Showing posts with label KDN. Show all posts
Showing posts with label KDN. Show all posts

Saturday, December 22, 2012

Buku Karton NEGARAKU pulak...kompom KDN dok tidoq tak lena sekarang nie...!!

Bila agaknya buku 'NEGARAKU' yang dilancar Hishamuddin Rais ini akan disebu KDN?


Dulu.. oleh kerana satu laporan polis telah dibuat berhubung penerbitan buku CARTOON -O-PHOBIA pejabat Zunar telah diserbu.

Pejabat tersebut yang terletak di Brickfields juga menempatkan Kafe Kartun telah diserbu oleh sepuluh anggota Polis daripada balai polis Brickfields bersama anggota KDN..

Berapa hari lagi agaknya Koleksi Kartun Satira Rakyat 'NEGARAKU' ini pula akan diserbu oleh pihak berkuasa yang ditunggangi UMNO?

Pelancaran buku Negaraku ini telah diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur &Selangor (KLSCAH) pada hari ini (Sabtu), 22 Disember jam 9.00 malam oleh aktivis rakyat Hishamuddin Rais.

BUKU KARTUN 'NEGARAKU' SARAT KRITIKAN TERHADAP PEMERINTAH

Industri kartun dan komik tanahair bergenre satira politik bertambah meriah apabila muncul sebuah lagi buku kartun bertajuk 'Negaraku' karya kartunis Ronasina.

Dengan bertemakan 'koleksi kartun satira rakyat', buku hasil karya bekas editor majalah Gedung Kartun terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd (telah diharamkan) ini mampu mencuit hati dengan lukisan dan tulisan yang sinis, pedas dan berani.

Isu yang digarap adalah isu nasional seperti kemiskinan, rasuah, penyelewengan kuasa, tangkapan tanpa bicara, pembunuhan kejam terhadap mangsa tahanan serta kerenah lucu ahli politik tanahair khususnya dari pihak parti pemerintah.

"Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh-kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Seniman dan karyawan punya peranan masing-masing untuk menyedarkan rakyat terhadap apa yang berlaku sekarang. Buku Negaraku ini adalah antara koleksi kartun dan tulisan humor saya untuk memberi peluang rakyat menilai seterusnya berfikir dengan waras akan kebenarannya." ujar Ronasina yang juga pernah melukis dan menulis di akhbar portal online Merdekareview.com.

Kulit muka hadapan dan belakang buku ini dihiasi dengan lukisan kartun perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka dengan dihadiri oleh rakyat Malaysia berbagai lapisan bangsa.

Setebal 96 muka surat, buku ini juga turut memuatkan cerpen sempena Bersih 2.0 dahulu bertajuk 'Hikayat Penyakit Kuning' dan 'Kak Ijat Kampung Lembah' yang menceritakan seorang wanita berasa sedih apabila penduduk kampung sering mentertawakan dirinya yang mempunyai hobi pelik bermain dengan lembu-lembu ternakannya.

Menurut kartunis Ronasina lagi, "Sedikit perbezaan berbanding buku kartun politik pengkarya lain, saya turut juga melukis drama empat muka surat bertajuk 'Suatu Hari di Lebuhraya' mengisahkan tiga lelaki upahan sedang menunggu ketibaan bas Jelajah Merdeka Rakyat untuk dibalingkan batu, cat merah dan kayu.

Walaupun ia sebuah cerita rekaan tetapi isu yang diselitkan amat kita ketahui dan tidak dapat disangkal kebenarannya. Selain itu, drama lima muka surat Bomoh Puaka juga adalah kisah sinis tentang pemimpin yang gemar berurusan dengan bomoh demi mengekalkan kuasa."
Artis Korea, Wuyoung yg menyanyikan sebuah lagu melayu

Kartunis Ronasina, 39 tahun yang juga aktif dengan persembahan pentas seperti membaca sajak dan mengacara majlis ini turut juga mencuit pembaca dengan lakaran yang diambil dari babak filem-filem P.Ramlee dan diubah mengikut senario politik semasa seperti adegan di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok di mana ketua penyamun berbasikal menuju gua yang penuh harta karun diikuti penyamun-penyamun yang lain.

Wajah ketua penyamun dan penyamun-penyamun itu diubah kepada wajah karikatur pemimpin negara sedang mengendong harta rompakan.

