Showing posts with label Nasrudin Hassan at Tantawi. Show all posts
Showing posts with label Nasrudin Hassan at Tantawi. Show all posts

Tuesday, January 8, 2013

Himpunan 12 Jan: ‘Game over’ untuk Umno BN

KUALA LUMPUR: Dengan ketibaan tahun baru 2013 maka kita telah memasuki fasa pecutan terakhir di dalam persiapan PRU13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangan khususnya bagi menawan Putrajaya.
Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Fasa terakhir ini, katanya bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu, 12 Januari dari jam 2.00 hingga 5.00 petang di Stadium Merdeka.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Dengan ketibaan tahun baru 2013 maka kita telah memasuki fasa pecutan terakhir di dalam persiapan PRU13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangan khususnya bagi menawan Putrajaya.

Fasa terakhir ini bermula dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 yang akan diadakan pada hari Sabtu - 12 Januari 2013, dari jam 2.00 pm hingga 5.00 petang di Stadium Merdeka.

Dari soal Lynas, Felda, Royalti, Pengerang, tuntutan Bersih, pembelian kapalselam dan banyak lagi isu rasuah dan penyelewengan; himpunan gergasi ini akan menjadi tanda jelas penolakan rakyat terhadap kejelekan dan sikap semberono pemerintah Umno BN merompak hak Rakyat. Penolakan ini kita akan muktamadkan dalam PRU13 kelak.


Saya juga percaya terdapat usaha sistematik pemerintah dan media arus perdana dengan membangkitkan isu-isu lapuk seperti Amanat Haji Hadi yang telah berusia lebih 30 tahun bagi mengalih perhatian masyarakat dari acara terbesar dalam sejarah tanah air kita ini.

Memandangkan kerajaan takut untuk menjemput Tuan Guru Presiden untuk bermuzakarah secara live, kami berpandangan isu ini telah gagal dieksploitasi oleh Umno dan boleh diisytihar sebagai game over.

Saya ingin mengajak semua pihak untuk meninggalkan permainan media pemerintah, kembali fokus kepada PRU13 dan menggunakan semua ruang yang ada  - facebook, twitter, emel, banner dan sebagainya untuk merancakkan hebahan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 ini lantas melipat-gandakan penyertaan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun mengeluarkan arahan kepada seluruh saf pemuda untuk turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini.  Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pemuda PAS untuk bersama-sama warga Malaysia yang lain membanjiri dataran Stadium Merdeka kelak. Suara Sejuta Rakyat akan bergema merayakan perubahan, Insya Allah!

Sehingga setakat ini kami dimaklumkan rakyat Malaysia di London, Taiwan dan Sydney telah pun bersedia untuk mengadakan himpunan yang sama bagi meraikan himpunan rakyat di Kuala Lumpur ini. Oleh itu, kita juga telah meminta pendokong PAS luar negara di lokasi-lokasi utama lain untuk mengadakan himpunan yang sama sebagai tanda sokongan.

Pada masa yang sama, DPPM telah pun menjemput wakil-wakil kepimpinan pemuda di dalam Pakatan Rakyat untuk mengadakan mesyuarat koordinasi.  Ianya bertujuan untuk memperhebat promosi dan menjayakan himpunan ini sebagai himpunan terbesar dan paling aman di dalam sejarah Malaysia.

Unit Amal Malaysia juga telah siap siaga untuk memainkan peranan penting mengawalselia perhimpunan itu kelak. Pada masa yang sama, kita berharap pihak keselamatan khususnya PDRM dapat menghalang mana-mana anasir jahat yang cuba untuk membuat provokasi bagi mengganggu kesusilaan himpunan.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk  turun beramai-ramai menjayakan himpunan ini. Ayuh kita jadikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 suatu pengalaman yang menakjubkan lalu mencatat lakaran penting dalam lipatan sejarah negara untuk menuntut perubahan. Mari bersama kita mencorak masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.

Friday, December 21, 2012

Najib Menteri Kewangan 'terbaik' negara.........

Wang Haram RM200b: Najib Menteri Kewangan 'terbaik' negara


1. Pendedahan yang dibuat oleh Global Finance Integrity (GFI) bahawa Malaysia mencatatkan pengaliran keluar modal haram berjumlah USD 64.38 billion pada tahun 2010 adalah sesuatu yang sangat mengejutkan ramai pihak. Jumlah ini meletakkan Malaysia pada tangga ketiga jumlah wang haram terbesar di belakang China dan Mexico.

2. Apa yang tidak mengejutkan kita ialah usaha kerajaan menyekat media arus perdana dari membuat pendedahan lanjut. Ianya adalah satu tindakan sia-sia apabila mengambilkira pandangan PM sendiri di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa masyarakat kini didorong oleh teknologi ICT dan menjadikan mereka khususnya golongan muda lebih bermaklumat.

3. Kita juga boleh menjangkakan bahawa kerajaan akan segera menempelak angka GFI ini sebagai menyimpang. Ianya berdasarkan kenyataan dangkal PM tahun lepas yang menyangkal angka GFI tahun 2000 - 2009 sebanyak RM 662.6 billion lalu mendedahkan angka rasmi kerajaan yang kononnya jauh lebih kecil iaitu sebanyak RM 135.4 billion bagi tempoh yang sama.
4. Variasi tersebut adalah dijangkakan kerana perbezaan pada kaedah pengiraan tetapi pertikaian angka ini telah menjadi akademik semata-mata. Sama ada angka Kerajaan yang betul atau pun angka GFI, hakikatnya PM sendiri telah mengakui wujudnya modal haram yang berbilion ringgit nilainya.

5. Pendedahan ini adalah signifikan kerana ianya membuktikan wujudnya wang komisyen rasuah yang besar berlegar di dalam ekonomi kita. Ianya juga membuktikan usaha tidak sah kumpulan penyangak ekonomi untuk mengelak cukai dan membawa keluar hasil negara melalui kaedah pelaburan hartanah, deposit akaun luar pesisir dan sebagainya bagi menokok kekayaan peribadi mereka.

6. Contoh kekayaan kumpulan penyangak ekonomi ini antara lainnya terbongkar melalui kes perceraian anak Ketua Menteri Sarawak yang membenarkan kekayaan luar biasa keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Jumlah tuntutan perceraian menantunya sahaja menjangkau RM 100 juta ringgit! Maka tidak hairan sekiranya jumlah wang haram ini menjangkau nilaian berbilion ringgit.

7. Laporan GFI setebal 94 mukasurat ini mendedahkan beberapa petunjuk penting mengenai punca pengaliran wang haram tersebut. Antaranya ketidaktelusan akaun firma dana kekayaan berdaulat (SWF), pengaruh petro-dolar dan penipuan dalam inbois dagangan.

8. Secara langsung petunjuk-petunjuk ini mendorong kita untuk mempersoalkan kredibiliti Khazanah, Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ianya sekaligus mengukuhkan persepsi bahawa institusi-institusi ini telah dipergunakan secara sistematik untuk menambah kekayaan ahli-ahli politik pemerintah UMNO-BN, ahli keluarga mereka dan kroni.

9.  Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Syarikat dan LHDN sebenarnya cukup berupaya menjejak transaksi meragukan melalui instrumen forensik audit di samping keupayaan pihak SPRM dan PDRM membina kes jenayah komersil ke atas pihak-pihak terlibat.

10. Malah Ketua Audit Negara boleh mengambil pendekatan lebih aktif dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya melalui Perkara 5(d) Akta Audit 1957 yang membolehkan beliau memperinci akaun-akaun syarikat swasta yang menggunakan dana awam (GLC seperti Khazanah dan Petronas) bagi mewujudkan sikap kebertanggungjawaban.

11. Teguran yang diberikan ibarat mencurah air ke daun keladi. Cara terbaik kini ialah menggunakan kesedaran tersebut untuk menukar rejim korup sedia ada pada PRU ke-13 dengan kepimpinan baru yang jujur dan adil.

12. Antara langkah awal yang pasti ialah dengan membuat pengisytiharan harta sebagaimana yang telah dipelopori oleh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia bagi menjamin ketelusan kepentingan ahli politik dan penjawat awam.

