Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts

Sunday, December 11, 2011

ULANGTAHUN KEDUA ANGRY BIRDS: PEMINAT DISERU CONTOHI SEMANGAT PERJUANGAN MENENTANG KEZALIMAN

KENYATAAN AKHBAR
INSTITUT POLISI STUDI, DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 DISEMBER 2011

http://pictures.inspirationfeed.netdna-cdn.com/wp-content/uploads/2011/04/10-Angry-Birds-Rio1.jpg

1. Bersempena ulang tahun kedua Angry Birds pada 11 Disember, Pemuda PAS menyeru peminat permainan Angry Birds di Malaysia mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh ‘burung-burung yang marah’ terhadap ‘si pencuri’ dan mengajak setiap warganegara yang prihatin menghapuskan budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin.

2. Berdasarkan laporan berita TheMalaysianInsider yang menyatakan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, Pemuda PAS memuji kreativiti pereka permainan Angry Birds, Rovio Mobile, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.

3. Pengarah Institut Polisi Studi Pemuda PAS, Mohd Syahir Sulaiman, menyifatkan permainan Angry Birds memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak. “Angry Birds secara kreatif dan penuh tekad berusaha mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri. Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. Ini mengajar kita TIGA perkara iaitu;

i. rakyat perlu bangkit menentang kezaliman
ii. pencuri akan ditentang
iii. pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”.

4. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyifatkan Angry Birds mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman. “Slogan ‘Jangan Curi !!’ adalah simbol kemarahan rakyat terhadap EMPAT pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia iaitu;

i. penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum
ii. penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka
iii. keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS
iv. kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara".

5. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyeru rakyat Malaysia menyemai budaya integriti dan ketelusan di dalam negara dengan memilih pemimpin beramanah yang ditawar oleh PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU yang akan datang.

Disediakan oleh:

Mohd Syahir Sulaiman
Pengarah, Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia
msyahir@pas.org.my
www.pemuda.pas.org.my
10 Disember 2011

Tuesday, September 20, 2011

Akta yang gantikan ISA akan lebih kejam?

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”).

Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan. Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.

Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.

Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing.

Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah.

Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa.

Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri.

Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.

Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights.

Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.
Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998.

Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.

Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat.

Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”.

Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Sehubungan dengan ini juga, JUHAM berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata.

Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat.

Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.


Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Malaysia

Saturday, September 10, 2011

KETUA PENGARAH JPN PERLU LETAK JAWATAN!

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
KETUA PENGARAH JPN PERLU LETAK JAWATAN!
(10 September 2011)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal kerana Jabatan Pendaftaran Negara gagal mengemaskini pengkalan data sehingga menyebabkan orang bukan warganegara disenaraikan sebagai pengundi.

Apa yang sangat dikesalkan apabila pendedahan oleh Pakatan Rakyat terhadap seorang pengundi yang bernama Yusnati Haris telah dinafikan oleh JPN dengan mengesahkan kewargangeraan beliau sejak tahun 2008. Kes ini menjadi rujukan betapa lemahnya sistem pentadbiran JPN yang menjadi sebuah agensi kerajaan sangat penting terhadap negara.

DPPWP hairan mengapa JPN tidak membuat kerja secara bersungguh-sungguh dengan membuat semakan dan meneliti setiap senarai nama yang ada dalam pengkalan data mereka? Apakah JPN tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk membuat semakan dan penelitian ini. Jika demikian, kemana pula perginya duit kerajaan dan negara bagi menggaji pekerja bagi membuat kerja yang cukup kritikal ini?

Kes ini didedahkan oleh Pakatan Rakyat yang membuat sedikit ‘kerja rumah’ berdasarkan kemampuan yang ada. Bukannya terlalu payah untuk mengenalpasti rakyat tempatan mahupun asing dalam sistem pengkalan data sama ada SPR mahupun JPN. Dengan kepakaran yang ada, Pakatan Rakyat berjaya membuktikan ‘keraguan yang munasabah’ terhadap data pengundi di SPR yang turut terkait ke pengkalan data di JPN.

JPN dan SPR sepatutnya berterima kasih terhadap Pakatan Rakyat yang tidak sedikit membuat pendedahan mengenai kelemahan sistem daftar pemilih. Bahkan, Pakatan Rakyat mempunyai ramai lagi bukti pemegang kad sementara menjadi pengundi berdaftar. Bayangkan jika Pakatan Rakyat membiarkan sahaja data ini, sudah tentu SPR dan JPN tidak akan ‘perasan’ kelemahan yang ada dalam sistem pengkalan data mereka dan kelemahan inilah yang akan digunakan dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Dengan pendedahan kes seperti ini dan juga kes-kes yang lain, menunjukkan bahawa pengkalan data SPR sangat diragui, kotor dan tidak layak digunakan dalam Pilihanraya Umum ke 13. DPPWP mencabar sekiranya benar SPR tidak berat sebelah dan bertindak secara profesional, keseluruhan sistem pilihanraya perlu dikaji dan dirombak kembali khususnya data pemilih. Data pemilih sedia ada mesti dibersihkan dari sebarang penyelewengan atau penipuan.