Selain itu ada juga lakaran trio Seniman Bujang Lapok berbasikal sambil menyanyi dengan wajah yang diubah kepada ahli politik tanahair, babak di dalam filem Pendekar Bujang Lapok dan lain-lain lagi.

Ada juga lukisan aktres Marilyn Monroe, potret Monalisa, patung Statue Of Liberty dan lain-lain yang berimejkan suasana politik Malaysia.

Pendek kata, buku koleksi kartun Negaraku ini mempunyai keistimewaannya tersendiri yang sesuai dimiliki oleh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu dan berfikiran positif.

Buku terbitan Anak Kunci Production yang berharga RM25.00 ini boleh dipesan melalui http://tokobuku.fotopages.com/, 
atau fanpage  http://www.facebook.com/kartunisronasina?fref=ts

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2012/12/buku-yang-dilancarkan-ini-pasti-menjadi.html
 

Monday, October 1, 2012

Hishammudin kena sound dengan Tok Hakim dan siap kena denda lagi..!!!

Mahkamah: Mkini sepatutnya dapat permit penerbitan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) hari ini membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tidak memberikan permit penerbitan kepada Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan "ia tidak wajar dan tidak rasional" dan keputusan Menteri Dalam Negeri tersebut sebagai salah arahan kerana ia melebihi had bidangkuasanya.

"Keputusan menjejaskan hak plaintif kepada hak bagi kebebasan bersuara yang juga termasuk hak untuk permit, dan ia adalah kebebasan asas yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan certiorari (membatalkan) keputusan responden (KDN) dan pemohon perlu mengemukakan suratnya kepada kementerian." 

Hakim Abang Iskandar berkata kebebasan bersuara (melalui penerbitan) adalah hak semula jadi dan termaktub di dalam Perkara 10 perlembagaan persekutuan.
Beliau juga mengakui hakikat bahawa portal tersebut telah memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa, dan ini tidak seharusnya menghalang pihak berkuasa daripada tidak memberinya permit.

Hakim Abang Iskandar juga mengarahkan KDN membayar RM5,000 kos.

Peguam K Shanmuga dan Edmund Bon mewakili Mkini Dotcom.

Tuesday, September 18, 2012

Menteri tidak wajar paksa polis jadi BN

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, budaya politik kebencian akan terus disemai pihak pembangkang dengan tujuan mencetuskan perasaan benci terhadap kerajaan. “Makin dekat PRU13, lebih banyak budaya kebencian, kemarahan, pecah belah, menyerang peribadi dan fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dibawa mereka untuk menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Tujuan Naib Presiden UMNO itu mengeluarkan kenyataan tersebut ialah supaya seluruh rakyat Malaysia marah dan bencikan pembangkang dan Pakatan Rakyat. Jadi siapa yang mencetuskan budaya politik kebencian sebenarnya?

Dalam dunia politik hari ini, jika kita melakukan perkara yang sama kepada pihak lawan maka mempertikaikan pula perbuatan pihak lawan akan menyerlahkan sifat hipokrit diri sendiri. Usah menyebut bahawa Pakatan mencetuskan politik kebencian kalau semua media-media propaganda yang menjadi perkakas BN saban hari menyiarkan berita buruk, fitnah dan putarbelit terhadap Pakatan dan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan.


Usah juga menyebut bahawa Pakatan menyerang peribadi kalau TV3 dan Utusan Malaysia setiap hari menjadikan serangan terhadap peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sajian wajib. Sekurang-kurangnya sehari satu fitnah baru terhadap Anwar menjadikan jumlah setahun tidak kurang 365 fitnah yang berlainan dikenakan terhadap Ketua Pembangkang itu.

Usah menyebut perihal kononnya BN difitnah kalau di pihak mereka memfitnah Pakatan sudah menjadi ‘makanan ruji’ sehingga busuk bumi Malaysia dengan fitnah jahat BN. Kononnya jika Pakatan menang maka raja-raja Melayu dihapuskan, Islam bukan lagi agama rasmi, hak istimewa Melayu dimansuhkan, LGBT dihalalkan, DAP jadi Perdana Menteri, bendera Jalur Gemilang akan ditukar, hubungan diplomatik dengan Israel akan dijalin; bukankah itu antara rentetan fitnah yang diulang-ulang tanpa henti?