13. Pada masa yang sama, PAS dan Pakatan Rakyat mestilah  komited untuk memberdaya mekanisme semak imbang negara agar ketirisan dapat segera dihentikan dan kekayaan negara dapat dipulangkan kembali kepada rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Tuesday, October 30, 2012

Kritik, mengkritik & dikritik

Nasrudin Hassan, 28 Okt 2012

a] Terima kasih pada semua kerana konfiden bahawa PAS akan berjaya memerintah negara kelak [insyaallah] berbanding dulu, hampir tidak ada orang luar nak bincang pasal PAS dan memang sukar nak cari orang luar yang mahu bantu PAS berjuang menghadapi kuasa "besar" UMNO dan BN yang penuh dgn korupsi. Sebahagiannya selesa dikerusi empuk dan bilik berhawa dingin dengan jawatan yang selesa pula.

b] Budaya tidak boleh ditegur alhamdulillah TIDAK berlaku dalam PAS. Jika seorang dua dikesan begitu, maka itu kes terpencil dan dia bukan budaya dalam PAS. Kepimpinan PAS ialah kepimpinan yang berteraskan Islam sesuai dengan Islam sebagai asas perjuangan PAS.

c] PAS dan kepimpinannya senantiasa terbuka dan berlapang dada dalam menerima pandangan dan kritikan justeru itu akhlak Islami yang salayaknya dimiliki oleh setiap pemimpin dan individu muslim. Kita mengalu - alukan teguran dan kritikan yang membina dari semua pihak. Kita senantiasa responsif namun tidak semestinya 100 peratus teguran atau kritikan yang kita terima perlu dipakai. Sebaliknya teguran atau kritikan yang diterima itu akan dipertimbangkan dan disorot dengan penuh cermat serta mengambil kira semua aspek sebelum sesuatu keputusan diambil.


c] kita harus sedar, teguran dan kritikan yang dihamburkan kepada PAS banyak jenis dan kategori.

* Ada yang perlu dilayan dan diterima. Sebagai contoh, kritikan itu disampaikan dengan baik dan membina. Tambahan jika ianya lengkap dengan fakta dan maklumat yang benar.

*Ada yang perlu ditangani dengan bijaksana. Sebagai contoh , kritikan dari seseorang atau ahli parti yang keliru terhadap keputusan yang diambil oleh parti secara jamaei.

*Ada yang perlu ditolak dan ditempelak kembali. Sebagai contoh kritikan yang memalukan atau kritikan yang menjatuhkan pula dibina berasaskan maklumat yang salah, persepsi yang negatif dan fitnah yang jahat. Tidak kurang juga kritikan yang hanya menguntungkan musuh Islam.

*Ada yang perlu didengar tapi tidak perlu dilayan dan diambil pusing. Biasanya berlaku pada kritikan bebas tanpa ilmu dan pengkritiknya sendiri tidak konsisten dengan kritikannya. Satu kritikan yang datang dari pengkritik bebas yang tidak mempunyai sifat tanggungjawab terhadap setiap kritikan. Seperti melontar batu ke air tenang lalu lari menyembunyikan tangannya.

d] Kalau kita lihat al Quranil Karim, diantara method al Quran ialah membalas dan menjawab kritikan pihak lain khususnya musyrikin terhadap Islam disamping Al Quran yang sama mengajar kita menerima dan berlapang dada terhadap teguran, kritikan dan nasihat.

e] seringkali teguran dan kritikan yang dilemparkan kepada PAS perlu dipertimbang dengan mengambil kira realiti, maklumat dan asas yang tepat. Justeru terlalu banyak kritikan yang sampai adalah bersumber dari fitnah dan maklumat atau persepsi yang salah. Kritikan yang hanya datang dari perasaan geram dan dendam.

f] Tanpa dinafi bahawa banyak juga kritikan yang membina malah sebahagiannya lengkap dengan fakta dan kajian teliti. Kita menerima kritikan sedemikian dan memakainya sebagai satu yang peluang untuk membina PAS.

g] Apa yang membanggakan saya ialah kini PAS telah mempunyai pengkritik tetap secara sukarela yang terdiri dari pelbagai pihak. Ini satu perkembangan positif. Tinggal lagi pimpinan PAS harus bijak dalam menilai setiap kritikan yang diterima agar ia menguntung dan membangunkan parti untuk terus mendokong cita - cita perjuangan Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Sunday, October 21, 2012

Umno mesti keluar BN

Nasrudin Hassan, 21 Okt 2012

 

1. Semakin jelas “MCA anti Islam”. MCA terlalu prejudis terhadap Islam malah berani menentangnya secara terbuka. Tidak hanya Presiden MCA Dr Chua Soi Lek sebelum ini mengambil posisi lantang mempertikai perlaksanaan hukum Islam, tetapi kini Pengerusi Wanita MCA Yu Chok Tow dan Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie mendedahkan sikap dan wajah MCA yang sebenar.

2. Pengerusi Wanita MCA Yu Chok Tow melahirkan kebimbangan MCA terhadap Ahli Parlimen Islam khasnya daripada UMNO dan BN akan menyokong perlaksanaan hudud di Malaysia berasaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

3. Satu kecelaruan yang parah sedang berlaku dalam Barisan Nasional hari ini khasnya melibatkan kedudukan UMNO dan MCA. Selama ini UMNO telah cuba menunjuk sikap bahawa mereka menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Allah swt. tetapi kelantangan UMNO itu belum cukup meyakinkan sekutunya MCA untuk menerima UMNO sebagai rakan “sebantal” dalam menentang Islam dan perlaksanaan syariatnya di Negara ini.


4. UMNO terpaksa “menutup mata” dan “menyumbat mulut” terhadap apa jua kenyataan dan tindakan MCA demi mencari sepangkah dua undi dari non muslim yang rata – rata pada hari ini telah menolak Barisan Nasional yang penuh dengan kurap dan kudis rasuah.

5. Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie pula secara terbuka memfitnah Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Mursyidul AM PAS sekaligus mempersendakan hukum Allah apabila beliau menyebut :

"Pakatan menipu kita untuk percaya bahawa hudud PAS tidak akan menjejaskan hak bukan Islam kerana (berdasarkan hujah Nik Aziz) tiada undang-undang untuk menghalang orang Islam daripada merogol bukan Islam.

"Jika kamu tonton klip Youtube, kamu tahu bahawa Nik Aziz berkata berkata, wanita patut tutup aurat, jika tidak mereka patut dirogol.

"Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?"

6. Saya mendesak supaya Heng meminta maaf di atas keceluparan dan kebiadabannya terhadap Islam dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tuduhan yang tidak masuk aqal dan berniat jahat.

7. UMNO dan MCA sangat terdesak berdepan scenario iklim politik mutaakhir yang menyaksikan peralihan undi ketara kalangan non muslim dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya mereka terpaksa mengamalkan “politik biawak” apabila bercabang lidah dalam kempen mereka.


8. Berdepan pengundi melayu, mereka berkempen supaya jangan sokong PR kerana kemenangan PR akan menyebabkan kuasa politik dan ekonomi akan jatuh ke tangan non muslim. DAP akan jadi Perdana Menteri dan sebagainya.

9. Lidah yang sama terus bercabang apabila mereka berkempen pula di kawasan pengundi non muslim supaya jangan menyokong PR kerana kemenangan PR akan menyebabkan hukum hudud terlaksana di Malaysia. Sokong PR ertinya sokong DAP. Sokong DAP ertinya sokong hudud. Begitulah nada dan bahasa kempen mereka.

10. Kini MCA melahirkan pula keraguan mereka kepada UMNO. Selayaknya mereka berpisah apabila “bersekedudukan” tanpa mempercayai antara satu sama lain. Selayaknya UMNO keluar dari Barisan Nasional kerana tidak lagi dapat kepercayaan daripada MCA. Orang melayu sewajarnya membuka mata melihat apa yang berlaku hari ini untuk mreka membuat pilihan yang tepat.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, October 20, 2012

Ketua Pemuda PAS pilih "R" menang malam nie..!!!

TRW vs ATM


Nasrudin bin Hassan at Tantawi, 19 Okt 2012

1. Menjelang Final Piala Malaysia edisi 2012 malam esok di Stadium Shah Alam, yang mempertemukan pasukan Kelantan Darul Naim dan Angkatan Tentera Malaysia, membuatkan iklim bolasepak tanah air semakin membara ledaknya. Pastinya Stadium Shah Alam akan menjadi tumpuan semua peminat bolasepak tanah air yang akan menyaksikan pertarungan sengit antara dua pasukan merebut gelaran juara dalam kejohanan paling berprestij negara ini.

2. Kelantan yang lebih dikenali sebagai The Red Warriors turun dengan reputasi sebagai penyandang Piala Malaysia edisi 2010 dan aksi malam esok adalah penampilan keempat The Red Warriors di pentas perlawanan akhir. Pasukan kendalian Bojan Hodak itu turun ke gelanggang final apabila berjaya menumpaskan pasukan Selangor di peringkat separuh akhir dengan agreget 3 – 0.


3. Sementara Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan laluan mereka ke Final di bawah tunjuk ajar sifu B Sathianathan setelah berjaya menidakkan Lions XII menerusi sepakan penalti 5 – 4 selepas terikat dengan kedudukan jaringan 2 – 2. ATM hanya tinggal selangkah untuk menamatkan kemarau 46 tahun sebelum pulang menjulang Piala Malaysia.