DPPWP dengan ini mendesak Ketua Pengarah JPN meletak jawatan manakala Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap semua kesilapan ini. DPPWP dan juga rakyat tidak boleh menerima ribuan kesilapan yang telah dan akan dilakukan dengan alasan tidak mengemaskini pengkalan data. Apakah alasan yang sama akan diberikan jika banyak lagi pendedahan serupa dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap pengkalan data JPN atau SPR?


Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Wednesday, September 7, 2011

Sini Suruh Gugur Kerakyatan Mat Sabu, Sana Bagi Beribu Kerakyatan Untuk Warga Asing

Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.

Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.

Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.

Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.

Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan?

Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.

Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.

Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 September 2011

Wednesday, July 27, 2011

Shahrizat Masih Primitif.........!!!

Kenyatan Media: Ybz-Shahrizat Masih Primitif (27 July 2011)

Respon kepada kenyataan media Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sewaktu Konvensyen Persidangan Wanita 2011 di Putrajaya semalam - saya menyifatkan bahawa nampaknya Shahrizat masih ditahap primitif dan sangat kuno dalam memahami tuntutan sebenar wanita di negara ini.

Kenyataan beliau yang membandingkan dasar 30 peratus ini dengan agihan kebajikan juga seolah menghina keupayaan golongan pekerja wanita di negara ini. Selaku taraf Menteri kenyataan seperti ini tidak sepatutnya diucapkan.

Kerajaan juga nampaknya cuba mengelirukan rakyat. Hasrat sasaran 30% kuota wanita dalam barisan lembaga pengarah korporat bukanlah sesuatu yang baru, malah suatu yang langkah yang terkebelakang sebenarnya. Ini kerana, sedia maklum bahawa penilaian merit memang sudah menjadi budaya korporat dalam mengukur dan mengetengahkan pencapaian seseorang pekerja, tidak kira lelaki mahupun wanita.

Kerajaan seharusnya berganjak dari sistem kuota sebegini. Penilaian berasaskan merit harus dimula dan disegerakan. Inilah yang diamalkan negara-negara membangun dan maju dan kerajaan harus diimplikasikan oleh kerajaan sebenarnya.

Kemampuan kerajaan juga layak dipersoalkan. Buktinya, sehingga kini Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Umno dan BN sendiri masih belum bersedia untuk menyediakan kuota 30 peratus kuota buat wanita.

Malah, kerajaan sendiri juga gagal untuk melaksanakan apa yang dimeterai sewaktu Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) di setiap peringkat - dari peringkat Menteri dan Kerajaan, Kementerian dan Jabatan sehinggalah ke peringkat pertubuhan dan organisasi, walaupun telah ditandatangi selama hampir 15 tahun lamanya.

Maka saya bimbang dasar yang mahu dicapai ini kelak akan digunakan untuk memanipulasi sektor korporat demi kepentingan politik mereka semata-mata.

Sasaran kerajaan ini bukan sahaja tidak memajukan pekerja wanita yang berada di sektor awam, tetapi juga merencatkan perkembangan penglibatan wanita dalam korporat juga.

Gesaan saya agar kerajaan regulasikan akta berkenaan perkara ini. Sekaligus ianya akan mampu berikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada semua pekerja wanita di negara ini, dan tidak hanya sektor korporat semata-mata.

Apa yang diharapkan sebenarnya ialah suatu reformasi dari pembudayaan merit sektor swasta ini ditranversikan kepada sektor perkhidmatan awam agar pembangunan pekerja wanita di negara ini lebih seimbang antara keduanya.

Beliau seharusnya sedar dengan semua perkara ini dan bertindak dengan lebih progresif, dan tidak sebaliknya iaitu terus-terusan membuat ucapan kuno dan primitif sebegini. Jelas, beliau adalah suatu kekecewaan buat wanita di negara ini.

Sekian. Terima kasih.

YB Hajah Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan Malaysia
Merangkap Ahli Parlimen Ampang
http: //www.twitter.com/@ybz99

Thursday, July 7, 2011

Siapa Lebih Berkuasa? Agong, Najib atau Hisham?

Kenyataan Media: Siapa Lebih Berkuasa? Agong, Najib atau Hisham? (7 July 2011, Keadilan HQ)

http://media1-cdn.malaysiakini.com/380/71f6a812c98762576930d4cdc1e4aa99.jpg

Respon kepada tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang terus-terusan menyalakkan institusi polis untuk menahan dan menghalang perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai ini adalah suatu tindakan yang amat biadap kerana jelas telah melanggar titah baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakannya membuatkan rakyat kini hairan, siapa sebenarnya yang lebih berkuasa? Yang DiPertuan Agong, Datuk Seri Najib Razak atau Hishammuddin?

Ini kerana, secara jelas Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan telah memberi perkenan untuk diadakan perhimpunan aman ini. Maka, Hishammuddin seharusnya taat dan patuh, seperti seharusnya sebagai seorang Melayu dan warganegara Malaysia.

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri nampaknya sudah lepas tangan dan ketidak-upaya lagi untuk menambat dan mengawal perilaku buas Menteri-menterinya.

Malah sebaliknya terus memberikan perlindungan tertinggi buat mereka untuk bertindak sewenang-wenangnya. Kedayusan Najib ini melihatkan seolah beliau kini menjadi Pak Turut dan mangsa buli Menteri bawahannya pula.

Maka, hancurlah Ketuanan Melayu, berkaratlah hunusan keris yang Umno perjuangkan selama ini apabila Menterinya sendiri nampaknya sudah tidak lagi menghormati YDP Agong dan Perlembagaan.