Usah menyebut bahawa pengawal Ketua Pembangkang ganas kerana mengacu pistol, walhal penyokong UMNO yang menyekat laluan bas, membaling cat dan melakukan provokasi dengan pelbagai kata-kata kesat, makian dan cacian.

Atas sifatnya sebagai Menteri Dalam Negeri beliau mengecam Pakatan kerana tindakan yang dibuat boleh menjejas ‘keselamatan negara’. Bagaimana pula dengan tindakan pihak keselamatan membiarkan samseng jalan penyokong BN menyekat laluan, memecahkan cermin kenderaan, menyerang ibu pejabat parti pihak lawan, menyerang masjid, membiarkan penyokong mereka membakar gambar pemimpin Pakatan, memijak dan kencing – tanpa sebarang tindakan oleh pihak keselamatan. Dalam waktu yang sama cepat pulak bertindak, sepantas kilat, jika sasaran serangan itu ialah pihak BN. Tidakkah tindakan yang dilihat sebagai berat sebelah oleh pihak polis ini boleh mencetuskan kemarahan rakyat yang mendorong kepada ancaman keselamatan dalam negara?

Inilah bahananya jika pemimpin politik yang naik memimpin pentadbiran kerajaan tidak dapat membezakan status antara kerajaan dan parti politik pemerintah, antara rakyat dan penyokong pembangkang. Maka wujudlah dwi piawaian peraturan atau undang-undang; segalanya haram untuk pembangkang dan segalanya halal untuk penyokong BN selaku parti yang memerintah.

Cabaran terdekat untuk Hishammuddin selaku Menteri Dalam Negeri itu ialah tindakan beberapa NGO dan Pemuda PAS di seluruh negara tampil membuat laporan polis mendesak tindakan juga diambil terhadap penghina gambar pemimpin Pakatan, seperti mana pantasnya mereka bertindak terhadap penghina gambar Perdana Menteri.

Inilah masanya untuk kita menilai kewibawaan pihak polis. Adakah mereka akan menyiarkan foto samseng-samseng jalanan itu dalam media massa untuk diburu oleh seluruh rakyat Malaysia seperti yang mereka lakukan tempohari? Adakah semua samseng jalanan UMNO yang terbabit itu akan diheret di hadapan media dengan sedu sedan akan memohon maaf atas kebiadapan mereka? Rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan drama ini, walaupun harapan untuk menyaksikannya sangat tipis sekali.

Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara wajar meletakkan pasukan polis di tempat yang neutral, tidak bertindak (atau berdiam diri) dan berpihak berasaskan pegangan politik parti yang memerintah. Jika menteri yang berkaitan dengan perdagangan, wanita atau urusan pertanian yang berat sebelah dalam menguruskan kementerian ia masih boleh dianggap ‘biasa’ walaupun tidak demokratik. Namun jika urusan berkaitan keselamatan ditadbir berasaskan piawaian politik kepartian, negara boleh huru hara.

Mahkamah baru saja memutuskan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 adalah haram sebagai tidak betul. Setelah kezaliman oleh kerajaan BN terhadap rakyat berlalu dalam suatu tempoh masa sebelum, semasa dan selepas Bersih 2.0, baru kini mahkamah memutuskan bahawa menteri itu tak betul, maka malang sungguh nasib rakyat yang menjadi mangsa kezaliman itu.

Kini pelbagai drama politik keganasan yang dicetuskan UMNO dan konco-konco mereka berlaku dalam negara. Kasihan nasib polis yang dilihat tidak berupaya menyerlahkan sikap neutral mereka di kalangan rakyat untuk bertindak adil kepada semua pihak. Ia berlaku gara-gara menteri yang menguruskan mereka lebih mementingkan keselamatan politik BN dari keselamatan negara.

Thursday, June 21, 2012

Mengapa Kementerian TARIK BALIK Data Jenayah Selangor?


Setelah ratusan kecaman yang dihambur blogger pencacai Umno-APCO tentang kununnya peningkatan kadar jenayah semalam, rupanya hari ini terkantoi juga akhirnya!


Bukannya oleh pemimpin Pakatan Rakyat tetapi kementerian itu sendiri!


Saling tak tumpah dengan Kelantan yang sering diserang dengan kununnya isu bekalan air dan kadar jenayah antara tertinggi di negara ini, Selangor juga terkena tempiasnya sejak tsunami 2008 melanda.


