Showing posts with label Suhaizan Bin Kayat. Show all posts
Showing posts with label Suhaizan Bin Kayat. Show all posts

Monday, October 17, 2011

Menteri Dalam Negeri Takut Menghadapi Kenyataan


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah mengumumkan akan mendedahkan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing dan kad pengenalan palsu kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi. Jawatankuasa Terpilih Parlimen ini ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini bukannya memperbaiki sistem permohonan kewarganegaraan atau memperbaiki perjalanan Jabatan Pendaftaran Negara. Saya berpendapat tiada keperluan Menteri Dalam Negeri untuk membentangkan tuduhan manipulasi kad pengenalan dalam jawatankuasa tersebut. Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya bertugas untuk menyiasat ruang manipulasi dalam pilihanraya bukannya ruang manipulasi kad pengenalan di negara ini. Mungkin sebab teknikal ini Menteri Dalam Negeri akan terselamat daripada disoalsiasat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Sepatutnya Menteri Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung dengan keraguan-keraguan yang Pemuda PAS bangkitkan seperti berikut :

1. Bagaimana terdapat lebih 5 Ribu identiti yang mempunyai nama yang sama dan nombor kad Pengenalan yang 83 % sama seperti dibawah :

AZINAH BT MOHD FAZIN (800820-02-5150)

AZINAH BT MOHD FAZIN (800829-02-5150)

2. Bagaimana Mismah yang masuk ke negara kita tahun 1982, hanya perlukan masa 6 bulan sahaja boleh mendapat status penduduk tetap sedangkan syarat Jabatan Imigresen memberi syarat 5 tahun untuk membolehkan Mismah mendapat status penduduk tetap.

3. Kenapa rekod penduduk tetap seperti Mismah tidak dikemaskini lebih 7 bulan dalam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara?

4. Bagaimana satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu yang sama. Seolah-olah kad pengenalan lama ini melahirkan dua kad pengenalan baru. Contohnya :

Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama : A2278510)(No Kad Pengenalan baru : 720616025472)

Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama : A2278510)(No Kad Pengenalan baru : 720610025738)

5. Kenapa 240 orang warga asing diberi kursus keusahawanan di Istana Dugang Country Resort hanya 5 jam sahaja? Bukankah warga asing ini tidak dibenarkan berniaga, kenapa perlu diberi kursus? Kenapa Hishmuddin tidak tahu aktiviti 240 orang warga asing ini lakukan, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang tahu bahawa mereka terlibat dengan kursus keusahawanan? Apakah Hishamuddin sudah tidak percaya kepada pegawainya sendiri? Kenapa Hishamuddin mengangap isu ini sebagai isu kecil sedangkan ia melibatkan pengkhianatan kepada negara.

6. Kenapa ada jumlah yang terlalu ramai iaitu 170,818 pengundi yang mempunyai kad pengenalan berkod negara “71” dimana kod tersebut tidak ditafsirkan dalam Jabatan Pendaftaran Negara.

7. Kenapa ada begitu ramai warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara selepas tahun 2008 hingga 2011 iaitu 27, 293 orang sedangkan rakyat kita sudah terseksa dengan pesaingan sektor pekerjaan dan perniagaan kecil di negara ini.

Saya merasakan penjelasan Menteri Dalam Negeri terhadap ruang manipulasi dalam pemberian kad pengenalan tidak sesuai dijelaskan dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya kerana itu bukan saluran yang sebenar. Saluran yang sebenar adalah menjawab setiap soalan yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS Malaysia. Malangnya Menteri Dalam Negeri seolah-oleh takut untuk menjawab setiap persoalan kerana beliau tahu Pemuda PAS Malaysia ada peluru yang banyak untuk menjawab balik setiap jawapan yang diberikan. Atau pun Menteri Dalam Negeri takut terperangkap dalam agenda “kursus keusahawanan”. Jalan mudah maka Hishmuddin menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya walaupun membentangkan pada saluran yang salah. Itulah lambang sebuah kerajaan yang lemah.