Selain dari 8 tuntutan Bersih sedia ada, kami juga menuntut agar:

1. Hishammuddin segera membebaskan kesemua 194 tahanan, termasuk 6 yang ditahan dibawah Ordinan Darurat.

2. Menghentikan sebarang penahanan dan mengembalikan kesemua barangan Bersih yang telah dirampas.

PDRM harus bekerjasama mengawal keadaan, bukan memburukkannya lagi.

Sekian. Terima kasih.

YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan Malaysia
Merangkap Ahli Parlimen Ampang

Friday, June 10, 2011

PAS Kawasan Baling Berdiri Teguh Di Belakang Dato' Seri Ustaz Azizan.

KENYATAAN MEDIA
11 JUN 2011

Pesuruhjaya PAS Kedah dan Menteri Besar:
PAS Kawasan Baling Berdiri Teguh Di Belakang Dato' Seri Ustaz Azizan.

PAS Kawasan Baling menyokong penuh pandangan Dato' Phahrolrazi Zawawi yang disiarkan dalam Sinar Harian (8 Jun 2011) di bawah tajuk 'PAS Kedah sokong Azizan Dilantik Semula'. Pendirian ini diambil dalam Mesyuarat Khas PAS Kawasan Baling pada hari ini melibatkan seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling.

PAS Kawasan berpendirian bahawa, buat masa ini, Ustaz Azizan adalah tokoh terbaik yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada PAS Kedah dan Kerajaan Negeri untuk terus memimpin parti, kerajaan dan seluruh rakyat Kedah.Tambahan pula, banyak perancangan dan program-program memperkasakan parti, melonjak pencapaian kerajaan dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat telah terbukti berjaya dilaksanakan, malah banyak lagi sedang rancak berjalan di bawah pimpinan dan idea Ustaz Azizan.

PAS Baling juga percaya seluruh PAS Kawasan di Kedah mempunyai pendirian yang sama dalam hal ini. Kami merasakan kenyataan Dato' Phahrolrazi tempohari dan juga keputusan mesyuarat ini mampu memberikan mesej dan panduan kepada kepimpinan parti di peringkat tertinggi yang akan bermesyuarat bagi melantik Pesuruhjaya negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan pada 12 Jun nanti.

Sekian terima kasih.

Abd Kadir Bin Abd Rani
Pengarah pilihanraya PAS Kawasan Baling.

Tuesday, June 7, 2011

Kerajaan Selangor Cari Nahas dengan idea menggadaikan hak-hak bumiputera.

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Rabu 08 Jun 2011
Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat ‘self regulatory’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :
1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.
Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
019-7285174

Monday, June 6, 2011

Kepada jamil Khir - Apa cerita dengan Tugu Negara dan Patung Tunku Abd Rahman

Kenyataan Media DPP Johor
07 Jun 2011
Cabar Datuk Seri Jamil Khir Bertindak Terhadap
Tugu Negara dan Patung Tunku Abd Rahman

Saya mengalu-alukan kenyataan yang di buat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang tidak bersetuju dengan pembinaan tugu 1 Malaysia yang boleh membawa kepada pemujaan. Pandangan beliau adalah sama dengan pandangan yang diberikan oleh mufti (Perlis) supaya sebarang unsur-unsur pemujaan agar tidak diwujudkan. Ia bersandarkan kepada firman Allah S.W.T dalam surah Al-Maidah ayat 90 yang menyatakan bahawa arak, judi, memuja berhala dan bertenung nasib adalah amalan syaitan dan mestilah dijauhi.

Di samping tugu 1 Malaysia terhadap sebuah lagi tugu yang telah dibina untuk memperingati jasa pahlawan negara iaitu Tugu Negara. Di samping itu juga terdapat sebuah patung Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj Perdana Menteri Pertama kita di hadapan parlimen.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 Sep 1995 telah membincangkan Istiadat Meletakkan Kalungan Bunga Di Tugu Negara Sempena Hari Pahlawan. Muzakarah telah memutuskan bahawa meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Berdasarkan kepada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini maka dengan jelas tugu negara boleh membawa kepada unsur syirik dan bercangah dengan Islam. Begitu juga dengan patung Tunku Abd Rahman. Saya mencabar Datuk Seri Jamil Khair Baharom bertindak terhadap tugu negara dan patung Tunku Abd Rahman dengan segera. Tindakan ini adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman.”

Oleh kerana Datuk Seri Jamil Khir adalah seorang individu yang berkuasa dalam negara dan boleh mencegah dengan tangan maka sudah sewajarnya beliau bertindak dengan segera.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
019-7285174

Monday, May 23, 2011

Benarkah UMNO bukan hanya untuk orang Melayu ?

KENYATAAN RASMI
Pejabat Ketua Penerangan PAS Perak.

Saya suka untuk mengulas kenyataan terbaru Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pulai kelmarin sebagai dipetik telah berkata perjuangan UMNO pada masa kini bukan hanya untuk orang-orang Melayu sahaja tetapi untuk semua kaum di bawah konsep Barisan Nasional (BN).

Katanya lagi transformasi yang terpaksa di lalui itu harus dilakukan tanpa mana-mana pihak mempertikaikan hak orang Melayu.