Apakah pegawai yang bertugas di Kementerian Dalam Negeri menyiapkan kertas jawapan bagi soalan di Parlimen ini adalah dari kalangan mereka yang bodoh sebagaimana ahli Umno-APCO yang tinggal dalam parti reput itu bak kata Mahathir?

Atau ia satu lagi kerja flip-flop menterinya Hishamuddin Hussein yang mengatakan kadar jenayah di seluruh negara turun tetapi tidak di Selangor??


Alasan kebudak-budakkan ini tidak sepatutnya diterima memandangkan Parlimen adalah tempat tertinggi pembuat dasar dan penggubal undang-undang berbahas sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan.


Jika datanya salah taip apakah ia tidak sekaligus juga menjatuhkan imej negara??


Kementerian hari ini menarik balik jawapan bertulis di Parlimen kepada Tony Pua (DAP- Petaling Jaya Utara) berhubung kadar jenayah Selangor dengan alasan terdapat kesilapan taip.


Pua semalam mengadakan sidang media menyatakan perasaan tidak puas hati akibat peningkatan kadar jenayah, berdasarkan jawapan yang diterimanya semalam.


Beliau berkata, data kadar jenayah yang dibekalkan tidak mencukupi dan berlaku peningkatan walaupun pencegahan jenayah dijadikan salah satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bawah Program Tansformasi Kerajaan (GTP) walaupun wujud banyak kawasan kediaman berpagar.


Bagaimanapun, Ketua Setiausaha KDN Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pembetulan kenyataannya semalam sudah dihantar ke Parlimen, yang menunjukkan kejatuhan indeks jenayah di Selangor dan seluruh negara.


"Justeru jawapan yang berdasarkan kepada data terdahulu seperti mana yang diteri oleh YB Petaling Jaya Utara sebelum ini adalah terbatal dan tidak terpakai.


"Ia juga tiada kaitan dengan dakwaan YB Petaling Jaya Utara yang menuduh kegagalan Program Tranformasi Kerajaan," katanya sambil memberitahu surat pembetulan dihantar pada 18 Jun.


Bagaimanapun, tiada permohonan maaf dari kementerian atas kesilapan salah taip tersebut sehingga persidangan ditangguhkan hari ini.JALAN PULANG
 
http://idahsalam.blogspot.com/2012/06/mengapa-kementerian-tarik-balik-data.html 

Isu Jenayah di Selangor - Hati Busuk ! Sanggup salah taip demi nak kondem negeri PR..!!!

Kasar Jenayah Selangor
UBN Terludah Batang Hidung Sendiri
 

Kesilapan mengenai indeks jenayah di Selangor yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin kerana kelemahan dan kesilapan manusia. Ia juga mungkin disebabkan niat busuk hati manusia maka kesilapan yang ketara itu berlaku dan Tuhan membayar secara cash atas kejahatan itu.

Mungkin juga kerana terlalu ghairah untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menyebabkan kerja jahat itu terpaling ke muka sendiri. Padan muka.

Itu yang dapat dirumuskan mengenai kesilapan KDN (kononnya kesilapan taip) memberi indeks jenayah di negeri Selangor seperti mana dinyatakan dalam jawaban bertulis dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Phua. Malunya KDN

Jawaban itu menghuraikan indeks jenayah di Selangor pada 2006 sebanyak 51,393 kes; tahun 2007 sebanyak 58,592; tahun 2008 sebanyak 57,752; tahun 2008 sebanyak 54,994; tahun 2010 sebanyak 49,469 dan 2011 sebanyak 44,302 kes.

Jelas indeks itu menunjukkan pertambahan kadar jenayah Selangor merungsingkan sedangkan hakikatnya ia menurun 19.4 berbnding 27.5 purata di seluruh negara.

Tony tidak puas hati dengan penjelasan itu dan beranggapan NKRA dan GTP yang diperkenalkan kerajaan tidak berhasil. Secara tidak langsung angka-angka berhubung jenayah itu menunjukkan tindakan pentadbiran Najib yang seronok dan bangga akan menghapuskan jenayah gagal.