4. Pasukan ATM tentunya turun dengan semangat yang tinggi diperkuat pula oleh Marlon Alex James dan Bruno Marteloto. Gandingan mantap Hai-O dan Aidil juga dijangka menjadi cabaran besar kepada The Red Warriors yang terpaksa berentap memburu juara tanpa ayam tambatan mereka Mohamed Ghaddar dan Mohd Norfarhan Muhammad yang terlepas peluang beraksi di pentas final kerana menjalani proses penggantungan ekoran menerima dua kad kuning.

5. Apakah misi The Red Warriors untuk merangkul kejuaraan treble musim ini menjadi kenyataan dan kemarau panjang 46 tahun ATM bakal berakhir, sama – samalah kita saksikan malam esok jam 8.45 malam sejurus selesai kuliah maghrib dan solat Isyak.

6. Saya memilih The Red Warriors untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia edisi ini berasaskan reputasi dan prestasi mereka disepanjang musim. Sungguhpun ketiadaan Mohamed Ghaddar dan Mohd Norfarhan, pertahanan TRW semakin berkualiti dan mantap. Sementara pemain tengah seperti Badri Radzi, Norshahrul dibantu Chanturu dan Obinna Nwaneri masih berkeupayaan tinggi untuk meledakkan idea sekaligus menghasilkan karya gol kemenangan.

7. Sungguhpun begitu, prestasi mendadak ATM tidak boleh diperkecilkan. Mereka mara dengan semangat juang yang tinggi. Memandang rendah pada kemampuan ATM bakal mengundang padah. Rentak permainan mereka agak kaya dengan taktikal .

8. Paling penting kepada saya dan Dewan Pemuda PAS Malaysia malah semua peminat sukan bolasepak tanah air dalam menyaksikan kemeriahan Final Piala Malaysia malam esok ialah mutu penganjuran, perlawanan dan permainannya. Malaysia semestinya keluar daripada kelompok terendah kualiti penganjuran, perlawanan dan permainan bolasepak ini. Bukan sahaja merujuk kepada skil individu dan berpasukan mengawal rentak permainan tetapi juga pada disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi. Termasuklah sistem kawalan keselamatan yang baik dan berkesan.

9. Penonton yang terdiri dari penyokong kedua-dua pasukan juga selayaknya mempamerkan kematangan yang hebat dan disiplin yang tinggi dengan mematuhi segala arahan, peraturan dan undang-undang tanpa didorong oleh elemen ganas, emosional dan keterlaluan dalam tindakan. Sebaliknya menjadikan sukan ini meriah dan menguntum nama baik negara di persada antarabangsa kerana saya percaya bukan sahaja seluruh rakyat negara kita menonton kejohanan ini tetapi tidak terlepas peminat bolasepak antarabangsa turut memberi perhatian kepada perlawanan akhir nanti.

10. Justeru, pesanan saya khasnya kepada anak-anak muda, biarpun pasukan mana yang mereka sokong agar:

a] menjaga akhlak,
b] jangan tinggalkan solat,
c] tidak berpeleseran,
d] elakkan berkelakuan tidak sopan serta ganas.

Sebaliknya... cool man cooool!

Thursday, October 18, 2012

AUDIT 2011: RAKYAT DISERU SELAMATKAN AMANAH YANG HILANG

“AUDIT 2011: RAKYAT DISERU SELAMATKAN AMANAH YANG HILANG – KETUA PEMUDA PAS”


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru  seluruh rakyat khususnya golongan muda supaya bersikap cakna dan prihatin terhadap kualiti urustadbir kewangan negara dan negeri sebagaimana yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Peranan yang dimainkan oleh pihak Ketua Audit Negara adalah sangat penting di dalam menjunjung prinsip keadilan dan hisbah (ombudsman) yang menuntut pihak kerajaan supaya mengamalkan dasar dan sistem pengurusan khazanah negara dengan amanah dan akauntabiliti yang tinggi demi menjaga dan mengawasi kemaslahatan seluruh rakyat. Laporan ini juga adalah selaras dengan peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki Ketua Audit Negara untuk mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti kementerian serta agensi kerajaan, dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya laporan itu dibentangkan di Parlimen.


Menarik untuk diketahui bahawa secara keseluruhannya bagi tahun 2011, kerajaan Persekutuan telah menerima hasil berjumlah RM185 bilion, peningkatan sebanyak 16% berbanding hasil pada tahun 2010 yang berjumlah RM159.65 bilion dan ianya merupakan hasil yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun sejak tahun 2007. Walaubagaimanapun, tahap disiplin pengurusan fiskal kerajaan memerlukan komitmen reformasi yang serius dari semua peringkat. Laporan Ketua Audit Negara telah mencatatkan kerajaan telah meluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM178 bilion yang juga merupakan peruntukan tertinggi diluluskan dalam tempoh 5 tahun, namun peruntukan tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang berjumlah RM183 bilion dan memerlukan peruntukan tambahan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 30 Mei 2012 bagi menampung defisit peruntukan tersebut.

Kerajaan Persekututan terus merekodkan kadar defisit berturut-turut sejak 1998 dan pada tahun 2011 mencatatkan defisit berjumlah RM42.5 bilion dengan nisbah kepada KDNK pada paras 4.82%, yang mana kurangan ini telah ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri yang berjumlah RM113 bilion.

Menurut pemerhatian yang dibuat oleh Institut Polisi Studi DPPM, rakyat sewajarnya bimbang terhadap paras hutang awam yang menunjukkan graf kenaikan yang tidak sihat. Pada akhir tahun 2011, hutang kerajaan persekutuan adalah berjumlah RM456 bilion yang terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM438 bilion dan hutang luar negeri yang berjumlah RM18 bilion. In menatijahkan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada paras 51.7%, peningkatan sebanyak RM49 bilion (12%) berbanding hutang pada tahun 2010 yang berjumlah RM407 bilion. Lebih membimbangkan, jika kadar hutang persekutuan ini ditambah dengan kadar pinjaman yang dijamin berjumlah RM116 juta, nisbah hutang sebenar kepada KDNK telah pun melepasi paras kritikal 65%, dan ini menuntut kepada urustadbir yang telus dan mampan untuk mengelakkan negara terjerumus ke kancah kelembapan ekonomi dan belenggu hutang.

Justeru, Pemuda PAS di semua peringkat diseru untuk menggerakkan usaha-usaha kempen dan penerangan secara tersusun di peringkat nasional dan lokal supaya rakyat dan generasi muda bangkit memperjuangkan keadilan bagi menyelamatkan  amanah yang semakin hilang di tangan segelintir pemimpin yang  alpa dan leka di dalam negara kita. Selamatkan Malaysia!

Disediakan oleh ;
NASRUDIN HASSAN  
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Monday, October 15, 2012

UMNO MENIKUS DI HADAPAN MCA


Setiausaha Agung MCA  Datuk Seri Kong Cho Ha telah menempelak  apabila saya menegaskan bahawa MCA adalah parti yang anti Islam .

Saya melihat beliau pura - pura bertanya  " Adakah  PAS juga menganggap DAP sebagai anti Islam ?
Persoalannya   "Kenapa pula Setiausaha Agung MCA bertanya demikian ? Bukankah pemimpin pemimpin MCA, terutamanya di dalam media milik mereka The Star, secara konsisten menegaskan  kepada  masyarakat non Muslim bahawa undi untuk DAP adalah undi untuk hudud" ?

Ertinya MCA seperti mahu mengesahkan bahawa DAP menyokong hudud. Maka apa masaalah DAP bersama PAS dalam Pakatan Rakyat ? dan apa perlunya PAS menganggap DAP anti islam pula ? MCA lah yang sangat ketara sikap anti Islamnya.

Pemimpin MCA juga selalu mengulang statement bahawa "DAP  tunduk kepada PAS"

Selayaknya tidak berbangkit persoalan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung MCA tersebut sebaliknya apa yang pasti ialah MCA sangat tegar menentang Islam.

Presiden MCA pada 23 September 2011 pernah menegaskan dihadapan para wartawan , jika UMNO melaksanakan hudud, MCA akan keluar Barisan Nasional. Ekoran ugutan keras MCA, sehingga kini UMNO terpaksa menikus demi kepentingan survival politik mereka

Pada 4 December 2011 , selepas merasmikan Forum mengenai hudud di Wisma MCA, sekali lagi Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika hudud dilaksanakan. Malah beliau juga menekankan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita disamping menyebut bahawa undang - undang Islam adalah kejam.

