Showing posts with label GMUKM. Show all posts
Showing posts with label GMUKM. Show all posts

Wednesday, November 9, 2011

GMUKM : PTPTN Diminta Perhalusi Mekanisme Carian Dana



Agak ironik di tengah-tengah keceriaan kita menyambut perayaan Aildiladha, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said mengumumkan cadangan untuk tidak memberi pinjaman perbelanjaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam mulai 2013. (Berita Harian, 4 November 2011)

Menurut Datuk Ismail, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN pada 31 Oktober lalu membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan dihentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu yang kini semakin kekurangan dana menampung permohonan pelajar-pelajar baru.

Kenyataan Pengerusi tersebut tentunya menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah apabila saban tahun hampir ratusan ribu pelajar IPT memohon tabung pinjaman tersebut.

Umum mengetahui sebahagian besar mahasiswa amat bergantung dengan tabung pinjaman tersebut itu bagi menampung kehidupan mereka di kampus.

Biarpun yuran pengajian Universiti telah dibayar, adakah rasional untuk mahasiswa berbelanja membeli keperluan pengajian dan kos kehidupan seharian di kampus sekiranya pinjaman perbelanjaan itu dihentikan?

Justeru respon kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sehari selepas itu bahawa kerajaan akan memastikan PTPTN terus memberi pinjaman berkenaan, pastinya melegakan banyak pihak terutama ibu bapa. (Utusan Malaysia , 6 November 2011)

Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam merespon isu ini, lebih gemar melihat masalah yang dialami pihak Perbadanan dapat dikurangkan dengan beberapa usul di bawah;

(i) PTPTN perlu ditransformasikan sebagai salah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang berorientasikan budaya penswastaan dan pengkorporatan. Maksudnya di sini Perbadanan lebih diurustadbir sebagai syarikat swasta yang bijak mencari dana sendiri di samping tidak melupakan 'Corporate Social Responsibility' (tanggungjawab sosial korporat) yang turut menyumbang kepada pinjaman-boleh-ubah kepada biasiswa kepada mahasiswa yang cemerlang. Dan jika perlu, Pengerusi Perbadanan juga perlu dilantik daripada kalangan ahli perniagaan yang berjaya sebagaimana yang dilaksana Malaysia Airlines (MAS) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) agar idea-idea Perbadanan lebih berkembang dan tidak mengharapkan bantuan GLC lain.

(ii) PTPTN membuat pelaburan-pelaburan yang strategik khususnya dalam bidang komersil yang berkembang pesat yang lain di dalam atau luar negara. Perkara ini dapat dicontohi melalui GLC yang lain seperti Petronas, Telekom, Lembaga Urusan Tabung Haji dan lain-lain.

(iii) PTPTN perlu memperkasa (empowerment) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ironinya walaupun SSPN dilancar awal tahun 2008 yang lalu, tetapi hanya baru-baru ini promosi berkenaan skim ini diperhebatkan. Sedikit sebanyak PTPTN dilihat tidak serius apabila gagal mempromosi dan menggunapakai produk tersebut.

(iv) PTPTN juga dilihat perlu belajar daripada badan berkanun lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguruskan keluar-masuk dana dengan cekap.

(v) Cadangan PTPTN untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat multinasional dan transnasional untuk mengadakan tabung berbentuk wakaf, pembiayaan dan sumbangan dilihat tepat pada masanya. Bagaimanapun sewajarnya idea ini diadakan sejak dulu lagi serta harus direalisasikan dan bukan sekadar di atas kertas semata-mata. Idea tersebut juga dicadangkan bukan hanya tertumpu kepada syarikat milik negara Malaysia juga, tetapi juga dikembangkan kepada syarikat-syarikat luar yang melabur di dalam negara juga. Untuk rekod, sesetengah negara Islam hari ini sudah banyak menyediakan dana wakaf untuk para mahasiswa memasuki universiti secara percuma kerana walaupun bukan warganegara tersebut. Sebagai contoh, Syria dan Maghribi.

