Showing posts with label Menteri Besar. Show all posts
Showing posts with label Menteri Besar. Show all posts

Monday, February 18, 2013

Ramai dapat manfaat Program Mesra Rakyat Daerah Sik


SIK – Program Mesra Rakyat Daerah Sik berlangsung dalam suasana meriah. Semua lapisan masyarakat tidak mengira umur, agama dan bangsa hadir beramai-ramai memeriahkan suasana selain ingin melihat wajah pimpinan yang mereka kasihi dari dekat.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak itu menyaksikan pelbagai sumbangan dan penyerahan hak milik disampaikan sempena majlis berkenaan.
Seramai 58 orang menerima Notis 5A dan 13 orang menerima geran tanah masing-masing. Selain itu surat pengesahan penerimaan rumah di Bandar Baru Beris Jaya telah diserahkan kepada 14 belas orang pemilik.


Bantuan pertanian berjumlah RM157,245.00 telah diagihkan kepada lapan penerima yang melibatkan Projek Berkelompok Pisang Berangan di Kg Lahar 1, Kg Lahar 11, Kg Charok Tok Uban, Kg Sungai Sebatang/Ternas dan Kg Sungai Semiar. 

Sementara itu Projek Berkelompok Pemulihan Dusun ( durian) di Kg Gajah Putih, Projek Berkelompok Padi Sawah Gemilang dan Projek Berkelompok Tanaman Nenas di Kg Padang Chicak.
Lain-lain sumbangan termasuklah sumbangan kafalah kepada 21 orang penerima dan sumbangan kerusi roda dari JKM kepada sembilan orang penerima.

Kedatangan Menteri Besar disambut dan diiringi kira-kira 50 orang Konvoi Bermotor ke tapak program selain pertunjukan seni silat untuk menambah kemeriahan kehadiran beliau.

Di sebelah petang, YAB Menteri Besar di bawa melawat ke Projek Ladang Anggur di Sungai Senam, sementara itu  Exco-Exco Kerajaan Negeri, Adun-Adun dan Ahli Parlimen turun ke kampung-kampung bertemu rakyat serta menyampaikan sumbangan kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal, orang-orang tua dan yang kurang bernasib baik.
Di sebelah paginya pula, sukaneka kanak-kanak dan wanita diadakan. Antara acara yang dipertandingkan kepada kanak-kanak termasuklah pertandingan mewarna, isi air dalam botol dan lain-lain lagi. Sementara itu pertandingan gubangan kain dan membuat kerabu dibuka kepada kaum wanita yang berminat. Untuk kaum lelaki dan pemuda, pertandingan bola sepak persahabatan diadakan pada sebelah petangnya di padang Sekolah Menengah Kebangsaan, Jeneri yang melibatkan  pertembungan antara Veteran Kedah dan Pilihan Daerah Sik.
Para pengunjung juga berpeluang melawat gerai-gerai pameran yang disertai oleh  agensi kerajaan dan swasta selain dapat membeli hasil-hasil pertanian keluaran Kedah Agro.
Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Sik ini diadakan di Tapak Pekan Sehari, Bandar Baru Beris Jaya.

Wednesday, January 30, 2013

Menteri Besar ‘hadiahkan’ KUIN untuk Agong sempena Hari Keputeraan ke 85

KUALA KETIL – Kampus induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) diibaratkan sebagai hadiah yang dipersembahkan oleh Menteri besar kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,  bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke 85.

Perkara tersebut terkandung dalam ucapan Menteri Besar, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di hadapan kira-kira lima ribu hadirin sempena Istiadat Konvokesyen Khas dan Perasmian Kampus Induk Kolej Universiti Insaniah, di Kuala Ketil.

Beliau juga bersyukur kehadrat Allah SWT, walau pun sebelum itu terdapat pelbagai halangan dan kekangan, namun dengan pertolongan Allah dan berkat doa semua pihak, kampus induk berkenaan dapat disempurnakan perasmiannya.

"Saya pilih Kuala Ketil ini kerana dua faktor. Pertama kerana ingin membangunkan kawasan yang terpencil di Kedah ini dan seterusnya untuk meningkatkan sosial ekonomi daerah ini.

"Apabila ada universiti yang dibina sama ada di bandar atau luar bandar maka akhirnya kawasan berkenaan akan maju dan berubah wajah," katanya.


Beliau mengambil contoh penubuhan Universiti Al-Azhar yang dibina pada tahun 972 dan akhirnya ianya begitu sinonim dengan bandar Kaherah dan begitu juga pembinaan Universiti Oxford pada 1096 M dan Universiti Cambridge pada tahun 1226M. Kedua-dua universiti berkenaan dibina di perkampungan Inggeris yang tidak membangun dan kini Cambridge dan Oxford menjadi bandar besar dan pesat.