Menambah "kecut"nya UMNO berdepan MCA ialah apabila Presiden MCA itu menulis dalam twitternya pada 1 Julai 2012 [sebagai respon kepada ADUN Kemelah yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor] bahawa : "ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam,"

Dituduh hilang akal pun, UMNO masih tidak mampu membentak MCA apa lagi mengambil apa - apa tindakan berkesan ke atas MCA agar tidak biadab terhadap Islam dan penganutnya seperti menuduh hilang akal, habis idea dan sebagainya.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tuesday, July 31, 2012

Apabila HUDUD didendangkan semula...itu bermakna UMNO BN sudah kehabisan Oksigen..!!!

"HUDUD" ALAMAT KUBRA PRU13

Apabila gendang hudud dipalu sekuatnya, maka ia antara tanda - tanda pilihanraya umum semakin hampir. UMNO terpaksa sekali lagi menggunakan peluru karatnya iaitu hudud untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat. Saya akui hudud bukan agenda Pakatan Rakyat tetapi hudud adalah sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh PAS di sepanjang zaman insyaallah.

Pakatan Rakyat telah beberapa kali bincang perkara ini dan simpul ringkasnya ialah kami "setuju untuk tidak bersetuju" atau dalam dalam bahasa lebih mudah ialah : DAP tidak menerima hudud dan PAS tidak boleh paksa mereka untuk menerimanya sebagaimana mereka tidak boleh menghalang hasrat PAS mahu mendaulatkan syariat Islam itu.

Kedudukan ini jauh lebih baik daripada UMNO dan BN. Bukan sahaja parti kompenan mereka yang biadab terhadap Islam, malah UMNO sendiri bersetuju untuk tidak melaksanakan syariat Islam di Malaysia termasuk undang - undang jenayah syariat. Malah UMNO menikus dihadapan MCA apabila Presiden MCA 'menengking' Adun UMNO Kemelah sebagai pemimpin yang hilang aqal tatkala Adun itu mencadangkan perlaksanaan hudud di negeri Johor sedang rata - rata pimpinan PAS memberikan sokongan terbuka kepada Adun Kemelah.


Tidak hairan jika perlaksanaan hudud belum mendapat kata sepakat dari kalangan parti kompenan Pakatan Rakyat yang hanya baru dibentuk pada tahun 2008, kerana ia sekali lagi jauh lebih baik daripada UMNO dalam BN yang gagal melaksanakan syariat Islam ini sejak lebih 50 tahun memegang mandat rakyat sebagai pemerintah meskipun mereka sering mendabik dada kononnya mereka adalah parti dominan dalam BN.

Sewaktu debat Sinar Harian baru - baru ini, saya telah qoute kenyataan Karpal Singh di Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang berlangsung pada tahun 2010 yang lalu, bahawa kenyataannya "langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan Islamic State sebagai ucapan yang disebut 20 tahun yang lalu [ 1990 ] pula ia dipetik di luar konteks. Malah Karpal Singh sendiri menyebut perkara ini boleh dibincangkan.

Lantaran itu, Pakatan Rakyat melalui mesyuarat tertingginya telahpun membincangkan perkara ini. Sebahagian dari keputusannya sebagaimana yang saya catat pada point ke 2 di atas. Selebihnya menjadi dakwah berterusan PAS untuk memahamkan masyarakat terhadap hukum syariat Islam. Saya doakan semoga Karpal Singh diberikan hidayah oleh Allah swt. sebagaimana doa saya buat yang lain juga.

Hudud adalah undang - undang jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Satu realiti yang tidak boleh siapa nafikan bahawa ia adalah satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh sebuah pemerintahan Islam. Sementara pemerintahan Islam itu pula adalah terbentuk dari mandat [ baiah ] rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut, pemerintahan Islam tidak dapat dibina dengan kukuh dan baik.

Hudud adalah sebahagian dari Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan PAS bukan berpaksikan hudud semata - mata, sebaliknya paksi perjuangan PAS ialah Islam dan hudud itu adalah sebahagian daripadanya. Seunjuran dengan itu, ditegaskan bahawa PAS konsisten memperjuangkan Islam.

Jika PAS menang bersendirian melalui mandat majoriti rakyat yang diterjemah melalui peti undi [ melalui proses demokrasi ] maka PAS pastinya akan melaksanakan malah selesa untuk melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang - undang jenayah Syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan undang - undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.

Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk PAS menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil.

Namun bagi memastikan hasrat perlaksanaan syariat Islam di Malaysia menjadi satu kenyataan mudah, ia memerlukan semua pengundi dari kalangan ummat Islam termasuk ahli UMNO dan atas pagar mengundi PAS. Maksudnya, UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada PAS atau paling tidak bersama menyertai PAS, dengan itu jumlah kerusi PAS atau muslim akan melonjak maksimum ke 130 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan Islam yang bersedia mendaulatkan syariat Islam yang adil saksama dan telus. [ bebas korupsi dan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara ]

Penegasan ini saya buat kerana untuk PAS menyertai UMNO bagi melaksanakan syariat Allah swt sukar menjadi kenyataan.

Pertama : PAS pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama UMNO.

Kedua : UMNO pernah menang banyak dan menjadi kuasa besar sejak sekian lama termasuk kemenangan mereka pada tahun 2004 tetapi mereka tidak pernah berhasrat untuk mendaulatkan syariat Allah swt sebaliknya memperkayakan kerajaan pimpinan mereka dengan rasuah , penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan dana rakyat dan negara.

Ketiga : Sehingga saat ini, hanya PAS yang konsisten sebagai salah satu parti besar dalam negara yang berhasrat mahu melaksana dan mendaulatkan syariat Islam. Cuma keterbatasan kuasa dan mandat rakyat meletakkan PAS masih belum memiliki keupayaan sebenar bagi membangunkan negara bersama syariat Allah swt. [nota ini memerlukan ahli UMNO menyokong PAS untuk melaksanakan Islam jika mereka juga mahu melihat Islam tegak di atas tanahair kita]

UMNO pula konsisten membelasah PAS dan menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Disamping itu UMNO terus dengan legasi mereka, bergelumang dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa serta menyeleweng dalam mengurus dana rakyat dan negara. Lalu PAS mengadakan kerjasama politik [Tahaaluf Siasi] dengan parti - parti pembangkang yang lain iaitu DAP dan PKR lalu membentuk Pakatan Rakyat untuk mendepani UMNO dan BN.

Kerjasama ini adalah kerjasama politik bukan kerjasama agama dan ideologi perjuangan. Terdapat beberapa persamaan dalam tindakan politik antara parti - parti yang berbeza ideologi ini, antaranya seperti menentang ISA, AUKU, rasuah, pembaziran dalam projek mega negara, ketirisan dalam perbelanjaan dana awam, keadilan dalam sistem pengurusan dan kendalian pilihanraya dan banyak lagi.

Apabila kerjasama politik [tahaluf siasi] ini berjaya dan hampir menumbangkan kerajaan UMNO dan BN dalam tsunami politik 2008, barulah UMNO kenal rabu dan khamis, lalu mereka pantas mendendangkan lagu perpaduan pada setiap hari jumaat, sabtu, ahad, isnin dan selasa. UMNO desprate lalu mencari PAS untuk bersatu padu. Kita tidak menolak mentah tetapi kita meletakkan syarat Islam sebagai tali pengikat untuk bersatu padu, justeru Islam mengajar kita sedemikian. UMNO tidak bersedia dengan syarat itu, maka PAS mohon jalan dulu . Tinggallah UMNO dengan lagu lamanya.

ما لا يدركه كله ، لا تتركه كله Tidak boleh laksanakan semua [kandungan Islam] maka jangan tinggalkan semua [ ertinya, laksanakanlah apa yang termampu daripada Islam itu ]. Bertolak dari kaedah ini, PAS kemukakan pendekatan baru melalui projek "Negara Berkebajikan" yang merupakan subtance kepada ajaran Islam itu sendiri. Sebuah projek yang dikemuka kepada rakyat ke arah pembentukan sebuah negara yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa politik, penyelewengan ekonomi dan menepati piawaian " Good Governence" . Inilah yang menjadi keutamaan PAS masa kini.

Nasrudin bin Hassan

Ketua

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sunday, July 29, 2012

Kurangkan cukai yang membebankan rakyat



1. Kurangkan cukai ke atas rakyat marhaen, jika perlu mansuhkan cukai yang jelas membebankan rakyat menengah ke bawah, sebaliknya perkasakan sistem percukaian ini secara adil dan telus kepada pihak yang layak dan wajar membayar cukai. Sistem zakat ke atas ummat Islam adalah terbaik selaku produk Tuhan yang Maha Mencipta yang juga perlu diperkasakan perlaksanaannya dalam negara kita.

2. Malaysia antara negara yang banyak mengenakan cukai ke atas rakyat dan tinggi pula nilai cukai tersebut berbanding negara - negara jiran seperti Thailand. Antara cukai yang dikenakan seperti :

a] Cukai pendapatan
b] Cukai pintu rumah kediaman
c] Cukai bakul penjaja kecil dan juga
d] Cukai jalan
e] Cukai kenderaan import
f ] Cukai stamp dan pelbagai cukai lain yang dilihat membebankan rakyat.
3. Malaysia sedang menghadapi 2 keadaan yang tidak membangunkan rakyat .

Pertama : Hasil mahsulnya yang banyak, tetapi kekayaan itu masih berlegar dikalangan orang - orang kaya dan elit tertentu. sedang inilah yang dilarang oleh syara'. Firman Allah swt :

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian)

supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Al Hasyr : 7


Kedua : Ialah ketirisan dana perbelanjaan awam yang banyak merugikan demikian juga pembaziran dengan melakukan projek mega yang tidak membawa impak maksima kepada rakyat.

4. Antara contoh yang boleh saya tunjukkan di sini ialah :

a] Laporan Ketua Audit Negara baru - baru ini menjelaskan ketirisan dalam perbelanjaan dana awam sebanyak RM 28 bilion.

b] Dakwaan Global Financial Integrity [ GFI ] bahawa RM 889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh 8 tahun [ 2000 - 2008 ]

c] Menurut laporan Majalah International Living tahun 2010 : Kos hidup di Malaysia adalah ke 21 paling tinggi di dunia.

5. Kos hidup meningkat antaranya kerana :

a] kenaikan harga barang keperluan termasuk harga rumah dan tanah. sedang pendapatan masih perlahan ditambah pula terpaksa membayar pelbagai kadar cukai.

b] Statistik Bank Negara Malaysia pada akhir Nov 2010 menjelaskan mengenai :

Hutang Isi Rumah rakyat Malaysia : RM 577 bilion

Ia bersamaan 74 % dari Keluaran Dalam Negara Kasar [ KDNK ] sekaligus ia menampakkan keupayaan berbelanja rakyat sangat rendah.

6. Realiti ini tentunya menekan rakyat terutama generasi muda. Saya tertarik dengan hasil kajian Pemuda BN sendiri [ melalui Makmal Pemuda BN ] menampakkan trend serupa mengenai suara anak muda :

40 % : anak muda bimbang masa depan negara
48 % : Kualiti hidup mereka di Malaysia tidak terjamin
39 % : hidup di Malaysia sukar & hanya cukup keperluan
9 % : sangat sukar & tdak cukup keperluan.

81 % anak muda pernah habis wang sebelum dapat gaji berikutnya.

10 % anak mudankerap mengalami situasi tersebut iaitu habis wang sebelum dapat gaji bulan berikut.

7. Malaysia bukan negara gersang tanpa hasil mahsul. Malaysia memiliki bijih, minyak, gas, emas, getah, sawit, balak, padi, ikan dan sebagainya. Gamat pun banyak . Semuanya adalah amanah Allah swt dan selayaknya diurus oleh kerajaan yang TELUS dan AMANAH.

8. Kekayaan negara yang berlonggok dikalangan tertentu, bukan sahaja melebarkan jurang kaya miskin, tetapi sering menjadikan mereka angkuh dengan kekayaan dan kuasa yang mereka miliki. Persis rakaman kisah yang disebut oleh Allah dalam al Quran :

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).


وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Surah al Qasas : 76 - 78

9. Mengurangkan kadar dan jumlah cukai yang dikenakan keatas rakyat akan banyak membantu rakyat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa. Sekaligus  berpotensi menjana kitaran ekonomi yang sihat melalui tahap upaya rakyat berbelanja.

10. Negara dan pemimpinnya juga mesti yakin pada berkat dan rahmat Allah swt tuhan yang memberikan rezeki. Pastikan negara bertaqwa dan tidak derhaka kepada Allah swt dengan  tidak melakukan mungkar samaada dalam sosial, politik mahupun ekonomi, nescaya negara akan diberkati dan dirahmati Allah swt. Pastinya rezeki atau pendapatan negara akan bertambah tanpa perlu bergantung dengan pelbagai cukai  yang disedut daripada rakyat.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah Al A'araf : 96

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]

Thursday, July 5, 2012

kroni... kroni... kroni....

Kroni lagi, apa jaminan kepada penumpang LRT?

Nasrudin Hassan, 05 Jul 2012

Mengikut perancangan, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Datuk Sri Mohd Najib Razak mahu menambah perkhidmatan LRT Ampang yang sedia ada sekarang ini dengan nilai RM1.012 bilion pada kadar tambahan sebanyak 17 kilometer.

Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan jumlah yang diperuntukkan ini sangat besar dan projek ini seharusnya dinilai, ditapis dan diteliti sedalam mungkin kerana ianya melibatkan jumlah yang besar daripada perbendaharaan negara.

Menurut sumber yang dikeluarkan oleh beritasemasa.com terdapat 8 syarikat terkemuka daripada seluruh dunia termasuklah dari Perancis, Britain dan Korea Selatan yang masuk di dalam senarai tender dan berusaha untuk membuktikan kemampuan dan kekuatan masing-masing.

Menurut lampiran yang disertakan di dalam beritasemasa.com, badan penilai iaitu perunding kejuruteraan Halcrow membuat keputusan memilih untuk mencadangkan kepada Kementerian Kewangan satu syarikat dari Britain, Konsortium Balfour Beatty-Invensys bagi melaksanakan projek LRT Ampang ini.


Rasional cadangan ini adalah berdasarkan rekod Balfour Beatty-Invensys yang cukup terkenal di peringkat antarabangsa di dalam industri pembinaan landasan keretapi dan LRT di seluruh dunia.

Sumber juga memberitahu cadangan daripada badan penilai ini telah dibawa kepada Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan dalam Kementerian Kewangan. Jawatankuasa ini dipengerusikan sendiri oleh Menteri Kewangan, Dato Sri Mohd Najib Razak.

Antara ahli di dalam jawatankuasa ini adalah Menteri Kewangan II iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara sendiri iaitu Tan Sri Wan Aziz.

Sekiranya diperhatikan, ketiga-tiga nama ini merupakan nama-nama yang berada pada kedudukan yang tertinggi dalam Perbendaharaan Negara.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan pada 25 Januari 2012 telah meluluskan cadangan daripada badan penilai iaitu memilih konsortium Balfour Beatty-Invensys.

Akan tetapi, laporan yang dibuat oleh akhbar Business Times yang bertarikh 22 Jun 2012 [Jumaat] yang bertajuk “George Kent-led consortium tipped to win Ampang LRT job” sememangnya mengejutkan.

Justeru pada 29 Jun 2012, Sinar Harian telah melaporkan bahawa PKR telah membuat laporan polis kerana terdapat bukti campur tangan kerajaan di dalam pemberian kontrak bernilai hampir RM1.1 bilion kepada syarikat tersebut.

Pada tarikh 3 Julai 2012 sebagaimana yang telah dilaporkan oleh antarapos.com, satu siri pendedahan telah dibuat oleh Saudara Rafizi Ramli yang menyatakan George Kent gagal dalam penilaian bidaan.

Menurut beliau, hasil daripada laporan penilaian merupakan bukti bahawa George Kent sememangnya tidak layak untuk meneraju projek ini. Berikut adalah hasil dari keputusan penilaian bidaan yang telah didedahkan oleh beliau.

1. Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti ini;

2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit projek yang memuaskan;

3. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1 bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion;

4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT;

5. Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan pembida-pembida; dan

6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh mengendalikan projek itu dengan jayanya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Datuk Sri Mohd Najib untuk menyelesaikan isu ini segera kerana ianya turut melibatkan keselamatan rakyat dan juga pengaliran keluar sejumlah wang rakyat yang besar.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, pemberian kontrak ini perlu dinilai secara telus. Bukan itu sahaja, bahkan kontrak yang sebegini penting perlu diberikan kepada yang selayaknya iaitu mereka yang memenuhi kriteria yang telah dinilai oleh panel penilai kerana ianya melibatkan duit rakyat dan keselamatan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan bagaimana boleh berlakunya pemberian kontrak tersebut kepada sebuah syarikat lain yang bukannya syarikat yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat JawatanKuasa Perolehan Menteri Kewangan.

Campur tangan yang wujud di dalam pemberian kontrak ini mengiyakan lagi bahawa memang wujud kronisme yang diamalkan oleh kerajaan sekarang. Sekiranya ini benar-benar berlaku di dalam sistem kerajaan sekarang di manakah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ?.

Sekiranya keselamatan rakyat dipertaruhkan hanya untuk melansungkan survival kroni, Dewan Pemuda PAS Malaysia yakin, slogan tersebut hanya seperti bertanam tebu di bibir mulut.