SUHAIZAN BIN KAYAT
PENGERUSI PEMULIHANDEMOKRASI & MOBILISASI
PEMUDA PAS MALAYSIA

Friday, October 14, 2011

Kursus Keusahawanan 5 Jam : Polis Jangan Bersubahat

Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman berhubung dengan tuduhan Pemuda PAS yang mengatakan 240 orang warga asing yang berkubu di Istana Dugang Country Resort adalah bertujuan untuk mendapatkan hak kewarganegaraan mudah. Superintendan Imran Abdul Rahman mengatakan bahawa tujuan warga asing berada di resort tersebut adalah untuk mengikuti kursus keusahawanan.

Rakyat Malaysia tidak menerima langsung alasan yang diberikan oleh pihak polis kerana perkara-perkara berikut :

1. Tidak munasabah warga asing diberi kursus keusahawanan, sedangkan mereka tidak dibenarkan berniaga dalam negara kita. Apakah seorang warganegara asing yang datang ke negara ini atas permit pertanian dibenarkan berniaga dalam negara kita? Sejak bila pulak kerajaan Malaysia membenarkan pekerja buruh daripada kalangan warga asing dibenarkan berniaga di negara kita?

2. Pada peringkat awal pemandu bas diarah menurunkan warga asing tersebut di Jabatan Perdana Menteri(JPM). Tetapi di saat-saat akhir mereka menerima arahan untuk menuju ke Istana Dugang Country Resort. Tidak munasabah penganjur kursus keusahawanan menukar tempat kursus di saat-saat akhir daripada jabatan kerajaan ke resort di Kajang.

3. Tidak munasabah warga asing ini diberi layanan kelas pertama untuk menghadiri kursus keusahawanan. Mereka diberi perkhidmatan bas dan resort. Badan kerajaan mana yang begitu bermurah hati membenarkan mereka berkursus?

4. Dalam perjanjian dengan pemandu bas, perkhidmatan mereka diperlukan sehingga jam 1 tengahari rabu 12hb Oktober 2011. Sedangkan warga asing tersebut tiba di Putrajaya pada jam 6 pagi hari yang sama. Jika benar mereka menghadiri kursus keusahawanan maka Rakyat Malaysia ingin bertanya kursus keusahawan apa yang terlalu istimewa kepada warga asing yang hanya berkursus 5 jam sahaja(8 pagi – 1 tengahari).

5. Jika benar mereka berkursus keusahawanan 5 jam sahaja dengan jarak 800 KM, pergi dan balik daripada Johor Baharu ke Putrajaya, mengapa mereka tidak berkursus di Johor Baharu sahaja. Mengapa begitu istimewa warga asing ini dilayan oleh pihak tertentu dalam negara ini.

Berdasarkan kepada tidak munasabahnya 240 orang warga asing ini berkursus keusahawanan di Istana Dugang Country Resort maka Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak pihak polis jangan cuba bersubahat melindungi penyelewangan yang sedang diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia.


SUHAIZAN BIN KAYAT
PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI
PEMUDA PAS MALAYSIA
KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR.

Wednesday, September 28, 2011

Akhirnya SPR mengaku..!!!

70,361 digugur dan 50,000 disiasat : Bukti Kejayaan Rakyat

Akhirnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengistiharkan kepada rakyat Malaysia 70,361 pemilih digugur dan 50 ribu lagi pemilih sedang di siasat. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Dato Kamaruddin Mohamed Baria Setiausaha SPR kepada Bernama pada 27hb September 2011. Daripada jumlah pemilih yang digugurkan, terdapat 69,293 adalah pemilih yang telah meninggal dunia dan baki 1,068 pemilih yang telah dilucutkan kewarganegaraannya oleh pihak JPN.

Setiausaha SPR menyatakan bahawa tindakan itu diambil bermula Julai hingga 15 hb Sptember 2011 membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang. Proses pemutihan ini telah melibatkan semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendedahan terbaharu SPR ini telah menolak penafian Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 hb Ogos 2011 yang telah menyatakan bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001% sahaja. Jumlah pemilih yang digugur dan di siasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih. Jumlah ini adalah 0.98 % bukannya 0.0001 % seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR. Jumlah pemutihan yang besar ini juga membuktikan dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Bin Wan Omar yang menyatakan bahawa kesilapan yang berlaku adalah kesilapan kerani SPR adalah tidak benar. Tidak mungkin kesilapan kerani SPR sehingga melibatkan ratusan ribu data SPR.

Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa pengguguran dan penyiasatan daftar pemilih SPR ini adalah kejayaan rakyat Malaysia dalam mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih terbabit. Desakan ini bermula daripada Himpunan Bersih 2.0 pada 9hb Julai 2011 dikuti siri-siri pendedahan yang telah dibuat oleh Pemuda PAS Malaysia. Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat? Pemuda PAS penuh yakin bahawa pemutihan ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia.

Pemuda PAS mahu terus mendesak kepada SPR agar mengemukakan hasil siasatan ke atas 50 ribu pemilih yang pernah diwartakannya. Satu jawapan yang bertanggungjawab daripada SPR perlu dikeluarkan iaitu berapa ribukah jumlah pemilih yang memiliki kad pengenalan klon/palsu. SPR tidak boleh berdalih dalam perkara ini kerana Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad bin Wan Omar sendiri telah mengakui pada 24 Julai 2011 bahawa terdapat kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih sah SPR. Soalan ini boleh dipecahkan kepada berikut :

1. Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu identiti pemilih.

2. Berapa ramaikah pemilih berkembar?(Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83% adalah sama)

3. Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara “71” yang telah digugurkan?

Cabaran yang paling besar dihadapi oleh SPR dalam mengemukakan hasil siasatan di atas adalah halangan daripada Menteri Dalam Negeri yang menjaga Jabatan Pendaftaran Negara(JPN). Tidak mungkin hasil siasatan ini akan dimaklumkan secara telus kepada rakyat selagi kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional(BN). Jika rakyat mahukan maklumat sebenar berkenaan manipulasi kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih SPR maka kerajaan BN perlu ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Rakyat perlu digembelingkan untuk mengagalkan sebarang bentuk ruang manipulasi dalam pilihanraya akan datang.

SUHAIZAN BIN KAYAT

PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI PEMUDA PAS MALAYSIA.

KETUA PEMUDA PAS JOHOR.

Thursday, September 8, 2011

PAS dakwa penduduk sementara pula jadi pemilih

September 08, 2011

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Susulan isu pemastautin tetap, PAS kini mendedahkan kepincangan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mendakwa kali ini penduduk sementara pula didaftarkan sebagai pengundi.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat berkata, hasil pemeriksaan pihaknya telah berjaya membongkar satu lagi manipulasi dalam pilihan raya untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kali ini kita bongkarkan tentang bagaimana penduduk sementara ini menjadi pengundi yang sah, penduduk sementara adalah sebelum menjadi pemastautin tetap... pemastautin tetap tidak boleh mengundi, apatah lagi penduduk sementara.

“SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali lagi mencatat sejarah apabila penduduk tetap disahkan boleh mengundi, pemeriksaan kita di JPN mendapati pengundi ini memegang kad pengenalan berwarna hijau,” kata beliau pada sidang media di sini.

Menurut Suhaizan, pihaknya telah mengenal pasti beribu nama penduduk sementara yang telah didaftarkan sebagai pengundi, namun hari ini hanya mahu mendedahkan tiga nama terlebih dahulu.

“Mereka adalah Numi Syukri yang memegang kad pengenalan bernombor 880306-11-5096, semakan melalui JPN mendapati dia adalah penduduk sementara dan dia boleh mengundi di kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Hulu Besut dan Parlimen Besut.

“Yang kedua adalah Hasmidah Surahbil juga seorang penduduk sementara tetapi boleh mengundi di DUN Semenyih dan Parlimen Hulu Langat manakala Jamaluddin Tahir yang memegang kad pengenalan bernombor 840803-12-5475 yang boleh mengundi di DUN Bangi dan Parlimen Serdang,” katanya.

Ekoran pendedahan terbaru ini, beliau mendesak agar SPR dan JPN memberikan jawapan segera berhubung perkara itu.