"Begitu juga di kampung kecil di Bangi, bila adanya UKM di situ, kini Bangi menjadi bandar pesat dan maju," ujarnya.

Jelasnya lagi, pembangunan program akademik pada awalnya mendapat pandangan pro dan kontra. Perubahan drastik itu adalah semata-mata bertujuan untuk mewujudkan pelbagai bidang profesional untuk melahirkan modal-modal insan yang mempunyai ilmu mendalam di bidang duniawi dan ukhrawi.

"Dari tujuh program pada awal 2008, sekarang kita menawarkan 47 program bermula pada hari ini. Antaranya perubatan, perbankan, kejururawatan, kejururawatan, kejuruteraan dan banyak lagi yang telah menjulang nama KUIN sebaris dengan institusi-institusi pengajian terkenal dalam negara," sambungnya.

Cengkaman dan pengaruh barat berjaya diserap secara licik dalam pendidikan hari ini dan justeru itu KUIN tampil dengan perubahan program duniawi dan ukhrawi sebagai pengimbang untuk mengekang cengkaman pengaruh berkenaan. Maka selepas ini akan lahirlah ribuan ulama berkelulusan profesional yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi.

Sehubungan itu katanya lagi, corak pengajian di KUIN yang menetapkan agar pelajar memahami dan mendalami isi kandungan Al-Quran menjadi salah satu prasyarat bagi beberapa jurusan pengajian mereka di mana ianya tidak begitu dititik beratkan oleh institusi pengajian lain di negara ini.

"Tempias ilmu yang berkembang di KUIN ini, InsyaAllah akan memanfaatkan rakyat di negeri Kedah yang selama ini agak tidak diberi perhatian dalam perkembangan dunia pendidikan. Selain itu kampus KUIN ini juga dapat mengelakkan berlakunya pengaliran wang rakyat Kedah ke negeri-negeri luar.

"Selepas ini akan berlaku pengaliran tunai dari luar mencurah dan secara tidak langsung mewujudkan pelbagai peluang pendapatan bagi rakyat terbanyak di kedah," tambah beliau lagi.

Jelasnya lagi, KUIN dibina dengan kos RM330 juta tanpa bantuan dari Kerajaan Pusat di atas tanah seluas 330 ekar iaitu sebahagian daripada keluasan tanah milik KUIN seluas 832 ekar dan di mana kawasan ini dahulunya adalah kawasan ladang kelapa sawit milik Selangor Coconat.

Dengan kemudahan pinjaman oleh Bank Islam Berhad dan Affin Bank Berhad ianya secara tidak langsung mampu merangsang sosial ekonomi Kedah. Selain itu kesungguhan Kedah Sato Sdn. Bhd yang bertungkus lumus, siang dan malam menyiapkan pembinaan dan terbukti ianya disiapkan lebih awal dari jadual yang disasarkan.

"Kerajaan negeri turut berbangga kerana KUIN telah menerima pengiktirafan penarafan Tier 4(sangat baik) bagi sistem penarafan IPT 2011 pada 1 November yang lalu oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Khaled Nordin.

"Pengiktirafan ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan KUIN serta menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri ilmu," jelas beliau.

Majlis turut dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Rektor KUIN, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Senat, Speaker DUN Kedah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, tenaga pengajar dan kakitangan KUIN, ketua-ketua jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat, guru dan para pelajar sekolah serta masyarakat setempat.

Wednesday, December 19, 2012

Lawatan Menteri Besar ke Mesir teroka banyak manfaat

KAHERAH – Lawatan rasmi Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak,  selama lima hari ke Kaherah berjalan dengan lancar dan teratur. Beberapa lokasi lawatan serta perjumpaan yang telah diatur secara tidak langsung memberi impak terbaik kepada kerajaan negeri khususnya.

Antara tempat menarik dilawati dalam usaha mempelajari teknik menjayakan objektif menjadikan Kedah Belanda Timur ialah Wadi Natrun iaitu sebuah kawasan padang pasir yang dibangunkan sebagai sebuah ladang pertanian yang subur menggunakan teknologi pertanian terkini. Pelbagai jenis tanaman di tanam disini untuk makanan dalam negeri dan dieksport.


