Showing posts with label WartaKedah. Show all posts
Showing posts with label WartaKedah. Show all posts

Wednesday, January 23, 2013

Alhamdulillah KUIN dapat disiapkan dengan duit kerajaan negeri


ALOR SETAR – Kejayaan pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dibiayai sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri walaupun ianya menjadi kontroversi yang hangat sejak dimulakan.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memajukan dunia pendidikan sekaligus meletakkan nama Kedah di persada antarabangsa.

“Alhamdulillah berkat usaha gigih pihak kerajaan dan kesabaran pihak pentadbiran KUIN mengharungi pelbagai masalah yang timbul segala usaha jahat dan segala gangguan serta kekangan yang dilakukan bagi menggagalkan penyempurnaan pembinaan KUIN dapat diatasi.

“InsyaAllah, pengurusan dan pelajar akan memulakan sesi pengajian di kampus baru mulai beberapa bulan lagi,” jelas beliau pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke 85 yang diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, di sini.

Maklum beliau, dengan terbinanya kampus KUIN, Kuala Keti; dalam jangka waktu terdekat akan muncul seperti Bandar Baru Bangi di Selangor.

“Patik berasa gembira kerana dengan terbinanya kampus KUIN ini maka kemudahan lain untuk rakyat telah disediakan oleh kerajaan contohnya, jalan daripada Sungai Petani ke Kuala Ketil telah mula dilebarkan menjadi jalan empat lorong dua hala oleh Jabatan Kerja Raya dan akan siap tidak beberapa lama lagi.

“Bangi, sebelum wujudnya Universiti Kebangsaan Malaysia adalah merupakan sebuah bandar kecil akan tetapi setelah terbinanya UKM, Bangi muncul sebagai sebuah bandar baru yang dilengkapi dengan pembangunan kawasan industri serta pusat perniagaan dan pentadbiran yang maju.

“Kita berharap dalam beberapa tahun lagi satu bandar yang dinamakan Bandar Baru Kuala Ketil akan menjadi reality,” ujar beliau.

Wednesday, January 2, 2013

Kerjasama GLC dengan persatuan sekolah-sekolah agama, Cina dan India.


PADANG TERAP – Kerajaan negeri bersetuju untuk bangunkan tanah menerusi kaedah usaha sama antara syarikat milik kerajaan negeri (GLC) dengan persatuan-persatuan sekolah agama, Cina dan India.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, walaupun kerajaan negeri tidak boleh memberi terus tanah kepada persatuan-persatuan ini, tetapi kerajaan tetap berusaha untuk membantu mereka.

Maka, kerajaan bersetuju untuk memastikan GLC memilih persatuan-persatuan ini bagi sama-sama membangunkan tanah yang diberikan.

“Tanah Kedah cukup kecil, jadi apa yang kita boleh masa kini dalam usaha meningkatkan bantuan kepada persatuan-persatuan sekolah agama, Cina dan India, maka GLC diminta menjalankan usaha sama bersama persatuan-persatuan ini untuk bangunkan tanah.

“Tanah ini milik kerajaan, maka kita beri hak penggunaan, pakat-pakat bangunkannya, pihak GLC akan hubungi mana-mana persatuan untuk tujuan ini,” jelas beliau pada sidang media selepas Majlis Penerangan Projek Ladang Buah-Buahan Charok Genting Bunga, di sini.

Kerajaan negeri sentiasa memastikan tiada sekolah di Kedah dipinggirkan daripada menerima bantuan.

Wednesday, December 19, 2012

Lawatan Menteri Besar ke Mesir teroka banyak manfaat

KAHERAH – Lawatan rasmi Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak,  selama lima hari ke Kaherah berjalan dengan lancar dan teratur. Beberapa lokasi lawatan serta perjumpaan yang telah diatur secara tidak langsung memberi impak terbaik kepada kerajaan negeri khususnya.

Antara tempat menarik dilawati dalam usaha mempelajari teknik menjayakan objektif menjadikan Kedah Belanda Timur ialah Wadi Natrun iaitu sebuah kawasan padang pasir yang dibangunkan sebagai sebuah ladang pertanian yang subur menggunakan teknologi pertanian terkini. Pelbagai jenis tanaman di tanam disini untuk makanan dalam negeri dan dieksport.


