Showing posts with label Idris Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Idris Ahmad. Show all posts

Friday, December 21, 2012

Harussani Jadilah Mufti Agama, Bukan Mufti Melayu......

Oleh Idris Hj Ahmad

Tan Sri Harussani Zakaria diharap dapat menjadi mufti Islam, bukan Mufti Melayu, supaya kewibawaan beliau dihormati. Persepsi umumnya beliau lebih banyak mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat daripada mengkritik Umno seolah-olah Pakatan Rakyat ini merbahaya kepada Melayu.. Lebih malang lagi pada fahaman beliau mesti mempertahankan Melayu dan bersatu atas nama Melayu.

 Salahkah Pas dan Pakatan Rakyat menetang Melayu perasuah, pengkhianat, penindas sesama bangsa. Doktrin yang beliau pegang, amat memburukkan Islam di kaca mata orang bukan Islam. Manhaj mana yang beliau rujuk?.
 
Nabi Muhammad SAW tidak pernah mendahului Arab daripada Islam. Peperangan yang baginda bertempur ialah sesama Arab dahulu, sebelum baginda melawan Parsi dan Rom. Walau pun baginda menyatakan di dalam hadisnya "Pemimpin mesti di kalangan Quraish". Baginda menyebut hadis ini apabila ketika itu orang Arab yang kuat, apabila mereka berpegang dengan Islam. Apabila Arab sudah lemah, syarat ini tidak terpakai lagi. Sejarah tercatat yang membebaskan Baitul Maqdis ialah Salahudin al-Ayyubi dari bangsa Kurdis, bukan Arab.


Begitu juga Kesultanan Melayu Melaka berjaya menguasai hampir 2/3 Kepulauan Melayu, kerana Islam, bukan kerana Melayu.

Kenapa beliau takut sangat dengan kerajaan Pakatan Rakyat?. Berapa masjid yang ditutup oleh Datuk Seri Haji Nizar semasa PR memerintah 11 bulan di Perak? Berapa masjid YAB Lim Guan Eng tutup di Pulau Pinang? Adakah kerajaan Pulau Pinang menangkap guru-guru agama yang mengajar di surau dan masjid?.

Adakah TS Harussani menegur sikap kerajaan Umno yang memerintah Selangor dahulu yang menutup surau al-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, Surau di Taman Puchong Perdana, Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi. Bukankah ini kerajaan Melayu? Apakah Melayu seperti ini yang kita hendak sokong. 

Tanah Rezab Melayu hilang seluas 1.3 juta hektar setelah 38 tahun merdeka (1995). Sekarang sudah 55 tahun merdeka, berapa banyak tanah Melayu hilang. Kenapa beliau tidak bersuara dengan lantang wang pampasan buruh paksa yang telah diberi oleh kerajaan Jepun sebanyak RM207 bilion lesap. Bukankah yang menjadi mangsa ini majoriti Melayu, yang telan duit ini juga Melayu.

Beliau hendaklah ingat bahawa Pas bersedia untuk dikritik, tetapi biarlah dengan fakta. Dalam masa yang sama beliau sebagai Mufti jangan lupa pula untuk menegur kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan. Jika beliau takut untuk kritik penyelewingan kerajaan BN lebih baik beliau diam, daripada menjadi pelampung Umno untuk menyelamatkan kapal yang sudah hendak karam

Sunday, June 19, 2011

PAS: Apakah negara sudah ada dua undang-undang?

Pada 19 Jun 2011 akhbar perdana melaporkan beberapa perarakan membantah perhimpunan bersih yang dianjurkan oleh "baby UMNO" PERKASA di Kota Bharu dan Alor Setar. Laporan itu menyebut di Kota Bharu dihadiri oleh 2500 orang ketika membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu yang diketuai oleh Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Tindakan yang sama dibuat oleh Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader di Kuala Lumpur.

Di Alor Setar kira-kira 500 ahli Perkasa Daerah Kota Setar berkumpul di kawasan dataran berhadapan Masjid Zahir, bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan BERSIH. Himpunan dibuat sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 10.30 pagi.

Sebenarnya tidak ada masalah perhimpunan atau perarakan yang dibuat oleh mana-mana pihak, kerana ini adalah hak yang dibenarkan oleh perlembagaan. Biarlah pihak yang membantah perhimpunan BERSIH membuat bantahan. Persoalannya kenapa himpunan BERSIH 9 Julai 2011, belum buat sudah diugut untuk ditangkap? Manakala perhimpunan menentang BERSIH tidak diapa-apakan. Apakah di negara ini sudah ada dua undang-undang? Jika himpunan dibuat oleh pihak sokong UMNO ia kebal daripada sebarang tindakan. Jika pihak Pakatan Rakyat, belum himpunan dibuat sudah hendak ditangkap, seperti kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada penganjur BERSIH. Inilah Malaysia negaraku, inilah polis di negaraku.

*Kenyataan media oleh Idris Ahmad (gambar kanan) selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.