GMUKM berpandangan jelas bahawa dengan kos hidup hari ini amat tinggi. Justeru sekiranya isu peminjam liat membayar balik hutang PTPTN menjadi puncanya, kita berpendirian PTPTN perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam menyelesaikan isu ini. Jangankan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.

SUMBER : http://gm-ukm.blogspot.com/2011/11/ptptn-diminta-perhalusi-mekanisme.html

Thursday, June 16, 2011

Gugur Akidah Jika Mempermainkan Hukum Allah.. Isu Kartun UTUSAN macamana..???

Daulatkan syariat Islam


SEPANJANG
minggu ini telah disifatkan GMUKM sebagai minggu yang menghina agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyedari perkara yang pada awalnya bermotifkan kepentingan politik kini telah mengheret syariat Islam sedikit demi sedikit. Klimaksnya, tanpa sebarang motif yang jelas, tiba-tiba Utusan Malaysia didapati telah menyiarkan sebuah kartun yang jelas menghina syariat berkenaan saksi perbicaraan dalam Islam.

Jelas sekali mesej yang cuba disampaikan akhbar tersebut bahawa betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat-syarat untuk membawa empat orang saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.
Lakaran kartun yang disiarkan cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikan dengan rakaman handphone ditolak tok penghulu kerana tiada empat saksi.

Manakala ketika wanita sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima

PENGHINAAN TERHADAP ISLAM

" Ini jelas menghina Islam! Tindakan penulis ini adalah sama, malah lebih teruk daripada lakaran (pelukis Denmark) menghina Rasulullah SAW pada tahun 2006 dahulu," ulas Koordinator GMUKM, saudara Fariq Fitri ketika ditemui.

" Kita melihat percubaan mengaitkan kes mahkamah dengan syariat Islam ini adalah sangat-sangat memalukan dan menghina Islam seluruhnya, kerana kejahilan pelukis kartun ini telah memesong dan merosakkan objektif sebenar syariat membawa 4(orang) saksi yang diperintah di dalam Al-Quran.

" Kita kesal dan memohon pihak Kementerian (Dalam Negeri) menyiasat perkara ini kerana akhbar tersebut sudah dua kali mencetus provokasi yang jelas sangat-sangat menggugat negara," tambah saudara Fariq yang merujuk kepada insiden tajuk muka hadapan Utusan bulan lalu berkenaan 'Kristian Agama Persekutuan ?' yang juga telah diberi amaran oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.

GUGUR AKIDAH

Bagi saudara Wan Ahmad Fahmi, MPM GMUKM bagi kerusi tahun umum 3/4 yang juga merupakan Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan PMUKM menyifatkan lakaran kartun yang dibuat ini sengaja dilakukan atas kepentingan politik biarpun tahu ia merupakan syariat di dalam Al-Quran.

" Kita lihat di dalam Surah an-Nur, ayat 4 bermaksud 'Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.'

" Perkara ini telah lama dibahaskan oleh alim-ulama (yang telah memperincikan) bahawa ciri-ciri empat orang saksi tersebut. Antaranya, keempat-empat orang saksi adalah orang lelaki yang sempurna; tidak cacat penglihatan, pekak, bisu. Juga tiada unsur pakatan atau paksaan di antara keempat-empat saksi tersebut. Perkara ini jelas untuk mengelakkan kesamaran, (yang mungkin membawa kepada) fitnah kepada si tuduh.

" Jika saksi tidak dapat dibawa, video atau apa jua bukti lain yang disebut sebagai 'qarinah' boleh diterima, namun memerlukan pengesahan orang yang ahli bidang tersebut. Aduan dibuat dengan adab secara tertutup tanpa sebarang hebahan kepada awam, kerana takut menimbulkan fitnah.

“Kita kesal dengan sikap pengamal media ini yang tidak menjaga etika dan moral mereka, (kerana) takut-takut perkara ini boleh membawa kepada gugurnya akidah sekiranya pelukis dan editor akhbar tersebut sedar akan syariat ini, tetapi masih hendak menyiarkan kartun tersebut," tambah Fahmi.