Friday, May 11, 2012

BERSIH 4.0 [ Duduk dan Debat ]

Gambar Hiasan Sahaja
1. Fokus BERSIH samada edisi 1.0, 2.0 dan juga 3.0 adalah menuntut keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengurusan dan pengendalian pilihanraya negara kita, ekoran terlalu banyak kesangsian, kekeliruan serta ruang yang terdedah kepada manipulasi dalam sistem peraturan, pengurusan dan pengendaliannya.

2. Bertolak dari Daftar Pemilih yang tidak bersih malah masih dikotori dan berlumut dengan senarai pengundi yang tidak layak mengundi serta beberapa kekeliruan yang perlu kepada pemurnian awam oleh pihak SPR. Pelbagai peraturan dan undang - undang pilihanraya yang tidak konsisten, membuka peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi. Media yang tidak seimbang dan berat sebelah, dilagang pula dengan pelbagai fitnah yang jijik dan memualkan.

3. maka pihak BERSIH telah menganjurkan pelbagai aktiviti seperti laporan ke SUHAKAM, laporan PDRM, Laporan SPRM, Memorundum kepada Kebawah Duli Yang Di Pertuan Agung dan Himpunan Aman. Malangnya,  sehingga kini pihak kerajaan dan SPR masih tidak memenuhi tuntutan BERSIH tersebut.
4. Kerajaan UMNO dan BN sebaliknya mendakwa  BERSIH menganjurkan keganasan, rusuhan dan sebagainya. Lalu mereka menempelak usaha suci BERSIH dengan pelbagai tindakan seperti menggunakan FRU untuk melepaskan tear gas dan air kimia, PDRM untuk tangkap dan belasah, DBKL untuk menaksirkan jumlah timbunan sampah, Majlis Fatwa bagi mengharamkan himpunan BERSIH, Media arus perdana supaya memutar alam menjadi separa realiti.

5. Kini kedengaran pelbagai pihak bercakap mengenai edisi berikut bagi kelangsungan tuntutan BERSIH supaya BERSIH 4.0 direalisasikan sehingga kerajaan UMNO dan BN akur tuntutan rakyat. Kerana pilihanraya umum tidak boleh diadakan atau disertai dalam keadaan ia tiada jaminan dapat dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih dari sebarang penyelewengan.

6. Sementara hari ini dan saya percaya ianya akan terus berlangsung ke hari pilihanraya, mereka memburukkan BERSIH 3.0 kononnya ganas lalu membina persepsi buruk masyarakat terhadap BERSIH sedang pihak BERSIH tidak diberi ruang serupa melalui televisyen dan media arus perdana yang lain untuk menjawab dan memberi penjelasan.

7. Maka saya mencadangkan agar BERSIH 4.0 ini direalisasikan melalui format baru pula iaitu Duduk dan Debat. Sekali lagi saya cadangkan panelnya ialah terdiri dari Presiden PAS Yb. Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dengan YAB  Presiden UMNO Datuk Seri Hj Najib Tun Abdul Razak. Seluruh rakyat dikerah hadir secara aman untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

8. Saya menegaskan demikian melalui cadangan Duduk dan Debat adalah sesuai dengan iklim politik baru yang hendak kita bawa iaitu berteraskan kekuatan hujjah bukan hujjah kekuatan. Saya harap pihak kerajaan dapat menerima cadangan ini dengan baik dan terbuka jika mereka juga benar mahukan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan pula aktiviti itu berlangsung dalam suasana aman.

9. Ia pastinya akan menjadi rekod sejarah. Masa depan negara akan dibentuk dan dibina melalui kerajaan yang bakal dipilih oleh rakyat melalui penerimaan terhadap hujjah yang dikemukakan,  bukan sokongan yang dipaksa dengan cota, tear gas dan air kimia.

10. Iklim politik baru mesti dibina segera oleh kedua - dua parti kompenan besar negara iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Politik berteraskan hujjah dan hikmah. Bukan politik tangkap dan belasah. Sebaliknya jua ke arah politik rasional, lapang dada dan kasih sayang tanpa permusuhan dan kebencian sesama agama dan bangsa yang ditanam melalui provokasi dan doktrinisasi yang negatif.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, April 19, 2012

Jika Himpunan Kecil Mereka berani Tunjuk Samseng.. Ayuhhh 28hb nanti kita gegarkan golongan samseng ini dengan suara rakyat

Harga Sebuah Perjuangan !

1. Sungguh kesal dan memalukan negara ! itulah realiti yang boleh diungkap apabila University of Dataran Merdeka terancam angkara perbuatan ganas dan tidak bertamadun dari sekumpulan samseng yang tidak bertanggungjawab.

2. Saya tidak tahu apakah sentimen yang membuatkan samseng itu mengganas melainkan ianya adalah episod malang yang menimpa iklim sosial negara kita. Ertinya negara kita tidak selamat untuk berkumpul dan berkhemah. Berkhemah di tempat terbuka seperti Dataran Merdeka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apa jaminan untuk rakyat selamat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis dan ibu pejabatnya.

3. Tahap kesedaran demokrasi pada sebahagian anggota masyarakat masih terlalu rendah justeru kerajaan sendiri sebelum ini terlalu banyak menunjukkan tauladan buruk kepada masyarakat dalam perkara ini yang membawa kepada pencabulan demokrasi seperti menggunakan polis, FRU dan water canon untuk membelasah rakyat sendiri yang berhimpun secara aman. Saya tidak hairan apabila ada segelintir anggota masyarakat bertindak samseng ala - ala polis dan FRU menyurai perhimpunan aman anjuran Pakatan Rakyat sebelum ini.
4. Lebih malang apabila pihak polis yang balai mereka tidak jauh dari Dataran Merdeka seperti tidak mampu berbuat apa - apa untuk memberi keselamatan kepada masyarakat awam dari gangguan samseng dan pengganas. Sekaligus memberi gambaran buruk kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia tidak selamat ! Dataran Merdeka amnya adalah kawasan tumpuan pelancung. Jika kawasan tumpuan pelancung seperti ini, samseng boleh bermaharajalela, ertinya tahap keselamatan negara dalam keadaan parah !

5. Himpunan Mahasiswa adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya. Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa ? atau siapakah yang mengupah samseng ini ? atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di Dataran itu ?

6. Asalnya mereka berkumpul dalam jumlah yang kecil sekadar untuk menyatakan tuntutan mereka. Apakah kerana jumlah mereka yang berkumpul itu kecil , maka mereka boleh dibuli sedemikian ? itu hanyalah warm up kepada Himpunan Besar pada 28 April ini ! atau memang mereka mengumpan agar mahasiswa seluruhnya turun berkampung di Dataran Merdeka ? Jangan hairan jika selepas ini, himpunan ini makin bertambah ramai.

Saya harap mahasiswa dapat bersabar mendepani cabaran provokasi ini. Teruskan dengan tuntutan anda ! jangan mengalah dengan cabaran kecil ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, April 2, 2012

Revolusi Facebook, Semarak Kebangkitan Anak Muda

Karamah [ kemuliaan ] sebuah  perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang menepati manhaj perjuangan Islam ialah pertolongan Allah swt yang tidak pernah putus. Biarpun ia cuba disekat oleh musuhnya dari segenap arah, namun senantiasa ada lorong yang membawa perjuangan ini ke mercu jaya melepasi segala halangan yang dirintang.

Malaysia antara sebuah negara pengamal "demokrasi songsang" apabila kerajaan yang memerintah mengongkong dan menguasai media tanpa memberi laluan seimbang kepada parti bukan kerajaan untuk menyampaikan maklumat atau risalah perjuangan menerusi media arus perdana, samaada cetak atau elektronik.

Dunia maklumat menjadi sempit dan terhad. Masih segar dalam ingatan saya bagaimana seketika dulu, rutin ceramah PAS akan di adakan padang awam atau kawasan penempatan. Sementara tidak banyak cawangan PAS yang mempunyai markaz atau Pusat Tarbiyah sendiri. Seringkali PAS menganjurkan ceramah atau rapat umumnya di kawasan awam dan terbuka.

Malangnya selepas itu, pemerintah mengeluarkan pekeliling bahawa PAS tidak boleh mengadakan ceramah dikawasan awam tanpa permit kecuali di markaz atau kawasan persendirian. Akhirnya  kita boleh lihat sendiri  hari ini, bahawa hampir tiada cawangan dan kawasan PAS yang tiada markaz atau pusat tarbiyahnya sendiri dalam keadaan PAS bukan parti pemerintah kecuali hanya di Kelantan sebelum daripada ini. Fenomena ini adalah salah satu daripada karamah perjuangan .