Namun sayangnya bila diamati dengan mendalam semangat dan ucapan Hishammudidin itu pada realitinya jauh tersasar dari kenyataan yang sebenar setelah UMNO bersama BN memerintah Malaysia lebih 50 tahun.

Bagaimanakah UMNO mendakwa dirinya untuk membela bangsa dan kaum lain sedangkan UMNO ternyata gagal untuk membela orang Melayu.

Rakan kongsi UMNO dalam BN iaitu MIC mewakili orang India dan MCA mewakili orang Cina juga ditolak oleh bangsa tersebut kerana gagal membela nasib mereka sekian lama.

UMNO dan BN ternyata telah berjaya untuk membela pemimpin BN yang menang setiap kali PRU. Begitu juga kroni dan kelompok terpilih sahaja yang dibela, selainnya terus merempat di negara mereka sendiri.

Rakyat telah bangkit dan terus bangkit menolak BN dan baru sekarang mereka mula sedar namun tidak lebih dari ucapan untuk menyelamatkan diri dan kuasa yang mereka sedang miliki.

Realitinya UMNOlah penghianat kepada bangsanya sediri dan pengkhianat kepada agama orang melayu iaitu Islam.

Hak orang Melayu seperti bahasa dicabuli oleh pemimpin UMNO seperti dalam kes PPSMI dan sebelumnya tulisan Jawi "dibunuh" oleh menteri dari UMNO.

Dalam bidang ekonomi UMNO ternyata gagal untuk merelisasikan pencapaian 30 % pencapaian ekonomi orang Melayu dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sekarang orang Melayu dijanjikan pula dengan Model Ekonomi Baru (MEB).

Kata Hisammuddin lagi isu sensitif yang melibatkan semua kaum harus dibincangkan bersama secara rasional dan bukan digembar-gemburkan untuk menjadi modal politik bagi memecah belah atau menakut-nakutkan rakyat.

Tetapi realiti yang kita lihat dia sendiri tidak dapat bertindak atas kuasa yang diberikan dibawah kementeriannya untuk membendung pelbagai kenyataan dari pihak yang tidak bertanggung jawab dan ternyata mengancam keselamatan negara.

Terkini isu negara kristian yang telah dibangkitkan oleh seorang blogger pro UMNO ternyata tidak ditangani secara serius sehingga masih ada pihak yang berani mengeluarkan ucapan yang mengancam keselamatan negara seperti yang dilakukan oleh Ibrahim Ali minggu lepas.

Sebenarnya isu yang sengaja diada-adakan itu sudah pun selesai dan tidak perlu diungkitkan lagi bila PM Najib bertemu dengan pemimpin agama Kristian dan mendapat pengesahan bahawa isu itu tidak berbangkit sama sekali.

Namun bgitulah nasib rakyat negara Malaysia yang sedang berdepan dengan UMNO yang sedang mencari jalan untuk menyambung hayatnya yang hampir tamat.

Kerana itu ucapan Hishammuddin adalah antara pelengkap kepada agenda tersebut.

Ketua Penerangan PAS Perak.
Drs. Khalil Idham Lim
PARIT BUNTAR, 23 Mei 2011

Sunday, May 15, 2011

PERKUKUH KEPERIBADIAN BELIA

PERUTUSAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA SEMPENA HARI BELIA

16 Mei 2011

"PERKUKUH KEPERIBADIAN BELIA"

Salam perjuangan dan persahabatan dari saya dan EXCO DPP Malaysia buat seluruh warga belia negara. Sempena sambutan Hari Belia, suka saya menarik perhatian semua khasnya para belia kepada beberapa noktah untuk penelitian bersama ke arah membina masa depan agama, bangsa dan negara yang mendapat keampunan tuhan.

1. Sesungguhnya belia merupakan tonggak kepada sesebuah negara. Belia yang mempunyai nilai jati diri hebat juga merupakan aset terpenting negara. Kita mengerti proses pembaratan [ westernization ] semakin menular namun langkah kita tidak boleh berhenti dan membiarkan ia terus melanda generasi belia hari ini, lantaran syair yang mendesak semangat juang kita senantiasa berdengung di cuping telinga :

لنا يد و العمل لنا غد و الأمل

Kita mempunyai sumber tenaga dan tugasan [ yang perlu diurus ], kita juga mempunyai masa depan dan wawasan [ yang perlu ditunai ]

2. Kita seharusnya konsisten mengatur langkah untuk menganjakkan kepompong paradigma belia. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan supaya negeri - negeri yang diterajui Pakatan Rakyat membuka ruang seluas - luasnya kepada golongan belia untuk mereka mengasah bakat kepimpinan termasuklah menyediakan platform yang sesuai bagi mereka bersuara seperti sudut pidato dan forum anak muda.

3. Sementara itu, Kita juga harus menyedari bahawa generasi belia yang ada hari ini merupakan acuan sistem pendidikan kebangsaan terhadap generasi remaja sewaktu mereka di alam persekolahan beberapa tahun sebelum ini. Generasi remaja yang sedang dibangku sekolah hari ini pula, merupakan generasi belia di masa akan datang.

4. Gejala keruntuhan akhlak dan kebejadan sosial yang berlaku dikalangan belia hari ini juga menjadi indikator yang jelas tentang kelemahan sistem pendidikan kebangsaan. Malah sekiranya kita melihat kepada aspek yang lain seperti perpaduan kaum, keyakinan upaya diri dan daya saing dikalangan generasi belia, kesemuanya menunjukkan sistem pendidikan nasional perlu direformasikan.

5. Malang sekali dasar - dasar berkaitan dengan pendidikan seumpama "sekali air bah sekali pantai berubah" iaitu mengikut kehendak atau selera siapa yang menjadi menteri berkenaan.

6. Peranan golongan belia dan anak muda bukan hanya perlu diperkasa dalam sektor sosial dan ekonomi semata - mata tetapi juga dalam politik. Peranan mereka dalam PRU ke 12 yang lalu sememangnya diakui, malah mereka juga berperanan penting dalam siri pilihanraya kecil pasca tsunami politik 2008. Dewan Pemuda PAS begitu menyedari bahawa golongan anak muda ini tidak mewarisi politik lama yang lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebaliknya golongan ini lebih terbuka dan rasional.

7. Lantaran itu, saya turut mengambil kesempatan untuk menyeru kepada setiap peringkat anggota pemuda PAS agar mendalami perubahan ini yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia di masa hadapan. Wajah baru politik Malaysia sebenarnya telah direalisasikan oleh golongan anak muda, justeru peranan mereka dalam sektor politik tidak boleh diperkecilkan.

8. Meledak suhu perubahan ke arah kerajaan dan pemerintahan yang lebih baik, sejahtera, adil, berkebajikan dan mesra anak muda, saya ingin mengingatkan dan malah menekankan betapa pentingnya golongan belia hari ini yang telah layak mengundi untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih yang sah dan layak.

9. Sekiranya generasi belia ini terdidik dengan tanggungjawab politik mereka sebagai rakyat Malaysia, saya yakin mereka lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui negara kelak dan kemungkinan untuk mereka menjana satu lagi tsunami politik adalah lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak.

10. Justeru itu, kita memberi penegasan kepada semua angkatan belia agar menolak perancangan halus pihak yang tidak bertanggungjawab menaja budaya hedonisme untuk melalaikan pemikiran dan merosakkan peribadi belia agar terus hanyut dan tenggelam dibawa arus jahiliyyah tanpa perlu lagi mereka memberikan perhatian kepada gerakan perubahan demi masa depan negara, bangsa apatah lagi agama.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, May 12, 2011

Kenyataan media dato husam 11 mei 2011: Royalti petroleum adalah hak milik rakyat kelantan

Royalti petroleum

Pembayaran Royalti Petroleum kepada Terengganu berjumlah RM 938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011 seperti yang disahkan oleh Menteri Besar Terengganu YB Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) ke-12 semalam membuktikan bahawa isu 3 batu nautika adalah adalah isu yang sengaja diada-adakan untuk menafikan hak Royalti Petroleum Kelantan.

Pembayaran semula royalty minyak Terengganu ini juga menunjukkan Perdana Menteri mempunyai dua polisi berlainan bagi isu yang sama dan ia memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong tidak bermakna.

Pembayaran kepada Terengganu dengan menafikan hak Kelantan dalam hal ini sedangkan kedua-dua negeri bersempadan dan telaga minyak Kelantan adalah berhampiran menjelaskan hasrat menganak-tirikan Kelantan atas faktor politik. Keadaan ini menunjukkan Barisan Nasional mempunyai dasar yang berubah-ubah dalam isu yang sama.

Pembayaran royalty ini, sebagaimana kenyataan YAB Menteri Besar Terengganu adalah berasaskan perjanjian 1975. Justeru Kelantan dan Terengganu menandatangani perjanjian yang sama 36 tahun yang lalu. Secara jelas asas undang-undang adalah sama. Jika pembayaran terpaksa dibuat kepada Terengganu kerana kehendak perjanjian 1975, jelas tidak ada sebab hak Kelantan dalam hal yang sama dinafikan.

Bagi berlaku adil dan merealisasikan kebajikan secara saksama serta pengembalian hak rakyat Kelantan, YAB Perdana Menteri seharusnya menjelaskan segera pembayaran royalty minyak Kelantan sama sebagaimana yang dilakukan kepada Terengganu.

Sekian terima kasih

Dato Husam Musa
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum

Saturday, May 7, 2011

"Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan"

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

"Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan"

8 Mei 2011


Anak Muda Malaysia merupakan nadi kebangkitan rakyat hari ini ke arah perubahan politik negara yang lebih adil, bebas dan sejahtera. Bagi menyemarakkan lagi kebangkitan ini, demi masa depan rakyat, Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan siri Jelajah Orang Muda Untuk Perubahan (JOM UBAH) ke seluruh negara.


Program JOM UBAH ini bakal dilancarkan di dalam Muktamar Pemuda PAS Pusat yang akan diadakan pada 1 hingga 2 Jun 2011 di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). JOM UBAH, akan dilancarkan sendiri oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Program JOM UBAH akan memulakan siri jelajahnya yang pertama pada 23 hingga 26 Jun 2011 melibatkan Negeri Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Siri jelajah JOM UBAH ini, DPPP akan menyampaikan dan mengedarkan tawaran Pemuda PAS kepada anak muda sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang selain mengadakan program-program khas untuk santapan anak muda. Anak-anak muda juga akan berpeluang mendengar pidato dan amanat daripada tokoh-tokoh pemimpin PAS disamping bersama dengan selebriti-selebriti negara yang akan menampilkan suatu yang baru kepada peminat mereka.