“Kita minta JPN beri jawapan adakah benar penduduk tetap ini dibenarkan untuk mengundi, jika benar kemudian kita akan minta SPR pula untuk memberikan penjelasan.

“Kita juga desak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak adakan pilihan raya, tidak bubarkan Parlimen selagi perkara-perkara yang dituntut kami dan pihak yang lain diperbaiki. Jika mahu bubar Parlimen juga, kami akan minta rakyat sekali lagi turun dalam perhimpunan Bersih 3.0 sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut pula berkata senarai penduduk tetap yang diberikan hak mengundi melibatkan hampir keseluruhan kawasan negeri itu dengan bilangan yang terbanyak adalah warganegara Myanmar.

“Bermula dari Besut hingga ke Kemaman, kalau SPR tidak berpuas hati kita boleh jumpa, saya ada senarai.

“Ya, jumlah yang terbanyak adalah Myanmar iaitu seramai 5006 orang, ini yang terkini sehingga 24 Julai 2011. Daripada jumlah itu 2,272 berada di Kemanan dan lebih separuh daripada itu berada di Dun Kijal iaitu tempat menteri besar Terengganu,” katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman berkata pihaknya tidak boleh menerima kekalahan dengan cara yang salah.

“Kalau kita bertanding di padang yang sama kemudian kita kalah ia tidak mengapa, tapi kalau kita kalah dengan tidak adil itu, kita tidak boleh terima,” katanya.

Monday, July 25, 2011

SPR mengaku ada pengundi hantu

Suhaizan Kayat

Setelah 16 hari selepas Himpunan Bersih 2 maka akhirnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar telah mengaku bahawa terdapatnya klon kepada kad pengenalan pengundi yang terdapat dalam daftar pemilih sah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Secara tidak langsung Datuk Wan Ahmad telah mengaku bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR yang sah.

Kenyataan beliau telah dikeluarkan oleh The Star bertarikh 24hb Julai 2011 di bawah tajuk ”EC: Help us purge ‘clones’ from electoral roll”. Datuk Wan Ahmad pula meminta parti politik dan Individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Ini merupakan kenyataan “U Turn” SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui malah menuduh Pakatan Rakyat(PR) mengada-adakan cerita untuk melunturkan kayakinan rakyat kepadanya. Pembersihan daftar pemilih adalah termasuk dalam tuntutan Bersih 2.0. Pengakuan SPR ini merupakan suatu kejayaan kepada Bersih 2.

Pengakuan SPR ini adalah berdasarkan kepada data yang saya telah keluarkan pada khamis 21hb Julai 2011 bahawa Mariam Binti Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510. Beliau memiliki dua hak mengundi di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling.

Murugan A/L Subramaniam pula dilahirkan pada 02hb Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan A/L Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dun, Parlimen dan Negeri yang sama. Hanya 4 digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan A/L Subramaniam. No kad pengenalan pertama Murugan A/L Subramaniam adalah 731002025877 dan kad pengenalan kedua adalah 731002025201. Sesiapa sahaja boleh menyemak melalui laman web SPR http://daftarj.spr.gov.my/NEWDAFTARJ/DaftarjBM.aspx.

Kes Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam telah membuktikan dua kesalahan besar yang dilakukan oleh JPN dan SPR iaitu pertamanya Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) telah mengeluarkan satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua identiti.

Keduanya SPR telah membenarkan seorang pemilih memiliki hak mengundi lebih daripada sekali. Ini telah bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan “tiada sesiapa pun boleh mengundi dalam pilihanraya yang itu juga, dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya”.

Standard Operation Procedure(SOP) bagi kedua-dua jabatan Kerajaan ini perlu dikaji semula. Sistem komputer JPN dan SPR telah menggunakan SOP yang salah. Salah satu prinsip kepada konsep pengkalan data(database) sistem komputer adalah tidak dibenarkan pertindanan identifier kad pengenalan lama atau baru. Tetapi JPN telah membenarkan pertindanan kad pengenalan lama dan SPR pula menerima data yang salah tersebut untuk didaftarkan sebagai pemilih yang sah.

Inilah bukti kesalahan SPR dan JPN. Mana-mana pihak berhak untuk membuat laporan polis berhubung kecuaian (negligent) yang dilakukan oleh JPN dan SPR.