Ustaz Azizan dibawa melawat ladang limau milik keluarga bekas seorang menteri di Mesir. Ladang tersebut berkeluasan 360 ekar ditanami dengan 120 jenis limau. Rombongan Menteri Besar yang turut disertai oleh CEO Kumpulan Ladang Perbadanan Kedah, Rosli Saad tertarik untuk mempelajari teknik-teknik perladangan berskala besar. Rombongan diberi taklimat panjang lebar mengenai kaedah yang digunakan dalam penghasilan produk pertanian yang berkualiti dan produktif.

Di kawasan padang pasir yang tandus, mereka menggunakan sumber air bawah tanah yang digali kira-kira 300 meter untuk mengairi tanaman. Tanaman di ladang berkenaan dapat disiram dengan air yang siap dibekalkan dengan baja melalui saluran paip. Buah-buahan yang dihasilkan sangatlah subur dan lazat dimakan.

Ladang berkenaan mula ditanam pada tahun 2009 dan dituai pada tahun 2011. Pada tahun 2012, ianya telah memasuki untuk fasa ke dua. Selain untuk pasaran tempatan, ianya juga dieksport ke luar negara.

Walaupun lokasi sasaran agak jauh dari penginapan dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk sampai namun kepenatan ahli rombongan terubat apabila melihat kehijauan pohon-pohon tanaman di situ. Selain ladang limau, rombongan juga dibawa melawat ke tapak semaian pokok mentimun. Kawasan yang begitu luas itu ditanami dengan beribu-ribu pokok mentimun yang juga untuk pasaran dalam dan luar negara.
Menteri Besar serta rombongan mengambil masa kira-kira hampir dua jam meninjau ladang-ladang berkenaan.

Sebagai Menteri Besar yang cintakan pendidikan, beliau tidak melepaskan peluang membuat kunjung hormat Rektor Al-Azhar di Universiti Al-Azhar Haiyu Sadis. Banyak perkara yang dibincangkan bersama rektor berkenaan khususnya untuk kebaikan pelajar-pelajar Kedah di universiti berkenaan di samping mengambil pengalaman beliau untuk memajukan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini.

Perbincangan agak serius ditumpukan berhubung isu pengwujudan Pusat Pengajian Bahasa Arab di negeri Kedah dan ia telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak Universiti Al-Azhar. Ustaz Azizan menerangkan bahawa pihaknya telah membina sebuah Pusat Pengajian Bahasa Arab yang antara lain boleh dimanfaatkan sebagai pusat penganjian intensif bagi para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Peluang berada di sana, tidak dilepaskan begitu sahaja oleh Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK). Satu perjumpaan secara formal telah diadakan bersama pelajar-pelajar Kedah yang menuntut di Universiti Al-Azhar sekitar Mesir. Majlis tesebut diadakan di Fustat’ Hall, Al-Azhar Conference Centre, Cairo ( ACC) dan dihadiri kira-kira 600 para pelajar Kedah dan termasuk ahli keluarga tenaga pengajar. Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh para pelajar khususnya berhubung isu kebajikan mendapat perhatian yang baik dari Menteri Besar.

Dikesempatan itu juga, Menteri Besar bertolak ke Turki atas utusan rasmi selain membincangkan peluang-peluang pelaburan dua hala dengan negara berkenaan.

Thursday, November 22, 2012

Skim Kafalah hanya untuk anak Kedah

ALOR SETAR – Warganegara Malaysia, anak kelahiran Kedah dan yang telah bermastautin di Kedah melebihi 10 tahun serta mendapat pengesahan dari penghulu atau MKK merupakan sebahagian syarat menerima Skim Kafalah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak 2010 yang lalu.

Demikian antara jawapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (PAS-Merbau Pulas), ketika penggulungan perbahasan. Katanya lagi, di samping itu pendapatan pemohon mestilah RM720 ke bawah atau per kapita RM180 serta mendaftar dengan E-Sinar.