Menyedari hakikat itu yang berasaskan kepada indeks yang diberikan itu menyebabkan KDN terpaksa membetul balik indeks berkenaan dengan alasan ianya tersalah taip. Pelik dan 'gomba' sungguh macam mana ia tersalah taip sedang dokumen itu penting dan dikemukakan kepada parlimen.

Apakah tidak ada penyemakan di kalangan pegawai di KDN atau semuanya takut menggeletar kepada menterinya. Janganlah sampai jenayah pun hendak dipolitikan. Sudah tentu kalau tidak ada kesedaran dan kepekaan Tony Phua orang Umno khasnya yang otak kemetot akan beranggapan jenayah di Selangor tinggi dan mereka akan jadi modal dalam pilihan raya.

Kalau saya jadi Hishamuddin Hussein saya akan letak jawatan kalau pun tidak memohon maaf bagi pihak pegawai KDN yang sudah tentu atas arahnnya. [wm.kl.11:47 am 21/06/12]
 
Mohd Sayuti Omar

Wednesday, May 23, 2012

BERSIH 3.0 : KDN mohong hangit..!!!

oleh AnakKedah007

Ini satu hal..itu la lain kali jika nak bercakap buka zip tengok bulu dada ada atau tidak jika lincin macam bapok baik dok diam2.... nah sekarang siap yang mula bohong....


 

kenapa tak saman RM1.8juta seperti yang dikatakan oleh KDN tempohari... pasai pa pulak tetiba hari nie pie jadi RM122juta opssss RM122ribu ringgit sahaja nampak sangat cakap pakai emosional dan nak tuduh pihak satu lagi sahaja.....

Sekarang nie...siapa lagi besar KDN ka KERAJAAN MALAYSIA... yang KDN lebih sudu dari kuah apasal.... nampak snagat nak bodek sampai tertunggin..... sudah-sudah laa tuuu rakyat sekarang dah dapat menilai dah setiap kelaku yang dilakukan tuuuu....

Tak payah nak tunjuk kata sesuatu hal tu nampak teruk sangat nanti bila dan kantoi mcm nie siapa yg nak malunya...hangpa laa jugak....!!!

http://anakkedah007.blogspot.com

Monday, October 17, 2011

Menteri Dalam Negeri Takut Menghadapi Kenyataan


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah mengumumkan akan mendedahkan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing dan kad pengenalan palsu kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi. Jawatankuasa Terpilih Parlimen ini ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini bukannya memperbaiki sistem permohonan kewarganegaraan atau memperbaiki perjalanan Jabatan Pendaftaran Negara. Saya berpendapat tiada keperluan Menteri Dalam Negeri untuk membentangkan tuduhan manipulasi kad pengenalan dalam jawatankuasa tersebut. Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya bertugas untuk menyiasat ruang manipulasi dalam pilihanraya bukannya ruang manipulasi kad pengenalan di negara ini. Mungkin sebab teknikal ini Menteri Dalam Negeri akan terselamat daripada disoalsiasat oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Sepatutnya Menteri Dalam Negeri menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung dengan keraguan-keraguan yang Pemuda PAS bangkitkan seperti berikut :

1. Bagaimana terdapat lebih 5 Ribu identiti yang mempunyai nama yang sama dan nombor kad Pengenalan yang 83 % sama seperti dibawah :

AZINAH BT MOHD FAZIN (800820-02-5150)

AZINAH BT MOHD FAZIN (800829-02-5150)

2. Bagaimana Mismah yang masuk ke negara kita tahun 1982, hanya perlukan masa 6 bulan sahaja boleh mendapat status penduduk tetap sedangkan syarat Jabatan Imigresen memberi syarat 5 tahun untuk membolehkan Mismah mendapat status penduduk tetap.

3. Kenapa rekod penduduk tetap seperti Mismah tidak dikemaskini lebih 7 bulan dalam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara?

4. Bagaimana satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu yang sama. Seolah-olah kad pengenalan lama ini melahirkan dua kad pengenalan baru. Contohnya :

Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama : A2278510)(No Kad Pengenalan baru : 720616025472)

Mariam Binti Su (No Kad Pengenalan lama : A2278510)(No Kad Pengenalan baru : 720610025738)

5. Kenapa 240 orang warga asing diberi kursus keusahawanan di Istana Dugang Country Resort hanya 5 jam sahaja? Bukankah warga asing ini tidak dibenarkan berniaga, kenapa perlu diberi kursus? Kenapa Hishmuddin tidak tahu aktiviti 240 orang warga asing ini lakukan, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang tahu bahawa mereka terlibat dengan kursus keusahawanan? Apakah Hishamuddin sudah tidak percaya kepada pegawainya sendiri? Kenapa Hishamuddin mengangap isu ini sebagai isu kecil sedangkan ia melibatkan pengkhianatan kepada negara.