Walaupun bukti-bukti telah menunjukkan bahawa terdapat data bertindan yang telah dimasukkan dalam daftar pemilih yang sah tetapi malangnya SPR tiada hak dengan mudah untuk membatalkannya. Ia terpaksa melalui proses yang rumit untuk membatalkannya. Ini kerana seksyen 14, Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981 telah manyatakan bahawa “ Daftar pemilih yang pada masa ini berkuat kuasa hendaklah menjadi keterangan prima facis bagi maksud menentukan sama ada seseorang berhak atau tidak berhak untuk mengundi dalam sesuatu pilihanraya dalam mana-mana bahagian pilihan raya”.

Jika pilihanraya di adakan pada waktu terdekat maka pilihanraya umum ke-13 akan menggunakan daftar pemilih yang diragui. Mana-mana parti yang menang dalam pilihanraya ke-13 tetapi mempunyai data-data pemilih yang meragukan mungkin boleh dibatalkan kemenangannya. Ini merupakan sesuatu yang serius bakal akan berlaku. Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Diraja mengkaji sistem perjalanan pilihanraya dalam negara kita yang dilihat bermasalah.

-----------------------------------------

Penulis adalah Pengerusi pemulihan demokrasi dan mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Friday, June 24, 2011

Bantah Pencerobohan Ruang Udara Negeri Johor

KENYATAAN MEDIA DPPN JOHOR
24 Jun 2011
Bantah Pencerobohan Ruang Udara Negeri Johor

Kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa terdapat 2,508 pencerobohan pesawat Tentera Udara Singapura sejak tahun 2008. Pihak Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah membuat cerapan terhadap pesawat negara jiran yang mencurigakan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan isu ini secara bertulis di Parlimen. Pada tahun 2008 terdapat 985 pencerobohan dikesan, 1,286 pencerobohan tahun 2009, 218 pencerobohan tahun 2010 dan sehingga Mei 2011 sudah 19 pencerobohan telah dikesan.

Pada bulan Mac 2006 pesawat tanpa pemandu (UAV) dipercayai milik tentera udara Singapura telah menceroboh ruang udara Johor di Gelang Patah. UAV Singapura telah menggunakan teknologi pengintipan Israil dan teknologi ini juga telah digunakan untuk memantau pergerakan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Rakyat Malaysia khususnya Johor sangat curiga terhadap pengunaan UAV ini.

Sebelum ini Malaysia dan Singapura pernah mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara bagi membenarkan jet pejuang tentera udara Singapura yang berpengkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan. Malangnya terdapat jet pejuang Singapura telah melepasi ruang yang dibenarkan. Akhirnya perjanjian ini dibatalkan pada 18 September 1998. Perjanjian semula hampir dimetrai pada tahun 2004 tetapi mendapat bantahan rakyat Malaysia. Sehingga kini tiada sebarang perjanjian yang membenarkan ruang udara Johor digunakan oleh pihak Singapura.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sangat kesal terhadap pencerobohan ruang udara Negeri Johor dan beranggapan bahawa Singapura seolah-olah tidak menghormati Malaysia sebagai negara berdaulat. Sebagai negara berjiran dan rakyat kedua-dua negara sering berulang-alik maka pihak Kerajaan Singapura wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah justifikasi pencerobohan ini berlaku. Kerajaan Malaysia juga harus bertegas dan memberi tempoh waktu tertentu untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Kerajaan Negeri Johor pula hendaklah lebih proaktif mendesak kerajaan Singapura meghentikan pencerobohan dengan segera. Sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang sedang bersidang sekarang seharusnya diambil kesempatan untuk mengemukakan usul tergempar mengutuk pencerobohan ruang udara Johor dan mendesak dihentikan pencerobohan serta merta. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili rakyat Negeri Johor mahukan rantau ini bebas daripada sebarang persengketaan. Kita mahu hidup aman, makmur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.


Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor

Wednesday, June 15, 2011

PENIAGA KUALA LUMPUR UNTUNG BESAR SEMASA HIMPUNAN BERSIH 2

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi. Beliau menyifatkan himpunan ini adalah ancaman kepada ekonomi negara khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing.

Perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman.

Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300 ribu orang. Mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang. Dalam masa 3 jam sahaja aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2 adalah RM30 juta. Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur. Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda. Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini.

Walaubagaimana pun semua pihak hendaklah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2, PERKASA, PERKIDA, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan. Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara. Di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara.

Saya penuh yakin masyarakat negara ini khususnya anak muda sudah jauh terbuka minda mereka terhadap himpunan aman. Masyarakat sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah suatu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia. Pelancong-pelancong yang hadir akan berpuas hati dengan keharmonian yang berlaku. Seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Thaipusam di Batu Caves. Pihak polis bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti tersebut. Jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman ini maka insya Allah tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor

Tuesday, June 14, 2011

KENYATAAN PERKASA BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli Parlimen Pasir Mas bahawa beliau akan mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk berarak pada hari yang sama bagi menyekat kemaraan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 adalah membuktikan dengan jelas bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang mahu kekacauan berlaku dalam negara kita. Malah kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara. Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.

Sebenarnya Jawatankuasa Bersih 2 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini. Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Dalam Himpunan Bersih 2 suatu memorandum akan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10. Adapun perkara 27 Akta polis(akta 344) mengenai kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diberi kuasa kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah. Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak PERKASA dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza. Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara. Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak.

Himpunan aman tanpa senjata adalah keperluan kepada demokrasi yang adil. Ratusan ribu rakyat tidak akan menghadiri Himpunan Bersih 2 jika mereka tidak ada tujuan yang khusus untuk mendapat satu pilihanraya yang bersih dan adil. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu. Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman?


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor

Wednesday, June 8, 2011

Tahukah Anda bahawa Kerajaan 1Malaysia sedut 6% dari setiap pembelian kad prepaid handphone anda

Cukai 6 % Telefon Prabayar : Mohon Penjelasan Syarikat Telekomunikasi

http://www.freewebs.com/mohdstore/ART1/prepaidbm.jpg
Terdapat 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia iaitu Digi, Celcom dan Maxis. Pada tahun 2006 terdapat 17.8 juta mendaftar sebagai pengguna talian prabayar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) mendapati rakyat Malaysia membelanjakan RM17 juta sehari untuk penggunaan SMS(Sistem Pesanan Ringkas). Pada tahun 2004 terdapat 9.5 bilion SMS telah dihantar oleh rakyat Malaysia. Secara puratanya pengguna telefon menghantar 4 SMS setiap hari.

Bermula Januari 2011 pihak kerajaan telah menaikkan cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6%. Cukai perkhidmatan pengguna telefon prabayar juga tidak terkecuali. Selama ini cukai 5% telah diserap oleh syarikat telekomunikasi. Memandangkan beban yang terlalu besar ditanggung oleh pihak syarikat telekomunikasi maka terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak lagi menyerap cukai tersebut mulai Julai 2011. Ini bermaksud bahawa cukai ini akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili anak-anak muda Malaysia yang majoritinya pengguna telefon prabayar memohon penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi mengenai kebenaran dakwaan tersebut. Penjelasan ini adalah penting untuk maklumat pengguna kerana merekalah yang menerima kesan terhadap polisi ini.

Jika benar dakwaan tersebut maka anak-anak muda Malaysia merasa terbeban. Jika mereka membeli kad prabayar sebanyak RM10 maka mereka hanya memperolehi RM9.40. Baki RM0.60 diserahkan kepada kerajaan. Sebahagian besar anak muda Malaysia adalah pelajar sekolah, pelajar universiti dan tiada pekerjaan yang tetap. Mereka adalah pengguna aktif telefon prabayar. Berikutan kenaikan harga barang keperluan harian maka anak-anak muda Malaysia cukup terbeban dengan bayaran cukai ini.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
019-7285174

Tuesday, June 7, 2011

Kerajaan Selangor Cari Nahas dengan idea menggadaikan hak-hak bumiputera.

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Rabu 08 Jun 2011
Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat ‘self regulatory’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :
1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.
Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.


Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
019-7285174