Merujuk pula kepada bilangan pemohon untuk keluar agama (murtad) seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di dalam sidang Parlimen awal minggu ini, jumlah permohonan untuk murtad dari tahun 2000 hingga 2010 adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.Daripada itu, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.

" Kita khuatir dengan perkembangan tersebut yang membimbangkan seluruh umat Islam khusus di Malaysia kini. Jumlah 135 orang (yang murtad) bukanlah suatu angka yang biasa. Dan selebihnya daripada 686 orang yang telah memohon untuk murtad juga, sekiranya tidak ditangani dengan baik, individu tersebut akan murtad di luar(prosedur menukar status agama) dengan cukup sekali lafaz sahaja," ulas saudara Fahmi.

" Perkara ini bukan main-main kerana di setiap negeri kecuali di negeri Kelantan, ada sahaja permohonan untuk murtad. Maka masalah ini adalah masalah seluruh negara. Kita sebagai mahasiswa, perlu cakna (dengan perkara ini). Jangan sampai kita dipertanggungjawabkan di Hari Kemudian, atas sebab kita tak 'nak ambil tahu dan ambil tindakan dengan perkara ini.

" Saya menyeru kepada persatuan dan kelab-kelab di UKM, selain daripada kita merancang untuk adakan program-program Bakti Siswa atau OPKIM yang berkonsep turun ke lapangan masyarakat, jangan kita lupa untuk turun juga mendekati ahli-ahli masyarakat yang bermasalah akidah seperti ini. Perbanyakkan jaringan dengan majlis dan persatuan-persatuan penduduk atau komuniti masyarakat untuk kita kesan golongan bermasalah seperti ini," tambah saudara Fahmi merujuk kepada individu yang telah memohon menukar agama.

“Kita selaku yang faham tentang Islam dan tahu serba-sedikit tentang sifat hormat-menghormati serta akhlak baik perlulah bertanggungjawab turun ke lapangan masyarakat. Kita sendiri yang perlu turun menyedarkan mereka dan sebar fahamkan apa yang kita faham tentang Islam serta perkara-perkara berkaitan. Kedua-dua isu yang terjadi minggu ini jelas memerlukan satu tindakan bersepadu. Cadangan ringkas daripad saya, daulatkan syariat Islam,” ujar Fahmi mengakhiri temubual dengan Editor GMUKM.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Layari blog rasmi GMUKM di http://gm-ukm.blogspot.com

Sunday, March 13, 2011

Gabungan Mahasiswa UKM : SALAM TAKZIAH BUAT RAKYAT JEPUN

KENYATAAN RASMI
Gabungan Mahasiswa UKM :
SALAM TAKZIAH BUAT RAKYAT JEPUN

Gabungan Mahasiswa UKM merakamkan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Jepun yang baru-baru ini mengalami bencana gempa bumi dan Tsunami.

Sumber televisyen NHK negara tersebut melaporkan, suatu gempa bumi telah berlaku sekuat 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter berlaku pada jam 2.46 petang dan diikuti siri gegaran kuat termasuk 7.4 magnitud kira-kira 30 minit selepas itu.

Kedapatan juga Tsunami setinggi setinggi 10 meter telah melanda pelabuhan Sendai yang menghasilkan ombak yang telah merosakkan seluruh kawasan pertanian dan menghanyutkan rumah, kenderaan dan lain-lain. Bencana tersebut juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh.

Perkhidmatan keretapi ke utara Jepun juga dihentikan manakala lapangan terbang antarabangsa Narita ditutup. Ribuan penumpang terkandas dan dipindahkan apabila semua penerbangan ke luar Jepun dibatalkan.

Setakat ini bekalan elektrik kepada empat juta penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya diputuskan.

Kebanyakan laluan di Tohoku yang menyambung ibu negara Jepun itu ke kawasan utara negara tersebut turut dilapokan terputus.

GMUKM dalam pada itu mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut dan berharap pihak Kementerian Luar Malaysia melalui Wisma Putra melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka yang berdepan dengan pelbagai kesukaran ekoran bencana alam itu mendapat bantuan yang sewajarnya.