6. Kenapa ada jumlah yang terlalu ramai iaitu 170,818 pengundi yang mempunyai kad pengenalan berkod negara “71” dimana kod tersebut tidak ditafsirkan dalam Jabatan Pendaftaran Negara.

7. Kenapa ada begitu ramai warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara selepas tahun 2008 hingga 2011 iaitu 27, 293 orang sedangkan rakyat kita sudah terseksa dengan pesaingan sektor pekerjaan dan perniagaan kecil di negara ini.

Saya merasakan penjelasan Menteri Dalam Negeri terhadap ruang manipulasi dalam pemberian kad pengenalan tidak sesuai dijelaskan dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya kerana itu bukan saluran yang sebenar. Saluran yang sebenar adalah menjawab setiap soalan yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS Malaysia. Malangnya Menteri Dalam Negeri seolah-oleh takut untuk menjawab setiap persoalan kerana beliau tahu Pemuda PAS Malaysia ada peluru yang banyak untuk menjawab balik setiap jawapan yang diberikan. Atau pun Menteri Dalam Negeri takut terperangkap dalam agenda “kursus keusahawanan”. Jalan mudah maka Hishmuddin menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan pilihanraya walaupun membentangkan pada saluran yang salah. Itulah lambang sebuah kerajaan yang lemah.


SUHAIZAN BIN KAYAT
PENGERUSI PEMULIHANDEMOKRASI & MOBILISASI
PEMUDA PAS MALAYSIA

Thursday, October 13, 2011

Apa hebatnya Warga Asing ini Sampai dapat jadi Warganegara Malaysia - 5 Soalan Untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN)



Rakyat Malaysia telah dimaklumkan oleh Parlimen Malaysia bahawa terdapat 27,293 warga asing telah diterima menjadi warganegara sejak tahun 2008 hingga 2011. Suatu jumlah yang sangat besar bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dalam keadaan rakyat negara ini berada dalam kesempitan hidup mereka terpaksa bersaing denga warga asing yang seolah-olah menjadi anak emas kerajaan kerana begitu mudah menjadi warga negara ini. Pemuda PAS tetap curiga terhadap pemberian hak warganegara ini. Kami mengesaki bahawa tujuan pemberian hak warganegara ini ada kaitan dengan terdesaknya Barisan Nasional(BN) untuk terus berkuasa selepas pilianraya ke-13.

Pemuda PAS melalui Lujnah Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi telah membuat intipan satu operasi pemberian kad pengenalan kepada warga asing bermula petang selasa 11 Oktober 2011. Operasi ini melibatkan tujuh buah bas yang penuh dengan warga asing daripada negeri Johor menuju ke Putrajaya. Mereka memulakan perjalanan pada jam 10 malam daripada beberapa lokasi di Johor Baharu. Pada jam 1 tengah malam kumpulan ini telah berhenti di hentian Rehat & Rawat (R &R) Pagoh. Daripada maklumat warga asing ini tujuan mereka ke Putrajaya adalah untuk mendapatkan kad pengenalan bagi mengesahkan mereka menjadi warganegara.

Selepas berehat mereka terus bergerak ke Masjid Putrajaya. Mereka sampai di sana sekitar jam 6 pagi. Solat di Masjid Putrajaya. Selepas solat seolah-olah ada kawalan daripada anggota polis tidak beruniform (preman) yang mengawal pergerakkan mereka. Beberapa buah bas telah diarah masuk ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan dipandu oleh seorang Dato yang tidak dikenali.

Saya telah keluarkan maklumat operasi ini dalam laman Facebook sekitar jam 7 pagi. Secara tiba-tiba arahan dibuat kepada pemandu-pemandu bas agar membawa penumpangnya ke lokasi yang tidak diketahui. Perjanjian dengan pemandu bas hanyalah ke Putrajaya tetapi di saat-saat akhir telah ditukar ke lokasi lain. Akhirnya mereka sampai di Istana Dugang Country Resort sekitar jam 8 pagi. Semua warga asing telah diturunkan di kawasan tersebut.

Berdasarkan kepada operasi ini, Pemuda PAS mahu pihak Kementerian Dalam Negeri khususnya Dato’ Seri Hishmuddin Tun Hussin menjelaskan perkara-perkara berikut :

1. Kenapa pemberian kad pengenalan ini dibuat secara berkelompok ? Apakah istimewanya mereka sehingga kerajaan menawarkan warganegara secara berkelompok ?

2. Kenapa proses pemberian kad pengenalan dibuat di sebuah resort tidak di pejabat kerajaan? Murah sangatkah nilai kewarganegaraan kita ?

3. Kenapa proses pemberian kad pengenalan dimudahkan? Kenapa mereka tidak melalui proses yang ketat seperti ujian bertulis untuk menilai kesetiaan mereka kepada negara ?

4. Kenapa ada kawalan ketat daripada pihak polis semasa warga asing ini berada di Masjid Putrajaya dan Istana Dugang Country Resort ? Apakah istimewanya warga asing ini sehingga mereka diberi layanan istimewa sedemikian rupa?

5. Kenapa terdapat arahan yang sentiasa berubah-ubah terhadap distinasi yang hendak dituju ? Bukankah ini tanda-tanda adanya manipulasi dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing?


SUHAIZAN BIN KAIAT
PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI
PEMUDA PAS MALAYSIA.

Monday, August 8, 2011

Laa nak buat tertutup pasai apa..kami kat luaq nie pon nak tau jugak bahaya terra mana WAHABI tuu..???

Uthman nafi tolak dialog ulama Perlis



SHAH ALAM - “Saya tidak menolak untuk berdialog, tetapi saya mahu diadakan secara tertutup dengan penganjuran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Muhammad Uthman El Muhammady.



Uthman membalas kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang mengaku kecewa apabila ulama itu dikatakan menolak untuk berdialog dengan Jawatankuasa Fatwa negeri berkenaan berhubung isu fahaman Wahabi dan juga kaitan Arab Saudi dengan dakwaan penyebaran fahaman itu di negara ini.



Menurutnya, isu terbabit tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan keselamatan negara selain boleh menggugat hubungan baik antara negara.



“Dialog seperti itu perlu tertutup dan dihadiri pakar yang dipilih oleh KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.



Apa yang berlaku sebelum ini, katanya, perlu dijadikan pengajaran apabila ada individu yang hadir pada satu perbincangan anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bocorkan rahsia pembentangan isu olehnya yang dikatakan menyentuh fahaman Wahabi, keganasan dan juga percanggahan dengan amalan Islam di negara ini.



Katanya ini berlaku apabila apa yang dikatakannya pada majlis tertutup itu tersalah tafsir maksud kenyataannya.



Uthman berkata, KDN dan Jakim perlu menangani soal kebocoran maklumat dalam majlis anjuran MKN sehingga boleh menjejaskan hubungan dengan negara lain.



“Apa yang saya katakan bukan untuk meraih publisiti tetapi sebagai maklumat kepada kerajaan untuk melihat masalah itu. Tidak timbul isu ada negara yang bahaya kepada Malaysia dan ibadah haji perlu ditangguhkan seperti yang dilaporkan. Saya sendiri baru sahaja menunaikan haji tahun lalu,” katanya.

Wednesday, July 6, 2011

Hisham: BERSIH masih haram walaupun telah mengadap Yang Di-Pertuan Agong

Walaupun telah mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, BERSIH 2.0 masih sebuah pertubuhan haram.

NONE"Ia masih lagi diharamkan. Tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Hanya bila berjumpa dengan Tuanku tidak bermaksud ia halal," katanya.

Beliau juga berkata, pengharaman gabungan NGO itu sebelum ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk atas nasihat peguam negara.Bercakap pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini, Hishammuddin bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada BERSIH 2.0 akan diberikan permit untuk perhimpunan di stadium Sabtu ini.

Walaupun ditanya berulang kali, beliau tetap menegaskan bahawa KDN dan pihak polis konsisten dalam menegakkan undang-undang negara.