Ustaz Azizan dibawa melawat ladang limau milik keluarga bekas seorang menteri di Mesir. Ladang tersebut berkeluasan 360 ekar ditanami dengan 120 jenis limau. Rombongan Menteri Besar yang turut disertai oleh CEO Kumpulan Ladang Perbadanan Kedah, Rosli Saad tertarik untuk mempelajari teknik-teknik perladangan berskala besar. Rombongan diberi taklimat panjang lebar mengenai kaedah yang digunakan dalam penghasilan produk pertanian yang berkualiti dan produktif.

Di kawasan padang pasir yang tandus, mereka menggunakan sumber air bawah tanah yang digali kira-kira 300 meter untuk mengairi tanaman. Tanaman di ladang berkenaan dapat disiram dengan air yang siap dibekalkan dengan baja melalui saluran paip. Buah-buahan yang dihasilkan sangatlah subur dan lazat dimakan.

Ladang berkenaan mula ditanam pada tahun 2009 dan dituai pada tahun 2011. Pada tahun 2012, ianya telah memasuki untuk fasa ke dua. Selain untuk pasaran tempatan, ianya juga dieksport ke luar negara.

Walaupun lokasi sasaran agak jauh dari penginapan dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk sampai namun kepenatan ahli rombongan terubat apabila melihat kehijauan pohon-pohon tanaman di situ. Selain ladang limau, rombongan juga dibawa melawat ke tapak semaian pokok mentimun. Kawasan yang begitu luas itu ditanami dengan beribu-ribu pokok mentimun yang juga untuk pasaran dalam dan luar negara.
Menteri Besar serta rombongan mengambil masa kira-kira hampir dua jam meninjau ladang-ladang berkenaan.

Sebagai Menteri Besar yang cintakan pendidikan, beliau tidak melepaskan peluang membuat kunjung hormat Rektor Al-Azhar di Universiti Al-Azhar Haiyu Sadis. Banyak perkara yang dibincangkan bersama rektor berkenaan khususnya untuk kebaikan pelajar-pelajar Kedah di universiti berkenaan di samping mengambil pengalaman beliau untuk memajukan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini.

Perbincangan agak serius ditumpukan berhubung isu pengwujudan Pusat Pengajian Bahasa Arab di negeri Kedah dan ia telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak Universiti Al-Azhar. Ustaz Azizan menerangkan bahawa pihaknya telah membina sebuah Pusat Pengajian Bahasa Arab yang antara lain boleh dimanfaatkan sebagai pusat penganjian intensif bagi para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Peluang berada di sana, tidak dilepaskan begitu sahaja oleh Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK). Satu perjumpaan secara formal telah diadakan bersama pelajar-pelajar Kedah yang menuntut di Universiti Al-Azhar sekitar Mesir. Majlis tesebut diadakan di Fustat’ Hall, Al-Azhar Conference Centre, Cairo ( ACC) dan dihadiri kira-kira 600 para pelajar Kedah dan termasuk ahli keluarga tenaga pengajar. Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh para pelajar khususnya berhubung isu kebajikan mendapat perhatian yang baik dari Menteri Besar.

Dikesempatan itu juga, Menteri Besar bertolak ke Turki atas utusan rasmi selain membincangkan peluang-peluang pelaburan dua hala dengan negara berkenaan.

Wednesday, October 3, 2012

Pusat abai tanggungjawab isu tebatan banjir


ALOR SETAR – Kerajaan negeri menggesa agar masalah tebatan banjir yang telah mengambil masa yang lama dapat diselesaikan dengan segera.

Demikian antara saranan Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja, Ustaz Azizan Abdul Razak apabila ditanya oleh pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini.

Tebatan banjir yang melibatkan Sungai Pendang dan Sungai Kedah tidak dapat dilaksanakan kerana projek berkenaan merupakan projek kerajaan pusat dan kontraktor yang akan mengendalikannya juga dipilih oleh pusat.

“Oleh itu, ianya mendatangkan masalah kepada Kedah. Banjir merupakan bencana alam sepanjang zaman. Terbaru ini kes banjir di Pendang. Kerajaan pusat patut simpati kepada rakyat Pendang. Mereka juga sebahagian dari rakyat Malaysia yang perlu mendapat hak yang sewajarnya.

"Sepatutnya banjir seperti itu tidak berlaku lagi tapi setakat ini perkara itu tidak diberi perhatian serius dan kesannya rakyat Pendang menanggung kerugian termasuk kehilangan harta dan punca pendapatan," kata beliau.

Sambungnya lagi, tebatan banjir telah diambil alih oleh kerajaan pusat dan semua peruntukan berkaitan adalah di bawah tanggungjawab pusat.

Apabila diminta memberi pandangan berkenaan Pembentangan Bajet 2013 oleh kerajaan pusat baru-baru ini, beliau menyifatkan bajet berkenaan lebih kepada bajet untuk piliharaya. Perlaksanaannya pada Januari 2013 dan ianya lebih kepada pembuktian kerajaan untuk menunaikan apa yang dijanjikan.

"Saya tidak pernah berjumpa dengan bajet sebegitu sejak 1959. Ianya lebih kepada tawaran dalam bentuk kebendaan. Tawaran yang boleh dikatakan tanpa segan silu atau pertimbangan kerana wang yang mereka gunakan itu adalah wang rakyat.

"Sekiranya Barisan Nasional menang lagi pada pilihanraya akan datang, mereka terpaksa bekerja bertungkus lumus untuk membayar semula apa yang telah digunakan dalam bajet berkenaan," jelas Azizan.

Beliau juga kesal kerana golongan petani dan nelayan tidak diberi keistimewaan sedangkan operasi mereka juga memerlukan kos yang tinggi di samping berhadapan dengan harga padi yang rendah.

"Kita perlu ingat, mereka juga terlibat dengan kos sara hidup seperti orang lain dan sekiranya hak untuk mereka tidak diseimbangkan, tentulah mereka menghadapi masalah," jelasnya.

Beliau turut menyentuh berkenaan perumahan yang tidak pernah ditawarkan kepada Kedah. Kedah sedia menawarkan tanah untuk tujuan berkenaan demi untuk rakyat.

"Walau pun Kedah berlainan fahaman politik dengan pusat tetapi ianya bukan bermakna rakyat Kedah tidak boleh mendapat hak seperti negeri-negeri lain, sedangkan rakyat Kedah juga membayar cukai kepada pusat seperti rakyat negeri-negeri lain juga," tegas beliau.

Beliau turut juga menegaskan, kakitangan kerajaan Kedah akan mendapat insentif bonus satu bulan setengah gaji seperti yang dibentangkan dalam bajet yang lepas.

"Apa yang pusat bagi, negeri akan bagi," katanya.

Sidang media berkenaan diadakan di Wisma Negeri Darul Aman.

Sunday, September 30, 2012

Menteri Besar raikan pemergian jemaah haji


ALOR SETAR – Bagi meraikan 122 jemaah haji pertama dari Kedah yang akan berlepas ke Mekah, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sempat bertemu mereka dalam majlis sederhana di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Sebelum berlepas mereka diringi dengan laungan azan oleh Ustaz Abdul Ghani Rahman. Selain itu, mereka juga diberikan saguhati pakaian.

Turut hadir, Tengku Temenggong Kedah, YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama isterinya.

Para jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Tengku Temenggong dan Ustaz Azizan sebelum berangkat.

Wednesday, March 28, 2012

Saya tidak boleh jamin mereka yang menang dulu dipilih lagi - Azizan

Azizan: Mungkin ada calon menang PRU12 digugur



Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak membayangkan kemungkinan ada calon yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak dipilih bertanding dalam PRU ke-13.

Beliau berkata nama calon boleh menang telah disenarai oleh PAS Kedah dan dikemukakan kepada Majlis Syura PAS Pusat untuk tapisan serta penentuan mereka yang paling layak dipilih bertanding.

"Saya tidak boleh jamin mereka yang menang dulu dipilih lagi... mungkin ada muka baru dicalonkan kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Katanya, Majlis Syura akan membuat tapisan daripada pelbagai aspek khususnya moral, integriti, kematangan serta keupayaan calon bagi memastikan mereka adalah calon boleh menang, dan PAS Kedah hanya boleh memberi pandangan.

Azizan, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah, berkata beliau tidak mengetahui spekulasi bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharuddin Mat Isa akan bertanding di Kedah pada PRU kali ini.

"...kita dalam PAS tak ada masalah. Sesiapa saja yang dicalonkan boleh bertanding di mana sahaja," katanya.

Beliau berkata pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah diselesaikan mengikut formula PRU 2008, kecuali sedikit masalah membabitkan DAP dan PKR.

Azizan berkata PAS akan bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala DAP, yang diberi satu kerusi pada 2008, meminta tambahan empat kerusi daripada 11 yang diperuntukkan kepada PKR.

"Saya tidak akan campurtangan masalah mereka kerana masalah ini akan diselesaikan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat bagi memantau pentadbiran kerajaan pimpinannya, beliau berkata beberapa pertemuan diadakan dan
perbincangan hanya menyentuh isu pentadbiran, program pembangunan, halangan serta pencapaian PAS Kedah menunaikan janji dalam manifesto PRU ke-12.

- Bernama

Thursday, February 23, 2012

Mesyuarat Menteri Besar & Ketua Menteri ke 114 di cemari perbuatan bodoh dan bangang Najib & K'jaan Malaysia

Pulau MB, KM Pakatan, Najib tak profesional, kata Khalid

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 di Putrajaya pada Selasa lalu tanpa membabitkan pemimpin
Pakatan Rakyat dianggap amat tidak professional.

NONESehubungan itu, menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mesyuarat berkenaan sewajarnya dinamakan sahaja Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN.

“Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Pakatan Rakyat tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Putrajaya pada Selasa lalu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN,” katanya dalam satu kenytaan media hari ini.

Sambil membidas Najib kerana mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam membincangkan kebajikan rakyat, Abdul Khalid berkata sikap perdana menteri hanya membuktikan bahawa konsep 1Malaysia yang dipromosikan hanyalah sekadar gimik politik.

“Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

NONE“Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia,” katanya sambil menambah tindakan Najib itu juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin dilakukan.

Mesyuarat Selasa lalu itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta beberapa menteri kabinet.

Ia lazimnya digunakan bagi menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Sunday, September 4, 2011

'Barisan Exco ‘pembantu’ saya'

SUNGAI LIMAU, YAN - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Kedah sedia ada, selain berpuas hati terhadap prestasi setiap Exco yang dilantik dalam melicinkan pentadbiran.



Katanya, barisan Exco sedia ada mampu menjalankan tugas masing-masing dan mereka inilah yang menjadi ‘pembantu’ kepada beliau dalam menguruskan urusan pemerintahan sejak memerintah Kedah Mac 2008.



“Bukan saya seorang sahaja yang buat kerja di Kedah, saya dibantu oleh barisan Exco. Jadi buat apa lagi dilantik seorang pembantu atau pemangku. Sejak tiga tahun lepas, kami bekerja sebagai satu pasukan, tak ada masalah pun,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Jerai.



Azizan mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sebelum ini menafikan kepimpinan Pas Pusat sedang berusaha menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah, sebaliknya hanya meminta beliau berehat sehingga pulih sepenuhnya.



Menurut Azizan, jawatan Timbalan atau pemangku Menteri Besar tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Pas Pusat sebelum ini.



“Bagi saya, apa yang ada sudah memadai. Semua Exco buat kerja dengan baik, kecualilah jika Pusat berpandangan saya buat kerja tidak elok. Nak lantik pemangku itu hak mereka, sebab saya pun dilantik oleh Pusat untuk mengetuai Pas di Kedah,” katanya.



Azizan tidak menolak sekiranya Pas Pusat ingin melantik seorang pemangku Menteri Besar di Kedah, tetapi menyifatkan ianya tiada keperluan buat masa ini.



“Jika Pas Pusat fikir perlu tambah pemimpin di Kedah, tambahlah...mana ada pemimpin kekal jadi Menteri Besar,” katanya.



Azizan turut menyangkal dirinya tidak mampu menjalankan tugas selepas keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN), memandangkan sejak itu, dirinya berasa semakin sihat.



“Kenapa perlu saya rehat, sudah tiga tahun lebih saya kerja siang malam. Jika mahu hantar pembantu elok masa baru tawan Kedah tetapi sekarang sudah stabil,” katanya.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9494547.asp


Friday, September 2, 2011

Rumah Terbuka MB Ahad ini

ALOR SETAR - Jamuan Rakyat sempena sambutan Aidilfitri akan diadakan pada Ahad, 4 September ini di pekarangan Seri Mentaloon untuk meraikan rakyat Kedah dalam majlis Rumah Terbuka Menteri Besar.



Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, acara tahunan itu dijangka dihadiri lebih 30,000 orang, termasuk Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.



“Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati juadah yang disediakan bermula 12 tengah hari hingga 5 petang. Antara menu istimewa yang dihidangkan termasuk sate, nasi dagang, laksa dan banyak lagi,” katanya.



Menurutnya, pada 3 September pula, diadakan Rumah Terbuka Pas Kawasan Jerai di pejabat Pas Jerai, Sungai Limau bermula 12 tengah hari hingga 4 petang.



Ditanya mengenai sambutan Raya kali ini, Azizan berkata, beliau bersyukur dapat beraya bersama anak-anak sekeluarga di rumah mereka, walaupun sejak kebelakangan ini, dirinya asyik berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.



“Alhamdulillah saya sihat menyambut raya tahun ini. Dapat juga menjamah ketupat dan lemang bersama keluarga dan saya juga rasa semakin sihat,” katanya.



Pengerusi Jawatankuasa Rumah Terbuka, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, setiap tahun majlis rumah terbuka di Seri Mentaloon mendapat sambutan amat menggalakkan, dan orang ramai sudah mula menunggu di hadapan pagar sejak 11 pagi.



“Saya harap majlis meriah seperti tahun-tahun sebelumnya, makanan yang disediakan juga mencukupi dan pihak pengurusan akan memastikan kesemua persediaan berjalan lancar,” katanya.



Ir Amiruddin turut menjemput orang ramai memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya, hari ini di Kampung Tradisional, Gunung Keriang bermula 2 petang.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9486411.asp


Tuesday, July 19, 2011

Tempoh sidang singkat ikut peraturan: MB

ALOR SETAR - Hanya empat soalan pertanyaan lisan sempat dijawab ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mesyuarat pertama penggal keempat yang ke-12, bermula 9 pagi dan berakhir sekitar 10.30 pagi semalam.

Belum pun ‘panas’ suasana dalam Dewan, termasuk sesi soal jawab yang dinanti-nantikan wakil rakyat Barisan Nasional (BN), sidang ditangguhkan oleh Speaker, Datuk Dr Abd Isa Ismail.

Mengulas mengenai tempoh bersidang yang dianggap terlalu singkat, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia bertepatan dengan peraturan DUN, dan tidak ada usul untuk memanjangkan tempoh persidangan dibangkitkan mana-mana wakil rakyat.

“Mengikut peraturan DUN, selepas bentangkan kertas-kertas Dewan, sesi soal jawab selama satu jam. Terpulang pada budi bicara Speaker untuk tambah masa kecederaan. Jika ada usul pula, kena bentang dan bincang, tetapi usul tiada,” katanya pada sidang media.

Azizan turut berkias situasi sama turut berlaku ketika pihaknya menjadi pembangkang di Kedah, apabila membangkitkan isu sama, tetapi tidak dilayan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dulu masa kita pembangkang pun rasa tidak puas hati juga, minta mereka panjangkan tempoh sidang tetapi tidak dapat. Ketika saya jadi pemerintah, mereka pula minta panjangkan tempoh,” katanya.

Saturday, July 16, 2011

Isu Pusat Hiburan Bulan Ramadhan - Alhamdulillah "DAH SELESAI"...

Boleh buka pusat hiburan, tapi hanya untuk pelanggan bukan Islam

ALOR SETAR, 17 Julai 2011 – Demi menjaga kepentingan bersama dan untuk membolehkan penyelesaian ‘menang-menang’ dicapai mengenai isu larangan pusat hiburan beroperasi di bulan Ramadhan baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah membenarkan pusat hiburan dibuka sepanjang Ramadhan tetapi bersyarat.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, operasi pusat hiburan dapat diteruskan seperti biasa jika beberapa syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi antaranya tidak membenarkan orang Islam memasuki premis berkenaan dan ianya juga adalah demi menjaga kepentingan kira-kira 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis penyerahan memorandum jawatankuasa penyelaras pengusaha hiburan oleh Dewan Perhimpunan Cina (DPC) Kedah kepada beliau di Seri Mentalon.

“Bagi mendapatkan persetujuan bersama dalam soal penetapan syarat, kita telah mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjumpa dengan pengusaha-pengusaha pusat hiburan.

“Selain itu, mengenai penetapan syarat, kita lihat bagaimana perbincangan di antara SUK dengan pengusaha dan mungkin beberapa syarat berat diletakkan seperti menarik balik lesen operasi sekiranya pengusaha membenarkan orang Islam memasuki pusat hiburan mereka,” terangnya.

Katanya lagi, walaubagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri untuk menentukan syarat-syarat yang sesuai memandangkan ianya dibuat untuk menyelesaikan masalah dan bukan untuk menambah masalah.

Demi menjaga kesucian bulan Ramadhan, umat Islam sememangnya tidak dibenarkan memasuki pusat hiburan yang mempunyai arak.

Turut hadir, Penasihat Dewan Perhimpunan Cina (DPC) Kedah, Tan Sri Wiliam Chek Lin Kwai, Timbalan Pengerusi, Dato’ Tan Son Lee dan Bendahari DPC Kedah, Oon Pheng Khoon.

“Untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai maka kerajaan negeri turut mengarahkan SUK dan pentadbiran kerajaan negeri untuk menyenaraikan jenis pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

“Selain itu, sebelum ini ramai orang kata cyber kafe, bowling dan pusat snuker tidak dibenarkan sedangkan ianya lebih kepada sekadar pusat rekreasi berbanding pusat hiburan,” katanya.

Tambah Dato’ Azizan, penguatkuasaan Enakmen 1997 juga memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk membanteras kewujudan pusat hiburan haram dan tidak berlesen yang banyak beroperasi terutamanya di luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi DPC Dato’ Cheng Lai Hock menafikan bahawa ada pengusaha yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan menganggap keyataan itu hanya dikemukakan pemimpin parti politik tertentu.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana melonggarkan syarat penguatkuasaan Enakmen 1997 dan bersedia menerima mempertimbangkan rayuan kira-kira 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah.

“Dalam memastikan perniagaan mereka beroperasi di bulan Ramadhan, pengusaha-pengusaha pusat hiburan sudah menyatakan kesediaan untuk memenuhi apa jua ketetapan kerajaan negeri termasuk melarang umat Islam memasuki premis mereka,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, DPC juga menyerahkan satu memorandum rayuan kepada Dato’ Seri Azizan untuk mempertimbangkan nasib pengusaha dan kira-kira 6 ribu pekerja pusat hiburan dan kami amat bebesar hati kerana ianya dapat diselesaikan secara menang-menang.

Thursday, July 7, 2011

Mak Lang tidak lena tidur selepas menerima kunjungan Menteri Besar Kedah

Mak Lang tidak lena tidur

BALING - “Waktu malam tak lena tidur sebab terlalu gembira kerana hasrat Mak Lang tercapai,” kata Che Suffiah Awang ataupun lebih dikenali sebagai Mak Lang selepas menerima kunjungan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Azizan Abdul Razak di rumahnya, kelmarin.

Mak Lang yang tinggal di Kampung Keda Sadek itu mempunyai talian darah dengan MB dan pernah mengasuh MB untuk beberapa lama di Yan.

Namun begitu, selepas berkahwin, dia terpaksa berpindah ke Baling. Sehubungan itu, Mak Lang tidak lagi berjumpa dengan beliau sehingga menerima lawatan MB kelmarin.

Menurutnya, kunjungan anak asuhannya itu adalah kenangan yang paling manis dan sukar dilupakan.

“Setibanya MB di pekarangan rumah, Mak Lang dah mula menitiskan air mata. Ketika itu, kenangan ketika menjaga MB semakin kuat.

“Mak Lang akan tersenyum apabila terkenangkan gelagat MB sewaktu kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Kunjungan selama 30 minit itu dipenuhi dengan suasana yang ceria apabila Mak Lang sempat berjenaka dengan menceritakan kisah silam MB ketika masih berada di sekolah rendah.

“Sememangnya kenangan bersama beliau sukar dilupakan. Walaupun kunjungan berkenaan tidak lama, tapi puas apabila dapat melihat sendiri anak asuhan Mak Lang,” katanya.

Dalam pada itu, MB turut menyampaikan hamper dan barangan harian disertai dengan kad ucapan daripada beliau sendiri.

“MB turut mengatakan sekiranya ada apa-apa masalah boleh menghubungi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Johari Abdullah yang turut sama berada dalam kunjungan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, cucu kepada Mak Lang, Norafida Rosidi, 23, berkata, kunjungan berkenaan membuktikan bahawa MB sememangnya mengenali neneknya.

“Sebelum ini Mak Lang memang pernah cakap nak jumpa MB. Tapi saya dan keluarga takut MB tidak mengenali kami dan dianggap cuba ambil kesempatan.

“Dulu, MB pernah datang ke Baling. Tapi, saya tidak berapa yakin untuk membawa Mak Lang berjumpa dengan MB ketika itu, kerana kami takut orang memandang serong terhadapnya,” katanya.

Dalam pada itu, Norfida turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menemukan MB dengan Mak Lang.

Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan kisah Mak Lang yang teringin berjumpa dengan MB sebelum dia meninggalkan dunia ini.

Wednesday, June 29, 2011

Alhamdulillah..207 Penduduk Terima Geran Tanah bagi Daerah Kubang Pasu



2,000 permohonan dalam proses

JITRA - Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu mempunyai 2,000 permohonan surat hak milik tanah bagi daerah itu yang masih dalam peringkat proses untuk mendapatkan kelulusan hak milik berkenaan.

Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya berkata, semua permohonan masih dalam proses dan ia akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Menurutnya, justeru pihaknya berharap semua pemohon yang masih menanti kelulusan surat hak milik berkenaan supaya bersabar menanti giliran masing-masing.

