membawa bantuan, dia tak habis-habis ucapkan kata-kata terima kasih; bukan sebab kami bawa air gula atau beras tapi sebab ada orang mai melawat beliau yang dah dekat berapa hari dah dok jaga rumah beliau itu sementara anak-anak dan isterinya tinggal di pusat penempatan.

Kadang-kadang di musim musibah ini, bukanlah sangat bantuan material yang mangsa-mangsa itu nanti, tapi kata-kata perangsang dan sokongan moral itu antara yang amat mereka hargai.

Untuk itu, saya tengah dok buat banner besaq, nak kutip tandatangan kawan-kawan kat tempat kerja nak hantaq pi ke kilang utama kami di Jepun sana nu nak habag kat depa kata kami dan insyaallah kita semua yang membaca tulisan saya ini sentiasa bersama mereka. Hari ini hari depa, hari esok mungkin kena kat kita pula.

Sokongan moral pun kadang-kadang ok juga, tapi lagi ok rasanya kalau diikuti bersama dengan sokongan wang ringgit. Saya dok tengok dalam berita TV dan gambar-gambar dalam internet tu, antara yang awal-awal sampai kat kawasan Tsunami itu, dan masih di situ tanpa mengendahkan ancaman radiasi nuclear adalah pasukan Palang Merah/Bulan Sabit Merah Antarabangsa. Berani depa ni.

Atas kapasiti sebagai pengarah CSR kat tempat kerja, saya tengah dok gerakkan tabung khas Tsunami ini, yang kemudiannya insyaallah akan kami salurkan kpd rakan-rakan sekerja berbangsa Jepun yang akan menyalurkannya melalui ICRC (International Committee of Red Cross Society) ini.

Kepada kawan-kawan semua, mungkin kot boleh lakukan benda yang sama, boleh salurkan sumbangan kalian kepada Tabung Khas Mangsa Gempabumi dan Tsunami Jepun anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia , akaun Maybank 5144 2210 2657. Bantuan akan disalurkan kpd Persatuan Palang Merah Jepun untuk kerja-kerja relief efforts ini.

Saya bukan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah ka apa, cuma tolong war-warkan based on their website at:

dan juga based on apa yang saya tengok dlm TV dan berita internet tu, ICRC antara yang terawal turun ke sana dan masih di sana, so eloklah kalau kita sama-sama boleh tolong dan bantu mereka.



Macam saya kata - hari ini hari depa, esok lusa mungkin Tsunami mai kat kita.

Lagi pun, elok juga derma ini, sebagai satu cara untuk release tension yang berbuku di dada bila dok baca cerita atau pun tengok klip video kisah Tsunami ini.

Opss, saja nak habag, urusan kerja mentakdirkan awal bulan May ini saya nak kena pi Jepun. Harap-harap waktu itu isu radiasi nuclear dah reda, kalau tidak kalut juga dibuatnya.
Tapi tak apa kot sebab mengikut Youtube, kalendar Mayan Purba meramalkan Tamadun Dunia Hari ini akan berakhir pada 21 Disember 2012; dikatakan bahawa pada tarikh itu buat pertama kalinya dalam masa 26,000 tahun, bumi-matahari-pusat galaksi bimasakti akan berada dalam satu garisan yang sama, yang menyebabkan kutub bumi berubah, mencetuskan huru hara cuaca dunia, banjir, gempabumi, tsunami dan lain-lain lagi. So, masih ada dekat setahun lagi...ok kot...ha ha ha...macam-macam dok ada, melawak saja noh.

Wsl

Saturday, March 12, 2011

Cara Jepun lawan tsunami

Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.


KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.

JAM dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi.

Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat.

"Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar.

"Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut.

"Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja.

"Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit.

"Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut.

"Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini.

"Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ.

Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo.

Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.


KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.


Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus.

Air hitam

Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap.

Sebuah pelabuhan di bandar Iwaki dijilat api, begitu juga di bandar Yamada.

Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu.

Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk.

Sejarah


DETIK-DETIK ombak gergasi melanda pesisiran Iwanumi, Miyagi.


Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera.

Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan.

Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi.

Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia.

"Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi.

Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun.

Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu.

Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk.

Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo.

Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun.

Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang.

72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur.

Kereta api laju


JEPUN mempunyai sejarah panjang kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami.


Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu.

Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi.

Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK.

Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan.

Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.

Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar.

Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman.

Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat.

Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu.

Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

Loji nuklear Jepun meletup..bagaimana pulak yang di Malaysia..??

Loji nuklear meletup



TOKYO - Ketika pihak berkuasa Jepun melaporkan lebih 80,000 orang dikhuatiri terkorban akibat gempa bumi dan tsunami terburuk dalam tempoh 140 tahun kelmarin, penduduk negara matahari terbit itu kini berdepan pula dengan kebocoran radioaktif yang boleh membawa maut.


SEJUMLAH bangunan yang musnah akibat tsunami diselubungi lumpur
di bandar Minamisanriku, utara Jepun semalam.

Kebimbangan tersebut tercetus apabila sebuah akhbar di sini melaporkan bangunan Stesen Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi 1 milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) meletup semalam.

Keadaan mencemaskan itu memaksa kerajaan Jepun memindahkan 45,000 penduduk ke tempat lain yang lebih selamat.

Ibarat Hiroshima kedua

TOKYO - Jepun, negara matahari terbit dengan ekonomi dan teknologi termaju di dunia kini dilihat bakal berhadapan dengan zaman kegelapan selepas dilanda gempa bumi terbesar dalam tempoh 140 tahun, semalam.

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Ritcher itu mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter yang bukan sahaja menyebabkan kemusnahan teruk di negara itu tetapi dilihat bakal menjejaskan ekonomi Jepun apabila lima reaktor nuklear, loji minyak dan pelabuhan terpaksa ditutup, menyebabkan kerugian luar biasa.

Gegaran itu melanda persisiran timur laut Jepun, kira-kira jam 3.46 petang semalam (waktu Malaysia) dan diikuti dengan sekurang-kurangnya 50 gempa susulan dengan kekuatan sehingga 7.1 pada skala Ritcher.

Sehingga jam 11.00 malam semalam, 300 orang dilaporkan terkorban dan lebih empat juta rumah terjejas selepas terputus bekalan elektrik.

Gempa bumi luar biasa yang berlaku 10 kilometer di dasar laut itu dapat dirasai sehingga di Beijing, China.

Bencana itu menyebabkan Lapangan Terbang Narita di Tokyo dan beberapa lebuh raya ditutup selepas kejadian itu.

Jutaan penduduk turut terjejas selepas ribuan rumah dan bangunan musnah di beberapa wilayah di seluruh negara dan sebuah kapal yang membawa 100 penumpang dihanyutkan oleh ombak tsunami.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengumumkan gempa itu menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan utara Jepun.

Semua pelabuhan di Jepun ditutup dan operasi dihentikan tetapi Bursa Saham Tokyo diumumkan akan dibuka seperti biasa, Isnin depan.

Sekurang-kurangnya 50 negara lain termasuk negara Pasifik mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa melanda Jepun.

Sebuah kilang minyak di bandar Chiba turut meletup dan terbakar. Laporan juga menunjukkan lebih 80 kebakaran besar berlaku di seluruh Jepun akibat gempa itu dan bomba dilaporkan tidak mampu mengawal kebakaran.

Loji nuklear di negara itu dilaporkan ditutup secara automatik dengan selamat tanpa sebarang kebocoran radiasi dilaporkan.

Selain Jepun, kepulauan Hawaii di Amerika Syarikat turut dilanda tsunami akibat kesan daripada gempa bumi di Jepun, awal pagi semalam.

Di Filipina, kerajaan negara itu mengarahkan 20 kawasan persisiran pantai dikosongkan selepas amaran tsunami dikeluarkan.

Di Rusia, lebih 11,000 penduduk yang tinggal di kawasan berbahaya dipindahkan selepas amaran tsunami dikeluarkan di Pulau Kuril.

Kapal-kapal yang dilabuhkan di pelabuhan Rusia diarah menuju ke te­ngah laut bagi mengelakkan dihempas ombak tsunami.

Gempa bumi yang menggegarkan Jepun itu adalah yang terkuat sejak gempa 9.0 pada skala Ritcher melanda Banda Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 sehingga menyebabkan tsunami yang membunuh 250,000 orang di 14 negara.

Friday, March 11, 2011

Gempa Terkuat dalam tempoh 140 tahun


GAMBAR dari udara menunjukkan gempa bumi di utara Jepun mengakibatkan
tsunami berair kehitaman menyapu kawasan pertanian di Sendai semalam.

TOKYO - Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun berlaku di laut timur Jepun semalam sekali gus mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Pihak berkuasa Jepun berkata, gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter itu menyebabkan beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh (sehingga 11.30 malam waktu Malaysia) dan jumlahnya dilaporkan meningkat dalam tempoh enam jam akan datang.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Kira-kira sejuta penduduk mendiami Sendai yang merupakan sebuah kawasan pertanian utama di Jepun.

Bencana alam itu berlaku pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Khan dalam sidang akhbar semalam mengakui gempa bumi tersebut menyebabkan kerosakan besar di utara Jepun.

Ombak tsunami tersebut membawa tanah dan serpihan sebahagiannya dalam keadaan terbakar menenggelamkan kawasan tanah pertanian di bandar Sendai, timur Jepun yang mempunyai sejuta penduduk.

Sebuah hotel runtuh di bandar Sendai dan ramai orang dipercayai tertimbus di celah runtuhan.

Turut disapu tsunami ialah Iwate, Miyagi dan Aomori.