Showing posts with label Jitra. Show all posts
Showing posts with label Jitra. Show all posts

Tuesday, October 4, 2011

JITRA - Padah gagal jelas cukai pintu

Padah gagal jelas cukai pintu

JITRA - Akibat gagal menjelaskan cukai pintu tertunggak melebihi RM1,000 sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini, sebanyak 1,250 pemilik premis kediaman bakal menerima waran tahanan F daripada Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) dalam masa terdekat.

:Ketua Bahagian Penguat kuasa, Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, waran tahanan F yang dikeluarkan itu juga melibatkan premis perniagaan dan industri di daerah ini.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah mengeluarkan waran terbabit terhadap 670 premis dengan jumlah kutipan cukai pintu tertunggak melebihi RM1 juta.

“Bagaimanapun, operasi sita akan diteruskan secara besar-besaran sehingga penghujung tahun ini berikutan jumlah kutipan yang diperoleh setakat ini masih belum memuaskan.

“Kita mengenal pasti masih ramai pemilik premis yang ingkar dan berdegil untuk membayar cukai pintu masing-masing,” katanya.

Sementara itu katanya, kertas siasatan bagi 250 kes lagi masih dalam proses untuk dihantar kepada bahagian perundangan untuk didakwa di mahkamah.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 148 Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan jika sabit dengan kesalahan, semua pegangan mereka akan dilelong.

“Bagaimanapun tindakan mahkamah itu boleh dibatalkan jika pemilik premis berkenaan datang berunding dan menjelaskan semua tunggakan mereka sebelum atau pada 28 November ini.

“Jika gagal menjelaskannya selepas tarikh berkenaan, MDKP tidak akan lagi berkompromi kerana tindakan pendakwaan akan diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakariya berkata, pada 2012 nanti lebih ramai pemilik premis akan dikenakan tindakan sama terutama terhadap mereka yang mempunyai tunggakan melebihi RM1,000 atau tidak membayar cukai pintu melebihi tempoh lima tahun.

Menurutnya, tindakan mahkamah adalah jalan terakhir MDKP bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam untuk lebih bertanggungjawab dalam membayar cukai pintu mereka.[SinarHarian]

Tuesday, June 14, 2011

Hilang di Alor Setar, jumpa di Kuantan


Saya terkejut diberitahu telah hilang sejak 26 hari lalu sedangkan saya rasa baru empat hari hilang


JITRA – Seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini yang hilang selama hampir sebulan didakwa akibat dipukau ditemui selamat di pusat beli-belah Berjaya Mega Mall di Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu iaitu pada hari dia sepatutnya melangsungkan majlis pertunangan..

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, ditemui oleh ketua pengawal keselamatan di pusat beli-belah tersebut apabila dia ditahan kerana tidak membayar bil makanan sushi RM70 di sebuah restoran pada pukul 5 petang.

Ketika ditemui, Noor Noor mengenakan baju T putih dan seluar sukan sambil membawa sebuah beg galas mengandungi pakaian yang dipakainya pada hari dia dilaporkan hilang iaitu kemeja, kasut dan tali pinggang.

Turut disimpan dalam beg sama beberapa barangan lain antaranya kain pelikat, kopiah, berus sabut dan berus gigi.

Bagaimanapun, telefon bimbit dan beg kerjanya berwarna hitam yang mengandungi beberapa dokumen penting hilang.

Mengimbas kehilangannya, Noor Azam berkata, dia tidak menyedari apa yang berlaku pada dirinya sepanjang dilaporkan hilang sejak 26 hari lalu sehinggalah pengawal keselamatan membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan.

“Pengawal itu bertanya sama ada saya Dr. Mohd. Noor Azam yang hilang selepas melihat kad pengenalan dan kad pekerja saya tetapi saya masih tidak ingat sehingga saya melihat gambar bakal tunang di dalam dompet.

“Saya tersedar dan terus menangis lalu bertanya kepada pengawal itu tarikh dan tempat saya berada pada ketika itu,” kata doktor itu ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Monday, June 13, 2011

50thn negara merdeka baru UMNO pie tahu ada kawasan tak ada bekalan ayaq..???!!!

50 tahun tanpa bekalan air paip

JITRA - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dapat digambarkan keadaan sepasang suami isteri warga emas di Kampung Pulau Nyior di sini, apabila hidup tanpa bekalan air paip sejak lebih 50 tahun lalu.

Keadaan itu bertambah pilu apabila warga emas, Osman Ali, 74, yang kudung kaki kirinya terpaksa mengangkut air dari telaga setiap hari bagi keperluan mencuci pakaian, pinggan selain untuk mandi.

Osman berkata, setiap hari dia dan isteri, Aishah Abdullah, 73, berulang alik dari rumah ke telaga kira-kira 20 meter dari rumah mereka untuk mengangkut air.

“Mujurlah ada jiran yang bersimpati memberi bekalan air paip kepada kami untuk minum, tetapi untuk mandi dan mencuci kami hanya gunakan air telaga di hadapan rumah.

“Kami dah biasa hidup begini sejak lebih 50 tahun lalu, namun sejak kaki saya dipotong pada tahun 2001 lalu akibat mengalami barah tulang, ia sedikit menyukarkan pergerakan saya mengangkut air dengan kuantiti yang banyak,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Osman berkata, lima tahun dahulu dia pernah menyuarakan hasrat untuk memasang paip air di rumahnya namun disebabkan kos tinggi, maka terpaksa melupakan hasrat itu.

Menurutnya, dia hanya bergantung kepada bantuan sara hidup bulanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Bantuan bulanan itu hanya cukup untuk menampung keperluan harian kami suami isteri dan ia tidak cukup untuk menampung kos memasang paip air di rumah,” katanya.

Osman berkata, jika musim kemarau ia lebih sukar apabila mereka terpaksa menggunakan tenaga yang lebih kuat, selain tali yang digunakan juga perlu lebih panjang untuk mengangkut air.

Sementara itu, keperitan hidup keluarga itu mendapat perhatian Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu, Wan Zawiyah Wan Halim yang turut menghulur sumbangan.

Wan Zawiyah berkata, beliau akan berusaha membantu menyelesaikan masalah keluarga itu untuk mendapatkan bekalan air paip di rumah sendiri dalam masa terdekat.

Saturday, May 21, 2011

JITRA - Empat ditahan dalam Ops Mabuk

JITRA - Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk naik berang selepas ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini awal pagi semalam.

Lelaki terbabit antara empat yang ditahan dipercayai mabuk selepas polis menjalani pemeriksaan alkohol terhadap 25 pemandu dalam Ops Mabuk dan Had Laju di Kilometer 24.2 Lebuh Raya Utara Selatan di kedua-dua arah di sini.

Ketika ditahan, lelaki yang memandu kereta Nissan Sentra itu dikatakan tidak berpuas hati kerana mendakwa dirinya tidak mabuk dan sanggup membayar saman jika dia benar-benar mabuk.

“Saya mengaku minum arak tetapi tidak mabuk, kalau mabuk saya mengaku dan sanggup bayar berapa pun jumlah saman yang akan dikenakan,” jerit lelaki itu.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik Kontinjen Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Hock Tho berkata, dalam operasi terbabit seramai 25 pemandu menjalani pemeriksaan alkohol dan empat daripadanya ditahan kerana didapati mabuk ketika memandu.

Menurutnya, semua yang ditahan adalah mereka yang datang dari arah Changlun, Bukit Kayu Hitam yang mencatatkan bacaan paras alkohol melebihi 80mg% dan ke atas.

“Mereka yang ditahan di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu bagi menjalani pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini, awal pagi semalam.

Operasi disertai 34 anggota dan pegawai dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu dijalankan selama tiga jam bermula jam 10 malam hingga 1 pagi semalam.

Dalam operasi sama, pihaknya juga telah mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan iaitu melibatkan 37 kesalahan had laju, tiada lesen memandu (lima), nombor pendaftaran (tiga), tiada cukai jalan (satu) dan tidak memakai tali pinggang keledar (satu).

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ditahan berikutan kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk adalah tinggi.

Menurutnya, kadar kemalangan maut melibatkan kecuaian pemandu mabuk perlu dikurangkan dan operasi seperti itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kita mengingatkan kepada semua pemandu supaya jangan sesekali memandu ketika dalam keadaan mabuk,” katanya.

Friday, April 8, 2011

Laporan Polis terhadap golongan yang mengedar Video Lucah di Balai Polis Jitra



Sdr Kaman Jaapar selaku Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu membuat laporan polis berkaitan isu pengedaran Video Fitnah DSAI di Balai Polis Jitra.

Keterangan Laporan Polis:

Pendedahan Video Seks secara terbuka sejak 4 April 2011 di laman Youtube yang dikatakan mirip muka Ketua Pembangkang harus dihentikan segera. Saya meminta pihak polis siasat dan menahan pihak yang sengaja memuatnaik video seks bermotif politik. Tindakan segera tersebut (memuatnaik) untuk tatapan umum hingga hari ini boleh merosakkan pemikiran dan tatasusila kehidupan bermasyarakat negara ini. Tindakan memfitnah saudara Islam dengan tayangan video seks adalah berdosa besar. Berdasarkan laporan di atas saya mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu mohon satu siasatan penuh posting dalam youtube berkenaan satu video seks membabitkan tokoh politik pembangkang.

Laporan polis turut dibuat bersama Ketua Cabang PKR Kubang Pasu Sdr. Ahmad Fadzli b. Mohamed Yoep
-AJK Cabang PKR Kubang Pas
-AJK PAS Kawasan Kubang Pasu

Kenyataan Media

Pakatan Rakyat Kubang Pasu merakamkan rasa kecewa yang amat sangat di atas tindakan yang telah dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mendedahkan video yang dikatakan mirip muka Ketua Pembangkang (DSAI). Pakatan Rakyat Kubang Pasu mendesak pihak yang menyebarkan video seks tersebut dalam Youtube ditangkap dan didakwa. Suasana yang wujud dari perkembangan politik kotor hari ini harus dihentikan segera dengan prinsip yang tegas. Kami cukup yakin ini merupakan fitnah kali ke 3 yang sengaja diwujudkan untuk membunuh kerjaya politik ketua pembangkang PAKATAN RAKYAT itu.

Sepatutnya penangkapan telah dibuat dihari tayangan video itu berlaku di Carcosa Seri Negara. Kami menyeru agar semua pihak bersikap lebih adil dalam menerima berita dan maklumat agar penilaian masyarakat tidak silap dan tidak terjerumus dengan perngkap politik yang dipasang UmnoBN. Kami mendesak agar mereka yang terlibat dengan penayangan video tersebut ditangkap kerana ianya jelas sekali bertentangan dengan prinsip undang-undang negara.

AHMAD FADZLI B. MOHAMMED YEOP
PAKATAN RAKYAT KUBANG PASU

Friday, April 1, 2011

Mentality Sesetengah Orang Kita - ‘Sampai bila kita mahu begini’

‘Sampai bila kita mahu begini’

JITRA - Keadaan longkang yang sempit menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik terutama pada musim hujan lalu melimpah ke kawasan jalan dan kadangkala masuk ke rumah penduduk di Kampung Baru berdekatan sebuah sekolah di sini.

Penduduk, Noh Nikmat Abd Nasir, 23, mendakwa keadaan bertambah buruk apabila terdapatnya sikap orang ramai yang membuang sampah merata-rata di sekitar kawasan berdekatan mini stadium di sini, dan ada juga yang membuangnya ke dalam longkang.

Menurutnya sikap orang awam yang tidak berdisiplin antara punca menyebabkan berlakunya masalah longkang tersumbat.

“Kawasan itu memang sudah diletakkan papan tanda amaran jangan membuang sampah namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuangnya di kawasan itu.

“Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan syarikat yang mengendalikan kutipan sampah tetapi perlu melihat juga sikap orang awam yang senang lenang membuangnya tanpa rasa bersalah walaupun telah diberi amaran kawasan itu kawasan larangan,” katanya.

Noh berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan air longkang juga tersumbat di laluan antara sebuah sekolah dan mini stadium di sini sehingga mendatangkan masalah kepada penduduk sekitar sejak kebelakangan ini apabila hujan lebat berlaku.

Menurutnya, kami tidak larat menanggung kesusahan jika air memenuhi jalan kerana sukar untuk bergerak ke mana-mana malah jika air memasuki rumah ia lebih menyusahkan semua penduduk.

“Justeru kami berharap orang awam janganlah sewenang-wenangnya membuang sampah di kawasan sekitar,” katanya.

Manakala, Bedah Hashim, 54, berkata, sebagai suri rumah dia kurang selesa dengan keadaan itu kerana tidak sanggup untuk membersihkan kawasan rumah jika sering dimasuki air.

Menurutnya, janganlah disebabkan kesenangan sendiri mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

“Sampai bila kita mahu berubah?.

“Saya berharap masalah ini akan selesai segera dengan kerjasama orang awam supaya bersikap lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan Environment Idaman Kubang Pasu, Shaiful Azli Sahran ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui telah meletakkan papan tanda larangan membuang sampah di kawasan berkenaan sejak Januari lalu.

Menurutnya, pihaknya meletakkan papan tanda itu kerana kini mereka telah membuat kutipan dari rumah ke rumah penduduk di kawasan perumahan berdekatan bagi mengelakkan longgokan sampah di kawasan itu.

“Namun apa yang dikesalkan masih ada lagi yang membuang sampah di situ, tetapi saya yakin ia bukan daripada penduduk tetapi kemungkinan peniaga di sekitar yang membuangnya.

“Malah bertambah kesal sekarang papan tanda yang diletakkan itu juga telah tertanggal begitu sahaja tanpa dihiraukan,” katanya.