Katanya, sebelum keputusan dapat dibuat, BERSIH hendaklah memohon permit terlebih dahulu dan barulah perkara lain dapat dibincangkan.

azlan"IGP (ketua polis negara) sudah jelaskan. Semua urusan mesti ikut undang-undang. Seksyen 27 - (Akta Polis) sebut mesti ada permit.

"Biar mereka pohon. Polis akan pertimbangkan permohonan itu," katanya ketika ditanya sama ada permit polis tidak diperlukan kali ini.

Hishammuddin juga berharap pihak BERSIH tidak terus meletakkan syarat lain kepada pihak kerajaan.

Dalam masa yang sama, tambahnya, penguatkuasaan, termasuk tangkapan pencegahan akan berjalan seperti biasa.

"Saya percaya begitu. Ia masih haram dan masih jatuh (tertakluk) bawah undang-undang negara. Kita konsisten," katanya ketika ditanya sama ada tangkapan akan diteruskan jika perlu.

Beliau juga mengambil kesempatan mengingatkan supaya peserta perhimpunan pada 9 Julai ini tidak mengambil kesempatan untuk berarak.

"Kalau mereka tetap berarak, ini dikira derhaka kepada raja," katanya sambil menegaskan pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

komen banyak kat sini : http://www.malaysiakini.com/news/169096

Tuesday, July 5, 2011

PROGRAM 6P KDN nie apa pandangan anda?

PELAKSANAAN PROGRAM PENDAFTARAN PEKERJA ASING DAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PROGRAM 6P) DI SEMENANJUNG BAGI WARGANEGARA BANGLADESH

1. Sebagai susulan daripada perjumpaan yang telah diadakan di antara YB Menteri Dalam Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bertempat di Kementerian Dalam Negeri pada 29 Jun 2011, perbincangan di peringkat pegawai di antara kedua-dua pihak telah diadakan untuk meneliti mekanisme pelaksanaan Program Pendaftaran PATI khusus untuk warganegara Bangladesh.

2. Antara persetujuan yang telah dicapai adalah untuk melaksanakan Program Pendaftaran khusus yang akan dikendalikan bersama di antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di lokasi-lokasi tertentu yang menjadi tumpuan penempatan dan premis kerja warganegara Bangladesh. Pihak Pesuruhjaya Tinggi akan ‘turun padang’ bagi membuat tinjauan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang berkaitan dan akan diselaraskan dengan pihak KDN dan JIM. Program ini akan bermula dalam masa terdekat sebaik sahaja lokasi-lokasi berkenaan dikenal pasti.

3. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Penyelesaian Menyeluruh PATI atau Program 6P yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan. Gerak kerja bersama di antara JIM dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi ini dilaksanakan mengambil kira kes-kes dan laporan warganegara Bangladesh yang menjadi mangsa eksploitasi sindiket tertentu. Pada masa yang sama, sebagai golongan warganegara kedua terbanyak dalam senarai pekerja asing didapati ramai di kalangan mereka yang kini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Sehubungan itu, inisiatif bersama ini akan menyelaras pengeluaran dan urusan dokumentasi bagi PATI yang dibenarkan bekerja kelak di bawah Program Pemutihan.

4. Pada masa sama, KDN juga sedang dalam proses berunding dengan wakil kedutaan beberapa negara lain, antaranya Indonesia, Filipina, Myanmar, India dan Pakistan, bagi berusaha mencapai kata putus serupa seperti persetujuan dengan pihak Bangladesh.

5. KDN yakin bahawa inisiatif yang digerakkan Kerajaan Malaysia menerusi Program 6P ini akan dapat dilaksana serta diurus secara lebih berkesan dengan adanya bantuan daripada wakil negara PATI masing-masing.

6. Selain membantu dalam aspek pengurusan pendaftaran warga masing-masing, pembabitan pihak kedutaan ini juga sangat penting apabila masuk peringkat saringan untuk pemutihan dan pengampunan.

7. Ini berikutan keperluan dokumentasi yang banyak memerlukan campur tangan pihak kedutaan negara PATI, antaranya penyediaan dan pengesahan pelbagai dokumen, khususnya membabitkan penyediaan passport bagi PATI yang perlu dihantar pulang.

DATO’ ALWI HJ IBRAHIM
Timbalan Ketua Setiausaha (N)
Sektor Dasar Imigresen dan Pendaftaran Negara
Kementerian Dalam Negeri
4 Julai 2011