“Permohonan surat hak milik tanah ini melibatkan semua kaum yang meneroka tanah dan disebabkan kita mempunyai banyak permohonan jadi ia mengambil masa untuk diluluskan.

“Ada yang mohon lebih daripada 10 tahun dan ia baru diluluskan, jadi kita minta semua pemohon bersabar,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi daerah Kubang Pasu di Dewan Utama Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu.

Seramai 207 pemohon terdiri daripada masyarakat Melayu, Siam dan India hadir menerima surat hak milik tanah masing-masing.

Beliau berkata, dengan mendapat hak milik itu diharapkan penantian berakhir selepas mengusahakan tanah selama ini tanpa sebarang hak yang mutlak.

Bagaimanapun menurutnya, diharapkan supaya pemilik tanah dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan cukai tanah sekali gus kutipan itu dapat digunakan untuk projek pembangunan negeri yang lain.

“Kepada semua penerima hak milik tanah diharapkan dapat membangunkan tanah masing-masing mengikut syarat tanah yang ditetapkan dan memaksimumkan penggunaan tanah dengan sepenuhnya,” katanya.

Tuesday, May 31, 2011

MB Kedah meluangkan masa melawat pesakit kronik di Kampung Kubang Juluk, Naka

‘YB’ kerajaan negeri turun padang secara bersepadu

http://wartakedah.net/images/stories/Mei2011/dsc_9553.jpg

PADANG TERAP: Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Hajah Faikah Sheikh Hamzah meluangkan masa dengan melawat pesakit kronik di Kampung Kubang Juluk, Naka, di sini.

Lawatan yang diadakan itu bersempena dengan Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Padang Terap.

Lawatan yang diadakan itu juga mampu mendekatkan rakyat dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Turut sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad.

Sementara itu semua Exco dan sebahagian besar wakil rakyat pihak kerajaan negeri Kedah turun padang secara bersepadu bertemu rakyat di kar umbi dalam program yang dirancang sehari suntuk.

Tak mahu terima semula wang - Azizan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjjMi6mTPBxDhvdGvkTQaOiIQoTfPvUY3uboi-KCuX-T2MhsNe64dcSUvpCoZosVUpXjAc54nI4tuEMiRMNF7XQGt50Pe30aEMbDp6jWVsSQAcDAfmbxwqeDk-VrV3QczCwx0Ewqk68Fq6b/s320/DSC_08.JPG
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan ahli lembaga pengarah sebuah sekolah jenis persendirian Cina di Sungai Petani mempolitikkan isu bantuan kepada sekolah berkenaan.

Kerajaan Negeri juga tidak akan menerima semula wang bantuan yang dipulangkan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tindakan ahli lembaga pengarah memulangkan RM1,993.95 kepada seorang ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah-sekolah Cina (PLPSC) sebagai protes atas keengganannya menggantikan semula RM12,000 yang dibayar untuk tunggakan bil elektrik sebelum ini dianggap menafikan sumbangan Kerajaan Negeri selain menolak hak warga sekolah itu.

Untuk itu, beliau mengarahkan PLPSC memulangkan semula wang berkenaan kepada pengurusan sekolah terbabit kerana sumbangan itu merupakan sebahagian janji Kerajaan Negeri kepada sekolah Cina.

“Soal sama ada mereka (pengurusan sekolah) hendak terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

“Kita sudah menunaikan janji kepada masyarakat Cina dan saya minta sekolah terbabit jangan bermain politik dalam isu pendidikan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Di sebalik tindakan itu, Kerajaan Negeri masih komited untuk terus membantu pada masa depan bagi meringankan beban 42 sekolah jenis persendirian Cina di Kedah melangsaikan bil elektrik dan air.

“Bantuan tetap diteruskan, cuma jumlah dan peruntukan kita tidak pasti.

“Sekiranya Kerajaan Negeri dapat hasil pendapatan lebih, kita bagi lebih. Bagaimanapun, saya akan sentiasa memastikan pendidikan masyarakat Cina tidak dipinggirkan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah kesal dengan tindakan ahli lembaga pengarah sebuah sekolah jenis persendirian Cina di Sungai Petani mempolitikkan isu bantuan Kerajaan Negeri apabila memulangkan semula duit bantuan untuk menyelesaikan tunggakan bil elektrik sekolah itu Jumaat lalu.

Pengerusi DHPP Kedah, Tan Weng Fatt berkata, tindakan Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Jenis Persendirian Sin Min, Beh Teng Keong mewakili sekolah memulangkan RM1,993.95 kepada seorang AJK PLPSC sebagai protes dan tidak menghargai sumbangan Kerajaan Negeri kepada masyarakat Cina.