“Sepertimana yang dibangkitkan oleh Adun Kuah, jumlah kematian di Kuah seramai 640 orang dan hanya 100 orang sahaja yang dapat sumbangan Kafalah. Saya nak bagi tahu, 100 orang itulah sahaja yang mendaftar dan yang lainnya tidak,”jelasnya.

Sementara itu bagi yang tidak mempunyai dokumen pengkebumian, seperti kes kematian hilang di sungai atau di laut, pihak kerajaan boleh menerima salinan surat laporan polis untuk pengesahan.

Menjawab soalan YB Nasir Mustaffa ( PAS- Kubang Rotan) berkenaan perlaksanaan pemberian wang kafalah kadang kala lambat, beliau berkata, wakil rakyat atau wakil PKWR mestilah menghantar borang berkenaan tiap-tiap bulan bukan mengumpul sejumlah kematian tertentu untuk di hantar untuk tujuan memprosesan.

“Setiap bulan hantar, bukan tunggu sampai 20 orang kematian baru nak hantar,”katanya lagi.

Berikutan penjelasan beliau berkenaan bajet diperuntukan kepada skim berkenaan,pada tahun 2010 sebanyak RM3.6 juta dan dibelanjakan sekitar RM1.4 juta dan pada tahun..2011 sebanyak RM4.6 juta dan jumlah dibelanjakan RM1.6 juta.

“InsyaAllah, sekiranya Pakatan Rakyat menang lagi pada pilihanraya akan datang, dari jumlah RM500 sekarang, kita akan naikkan lagi,“ celahnya apabila Adun Guar Chempedak memohon agar jumlah sumbangan itu dinaikkan memandangkan jumlah yang digunakan hanya sekitar 40 peratus sahaja.

Sementara itu beliau juga memaklumkan beberapa program kewanitaan yang melibatkan wanita sasaran samada berbentuk kursus-kursus kemahiran, motivasi, seminar kewanitaan mahu pun seminar undang-undang sentiasa diadakan di peringkat daerah-daerah bagi membantu golongan wanita mahu pun remaja dalam usaha membenteras masalah rumahtangga dan gejala sosial.

“Sesuatu yang tidak pernah dilakukan sejak 50 tahun lalu, kita adakan iaitu kita adakan kuliah bulanan kepada kakitangan wanita Wisma Darul Aman dan InsyaAllah kita akan perkembangkannya ke peringkat daerah pula,“ ujarnya lagi.

Jawapan itu berikutan bersidangnya Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas ( Mesyuarat Bajet 2013) di Wisma Darul Aman.

Saturday, October 27, 2012

Paip baru di Sik atasi masalah air

E-mail

SIK – Masalah gangguan tekanan air yang membelenggu kira-kira 1,000 penduduk sejak empat tahun lalu diatasi apabila Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil inisiatif memasang paip baru sepanjang satu kilometer.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Rofedi Sulaiman berkata, projek yang bernilai RM80 ribu itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi 240 rumah daripada tiga kampung, iaitu Kampung Cemara, Kampung Baru Padang Ragut dan Kampung Lahar.

“Penambahan paip baru itu menjadikan kampung terbabit mempunyai dua saluran air iaitu menerusi Loji Batu Lima dan Loji Jeniang.


“Sebelum ini penduduk hanya bergantung kepada satu sumber air sahaja, iaitu di Loji Batu Lima, sekarang mereka bakal menerima sumber air yang di Loji Jeniang, maka ianya dapat meningkatkan tekanan air kepada seluruh penduduk di ketiga-tiga kampung ini,” jelas beliau pada program gotong royong pemasangan paip baru di Kampung Cemara, di sini.

Tambah beliau, sebelum ini penduduk sering menghadapi masalah tekanan air terutama pada musim perayaan yang memerlukan kapasiti air yang banyak.

“Penggunaan air yang banyak mengakibatkan tekanan air menjadi rendah, yang akhirnya penduduk yang menghadapi masalah bekalan air, setelah siapnya projek ini penduduk tidak perlu risau lagi mengenai tekanan air kerana pemasangan paip baru ini mampu menampung penggunaan air oleh penduduk di ketiga-tiga kampung itu,” ujar beliau.

Bagi penduduk, mereka bersyukur dengan pemasangan paip baru ini yang akan mengatasi masalah yang dibelenggu selama ini.
Terakhir Dikemaskini (Rabu, 24 Oktober 2012 18:23)

Wednesday, October 24, 2012

Mana pergi untung projek udang Kerpan RM6.15 juta pada 2007?



ALOR SETAR – Projek ternakan udang di Kerpan, Ayer Hitam yang melibatkan beratus-ratus ekar tanah petani pada tahun 1993 telah berlaku penyelewengan di mana hasil keuntungan projek tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun.

Satu Perjanjian Pengurusan Projek Ternakan Udang bertarikh 27 Disember 2007 ditandatangani antara Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB), sebuah syarikat yang ditubuhkan secara bersama antara Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dengan pegangan nisbah keuntungan 40:60.


Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, hasil keuntungan projek tersebut tidak diagihkan seperti yang dipersetujui bersama.

Sejak berpuluh tahun berlaku, kini Kementerian Kewangan menimbulkan kes ini pada zaman pemerintahan Pakatan Rakyat serta menuntut ganti rugi.

“Dalam perjanjian tu, keuntungan mesti dibahagi dua seperti dipersetujui, tetapi tak patuh, akhirnya pihak Kementerian Kewangan timbul semula pada zaman saya (Pakatan Rakyat).

“Ini penyelewengan kerajaan dulu (BN), tapi pihak kementerian saman kita pula nak duit tu RM2 juta, jadi kita kata nak bayar macam mana, tak pernah dapat pun duit tu,” jelas beliau pada sidang media Majlis Penyerahan Lembu Sempena Hari Raya Korban yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini.

Tambah beliau, tuntutan KASB sebanyak RM2.16 juta merupakan tuntutan semula kos operasi telah dikeluarkan oleh KASB. KASB turut mendakwa hasil jualan udang pada 2007 adalah sebanyak RM6.15 juta, tetapi tidak dimasukkan dalam akaun projek.

“Saya difahamkan daripada operator, mereka meletakkan duit tersebut dalam kotak, dan menghantar ke rumah individu tertentu, maka saya suruh polis dan SPRM pergi siasat,” jelas beliau.

Menungkap sejarah pengambilan tanah tersebut daripada penduduk, ianya mendapat tentangan hebat, di mana mereka enggan tanah yang diusahakan dengan padi musnah sama sekali. Beratus-ratus ekar padi yang sudah sedia untuk dituai dilanyak oleh berpuluh-puluh jentolak dengan dikawal rapi oleh polis dan FRU.

Dilaporkan bahawa operasi dihentikan pada penghujung 1997 apabila pihak polis tidak dapat menjamin keselamatan pekerja ladang. Ini ekoran tentangan orang kampung terhadap projek tersebut yang dikatakan telah menyerang tiga pegawai syarikat.

Monday, October 15, 2012

“Laporan Utusan berniat jahat!” –YB Lee Guan Aik



ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman, YB Lee Guan Aik menyelar tindakan Utusan Malaysia menyiarkan berita yang bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau.

YB Lee Guan Aik yang juga Pengerusi DAP Kedah menegaskan bahawa, berita tersebut adalah berniat jahat bagi melaga-lagakan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, mahupun di Malaysia.

“Pada 14 Oktober 2012, iaitu kelmarin, saya ada buat sidang media bagi mengulas pelaksanaan garis panduan papan iklan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Dalam kenyataan tersebut, saya langsung tidak menyatakan DAP menentang undang-undang berunsurkan Islam jika mahu dilaksanakan di sini (Kedah), tetapi saya berkata bahawa apa-apa sahaja undang-undang yang perlu dilaksanakan memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti (Pakatan Rakyat).


“Ianya perlu dibincang bagi mendapat pandangan semua pihak dahulu, baru boleh dilaksanakan, bukan saya kata PAS perlu restu DAP baru boleh laksana undang-undang berunsurkan Islam.

“Pada hari ini (15 Oktober), saya dapati Utusan Malaysia memutarkan belit kenyataan saya, dengan mengatakan bahawa saya menentang pelaksanaan undang-undang Islam termasuk garis panduan papan iklan, dan PAS perlu restu DAP, ini bertujuan bagi melaga-lagakan kami (Pakatan Rakyat),” jelas beliau ketika dihubungi.

Berita hadapan Utusan Malaysia 15 Oktober (Isnin) menyiarkan bahawa PAS perlu restu DAP bagi melaksanakan undang-undang Islam termasuk garis panduan papan iklan.

Friday, October 12, 2012

13 mangsa kebakaran terima bantuan segera kerajaan negeri

JENIANG – Seramai 13 pemilik premis kedai yang terlibat dengan kebakaran telah diberi bantuan segera oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Dato’Ustazah Siti Ashah Ghazali dalam ucapannya, mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa kebakaran dan berharap mereka bersabar menghadapinya.

“Nahas dan bala bencana ini, kita tidak tahu bila akan berlaku. Saya juga turut simpati di atas apa yang berlaku. Walau bagaimana pun, anggaplah ianya sebagai musibah serta ujian. Bagi pihak kerajaan negeri, bantuan segera yang diberi sekadar membantu mengurangkan bebanan,’ sambungnya lagi.


13 buah premis kedai di Pekan Jeniang berkenaan hangus dijilat api dan kerugian masih dalam siasatan. Semua pemilik yang terlibat iaitu 12 orang berbangsa Tiong Hua dan seorang India Muslim, masing-masing menerima bantuan segera dari kerajaan negeri sebanyak RM500.

Semua bantuan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’Ustazah Ashah dan hadir bersama, ADUN Jeneri, YB Dato’Yahaya Abdullah, YDP MPSP, Puan Rozaina Dato’Paduka Radzi, wakil-wakil Jabatan Kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Sunday, September 16, 2012

Tahniah YB Dr. Ismail, tambah pendekatan baru ke arah Kedah Sejahtera Tanpa Dadah

Pemadam Kedah guna pendekatan terbaik basmi dadah



Alor Setar - Kemunculan Ustaz Azhar Idrus bersama beberapa orang artis yang sudah berhijrah berjaya mengundang kehadiran puluhan ribu penduduk sekitar negeri ini ke Karnival Gaya Hidup Sihat Pemadan Negeri Kedah yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman.
Gaya Ustaz Azhar yang menyampaikan kesedaran mengenai bahaya dadah dan arak secara bersahaja dengan dibantu oleh pelakon Bob Lokman, Hairie Othman serta penyanyi Ali XPDC begitu menarik perhatian oarang ramai yang majoritinya terdiri dari anak-anak muda.
 
Karnival tiga hari anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Kedah yang bertemakan 'Sejahtera Tanpa Dadah' itu diisi dengan pelbagai program antaranya larian, pertandingan futsal, bola jaring, memasak (wanita), boria (sekolah rendah), dikir barat (sekolah menengah), mewarna kanak-kanak-kanak, pertunjukan para motor dan lain-lain. Di samping itu sepanjang tiga hari juga diadakan exco jualan oleh para peniaga dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan, GLC dan NGO.
 
Program berlansung pada 14-16 September dijangka akan dilakukan perasmian penutup oleh YAB Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak pada petang 16 September jam 5 petang.



Acara kemuncak di malam terakhir ialah majlis Forum Perdana bertajuk 'Membina Generasi Unggul Tanpa Dadah'. Ahli-ahli panel terdiri dari Dato' Sheikh Badaruddin Haji Ahmad (Mufti Kedah), YB Dr. Ismail Salleh (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan Ustazah Nazrah Yusof.

Menurut Pengerusi Pemadam Negeri Kedah, YB Dr. Ismail Salleh program besar seperti ini yang mengundang penglibatan banyak pihak adalah julung kali diadakan oleh Pemadan negeri ini. Ia menunjukkan kesungguhan Pemadam, kerajaan Negeri serta pihak terbabit untuk membasmi dadah secara serius dan berterusan.

 
 
(Sumber: Warta Darul Aman)

Monday, September 10, 2012

KUIN terus diberi kepercayaan pihak luar negara

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mengendalikan Latihan Intensif Perbankan dan Kewangan Islam kepada kumpulan pertama dan kedua kepada kakitangan Bank Pusat Nigeria (CBN) pada April dan Mei lalu, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di bawah Pusat Kewangan, Perbankan Islam dan Keusahawanan Global (GCIBFE) terus diberi kepercayaan memberi latihan yang sama kepada kumpulan ketiga kakitangan CBN seramai tujuh orang.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Pengantarabangsaan dan Alumni INSANIAH, Prof. Dr. Wan Sulaiman Wan Yusoff. Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSANIAH Holdings, Dr. Hj. Ramli Saad, Pengurus Besar GCIBFE, Tuan Hj. Besar Nawawi Ngah dan timbalannya, Dr. Bello Lawal Danbatta.


Sepanjang berada di Kuala Lumpur, peserta dibawa melawat ke Bank Negara, Bank Islam, Bank Muamalat di samping beberapa pemain industri utama di Malaysia antaranya Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

Latihan yang berkaitan dengan perbankan Islam ini bermula pada 27 Ogos dan berakhir pada 7 September. Selepas itu, ianya akan disusuli dengan latihan yang sama kepada kumpulan ke empat CBN yang dijadual diadakan pada 24 September hingga 9 Oktober 2012.

Kembara Merdeka menjelajah Kedah bersama Logo & Tema "Sebangsa Senegara & Sejiwa"

Sewaktu di Sg Petani di sambut oleh MP Sg Petani & ADUN Bkt Selambau
JITRA – Konvoi Kembara Merdeka 2012 berlangsung dengan penuh meriah dan ceria. Sebanyak 30 kereta termasuk van dan sebuah bas turut serta mengambil bahagian dalam kembara berkenaan.

Konvoi Kembara Merdeka 2012 bermula di Perkarangan Pasar Malam Taman Mahsuri seawal jam 9.30 pagi dan disempurnakan pelepasannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad.


Menyempurnakan ke destinasi pertama, Pasaraya Billion, Alor Setar, para peserta konvoi berkenaan disambut oleh ADUN Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustafa serta ahli jawatan kuasa PKWRnya dan beberapa MKK berdekatan. Beliau turut bersama-sama para peserta konvoi bertemu orang ramai serta menyedar risalah kemerdekaan dan Warta Darul Aman di sekitar pasar berhampiran.

Seterusnya Kembara Merdeka meneruskan perjalanan ke Tesco Sungai Petani Utara. Di sana mereka disambut meriah oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan, YB Tan Chow Kang dan Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Dato’Johari Abdul.Seterusnya kedua-dua mereka bersama-sama bertemu orang ramai menyedarkan risalah di sekitar Pasaraya Tesco.

Destinasi seterusnya, konvoi Kembara Merdeka 2012 singgah di Pekan Kuala Ketil. ADUN  Kuala Ketil, YB Md Zuki Yusuf  bersama Jawatankuasa PKWR menyambut meriah kehadiran para peserta. Kebetulan di tapak pekan berkenaan diadakan Rumah Terbuka ADUN Kuala Ketil, para peserta konvoi mengambil kesempatan mengedarkan risalah kepada para pengunjung rumah terbuka berkenaan.

Walau pun agak keletihan tetapi berbekalkan semangat waja lokasi selanjutnya diteruskan. Sebelum bergerak terus ke Pekan Baling sebagai destinasi terakhir, mereka singgah sebentar di Pasaraya Billion, Baling dan mengedarkan risalah di sekitar lokasi berkenaan.

Majlis Penutup Kembara Merdeka 2012 di sempurnakan oleh ADUN Kupang, YB Johari Abdullah di Stesyen Teksi, Pekan Baling. Sebelum itu para peserta terus bergerak mengedar risalah kemerdekaan di sekitar pekan berkenaan.

Secara keseluruhan, orang ramai yang ditemui menyambut baik serta teruja menerima menerima kehadiran Konvoi Kembara Merdeka tersebut. Konvoi berkenaan juga telah dipandu oleh sepuluh orang Marshal yang berpengalaman untuk memastikan perjalanan menjadi lancar dan selamat.

Kembara Merdeka 2012 merupakan program anjuran kerajaan negeri di bawah pengelolaan Urusetia Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah serta Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah.