Showing posts with label E-Idaman. Show all posts
Showing posts with label E-Idaman. Show all posts

Tuesday, August 28, 2012

Menjelang dua tahun perkhidmatan E-Idaman di Kedah

ALOR SETAR -  Pihak Environment Idaman Sdn Bhd  telah menandatangani Perjanjian Konsesi selama 22 tahun bersama dengan Kerajaan Persekutuan pada 1 September 2011.

Environment Idaman Sdn Bhd mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah dan Perlis sejak tahun 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn Bhd, Encik Mohd Saiful Anuar Zainal berkata, dengan termeterainya perjanjian konsesi itu, perjanjian Interim bersama PBT yang telah ditandatangani pada tahun 2009/2010 dengan sendirinya terbatal.

“Aktiviti pihak syarikat akan dikawal selia oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara (PPSPPA) yang telah ditubuhkan di bawah Akta 672,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, katanya, pihak PBT masih memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kebersihan berada pada tahap yang baik pada setiap masa.

“Pada 1 September 2012 ini, genaplah dua tahun perlaksanaan penswastaan penuh bagi negeri Kedah dan Perlis dan sepertimana yang telah dijadualkan di dalam perjanjian konsesi, bermulalah perlaksanaan KPI penuh bagi ibu negeri Kedah dan Perlis iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” jelasnya.


Beliau berkata, bagi perlaksanaan KPI penuh ini, kutipan sisa pepejal akan dilaksanakan dua kali seminggu bagi sampah domestik dan satu kali seminggu bagi sisa-sisa kebun/pukal/3R (kitar semula) berbanding tiga kali seminggu kutipan sisa domestik pada masa ini.

“Kutipan sisa domestik akan dilaksanakan dengan menggunakan tong sampah 120L yang telah diedarkan kepada semua penduduk dan bagi sampah yang boleh dikitar semula seperti tin, kertas, kaca dan barangan lain hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik dan bagi ranting-ranting pokok serta sampah pukal hendaklah dikeluarkan pada hari kutipan yang ketiga,” ujarnya.

Menurutnya, bagi aktiviti pembersihan awam pula, frekuensi potongan rumput akan dinaikkan kepada dua kali sebulan jika dibandingkan dengan sekali sebulan pada masa ini.

“Semua kenderaan kompaktor akan dilengkapi dengan bin lifter mengikut piawaian EN 1501-1 bagi mengangkat tong sampah dari rumah ke rumah, premis perniagaan dan juga tong komunal,” katanya.

Tambahnya, bin lifter ini menepati standard Negara Eropah dan mempunyai sistem keselamatan yang tinggi yang dapat mengurangkan risiko kemalangan semasa bekerja.

“Cara ini juga dapat mempercepatkan proses pembuangan sampah dari tong terus ke kompaktor dengan kadar masa anggaran 15 saat bagi satu tong. Penggunaan bin lifter ini dilihat lebih efisien dan “hygienic” jika dibandingkan dengan kaedah pungutan sekarang yang menggunakan kaedah kutipan secara manual,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Environment Idaman Sdn Bhd telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan ”Multipurpose Armroll” bagi sistem kutipan sisa pepejal, sampah pukal dan sampah kebun.
Bagi kutipan sisa pepejal dari rumah ke rumah, ujarnya, kenderaan ini menggunakan “robotic arm” yang dikawal daripada dalam kabin dan ianya sesuai bagi kawasan perumahan yang mempunyai jalan masuk yang sempit.
Berdasarkan simulasi yang dijalankan selama dua bulan, katanya, kenderaan ini mampu mengutip 600 ke 800 tong sehari dengan menggunakan seorang pemandu dan seorang pembantu.

“Saya yakin, kemampuan ini dapat ditingkatkan kepada 1000 rumah sehari sekiranya semua penduduk menggunakan tong sampah yang diedarkan di setiap rumah dan meletakkan di tempat yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Menurutnya, Environment Idaman Sdn Bhd telah mengorak langkah dengan menggunakan pemandu wanita bagi mengendalikan kenderaan ini.

Beliau menjelaskan, Environment Idaman Sdn Bhd sedang mengagihkan tong sampah percuma kepada semua penduduk di kawasan MBAS dan MPK.

“Bagi MBAS, sebanyak 68,000 tong MGB 120L perlu diedarkan manakala 20,000 tong bagi MPK. Setakat ini, sebanyak 40,000 tong telah diedarkan di MBAS dan bagi MPK, kesemua tong telah diedarkan kepada penduduk setempat,” katanya.
Tambahnya, Environment Idaman Sdn Bhd menjangkakan keseluruhan tong-tong ini dapat diedarkan sebelum 31 Ogos 2012.

“Kami berharap agar penduduk yang telah menerima tong ini dapat menggunakannya dan meletakkannya di tempat yang sesuai di luar kawasan rumah masing-masing bagi memudahkan kutipan dilaksanakan oleh syarikat dan mengelakkan sampah tidak dikutip,” katanya.

Beliau memberitahu, adalah menjadi tanggunjawab penduduk untuk menjaga dan membersihkan tong masing masing. Bagi penduduk MBAS yang belum mendapatkan tong sampah itu, pihaknya menyarankan agar mereka dapat mengambilnya sendiri di depot Environment Idaman Sdn Bhd sebelum 31 Ogos 2012 dengan membawa bersama dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, bil air atau bil eletrik.

Monday, September 19, 2011

Hangpa kena tau masalah Sampah bukan negeri jaga tapi pusat sana jaga..ada faham..??

Penswastaan pengurusan sisa pepejal menjamin mutu perkhidmatan dan pelaburan

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal pasti meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negara ini ke tahap lebih cekap dan berkesan serta mencapai piawaian peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan itu membolehkan syarikat konsesi yang dilantik berani melabur secara besar-besaran bagi mendapatkan teknologi terkini, mesin dan kelengkapan moden serta tenaga kerja yang mahir, sekaligus menyediakan perkhidmatan yang efisien.

"Melalui tempoh perjanjian selama 22 tahun ini, (sebagai contoh) mereka boleh mengambil langkah menambah bilangan jentera "compactor", yang digunakan, tenaga kerja yang terlatih, di samping menyediakan tong-tong sampah yang cukup.

Dengan itu kita harapkan syarikat konsesi menjadi lebih efisien," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Tiga Pihak antara Kerajaan Persekutuan dengan tiga syarikat konsesi sempena penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di sini hari ini.

Muhyiddin berkata peralihan tanggung jawab itu belum pernah berlaku di mana-mana negara.

Tiga syarikat konsesi itu ialah Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan zon tengah dan timur, yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan, SWM Environment Sdn Bhd bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Environment Idaman Sdn Bhd bagi menguruskan zon utara Kedah dan Perlis Muhyiddin yakin tiga negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Perak akan turut menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi.

Katanya, perjanjian baharu itu telah menamatkan episod suka duka syarikat konsesi berkenaan dalam mengharungi tempoh interim selama 14 tahun sebelum ini.

Sebelum ini, menurutnya, syarikat konsesi terbabit teragak-agak untuk melabur berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perkhidmatannya kerana tidak ada sebarang jaminan kukuh dari kerajaan.

"Perubahan ini dibuat mengambil kira pelbagai aspek yang menyeluruh, meliputi kerangka dasar, institusi, perundangan dan juga kepentingan rakyat.

Kerjaan juga turut mengambil kira kemampuan kewangan yang terhad bagi kebanyakan PBT, untuk menguruskan sisa pepejal secara lebih berkesan," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal adalah komitmen kerajaan Malaysia secara sukarela untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hujau, berdasarkan kepada "emissions intensity of GDP" sehingga 40 peratus menjelang 2020.

Dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan (RMK9), katanya kerajaan telah membelanjakan RM958.7juta bagi menguruskan sisa pepejal, namun bagi 2010 sahaja, kerajaan terpaksa membelanjakan RM303 juta, iaitu hampir 1/3 dari jumlah keseluruhan bagi RMK9.

Katanya kos pengurusan sisa pepejal terus membebankan kerajaan memandangkan kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan rakyat negara ini terus meningkat, iaitu 19,000 tan sehari bagi 2005 meningkat kepada 27,000 tan sehari sekarang.

Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih serius memandangkan kebanyakan tapak pelupusan sisa pepejal di negara ini bukan tapak pelupusan sanitari.

"Daripada 166 tapak pelupusan yang sedang beroperasi sekarang, hanya lapan tapak sahaja yang merupakan tapak pelupusan sanitari. Dengan pengambilalihan tanggung jawab ini, kerajaan persekutuan berharap ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah dapat memberi ruang meningkatkan keupayaan bagi menerokai kaedah rawatan dan pelupusan berteknologi canggih, mesra alam dan berkesan kos," katanya.

Selain itu, beliau juga menyeru semua pihak supaya terus menggandakan pelbagai aktiviti untuk menjayakan 3R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula). - Bernama

Thursday, June 16, 2011

Penduduk puji tindakan E-Idaman


PENDANG – Penduduk di Taman Setia dekat sini memuji tindakan segera yang diambil syarikat E-Idaman yang membersih dan memotong rumput di kawasan perumahan dan taman permainan di kawasan terbabit.

Pengerusi Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK) Taman Aman dan Taman Setia, Jaafar Rawan berkata, tindakan segera yang diambil pihak berkenaan begitu dipuji dan ia meredakan rasa ketidakpuasan hati penduduk sebelum ini.

Menurutnya, tindakan itu menyelesaikan masalah taman permainan yang terbiar kerana dipenuhi rumput yang membahayakan kanak-kanak di kawasan itu untuk bermain di situ.

“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih dengan tindakan segera yang diambil setelah aduan ini dilaporkan Sinar Harian.

“Saya berharap masalah seperti ini tidak akan berulang lagi dan pihak berkenaan dapat menjalankan tugas mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman, Afzainizam Ab Rahim berkata, syarikatnya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk sepertimana yang didakwa mereka sehingga menyebabkan masalah berkenaan tidak diselenggarakan.

Menurutnya, tindakan segera diambil setelah melihat laporan melalui Sinar Harian dan kemungkinan aduan yang dimaklumkan itu dilaporkan kepada Majlis Daerah Pendang (MDP) sahaja.

“Jadual kutipan sampah yang sebenar adalah tiga kali seminggu bukan enam kali seminggu sepertimana yang tercatat pada papan tanda di taman itu manakala pembersihan perparitan dilakukan setiap satu bulan sekali manakala pemotongan rumput dilakukan mencukupi tempoh 21 hari.

“Saya sedar banyak pihak yang tidak mengetahui kepada pihak mana untuk membuat aduan menyebabkan banyak aduan tidak diterima pihak syarikat,” katanya.

Monday, May 16, 2011

E-Idaman lancar dua lori baru di Kubang Pasu

JITRA, 16 Mei – Bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kutipan sampah di Daerah Kubang Pasu, Syarikat Environment Idaman (E-Idaman) melancarkan 2 buah lagi Lori Kompator dan Tricycle baru.

Ketua Pegawai Ekskutif Syarikat E-Idaman berkata, sebelum ini dalam satu-satu masa lori yang sedia ada hanya mampu membawa dua hingga tiga tan sampah sahaja, tetapi kini dengan lori baru ianya mampu membawa sehingga 10 tan sampah dalam satu perjalanan.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Lori Kompator Baru dan Tricycle di Bandar Darul Aman.

“Dengan penambahan lori ini menjadikan Kubang Pasu mempunyai empat buah lori berkapasiti 10 tan dan dua unit Lori Armroll.

“Saya berharap ianya dapat mengurangkan masalah sampah yang tidak dapat dikutip sebelum ini,” terangnya.

Tambah Saiful, bagi menjadikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan sistematik pihaknya merancang untuk menyusun kembali dan menggabungkan laluan kutipan yang sedia ada.

Secara tidak langsung kutipan jadual dapat disusun semula dan papan tanda kutipan akan diletakkan di setiap taman perumahan bagi memudahkan penduduk merujuk jadual berkenaan.

Hadir melancarkan majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Dato’ Noh Yahya.

Friday, April 1, 2011

Mentality Sesetengah Orang Kita - ‘Sampai bila kita mahu begini’

‘Sampai bila kita mahu begini’

JITRA - Keadaan longkang yang sempit menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik terutama pada musim hujan lalu melimpah ke kawasan jalan dan kadangkala masuk ke rumah penduduk di Kampung Baru berdekatan sebuah sekolah di sini.

Penduduk, Noh Nikmat Abd Nasir, 23, mendakwa keadaan bertambah buruk apabila terdapatnya sikap orang ramai yang membuang sampah merata-rata di sekitar kawasan berdekatan mini stadium di sini, dan ada juga yang membuangnya ke dalam longkang.

Menurutnya sikap orang awam yang tidak berdisiplin antara punca menyebabkan berlakunya masalah longkang tersumbat.

“Kawasan itu memang sudah diletakkan papan tanda amaran jangan membuang sampah namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuangnya di kawasan itu.

“Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan syarikat yang mengendalikan kutipan sampah tetapi perlu melihat juga sikap orang awam yang senang lenang membuangnya tanpa rasa bersalah walaupun telah diberi amaran kawasan itu kawasan larangan,” katanya.

Noh berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan air longkang juga tersumbat di laluan antara sebuah sekolah dan mini stadium di sini sehingga mendatangkan masalah kepada penduduk sekitar sejak kebelakangan ini apabila hujan lebat berlaku.

Menurutnya, kami tidak larat menanggung kesusahan jika air memenuhi jalan kerana sukar untuk bergerak ke mana-mana malah jika air memasuki rumah ia lebih menyusahkan semua penduduk.

“Justeru kami berharap orang awam janganlah sewenang-wenangnya membuang sampah di kawasan sekitar,” katanya.

Manakala, Bedah Hashim, 54, berkata, sebagai suri rumah dia kurang selesa dengan keadaan itu kerana tidak sanggup untuk membersihkan kawasan rumah jika sering dimasuki air.

Menurutnya, janganlah disebabkan kesenangan sendiri mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

“Sampai bila kita mahu berubah?.

“Saya berharap masalah ini akan selesai segera dengan kerjasama orang awam supaya bersikap lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan Environment Idaman Kubang Pasu, Shaiful Azli Sahran ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui telah meletakkan papan tanda larangan membuang sampah di kawasan berkenaan sejak Januari lalu.

Menurutnya, pihaknya meletakkan papan tanda itu kerana kini mereka telah membuat kutipan dari rumah ke rumah penduduk di kawasan perumahan berdekatan bagi mengelakkan longgokan sampah di kawasan itu.

“Namun apa yang dikesalkan masih ada lagi yang membuang sampah di situ, tetapi saya yakin ia bukan daripada penduduk tetapi kemungkinan peniaga di sekitar yang membuangnya.

“Malah bertambah kesal sekarang papan tanda yang diletakkan itu juga telah tertanggal begitu sahaja tanpa dihiraukan,” katanya.

Monday, March 21, 2011

Protest - hanya kepada insan yang ada sifat berani..

'Sudah tak tahan lagi'

BANDAR BAHARU - Seorang pekerja kilang bertindak memandu sejauh lebih 10km dengan membawa seguni plastik sampah dan dicurahkan di pintu masuk Pejabat Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) di Serdang, semalam.

Ismail Ahmad, 50, dari Taman Kelisa Emas, Lubok Buntar, dekat sini berkata, tindakan yang dilakukannya itu kira-kira 9.30 pagi semalam adalah satu protes kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang dikatakan mengabaikan tugas mereka memungut sampah mengikut jadual di kawasan perumahan tersebut sejak bertahun-tahun lalu.

“Paling ketara sejak 2010 lalu pelbagai karenah berlaku. Sudahlah tempat longgokan sampah lokasinya kira-kira tujuh meter sahaja jaraknya dari bangunan rumah saya dan kira-kira 30 meter dari kawasan tapak sebuah Tadika Perpaduan dengan hampir 100 anak-anak penduduk di sini belajar di situ,” kata Ismail kepada pemberita selepas mencurahkan sampah di pintu Pejabat MDBB, Serdang di sini, semalam.

Beberapa kakitangan pejabat berkenaan yang sedang bertugas di situ kelihatan terpinga-pinga dan terperanjat dengan tindakan nekad yang dilakukan Ismail itu tetapi mereka tidak menghalang pekerja kilang tersebut meneruskan hasratnya dengan menyelerakkan bungkusan yang mengandungi sampah yang dibawanya dari Lubuk Buntar itu.

“Saya dan keluarga saya serta lebih 1,200 penduduk sekitar sudah tidak tahan lagi dengan bau busuk yang berpunca daripada longgokan sampah tersebut yang berlanjutan bertahun-tahun itu,” kata Ismail.

Beliau berkata, terdapat anjing–anjing liar dan garang pun turut menjadikan longgokan sampah itu tempat mencari makan yang kadang-kadang juga mengejar orang dewasa dan kanak-kanak yang lalu lalang di situ.

Tinjauan di lokasi mendapati longgokan sampah tanpa sebarang tong sampah yang disediakan di situ jelas keadaan sampahnya berselerakan di sekitar yang menyakitkan mata memandang di samping bau busuk.

Ismail berkata, dua laporan dibuat berhubung dengan kegagalan pihak MDBB memungut sampah di Taman Kelisa Emas, Lubok Buntar iaitu pertama kepada MDBB pada 7 Oktober 2010 dan satu lagi di Balai Polis Serdang, di sini pada 16 Mac 2011 lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Enviromen Idaman Sdn Bhd Mohd Saiful Anuar Zainal ketika dihubungi memberi jaminan bahawa pihaknya yang bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan MDBB akan mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.

“Longgokan sampah berkenaan telah dibersihkan dan pita sekatan melarang orang ramai membuang sampah di situ juga dipasang di tempat tersebut dengan papan tanda sekali,” kata beliau.

Katanya, pihaknya juga telah mendapatkan kerjasama daripada MDBB untuk menanam pokok-pokok bunga di tempat bekas longgokan sampah di situ secepat mungkin.

“Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh menggunakan talian bebas tol syarikat melalui talian Bebas Tol 1800-88-ENVO-(3684) dan e-mel aduan@e-idaman.com (laman sesawang: www.e-idaman.com),” katanya. - Bernama