PAS terus bergerak aktif melalui penganjuran pelbagai aktiviti luaran dan dalaman di markaz atau pusat tarbiyahnya, biarpun tidak lagi dibenarkan penganjuran di kawasan terbuka. Lebih menarik apabila perkembangan ini secara tidak langsung mendekatkan PAS dan aktiviti markaznya kepada masyarakat awam. Orang ramai yang ingin tahu mengenai PAS terpaksa datang sendiri ke markaz dan pusat tarbiyahnya setelah PAS dikekang dan ditohmah dari segenap arah. Ini satu lagi karamah perjuangan.
PAS juga disekat suaranya melalui media sebagaimana parti bukan kerajaan yang lain. Hanya berpada dengan Harakah yang terbitannya terhad kepada ahli sahaja  untuk hanya 2 kali seminggu berbanding parti pemerintah yang boleh menguasai segala jenis chanel di televisyen dan radio. Pula menguasai pelbagai jenis akhbar cetak. Siang malam, pimpinan dan aktivis parti terpaksa bersengkang serta mengurangkan waktu rehat dan tidur bagi memikirkan jalan keluar agar maklumat semasa dan risalah perjuangan ini dapat menembusi setiap pintu rumah dan hati rakyat.

Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi bahawa perjuangan suci ini, selama ia berlandaskan syariat Allah swt. nescaya senantiasa ada pertolongan Allah swt lalu membuka jalan keluar dari segala bentuk kekangan. Era ini Allah swt menghantar teknologi kepada kita. Antaranya ialah jaringan sosial yang terkenal iaitu facebook. Ia juga sebahagian dari karamah perjuangan.

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 peratus pengguna internet. Laman socialbakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. 53 peratus adalah pengguna lelaki dan 47 peratus pula wanita. Rata - rata dari kalangan mereka ialah anak muda.

Terdapat penambahan 200 ribu account baru setiap hari. Lebih dari 25 juta pengguna dari seluruh dunia yang aktif menggunakan Facebook setiap hari. Rata-rata pengguna menghabiskan waktu sekitar 19 minit setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti di Facebook. Realiti ini meluaskan lagi potensi ziarah dan dakwah di talian cyber.

Memanafaat kekuatan medium facebook yang mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 200 juta di seluruh dunia ini lah, gerakan perubahan dan pengislahan meletus sebagai satu gelombang besar yang melanda negara Arab dan akhirnya menjatuhkan regim Ali Zainal Abidin di Tunisia, Husni Mubarak di Mesir, Muammar Ghadaffi di Libya. Kini facebook mencetus fenomena serupa di Syria yang menyemarakkan kebangkitan rakyat tertindas sejak puluhan tahun yang lalu.

Rangkaian sosial yang popular seperti facebook ini telah mengatasi populariti rangkaian My Space. Saya melihatnya dari aspek positif tanpa menafikan sebahagian manusia gagal memanfaatkan facebook untuk kebaikan. Samaada mereka buta teknologi atau kerana mereka mengurus teknologi dengan nafsu dan syahwat bukan wahyu dan aqal.

Facebook boleh menjadi medium perjuangan yang baru selepas medium ceramah sekian lama menjadi aktiviti tradisi kita menyampaikan maklumat. Justeru itu, saya menegaskan bahawa menjadi satu ke"wajib"an bagi setiap anggota parti samaada pimpinan atau ahli biasa untuk memiliki sekurang - kurangnya satu akaun facebook yang aktif.

Setiap anggota parti mesti celik facebook atau twitter dan sebagainya, justeru kita hidup di zaman teknologi maklumat. Bukan sahaja kita tidak boleh memusuhinya malah kita mesti menangani dan menguasainya. Langkah bijak ialah seorang ahli satu facebook yang aktif.

Buka dan miliki akaun facebook, kemudian aktifkannya dengan ilmu yang benar dan  maklumat yang tepat. Jauhkan fitnah dan maki hamun, sebaliknya tampilkan fakta dan figur serta perbahasan yang mudah dan jelas. Kuasai bahasa anak muda kemudian bimbing mereka dengan ilmu dan maklumat yang betul berpandukan petunjuk Rabbul Izzati.

Saya jangkakan revolusi facebook bakal tercetus mendepani pilihanraya umum akan datang dan anak muda adalah penggerak serta pemangkin kepada revolusi tersebut. Menyedari perkembangan penting ini, saya meletakkan para alim ulama' , cendikiawan dan intelektual di senarai paling atas yang "wajib" menjadi aktivis facebook sebagai facebookers yang istiqamah dan berhikmah. Pimpin dan bimbing anak muda menuju cita - cita perubahan agar gelombang perubahan ini terarah dan tidak melewati batas akhlak pula gelincir dari sempadan moral.

Sebagaimana cabaran dan rintangan  [ tribulasi ] yang kita hadapi sewaktu mengurus perjuangan di dunia ini , maka begitulah mehnah  [ ragam ] dan ibtila' [ ujian ] serupa yang terpaksa kita depani di arena facebook. Jika dipentas perjuangan ini kita berdepan dengan pemuda tahan lasak, samseng politik, FRU, SB dan lainnya, maka tidak kurangnya di arena facebook kita berdepan cybertrooper, penyamar 1001 wajah, pengganas moral, pengacau, hackers dan lainnya.

Mulakan dengan bismillah, sertai medium baru ini dan sabar depani segala karenah serta tabah menyerap segala cabarannya.

Nasrudin bun Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sunday, March 18, 2012

Muamalat dengan Yahudi

Oleh Nasrudin bin Hassan

Berurus niaga [ muamalat ] dengan individu Yahudi atau mana - mana pihak Yahudi yang terhad pada inhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiZrQlT25QNLceDeblp9PozqYYxpqddytpgNhe2tlG7Kr9eQRyni1UppsC5WXRazm3Q8YhX198WmPrVelnw2Z5hQXTqbtQv_2ukvgl_mAKj4LeSyvF002D8rne9YsPJcWmrZlWi2ToK7W1E/s1600/NasrudinHassan-GreenBG-450pixel.jpgdividu atau syarikat Sdn Bhd mereka, seperti Yahudi dari negara Eropah dan lainnya, maka pada hukum asalnya adalah harus justeru Rasulullah saw pernah berurus niaga dgn bangsa Yahudi.

Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini, Yahudi yang membunuh Ummat Islam Palestine lalu merampas tanah Palestine dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam Palestine, Yahudi yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan mereka keatas ummat Islam Palestine malah membunuh sewenangnya Ummat Islam Palestine, maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anut termasuk zionis.

Ulama' telah banyak memberikan fatwa haram berkait urusniaga semasa dengan Yahudi Israel secara umumnya seperti Dr Yusuf al Qaradhawi, kerana asasnya keseluruhan Yahudi Israel telah melakukan satu jenayah besar ke atas Ummat Islam dan ianya masih berlarutan sehingga hari ini.

Fatwa haram urus niaga dengan Yahudi Israel Zionis ini dibina oleh para alim ulama' berasaskan kesan dan perkembangan politik dan ekonomi ummat Islam antarabangsa apabila setiap ringgit atau dollar yang mengalir ke Israel melalui apa jua bentuk urusniaga dengan mereka menghasil sebutir peluru yang telah dan bakal menembusi jantung ummat Islam Palestine yang sedang berjuang mempertahan aqidah dan membebaskan tanahair mereka.

Fatwa itu dibina bukan kerana mereka dilahirkan berbangsa Yahudi tetapi disebabkan mereka melakukan satu jenayah besar ke atas ummat Islam dan jenayah itu masih berlarutan hingga ke hari ini. Demikian adalah hukum yang berkait dengan muamalah atau urusniaga.

Sementara kedudukan Yahudi secara umumnya di mata ummat Islam telah disebut secara jelas di dalam Al Quranil Karim. Bagaimana dendam dan semangat permusuhan mereka terhadap Islam yang didedahkan oleh Allah swt.

" Kamu akan dapati golongan yang sangat tinggi kadar permusuhan mereka terhadap orang - orang beriman ialah Yahudi dan mereka yang mempersekutukan Allah swt. "

" dan sekali - kali tidaklah Yahudi dan Nasara Redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut cara hidup mereka "

Banyak ayat seperti ini di dalam Al Quran dan ia adalah pendedahan serta peringatan Allah swt kepada ummat manusia, khasnya kepada ummat Islam terhadap sikap dan bahaya yang dicetuskan oleh Yahudi berasaskan latar belakang dan sejarah mereka yang sering menipu, khianat, mungkir janji dan berdendam, biar apa pun fahaman yang dianut oleh mereka di sepanjang zaman termasuklah faham zionisme yang sememangnya telah mengisytiharkan protokol mereka yang jelas dan nyata memusuhi serta memerangi ummat Islam.

Justeru tiada pengiktirafan dan persekongkolan dengan Yahudi di atas peta politik dunia hari ini.