Lebih menarik, aktiviti konvoi bermotor dan berkereta ke seluruh negara juga akan diadakan dan pemuda PAS akan singgah di setiap negeri berjumpa dan beramah mesra dengan masyarakat.

JOM UBAH akan meneruskan siri jelajahnya ke negeri-negeri lain, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor (30 hingga 31 Julai 2011), Sarawak (23 hingga 25 September 2011) dan Sabah (28 - 30 Oktober 2011).

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

Pengarah Program JOM UBAH

"Utusan Bermain Api"

KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
"Utusan Bermain Api"
8 Mei 2011

1. Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

2. Suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Justeru itu, Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

3. PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding UMNO dan Barisan Nasional. Kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

4. Sungguhpun PAS menyertai "kerjasama politik" bersama parti - parti rakan kompenan Pakatan Rakyat [ PKR dan DAP ], namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini. Malah pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa UMNO juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

5. Andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan. Sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

6. Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah.

7. Lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada UMNO mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat. Malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

8. Jika UMNO berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul. Bahkan dalam masa yang sama, penganut - penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

9. Spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara UMNO dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama. Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera.

10. Spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab. Selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, May 5, 2011

Persidangan Parti Politik dan NGO ganti penyatuan UMNO – PAS

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
5 Mei 2011
"Persidangan Parti Politik dan NGO ganti penyatuan UMNO – PAS"

Isu penyatuan UMNO dan PAS kembali diperkatakan. Walaupun telah berpuluh tahun ianya ditimbulkan, polemik ini tidak nampak kesudahahannya, bahkan menjadi semakin kusut untuk diselesaikan. Kedua-dua pihak mempunyai hujah masing-masing. Saya berpendapat isu penyatuan UMNO dan PAS adalah isu yang besar dan rumit.

Isu ini tidak sesuai untuk dibincangkan pada waktu ini. Walaubagaimana pun komitmen untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam di negara ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak. Sebenarnya jika pun ada penyatuan antara UMNO dan PAS, belum tentu masalah masyarakat Islam di negara ini akan selesai. Saya yakin akan ada pihak lain yang akan menentang pula. Tentunya cabaran yang ada di hadapan terlalu besar untuk digalas. Cuma kita perlukan mekanisma baru yang lebih segar untuk menyatukan masyarakat Islam di negara ini.

Perbincangan masalah umat Islam di negara ini tidak boleh dikhususkan hanya kepada isu politik sahaja. Sebaliknya perlu diperluaskan kepada semua bidang seperti agama, pendidikan, ekonomi , perundangan, moral dan lain-lain lagi.

Untuk itu, perlu ada pihak ketiga yang dihormati dan tidak berkepentingan untuk menyatukan perbezaan pandangan pelbagai pihak yang terlibat. Antara tokoh-tokoh yang dihormati adalah seperti Yang Mulia Professor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid , Dato’ Abu Hassan Din Al Hafiz dan lain-lain lagi. Pihak ketiga ini perlu menyediakan mekanisma agar semua pertubuhan yang mempunyai keahlian majoritinya orang Islam dapat dilibatkan bersama. Ini bukan penyatuan antara UMNO dan PAS tetapi penyatuan seluruh umat Islam di negara ini.

Pihak ketiga ini perlu mengumpulkan semua pertubuhan yang mempunyai pengaruh di sisi masyarakat. Antaranya PAS, UMNO, PKR, ABIM, Ikram,Perkasa, MPM, Teras, PKPIM dan lain-lain lagi. Penyertaan dalam persidangan ini hanya terhad kepada pertubuhan yang berpengaruh sahaja. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu menghantar wakil tetapnya ke persidangan yang dianjurkan. Pemimpin berpengaruh seperti Presiden UMNO Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Perkasa Dato Ibrahim Ali, Pengerusi Teras Cikgu Azmi Bin Abdul Hamid dan lain-lain lagi perlu menjadi ahli dalam persidangan ini. Persidangan yang diadakan tidak perlu membincangkan isu-isu yang kontroversi seperti isu politik. Sebaliknya persidangan ini perlu membincangan isu-isu bersama yang serius seperti masalah sosial generasi muda di negara kita dan seumpamanya. Isu-isu yang berat dan kontroversi akan dibincangkan hanya apabila keadaan mengizinkan. Yang paling penting adalah wujudnya suasana harmoni dan saling hormat menghormati peranan masing-masing samaada sebagai parti pemerintah, parti pembangkang atau NGO. Di akhir persidangan, satu resolusi perlu digariskan untuk tindakan dan perlaksanaan oleh pertubuhan-pertubuhan ini.

Saya penuh yakin jika kita ikhlas untuk memperjuangkan nasib masyarakat Islam di negara ini maka Allah akan memberi petunjuk kepada kita semua. Mereka yang tidak ikhlas dan munafiq akan tercicir daripada arus perubahan ini. Allah SWT telah menggariskan panduan yang jelas untuk penyatuan umat ini. Dalam surah An Nisa ayat 59, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud ,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “uli’l Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah ( al Quran dan sunnah ) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih bagi kamu, dan lebih elok pula kesudahannya.”

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat
019-7285174

PERTAHANKAN PEMUAFAKATAN HAMAS-FATAH DAN IKTIRAF SEGERA SATU NEGARA PALESTIN BERDAULAT

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
5 Mei 2011
"PERTAHANKAN PEMUAFAKATAN HAMAS-FATAH DAN IKTIRAF SEGERA SATU NEGARA PALESTIN BERDAULAT"

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) merakamkan ucapan tahniah diatas persefahaman yang telah dimeterai antara HAMAS dan FATAH yang telah berlangsung dengan penuh rasa harapan di Kaherah kelmarin.

Bagi LA DPPP permeteraian tersebut adalah satu manifestasi permuafakatan persefahaman yang akan menguntungkan umat Islam Palestin dan antarabangsa kerana persengketaan yang berlaku sebelum ini antara Hamas dan Fatah hanya menguntungkan regim Zionis Isreal

Namun LA DPPP berharap, permuafakatan yang disepakati bersama kelmarin perlu diasaskan kepada keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua belah pihak yang sama-sama memperjungkan kemerdekaan Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel. Permuafakatan bersejarah ini menjadi permulaan baru kepada perjuangan berteraskan iman dan kepentingan umat Islam. Namun apa yang paling penting, kepercayaan dan keyakinan baru ini adalah pengorbanan paling besar buat Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain yang telah membuang semua prasangka terhadap Fatah terutama dalam konteks hubungan diplomatiknya dengan Israel.

Pada masa yang sama LA DPPP menggesa pemuafakatan ini dilaksanakan dengan suci hati tanpa campur tangan Israel dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya secara unilateral. LA DPPP berharap negara umat Islam dan semua masyarakat madani umat Islam berjuang mempertahankan keutuhan pemuafakatan yang suci ini. Malah secara jelas, pemeterian pemuafakatan ini menjadi indikator kepada kejayaan revolusi menumbangkan rejim-rejim diktator Asia Barat.

LA DPPP juga menggesakan seluruh Negara umat Islam dan dunia agar segera mengiktiraf kerajaan Palestin yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza. Setelah Hamas mengisytiharkan pemisahan kuasa antara Gaza dan Tebing Barat, dunia Islam yang takutkan Israel serta merta menarik sokongan kepada Kerajaan Hamas dan hanya mengiktiraf kerajaan Fatah di Tebing Barat. Namun dengan permeterian permuafakatan kelmarin, maka tiada alasan Negara-negara Islam dan dunia untuk tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah Negara berdaulat.

LA DPPP juga berharap satu pilihanraya baru dapat diadakan segera bagi memilih kerajaan supaya mandat yang baru dapat dizahirkan oleh rakyat bagi memimpin dan membawa suara sebenar rakyat Palestin. Harapan LA DPPP supaya pemimpin-pemimpin politik Palestin membuang semua kekusutan bagi membawa amanah rakyat kearah menuju Palestin yang Islami, makmur dan berdaulat.


RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB

Pengerusi

Lajnah Antarabangsa

Wednesday, May 4, 2011

Amerika: Dipersilakan Keluar Dari Afghanistan

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Amerika: Dipersilakan Keluar Dari Afghanistan
4 Mei 2011 (Rabu)

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat, LA DPPP ingin merakamkan ucapan takziah di atas laporan pemergian as-syahid Osama Bin Laden. LA DPPP berpendapat bahawa selagi mana kamu tidak dibuktikan bersalah, maka kamu tidak bersalah (you are not guilty unless you are prove guilty). Osama telah terkorban dalam serangan hendap oleh tentera Amerika Syarikat di Pakistan. Sehingga hari ini, tiada bukti jelas bahawa gambar yang disiarkan media antarabangsa adalah wajah sebenar beliau, namun rata-rata dunia seolah telah meratapi kematian beliau sebagai pejuang yang memperjuangkan keadilan bagi umat Islam. Namun oleh kerana beliau tidak diadili oleh mahkamah, maka teka-teka siapakah yang menjadi dalang atas segala serangan selama ini tidak terjawap. LA DPPP secara jelas tidak bersetuju diatas serangan keganasan yang mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak , wanita dan harta awam, namun setakat ini tiada bukti konkrit bahawa ianya dilakukan oleh Osama.

Osama dikenali oleh umat Islam sebagai pejuang yang menentang ketidakadilan dan imperilis barat, kecekalan beliau dalam mengkritik dasar luar Negara barat seperti Amerika dan Eropah jelas dirasai heningnya oleh masyarakat Islam antarabangsa. Musuh utama beliau adalah imperilis barat di ketuai Amerika, dan itulah perjuangannya sehingga ke Akhir perjuangannya, jika benar beliau telah terkorban.

Presiden Obama, telah memaklumkan kepada dunia, bahawa Amerika telah Berjaya menumpaskan Osama dan Al-Qaeda melalui operasinya di Pakistan. Secara dasarnya tujuan dan misi utama Amerika di bumi Asia telah selesai. Oleh itu LA DPPP mendesak agar Amerika Syarikat dan sekutunya supaya dengan segera keluar dari bumi Afghanistan, Pakistan dan seluruh bumi Arab kerana alasan yang diguna pakai mereka sebelum ini ialah untuk menangkap dan menumpaskan Osama dan Al-Qaeda. Dengan terkorbannya Osama maka misi Amerika di Asia Tengah sepatutnya TAMAT. Oleh yang demikian, tiada lagi hujah dan alasan dangkal Amerika untuk terus berada di rantau umat Islam. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga perlulah mengadakan siding khas bagi mengarahkan dengan kadar segera pengunduran tentera-tentera Amerika dan NATO dari bumi Asia terutamanya Afghanistan.


RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa

Friday, April 29, 2011

Dr Chua Soi Lek Sedang Melelong Maruah UMNO

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
29 April 2011
Dr Chua Soi Lek Sedang Melelong Maruah UMNO

Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak maka Presiden MCA Dato Sri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Mengekalkan Hak istimewa orang Melayu yang terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat(PR) semasa konvensyen di Shah Alam tahun 2009. Tidak mungkin disebabkan seorang tokong konterversi Dr Chua Soi Lek maka PR akan berubah sikap.

Sebagai pemimpin senior dalam Barisan Nasional (BN) Dr Chua Soi Lek sewajarnya mendidik masyarakat memahami mengapa adanya hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Hak Istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini. Hak Istimewa orang Melayu di lihat tempang kerana penghianatan UMNO yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka. Bermaksud jika tiada penghianatan UMNO dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai. Tanpa penghianatan UMNO, orang Melayu sudah lama maju di negara ini. Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi . Buat waktu ini hak istimewa orang Melayu masih diperlukan. Saya sangat kuatir permainan politik Dr Chua Soi Lek mengenai hak Istimewa orang Melayu akan menambah parah lagi salah faham antara kaum dalam negara ini.

Ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman. Tetapi Dr Chua Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA. Betapa murahnya harga perjuangan politik Dr Chua Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik. Keceluparan Dr Chua Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan UMNO mengawalnya. Dr Chua Soi Lek umpama harimau yang sudah terlepas dalam kandang Barisan Nasional(BN). Hak istimewa orang Melayu adalah maruah UMNO. Memberi perakuan untuk mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu adalah umpama melelong maruah UMNO di pasar Batu Pahat. Dimana Pemuda UMNO ? Dimana Pemuda BN? Dimana Khiary Jamaluddin ? Saya cabar UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak, Pengerusi BN bertindak tegas terhadap keceluparan Chua Soi Lek.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat.
(019 728 5174)

Thursday, April 28, 2011

RAKYAT MENOLAK TREND POLITIK LUCAH MELAMPAU

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
RAKYAT MENOLAK TREND POLITIK LUCAH MELAMPAU
(28 April 2011)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) membidas kerajaan UMNO-BN yang menggunakan strategi politik video lucah serta mengaibkan dalam menjatuhkan kredibiliti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tindakan ini jelas menunjukkan pemimpin UMNO-BN berada dalam keadaan terdesak dalam menyekat arus kebangkitan Pakatan Rakyat serta pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat Malaysia.

DPPP kesal kerana siri kedua video klip lucah dibiarkan ditayangkan untuk tatapan awam sehinggakan gambar sedutan video seks tersebut dijadikan objek utama dalam akhbar arus perdana hari ini. Apakah motif sebenar gambar video seks dijadikan bahan utama di dada akhbar hari ini selain untuk mencemar imej pemimpin tersebut? Apakah dengan penyiaran gambar itu dapat mendidik rakyat Malaysia ke arah yang lebih positif?

DPPP juga kecewa kerana Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang terkenal cekap dan tangkas tidak mampu membendung video itu daripada berleluasa. Sehingga hari ini trio Datuk T masih tidak ditangkap dan didakwa sedangkan merekalah menyebar asal video seks. Ataukah PDRM juga memainkan peranan penting dalam membenarkan konspirasi politik menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Agaknya kalaulah video itu membabitkan pemimpin utama negara hari ini, sudah tentu PDRM bertindak ‘sepantas kilat’ dalam membendung penyebaran video seks tersebut. Barangkali sudah tentu penyebar video seks itu telah awal-awal lagi disumbat ke dalam ISA serta mengharamkan mana-mana akhbar memainkan isu ini.

DPPP tetap percaya bahawa isu ini adalah konspirasi politik tahap tertinggi dan mengulangi episod memalukan pada tahun 1998 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. DPPP yakin, rakyat turut berpandangan yang sama dengan melihat layanan serta tindakan kerajaan dan PDRM berhubung isu ini.

DPPP bertegas menolak modus operandi ‘politik lucah dan melampau’ seperti yang dijalankan sekarang kerana jelas ia bertentangan dengan Islam. Islam menetapkan tuduhan terhadap pelaku zina mesti disertai dengan empat orang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut. Sekiranya pihak pendakwa gagal mengemukakan saksi, maka tuduhan qazaf perlu dikenakan terhadap trio Datuk T. Menyebarkan video seks bukanlah bukti yang boleh diterima disisi Islam. Rakyat juga menolak kaedah yang sama kerana ia bukanlah trend politik di negara ini.

Akhir sekali, DPPP menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengadakan solat hajat dan munajat berterusan di seluruh negara memohon kepada Allah swt supaya dibuktikan siapa dipihak yang benar dalam isu ini. Dan sekiranya ini merupakan konspirasi politik, DPPP berharap agar Allah SWT membalas kembali kejahatan yang dilakukan oleh para pelaku fitnah tersebut.


Disediakan oleh;
YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Pusat