Ummat Islam tidak perlu panik dan usah resah dalam mengikuti perkembangan semasa berkait isu Yahudi, lantaran Perbahasan mengenai hukum muamalah adalah suatu yang berbeza dengan siasah. Keduanya mesti diteliti dengan cermat dan jelas.

Walaubagaimana pun terlebih aula dan wajar kita terus berfikir dan merancang untuk terus meningkatkan sokongan moral, politik dan ekonomi kita kepada ummat Islam di Palestine khasnya HAMAS untuk mereka terus membina masa depan mereka yang kebih baik berdepan kekejaman Yahudi Israel Alaihi Laknatullah berbanding kita berbincang dan berpolemik mengenai urus niaga kita dengan Yahudi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

Monday, March 5, 2012

UMNO Mohon Maaf

Politik kian menarik dan meriah menjelang pilihanraya umum ke 13. Terkini Dato' Seri Najib mohon maaf kepada rakyat atas kesilapan BN dalam pemerintahan mereka yang lepas dan memberi akujanji bahawa mereka tidak akan mengulangi kesilapan silam yang nyata telah membawa igauan buruk buat mereka.

Perbuatan ini dianggap luar biasa. Bagaimana UMNO selama ini dilihat gah dan angkuh di puncak kuasa, tiba - tiba roadshow keseluruh negara memohon maaf daripada rakyat atas kesilapan lampau mereka. Umumnya rakyat melihat perbuatan ini seperti "buang tabiat".
Seolah - olah UMNO sudah tahu bahawa kuasa dan pengaruh mereka bakal berakhir dalam pilihanraya umum akan datang, lalu UMNO memohon maaf kepada rakyat disetiap negeri yang mereka jelajah.

Saya melihat perkara ini sebagai pelik dan menghairankan kerana Datuk Seri Najib boleh memilih televisyen untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat dalam negara kita dan memadai dengan sekali mohon maaf. Tetapi .... apabila tindakan mohon maaf ini dibuat berulang kali, rakyat akan tertanya - tanya sebenarnya apa yang telah berlaku pada UMNO ?

Sebagai seorang muslim yang baik, sememangnya kita diajar menerima permohonan maaf dan segera memaafkan pihak lain terutama dikala mereka memohon untuk dimaafkan. Cuma asasnya apabila ada orang memohon maaf, ia terhenti di atas 2 perkara:

a] mohon maaf kerana "buang tabiat" mengikut istilah orang tua - tua. Mereka tidak bersalah dan tidak pernah rasa bersalah seperti UMNO yang sering menganggap PAS selama ini melontarkan fitnah kepada mereka. Apa yang PAS sebut adalah tidak benar dan fitnah semata - mata. Ertinya mereka berada di pihak yang benar selama ini, lalu kenapa mereka tiba - tiba beria - ia benar memohon maaf secara berulang kali daripada rakyat.

b] mohon maaf kerana sedar bahawa mereka telah dan pernah melakukan kesalahan serta kesilapan kepada rakyat. Jika ini tujuan UMNO memohon maaf, ertinya selama ini apa yang kita sebut bahawa UMNO telah melakukan kesalahan besar kepada rakyat adalah benar dan telah dimaklumi menerusi sikap dan langkah yang diambil oleh UMNO sehari dua ini apabila mereka memohon maaf kepada rakyat.

Saya tidak bermasaalah untuk rakyat menerima permohonan maaf tersebut atau dalam erti kata lain, memberi kemaafan kepada mereka. Namun di sana perlu kepada rakyat amnya dan UMNO khasnya memahami bahawa memohon maaf sahaja tidak memadai kerana seiring dengan langkah memohon maaf, UMNO mesti mengembalikan hak rakyat yang telah diambil tanpa kerelaan seperti royalti minyak, kerajaan negeri Perak, pampasan mangsa ISA dan banyak lagi untuk saya sebutkan satu persatu di sini.

Saya melihat satu kewajaran untuk UMNO berundur, menginsafi kesilapan lampau dan memberi laluan kepada Pakatan Rakyat pula membuktikan keupayaan mereka menggalas amanah rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Friday, February 24, 2012

ISU KEDAH - Fahami keutamaan [priority] , pelihara adab berjuang dan jangan keterlaluan dalam kenyataan dan tindakan.

02 Rabi'u al-Akhir 1433 bersamaan 24 Febuari 2012

Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat mengharapkan orang ramai amnya dan rakyat Kedah khasnya tidak "kalut" dengan menghakimi isu yang berlaku di negeri Kedah berasaskan laporan media semata - mata. Saya percaya sedikit masaalah yang timbul di Kedah adalah perkara biasa bagi sebuah kerajaan dan ianya mampu ditangani dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Mencampuri urusan tanpa ilmu dan maklumat yang betul hanya mengusutkan keadaan. Waspada juga dengan elemen menangguk di air keruh agar ianya tidak berlaku dari kalangan anggota parti khasnya. Fahami keutamaan [priority] , pelihara adab berjuang dan jangan keterlaluan dalam kenyataan dan tindakan.

Selepas mengharap sedemikian kepada semua pihak, saya doakan agar semua diberi kebaikan oleh Allah swt atas keikhlasan masing - masing untuk perjuangan suci ini. Jua isu atau polemik yang berlaku ini tidak berpanjangan dan Kerajaan Negri Kedah terusvstabil di bawah naungan petunjuk Allah swt.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tuesday, February 21, 2012

Dua barisan kepimpinan PAS, jika perlu

PAS sebagai parti alternatif perlu menguasai isu-isu dasar negara dan bukan "terjerat dalam kelompok pembangkang" yang hanya tahu membangkang tanpa penyelesaian berkesan.

Untuk itu, ketua Pemudanya Nasrudin Hassan berkata, ia bermula dengan penyusunan semula saf kepimpinannya supaya terbentuk pemimpin parti dan sekali gus negara.

azlan"Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah dua line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi kepimpinan yang mengurus negara.

"Namun kedua-dua line up (barisan) kepimpinan berada di dalam satu majlis permesyuaratan parti," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata saranan itu dibuat bagi menangani cabaran sepuluh tahun akan datang parti Islam itu yang memerlukan kualiti kepimpinan dan organisasi.

"Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekali gus mampu mendokong aspirasi parti," katanya.

"Parti mesti bijak serta pantas mengurus masalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan kerenah masalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai."

PAS : 10 Tahun Akan Datang

1. PAS adalah sebuah parti yang kukuh dengan prinsip perjuangan yang bertunjangkan Islam. Sebagaimana kukuhnya Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt maka begitulah kukuhnya prinsip perjuangan yang dipangku oleh PAS menongkah 1001 macam halangan, rintangan dan cabaran sejak hari tubuhnya.

2. Meredah masa depan, selama PAS berpegang teguh dengan perjuangan Islam, ia tetap unggul biarpun menggapai usia 100 tahun lagi justeru Islam adalah agama dari Allah swt yang sesuai sepanjang zaman sehinggalah dunia digulung kiamat kelak.

3. Sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS adalah alternatif untuk menggagas masa depan negara yang sejahtera, menepati sebuah pemerintahan good governence, bebas korupsi dan diredhai oleh Allah swt. Dunia semakin kosong dan gersang tanpa Islam sebagai petunjuk Allah swt. Inilah yang difirmankan oleh Allah swt :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

4. Menyedari harapan ini, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan ummah
mesti dipersiapkan agar hadhir dan tampilnya menepati tuntutan semasa. PAS selayaknya mula menguasai polisi ke arah mempersiapkan dirinya untuk menjadi kerajaan yang mengurus tadbir negara, bukan lagi terjerat dalam kelompok pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa solusi yang efektif.

5. Bermula dengan menyusun saff kepimpinan parti yang terdiri dari kalangan figure mampu dan layak menggalas amanah kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan parti tetapi juga kepimpinan negara. Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah 2 line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi ialah kepimpinan yang mengurus negara. Namun kedua - dua line up kepimpinan berada di dalam satu majlis pemesyuaratan parti.

6. Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekaligus mampu mendokong aspirasi parti. Parti mesti bijak serta pantas mengurus masaalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan karenah masaalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai.

7. Menuju cabaran 10 tahun akan datang, antara lain PAS perlu menumpukan kepada 2 skim kualiti.

Pertama kualiti pada figure samaada anggota atau pemimpin yang mampu serta layak menyandang amanah di mana posisi ia ditugaskan. Bukan figure yang hanya melakar publisiti melalui kepetahan berpidato tetapi lemah dalam tindakan.

Kedua ialah kualiti pada organisasi dan penstrukturannya agar dilihat lebih kemas, sistematik dan menepati piawaian sebuah organisasi moden yang mampu menangani saingan gerakan semasa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia